Bab 31
“Apa yang merepek ni??? Duit apa lagi??”
Aniyah sedikit terkejut mendengar suara Dhaniyah ketika
dia melintasi bilik adiknya. Ketika itu
niatnya mahu turun ke bawah. Kebetulan dia perlu melalui hadapan bilik adiknya
terlebih dahulu sebelum menemui anak tangga.
“Apa???” Sekali lagi Dhaniyah memekik tanpa menyedari ada
telinga yang sedang mendengar perbualannya di luar bilik. Dia ketika itu sedang
berdiri membelakangi pintu biliknya yang ternganga luas. “Eh sekejap...”
Terdengar desak nafas Dhaniyah turun naik menahan marah. “Tak guna!!!”
Melenting Dhaniyah membuatkan Aniyah terpinga mendengar jeritan adiknya di
talian.
Dengan tidak semena-mena Dhaniyah memusing tubuhnya. Dia
terperanjat melihat Aniyah di depan muka pintu biliknya yang terbuka. Begitu juga Aniyah. Mereka sama-sama terkejut
saat mata bertentang mata. Segera Dhaniyah bergerak menuju ke pintu biliknya
yang ternganga luas.
Bump!!!
Satu hempasan yang kuat benar-benar
mengejutkan Aniyah. Hampir mahu luruh
jantungnya dengan perbuatan kasar adiknya itu. Tergeleng kepala Aniyah dengan
perbuatan adiknya itu. Perlahan-lahan dia mengatur langkah menuju ke tangga
sambil membawa katalog kondominium.
“Mak Cik Bibah ada nampak daddy
tak?” soal Aniyah sebaik bertembung dengan Mak Cik Bibah di ruang tamu. Orang
tua itu sedang membersih permukaan sofa.
“Rasanya awal pagi lagi daddy Niya
dah keluar,” jawab Mak Cik Bibah seraya mengelap peluh yang memercik di dahinya
dengan kain yang melilit lehernya. “Kenapa?”
Aniyah tersenyum sambil menggeleng.
Rasanya tidak perlulah dia memberitahu Mak Cik Bibah tujuannya itu. “Mummy
mana?”
“Rasanya ada program persatuan dia
kot. Malam semalam dia suruh Mak Cik Bibah iron
baju dia.”
Aniyah mengangguk faham. Dia sudah
arif dengan kegemaran mummynya itu. Waktu lapang banyak dihabiskan dengan
aktiviti berpersatuan.
“Patutlah sunyi aje rumah ni,” komen
Aniyah sambil matanya meliar memerhati suasana rumahnya. Sunyi? Entah mengapa
pandangannya tiba-tiba melekat pada bilik adiknya yang tertutup rapat. Ehm...
“Kamu tak pergi mana-mana ker?”
tanya Mak Cik Bibah sambil membersih habuk pada gubahan bunga di atas meja.
“Entahlah. Tak tahu lagi. Kenapa?”
Mak Cik Bibah mengangkat tubuhnya
yang tadinya duduk bersimpuh di atas lantai. “Tak adalah. Saja Mak Cik Bibah
tanya,” balas Mak Cik Bibah sambil tersenyum. “Mak Cik Bibah tengok bengkak
pada kaki adik kamu dah pulih.”
“Rasanya macam tu kot Mak Cik Bibah.
Tak dengar pun dia mengeluh sakit,” komen Aniyah. Tergambar di wajahnya susuk
tubuh adiknya sebentar tadi. Memang dia tidak nampak lagi kesan-kesan bengkak
di kaki adiknya itu. Lagipun sudah beberapa hari adiknya itu tidak memintanya
mengurut. Jika tidak, setiap hari pasti
paling kurang tiga kali.
“Sayang betul kamu dengan adik kamu,
ya?”
Aniyah tersentap mendengar bicara
Mak Cik Bibah itu. Dahinya berkerut seribu tanda dia tidak memahami maksud
kata-kata orang tua itu.
Mak Cik Bibah tersenyum. “Dahlah.
Mak Cik Bibah nak masuk dapur. Dah nak tengah hari ni,” ujar Mak Cik Bibah sambil
menepuk mesra bahu Aniyah. “Niya nak makan ikan patin gulai tempoyak?” soal Mak
Cik Bibah.
Pantas Aniyah mengangguk. Wajahnya
bersinar ceria. “Lama tak makan. Ada ikan patin ker?”
“Alhamdulliah. Rezeki hari ni,”
jawab Mak Cik Bibah sambil tersenyum. Dia mencapai bulu ayam di atas meja. “Mak
Cik Bibah masuk ke dapur dululah ya?”
Aniyah mengangguk. Matanya
menghantar pemergian Mak Cik Bibah.
Suasana bertukar hening. Aniyah kini sendirian di ruang tamu yang
sebesar dua bilik tidur bersaiz empat segi. Dia menghempas tubuhnya di atas
sofa. Kebosanan mula menggigit hatinya. Dipandang katalog di tangan. Tiba-tiba
dia terfikir sesuatu. Pantas dia menggagau telefon bimbit dalam poket
seluarnya.
“Umai awak free tak sekarang?”
“Kenapa?”
“Teman saya keluar.”
“Oh sebenarnya saya dah janji nak
keluar dengan kawan saya tapi tak sure
lagi. Saya call Cik Niya semula ya.
Dalam setengah jam macam tu.”
“Ouh okey. Tapi kalau awak sibuk,
tak apa.”
“Tak adalah. Nanti saya call Cik Niya semula.”
“Baik-baik.”
Talian putus sebaik mereka berbalas
salam. Aniyah bersandar tubuhnya di belakang sofa. Entah kenapa dia tiba-tiba
terfikir untuk pergi melawat kondominium itu. Selama ini tidak tergerak pun
untuk dia berbuat demikian. Barangkali kebosanan membuatkan akalnya berfikir ke
arah itu.
“Eh apa hubungan kau dengan Epul,
ha? Apa tujuan kau hantar gambar tu pada aku??”
Aniyah terperanjat sebaik disergah
suara itu. Matanya memandang tidak berkelip ke arah adiknya yang kini kalut
menuruni anak tangga. Telefon bimbit masih dilengkapkan di cuping telinga.
“Tak guna punya perempuan!” jerit
Dhaniyah sambil menggenggam telefon bimbitnya.
Kecut perut Aniyah melihat reaksi adiknya itu. “Kau jaga perempuan. Kau
ingat kau tu anak Tan Sri, kau boleh mengendeng kat Epul. Kau belum kenal aku
siapa!” Pantas Dhaniyah berlari ke muka pintu. Aniyah terpaku memandang.
Kring!! Kring!!
Aniyah terkejut dengan bungi telefon
bimbitnya. Diurut dadanya seketika meredakan rasa di hatinya. Telefon di tangannya dipandang lalu dia
menjawab panggilan yang masuk.
“Boleh Cik Niya. Kawan saya tak jadi
keluar.”
Aniyah menarik nafas lega. “Okey,
saya ambil awak.”