Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Saturday, December 29, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 29)


Bab 29

Sebaik habis waktu pejabat, Aniyah mengambil kesempatan singgah sebentar di pusat membeli-belah. Banyak barang keperluan peribadinya sudah habis.
“Cik...”
Aniyah tersenyum pada pemuda yang menegurnya sebaik dia tiba di hadapan pintu utama pusat membeli-belah Jusco.
“Syarikat kami sedang membuka kaunter jualan untuk pembelian lot kondominium di tingkat dua,” jelas pemuda itu tentang tujuannya.  Sekeping katalog diserahkan kepada Aniyah.
Aniyah menyambut katalog yang dihulur kepadanya “Terima kasih,” ucap Aniyah sambil melihat muka depan katalog yang tertera wajah kondominium mewah.
“Sama-sama,” balas pemuda itu sambil tersenyum manis. “Kalau cik berminat, cik boleh call saya. Di belakang katalog ada tertera nombor telefon bimbit saya. Saya Zakuan.”
Aniyah langsung membelek bahagian belakang katalog yang berada di tangannya. Memang ada tertera beberapa nombor telefon di situ dan salah satunya memang milik lelaki itu kerana ada tertulis nama Zakuan di hadapannya. “InsyaALLAH,” jawab Aniyah sambil tersenyum memandang pemuda itu. “Saya minta diri dulu,” pinta Aniyah. Pemuda itu membalas senyuman Aniyah sambil mengangguk.                                                                                                                                                                                            
Segera Aniyah menyambung langkahannya. Sambil berjalan, dia membelek katalog yang berada di tangannya. Dia memang ada memasang niat mahu membeli sebuah kondominium untuk dirinya. Itulah cita-citanya jika dia sudah mempunyai pekerjaan yang tetap. Baginya memiliki sebuah kediaman merupakan aset yang sangat berharga untuk masa depan. Cuma kesempatan itu masih belum ada. Dia tiada masa untuk membuat survey kerana terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidupnya semenjak kebelakangan ini. Lantas kehadiran katalog ini bagai seribu rahmat buatnya.
Aniyah melabuhkan punggungnya di atas kerusi kayu. Niatnya untuk membeli barang dilupakan seketika. Dia lebih tertarik dengan katalog yang berada di tangannya. Impian yang satu ketika dahulu hampir dilupakan, kini kembali tergambar di wajahnya.
Dia pernah membayangkan yang satu masa nanti dia akan punya sebuah kediaman. Kediaman itu adalah sebuah kondominium yang dibeli dengan duit gajinya. Dia berangan untuk menghiasnya dengan konsep ringkas tapi nampak ekslusif. Tone warna yang sering mengacah fikirannya adalah kombinasi putih dan ungu gelap. Ya dia sukakan kombinasi warna itu. Satu citarasa yang mungkin pada orang nampak pelik tetapi itulah yang diingininya.
“Ouch..apa neh!! Jalan tak tengok orang ker!!”
Tiba-tiba satu suara bergema. Herdikan itu mengejutkan Aniyah yang sedang khusyuk dengan katalog di tangan.  Pantas Aniyah mengangkat kepalanya
“Eeeee budak kecil ni kan!!!”
Terkejut bukan kepalang Aniyah saat melihat adiknya, Dhaniyah bersama dengan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dalam lingkungan dua tahun sedang duduk di atas lantai bangunan Jusco. Bagai tidak percaya Aniyah dengan apa yang dilihatnya sekarang.
“Mana mak bapak kau! Tahu beranak sahaja. Jaga anak tak tahu!” bentak Dhaniyah kasar.  Matanya  memandang geram ke arah budak kecil yang terduduk di atas lantai bersamanya. Pandangan orang sekeliling yang menjeling ke arahnya langsung tidak diendahkan. Hatinya betul-betul geram dengan budak lelaki di hadapannya. Di sebabkan budak lelaki itu, dia tepelecok jatuh. Habis patah tumit kasut sebelah kanannya. Lebih malang, kasut itu adalah hadiah hari jadi pemberian Saiful kepadanya baru-baru ini. Macam mana dia tidak geram dengan budak tersebut. “Eee....kau neh kan!!!”
“Dani!!” halang Aniyah apabila melihat adiknya itu cuba mahu melakukan sesuatu ke atas budak lelaki yang kini sudah bersembunyi di sebalik tubuhnya. “Dia budak kecil, Dani. Jangan nak buat malu kat sini!” Suara Aniyah perlahan tapi tegas pada adiknya itu.  Mata-mata sekeliling yang memandang ke arahnya membuatkan Aniyah jadi malu dengan kerenah adiknya itu. Namun dia terpaksa menahannya kerana perkara ini melibatkan darah dagingnya.
