Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Friday, May 11, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 5)


BAB 5
Tersenyum Mak Cik Bibah menyambut kepulangan Aniyah di muka pintu.
“Assalammualaikum, Mak Cik Bibah,” sapa Aniyah sambil tersenyum manis di hadapan Mak Cik Babih.
Mak Cik Bibah pantas menyambut salam yang dihulurkan Aniyah. “Niya nampak penat,” tegur Mak Cik Bibah sambil memberi laluan masuk kepada Aniyah.
“Banyak kerjalah,” adu Aniyah manja. Bahu Mak Cik Bibah diraih lalu dijadikan sandaran kepalanya. Baginya, Mak Cik Bibah tak ubah seperti seorang ibu padanya. Sikap Mak Cik Bibah yang selalu mengambil berat tentang dirinya menjadikan dia sangat selesa bersama orang tua ini.
“Kalau macam tu, pergilah naik atas. Bersihkan diri dahulu. Nanti boleh makan.”
Senyuman di bibir Aniyah makin mekar. Dia mengangguk. Lantas dia meminta diri untuk ke biliknya yang terletak di tingkat atas rumah banglo dua tingkat keluarganya.
Mak Cik Bibah tersenyum melihat susuk tubuh Aniyah semakin menghilang di pandangan matanya. Hatinya gembira melihat kecerian yang terpamer di wajah lesu itu. Dengan keceriaan itu, dia tahu Aniyah sudah semakin pulih daripada kemurungan. Namun seketika Mak Cik Bibah mengeluh apabila teringatkan sesuatu.  “Nantilah bagitahu dia.” Perlahan-lahan tubuh tua itu berjalan menuju ke arah dapur.
***
“Mak Cik Bibah,” sapa Aniyah mesra seraya memaut bahu wanita itu. Mak Cik Bibah yang sedang mencedok udang sambal petai sedikit terkejut dengan sapaan itu. Melatah orang itu tanpa disengaja. Aniyah di sisi ketawa kecil melihat reaksi daripada Mak Cik Bibah itu. Aniyah berlalu menuju ke arah meja makan yang terletak di hujung dapur.
“Mak Cik Bibah ni kalau tak melatah memang tak sah!” usik Aniyah seraya mengangkat tudung saji di atas meja. Kelihatan beberapa jenis buah yang sudah dipotong tersusun kemas dalam pinggan. Jambu air! Mata Aniyah bercahaya girang apabila melihat buah kesukaannya. “Ni sayang Mak Cik Bibah ni. Ada buah Niya suka.”
Aniyah segera bangkit dan bergerak menuju ke arah sinki. Pili paip dipulas. Kedua-dua belah tangannya dicuci sebelum kembali semula mengadap buah jambu air di atas meja. Kuah rojak jenama Mak Bee dicedok lalu diletakkan di sisi pinggan.
Mak Cik Bibah tersenyum mendengar kata-kata Aniyah itu. Tersenyum juga melihat reaksi teruja gadis itu. Udang sambal yang sudah dicedok ke dalam mangkuk, dihidang di hadapan anak majikannya. Dia pasti Aniyah mahu makan di sini berbanding di meja makan di ruang makan.
“Sedapnya Mak Cik Bibah buah ni. Beli mana? Jambu madu ker?” Aniyah terus memasukkan sepotong lagi jambu air yang dicecah kuah rojak Mak Bee ke dalam mulutnya.
“Kalau suka makanlah. Memang Mak Cik Bibah simpan untuk Niya. Hanya Niya sahaja yang suka makan buah tu. Orang lain tak berapa suka.”
Aniyah tersengih. Seleranya selalu berbeza dengan ahli keluarganya. Entah kenapa gaya hidupnya banyak terikut-ikut dengan cara Mak Cik Bibah dan suami membuatkan kehidupannya jauh terpesong daripada gaya hidup keluarga kandungnya sendiri.
“Makanlah Niya,” pelawa Mak Cik Bibah seraya meletakkan ikan masak tompayak yang masih berasap di atas meja.
“Jomlah makan sekali,” ajak Aniyah sambil mencapai pinggan kosong.
“Makanlah. Mak Cik Bibah dah kenyang.” Orang tua itu segera menarik kerusi di hadapan Aniyah. Matanya memerhati jari runcing Aniyah mencedok nasi ke dalam pinggan. Hati tuanya mula berdetak tidak enak sebaik melihat jari Aniyah menuju ke arah gulai tempoyak.
“Ikan patin dah habis, Niya. Tadi ada tetamu datang mengejut. Kalau Mak Cik Bibah tahu, Mak Cik Bibah dah suruh Pak Cik Rahman beli lebih ikan patin. Pergi kali kedua, dah habis. Tauke dia pun dah balik. Jadi Mak Cik Bibah buat ikan merah sahajalah,” tutur Mak Cik Bibah lembut persis memujuk hati Aniyah. Dia tahu Aniyah kecewa melihat ikan yang baru disudu.
