Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Thursday, November 22, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 15)


Bab 15


“Eh dah sihat ker?” tegur Mak Cik Bibah agak terkejut saat terpandang sekujur tubuh Aniyah yang sudah lengkap berpakaian kerja.

            Aniyah tersenyum seraya berjalan menuju ke muka pintu. “Dahlah Mak Cik Bibah. Jangan risaulah.”

            “Tapi tadi Epul ada telefon Mak Cik Bibah. Katanya dia dah ambil cuti kecemasan untuk Niya!”
            Langkah kaki Aniyah mati.  Dia benar-benar terkejut menerima perkabaran itu. Pantas, dia berpaling mengadap Mak Cik Bibah. “Siapa cakap Niya sakit?” marah Aniyah. Tanpa disengaja suaranya meninggi. Sebetulnya bukan dia marah pada Mak Cik Bibah tetapi dia marah pada tindakan lelaki bernama Saiful yang pandai-pandai mengambil cuti kecemasan untuknya. Tahulah bapak dia yang punya syarikat tapi itu bukan bererti dia boleh buat keputusan ke atas semua perkara!
            Mak Cik Bibah agak tersentak mendengar suara Aniyah itu. “Eee..Mak Cik Bibah minta maaf.  Semalam masa Mak Cik Bibah keluar dari bilik Niya, Epul datang jumpa Mak Cik Bibah kat dapur. Dia tanya keadaan Niya. Jadi Mak Cik Bibah cakaplah yang Niya tak sihat.  Demam.  Batuk.  Selesema,” jelas Mak Cik Bibah tentang duduk perkara sebenar.
            Keluhan terlontar dari mulut Aniyah. Dia tidak tahu apalagi dia mahu bercakap. Lantas dia mengatur semula langkahnya menuju ke arah muka pintu.
            “Niya tak nak makan dulu?” tanya Mak Cik Bibah masih takut-takut. Dia bukan terasa dengan bicara Aniyah sebentar tadi. Sebetulnya, hati tuanya tidak sedap dengan perlakuan mendadak Aniyah. Aniyah tidak pernah sebegitu apabila berhadapan dengannya.
            Aniyah menggeleng laju. “Niya dah lambat, Mak Cik Bibah. Makan kat opis ajelah,” ucap Aniyah sebelum menyarung kasut. Namun dia teringat sesuatu. Dia terlupa membuat sesuatu yang sudah menjadi kebiasaannya. Lantas dia menanggal semula kasutnya.  Dia berjalan masuk semula ke dalam rumah. “Niya pergi dulu ya. Maafkan Niya. Bukan niat Niya nak naik suara pada Mak Cik Bibah. Niya sayang Mak Cik Bibah.” Pantas pipi tua Mak Cik Bibah dikucup sebelum tangan tua itu disalamnya.
            Tersentuh hati Mak Cik Bibah dengan perlakuan Aniyah. Namun hatinya gusar. “Niya...”
            Panggilan itu membuatkan Aniyah yang sudah berpaling membelakangi Mak Cik Bibah, kembali memandang wajah tua yang berwajah bimbang itu.
“Sejuk sangat tangan Niya. Niya demam, nak.”
            Aniyah tersenyum menyambut kata-kata Mak Cik Bibah yang berbau kerisauan itu. “Mak Cik Bibah janganlah bimbang. Niya okey. Niya pergi dulu.” Aniyah terus melangkah keluar.
            “Niya pergi naik apa tu?” laung Mak Cik Bibah di muka pintu apabila melihat Aniyah sudah berjalan kaki menuju ke arah muka pintu pagar.
            “Apa-apa pun boleh, Mak Cik Bibah. Janji sampai pejabat,” balas Aniyah tersenyum. Tangannya melambai mesra ke arah Mak Cik Bibah yang makin dilanda kerisauan. Mak Cik Bibah benar-benar gusar melihat bayangan Aniyah yang sudah melepasi pagar rumah.
            Kring..kring... Jeritan telefon membuatkan Mak Cik Bibah terpaksa melepaskan Aniyah dari pandangan matanya. Ya ALLAH selamatkan dia. Doa Mak Cik Bibah sebelum berlari mendapatkan telefon yang sedang galak berbunyi

No comments:

Post a Comment