“Kau sibuk apahal. Ini masalah aku dengan budak tu!” balas Dhaniyah lantang. Langsung tidak ambil peduli reaksi sekeliling. Suara-suara bisikan sekeliling mula kedengaran. Rata-rata persis berbicara tentang kelakuan Dhaniyah.
“Dahla tu. Dia budak lagipun!” bentak Aniyah perlahan sambil matanya mengerling sekeliling. “Jom bangun!” Aniyah menarik lengan adiknya. Dia sudah tidak mampu lagi menanggung malu menjadi bahan tontonan dan bualan orang sekeliling.
“Bodoh, sakitlah!” jerit Dhaniyah sambil memegang tumit kakinya.
Aniyah mengeluh. Tidak tahu pula dia yang adiknya itu mengalami kesakitan pada bahagian itu. Jika tidak, pasti dia tidak melakukan perkara sebegitu. Dengan penuh berhati-hati dia membantu adiknya itu berdiri. Lengan adiknya itu diletakkan di bahunya.
“Mari adik..” Aniyah bersuara mengajak budak lelaki kecil yang berlanggar dengan Dhaniyah agar membuntutinya langkahnya. Dia perasan tiada sesiapa bersama budak kecil itu. Pasti budak tersebut sudah terpisah dengan orang tuanya. Tidak mahu menimbulkan masalah yang boleh membahayakan keselamatan budak itu, Aniyah mengajak si kecil itu mengikutnya.  Nasib baik budak itu akur walaupun dalam ketakutan. Hmm..memang sangat berbahaya budak ini jika dibiarkan sendirian.
“Kau duduk sini. Aku nak pergi hantar budak ni kat kaunter pertanyaan kat tingkat bawah.”
Dhaniyah diam membisu di atas kerusi kayu. Kata-kata Aniyah langsung tidak diambil peduli. Dia memegang bahagian tumit kakinya yang tercedera.
Tanpa mengendahkan reaksi adiknya itu, Aniyah segera memimpin anak kecil itu menuju ke arah kaunter pertanyaan. “Mama dan papa mana?” Sempat dia bertanya soalan itu pada budak kecil itu.
“Ngah...”
Aniyah agak tersentap mendengar jawapan budak kecil itu. Lantas dia memberhentikan langkahnya. Dia duduk mencangkung di hadapan kanak-kanak itu. “Mana mama dan papa?” soal Aniyah lagi. Dia agak kurang jelas dengan butir percakapan kanak-kanak itu yang kedengaran agak pelat.
 “Ngah..” balas si kecil itu dengan jawapan dan intonasi yang serupa.
Ngah??? Berkerut dahi Aniyah cuba memikirkan jawapan yang diberi si kecil itu.   
Aniyah mengusap rambut si kecil itu. Entah siapalah gerangan yang dimaksudkan budak di hadapannya ini, dia sendiri tidak pasti. Aniyah mengeluh. Langkahnya kembali di atur menuju ke kaunter pertanyaan yang terletak di tingkat bawah. Tangan si kecil itu dipimpin.
“Lon....lon....lon..” Suara Kanak-kanak itu penuh teruja sambil menunding jari ke arah belon yang dipegang seorang badut. Aniyah tersenyum melihat gelagat si kecil di sebelahnya. Dia pantas memimpin si kecil itu ke arah badut yang sudah dikerumuni ramai kanak-kanak dan ibubapa.
“Terima kasih,” ucap Aniyah sebaik badut itu menyua belon kepada si kecil yang berada di sampingnya.  Badut tersebut tersenyum sambil menunjukkan tanda bagus. Kemudian badut tersebut mengalih tumpuannya pada ‘peminatnya’ yang lain.
“Ya cik, boleh saya bantu?” tanya pekerja di kaunter pertanyaan sebaik Aniyah tiba di sana bersama dengan budak kecil itu.
Aniyah pantas memberitahu pekerja di kaunter tersebut tentang kehadirannya.
“Oh. Memang ada orang cari budak lelaki di sini. Saya mungkin orang itu penjaga kepada anak kecil ini. Tunggu sekejap, ya. Saya buat panggilan sebentar.”
Aniyah menarik nafas lega. Dia mengangguk. Pantas dia menarik kerusi di hadapan kaunter. Tubuh si kecil ditarik duduk di atas ribanya. Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Pantas Aniyah menarik zip beg tangannya. Tertera nama adiknya di skrin telefon.
“Oii cepat sikitlah.  Ko ingat aku ni patung ker kat sini. Ko nak tunggu kaki aku bengkak baru nak datang selamatkan aku ker??”
Aniyah mengetap bibirnya. Geram betul dia mendengar suara kasar adiknya itu. “Tunggulah sekejap!”
“Kau nak tunggu aku mampus baru nak datang ker?”
Ah budak ni kan!
“Yalah. Kau tunggu kat situ!” putus Aniyah. Talian dimatikan. Hai tak boleh bersabar sikit.
            “Lama lagi ker, cik?” soal Aniyah kepada pekerja di hadapannya sebaik pekerja itu meletakkan gagang telefon di tempat asalnya.
            Pekerja itu tersenyum. “Sekejap sahaja. Orang tu dah ada di aras ni.”
            Sekali lagi Aniyah menarik nafas lega. Kepala si kecil dibelai lembut. Satu ciuman dihadiahkan di sisi kiri kepala kanak-kanak itu. Tiba-tiba, matanya beradu pandang dengan sepasang mata yang seakan terpaku memandang ke arahnya.

No comments:

Post a Comment