Aniyah memang kecewa melihat ikan merah yang dikauknya. Namun dia harus akur pada rezekinya hari ini. “Ikan merah pun sedap juga. Niya pun suka ikan ini,” luah Aniyah sambil mengangkat bahagian ekor ikan merah ke dalam pinggannya. “Siapa datang?”
Mak Cik Bibah memandang Aniyah yang sedang mencedok udang sambal petai ke dalam pinggannya. Dia serba salah mahu menjawab pertanyaan Aniyah itu tetapi apabila pandangan Aniyah menuntas padanya, dia akhirnya membuka mulut. “Epul datang makan tengah hari dengan Dani.”
Serta-merta pergerakan Aniyah terhenti. Dia teringat kembali peristiwa yang berlaku di pejabat tadi.
Time dah sampai kat restoran, tiba-tiba bos dapat panggilan. Lepas berbual, terus dia kasi saya duit RM 50 dan suruh saya beli sendiri makanan sebelum dia blah tinggalkan saya!”
“Memang tak guna betullah orang yang buat call tu. Melepas saya nak makan kat restoran mahal tu. Belum pernah saya melangkah ke restoran VIP tu. Eee geram mak tau!”
Segera Aniyah membaca doa makan sebelum memulakan suapannya. “Sedapnya Mak Cik Bibah,” ucap Aniyah sambil memandang Mak Cik Bibah. Ibu jari kirinya di angkat tanda dia suka dengan masakan yang sedang dinikmatinya.
Mak Cik Bibah tersenyum hambar melihat telatah anak majikan itu. Walaupun Aniyah cuba menyembunyikan perasaannya tetapi dia dapat membaca perasaan sebenar yang terbias di alis mata itu. Hati tuanya pilu.
“Esok Mak Cik Bibah masak ikan patin gulai tempoyak untuk Niya, ya,” pujuk Mak Cik Bibah. Tangan tua itu pantas menggenggam erat tangan kiri Aniyah.  Hati tua Mak Cik Bibah belas dengan perasaan yang sedang ditanggung anak majikannya ini. Walaupun Aniyah tersenyum padanya tetapi dia tahu, Aniyah cuba menyembunyikan perasaan sebenarnya.
***
Aniyah tersandar lemah di balik pintu biliknya.  Dia terduduk di balik pintu yang sudah dikunci rapat. Matanya dipejam rapat. Dia berteleku sendirian. Cuba mententeramkan jiwa dan perasaannya yang sarat dengan rasa yang sukar untuk diungkapkan.Terasa satu penyeksaan pada dirinya apabila terpaksa berpura-pura di hadapan Mak Cik Bibah sebentar tadi.
 “Eh sedap ker ikan tu?”
Teguran itu mengingatkan dia kembali pada kenangan yang pernah berlaku di dapur rumah Mak Cik Bibah dan Pak Cik Rahman beberapa bulan yang lalu.  Ketika itu dia sedang enak menjamu masakan gulai tempoyak ikan patin hasil air tangan Mak Cik Bibah.  Namun kemunculan Saiful di muka pintu dapur yang ternganga luas langsung menghilangkan selera makannya.
 Dia memang menyampah dengan lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Epul. Sudah masuk dua hari lelaki itu asyik mengganggu hidupnya semenjak pertemuan di majlis doa selamat penduduk kampung di kampung halaman Mak Cik Bibah. Kebetulan, Mak Cik Bibah dan Mak Andak kepada Saiful merupakan jiran sekampung. Jadi secara tidak sengaja, Aniyah dan Saiful dipertemukan dalam majlis tersebut.
Dah tak ada kerja lain agaknya! Masuk rumah orang dahlah tak bagi salam, kemudian tanpa malu ditarik pula kerusi di hadapan. Gerutu Aniyah geram. Tanpa mengendahkan lelaki di hadapannya, Aniyah terus menyuap nasi ke dalam mulutnya.
“Eee..makan tak ajak orang!”
Aniyah menjuihkan bibirnya. Sibuk je.
“Epul...” Sapaan daripada Mak Cik Bibah yang baru keluar dari bilik air, mengalih tumpuan kedua-dua di meja makan itu.  Aniyah dan Saiful berpaling mengadap ke arah Mak Cik Bibah.
 “Bila sampai?” tanya Mak Cik Bibah. Dia terus mara melangkah ke arah meja makan.
“Baru sahaja. Mak Andak kirim jambu air dan rambutan untuk mak cik. Ada dalam kereta. Banyak sangat. Tak tahu nak letak mana. Tu biar dalam kereta dulu,” terang Saiful tentang tujuan dia ke mari. Namun lebih daripada itu, dia ada hajat yang lain. Hajat itu biarlah hanya dia sahaja yang tahu. Hatinya tersenyum sendirian.
 “Susah-susah sahaja. Hari tu bagi durian. Hari ni jambu air dan rambutan pula. Naik segan mak cik dengan Mak Andak kamu,” keluh Mak Cik Bibah tentang hal yang satu itu. Jiran sekampung itu memang murah hati. Ada sahaja yang ingin diberikan kepadanya jika dia berada di kampung. Kadang-kala dia berasa segan dengan kebaikan jirannya.
“Tak ada hallah  mak cik.  Rezeki yang ada perlu dikongsi dengan orang,” ucap Saiful sambil mengerling ke arah Aniyah.
Aniyah mengetap bibir saat terlihat jelingan penuh makna Saiful kepadanya. Perli oranglah tu!
“Nanti sebelum balik, ambil pisang,” pesan Mak Cik Bibah.  Segan dia jika Saiful pulang dengan tangan kosong.
“Mak Andak kata tak perlu susah-susah bagi barang,” tolak Saiful lembut. Pesanan mak saudara itu masih kukuh di ingatannya.
“Tak ada susahnya.  Memang kamu langkah kanan. Baru tadi pak cik balik dari dusun. Banyak pisang dibawanya. Tak habis dimakan.” Ternyata Mak Cik Bibah bersungguh dengan niatnya untuk memberi. Jadi terpaksalah Saiful bersetuju dengan pemberian orang tua itu.
“Niya tak ajak Epul makan ker?” Tiba-tiba Mak Cik Bibah menyoal Aniyah.
Aniyah termangu ditegur begitu. Ternyata dia tidak bersedia dengan teguran itu. Sudahnya, Aniyah yang mampu mempamerkan sengihan tidak bersalah.
 Bagai mengerti maksud sengihan itu, Mak Cik Bibah segera mendapatkan pinggan sebelum diletakkan di hadapan Saiful.“Mak cik masak lauk kampung sahaja. Tak tahu kamu suka ker tak. Gulai tempoyak ikan patin.  Niya suka sangat lauk ni.”
Segera pandangan Saiful berlabuh di wajah Aniyah. Namun Aniyah buat-buat tidak nampak pandangan itu. Dia meneruskan suapannya walaupun terasa sukar mahu menelan makanan di hadapannya. Kehadiran lelaki itu benar-benar telah membantut selera makannya.
“Kalau kamu tak suka, mak cik boleh masak lauk lain. Bukan semua orang suka makan masakan ini,” tawar  Mak Cik Bibah. Sememangnya tidak semua orang suka ikan patin. Kebanyakkan menolaknya kerana katanya tidak tahan dengan bau dan struktur ikan patin yang lembik serta licin.
“Eh..tak apa mak cik.  Saya memang tak pernah makan. Tapi tak salahkan kalau mencuba!”
            Mak Cik Bibah tersenyum senang hati mendengar kata-kata itu. Pantas tangan tua itu menyenduk nasi ke dalam pinggan Saiful.  Manakala Aniyah mencebik tanda meluat dengan jawapan yang diberikan Saiful.
            Mulut manis!
            “Patutlah Niya tak nak share dengan saya. Sedap rupanya!” ucap Saiful sebaik merasa makanan di hadapannya.
            Cis tak guna punya lelaki. Sempat lagi dia mahu mengenakan aku! Bentak Aniyah geram. Mak Cik Bibah pula ketawa mendengar kata-kata itu.
            Sejak itu, gulai masak tempoyak menjadi kesukaan mereka berdua.
            “Bila awak nak masak untuk saya. Asyik makan masakan dari air tangan Mak Cik Bibah je.”
            Itu kisah setelah mereka berbaik. Semuanya kerana semangat tidak pernah mengalah Saiful mendekati Aniyah yang keras bak batu kelikir dalamannya.
            “Awak sajakan!” marah Aniyah.
            “Awak sajakan?” soal Saiful pelik. Tiba-tiba melenting. Hai susah betul mahu mengerti diri seorang perempuan.
            “Eee...awak ni sengaja nak perli saya ker!!!”
            “La awat ni. Tiba-tiba naik angin. Bendera Jepun berkibar ker?”
            Wajah Aniyah tiba-tiba berasa panas dek menahan malu. Saiful pula terkekeh suka.
            “Bukanlah! Otak kalau tak kuning, memang tak boleh!”
            Saiful ketawa lagi. “Jadi kenapa nak marah pula? Ker awak ni tak tahu masak?”
            Aniyah menggigit bibir. Tekaan lelaki itu memang tepat. Dia mana reti masak! Pegang senduk pun jarang, inikan mahu ‘berkungfu’ di dapur.  Dek tidak dapat menahan rasa malu, Aniyah terus bangkit.
            “Niya..” laung Saiful.
 Aniyah yang baru berkira mahu beredar, tidak jadi berbuat begitu. Dia membeku di tempat dia berdiri. Namun tubuhnya masih lagi membelakangi Saiful.
            “InsyaALLAH kalau awak belajar mesti awak boleh masak sehebat Mak Cik Bibah.”
           Serta-merta Aniyah menoleh ke arah lelaki itu. Pandangannya bercantum dengan pandangan redup lelaki itu. Dia hanya mampu memandang senyuman penuh yakin yang terukir di wajah Saiful. Mulut sudah kelu bersuara.

1 comment: