“Wan..” Kaget Pak Cik Jali saat menyambut kehadiran
Syazwan di muka pintu rumahnya. Nurin juga begitu.
Mimpi apa lelaki ini? Tiba-tiba
muncul. Ingatkan dah mampus sejak dua minggu lalu. Gumam Nurin
dengan gigi berlaga. Hatinya sakit mengenangkan tindakan lelaki itu
menghilangkan diri tanpa sebarang jejak. Jenuh dia mengutus pesanan ringkas dan membuat
panggilan bagi memaklumkan tentang Akif. Malangnya satupun tidak mendapat balasan.
“Kamu sihat?” soal Pak Cik Jali sambil matanya
tidak lepas memandang wajah sugul di hadapannya. Belas hati tuanya.
Terbit
senyuman kecil di wajah Syazwan. “Alhamdulliah, pak cik. Pak cik sihat?”
soal Syazwan penuh hormat.
Pak
Cik Jali tersenyum sambil mengangguk. “Alhamdulliah sihat, nak.”
Suasana
bertukar hening ketika Nurin datang mendatang minuman. “Minumlah. Tak ada apa
nak angkat. Sekadar ini aje yang ada,” pelawa Pak Cik Jali mesra.
Syazwan
mengangguk. Namun tidak menurut pun.
Wajah tua Pak Cik Jali ditatap penuh rasa bersalah. Dua minggu dia menyepi,
mencari kesahihan pada apa yang terjadi. Akhirnya, pencariaan
berakhir. Kini dia kembali demi maruah dan harga diri.
“Maafkan
saya, pak cik. Saya tak sangka yang selama ini hidup pak cik sekeluarga
terseksa. Selama ini saya terlalu percayakan
kedua orang tua saya. Saya percaya bahawa
segala yang berlaku dalam kehidupan abang kembar saya berpunca daripada
keluarga pak cik,” luah Syazwan dengan suara yang dalam dan serak. Perasaan
bersalah mengasak nalurinya. Kepalanya
tertunduk lewat percakapannya. Air matanya
bergenang. “Saya sangka keluarga pak cik
yang menjadi angkara kematiaan abang saya. Saya juga sangka keluarga pak cik
yang menjadi punca Akif terpisah daripada keluarga saya. Lantas saya nekad mahu
membalas dendam,” luah Syazwan penuh kekesalan. Wajah Pak Cik Jali di hadapan
dipandang penuh rasa bersalah.
Pak
Cik Jali sebak melihat keadaan Syazwan. Belas
hatinya melihat wajah mendung dan kesal
yang tergarik di wajah pemuda itu. Pantas dia menepuk bahu pemuda itu. Syazwan
tersenyum pilu.
Sementara
Nurin yang duduk diam di sebelah kanan Pak Cik Jali hanya mampu mengeluh
kecewa. Dia tidak sangka itu sebenarnya motif lelaki itu hadir dalam hidup
keluarganya. Demi dendam yang membusung
di hati, lelaki itu sanggup memprolokkan maruah keluarganya, berlakon baik
semata-mata mahu menutup motif sebenarnya.
Dia benar-benar kecewa dengan
berita ini.
“Maafkan
saya, pak cik. Demi ALLAH, saya tidak tahu tentang hal sebenarnya sehinggalah
ALLAH menemukan saya dengan kenyataan yang sebenarnya. Saya kecewa dengan kedua
orang tua saya,” rintih Syazwan lagi dengan penuh rasa kekesalan. Dia malu dan
kesal dengan sikapnya yang membuta tuli menyimpan dendam terhadap keluarga di
hadapannya tanpa menyelidiki terlebih
dahulu kisah sebenar yang telah terjadi. Kini dia tertunduk malu di hadapan keluarga
yang satu ketika dahulu pernah dipandang jijiknya.
“Mungkin sebab itulah ALLAH tidak memakbulkan doa saya sebelum ini. Tidak mahu
saya bertemu dengan Akif dan keluarga pak cik. Bila saya sudah putus asa,
tidak mahu lagi mencari, DIA mengatur pertemuaan saya dengan Akif dan keluarga
pak cik,” rintih Syazwan lagi.
“Sudahlah, apa yang terjadi ada hikmahnya. Pak cik dah lama redha dengan apa
yang berlaku. Pak cik dah anggap semua
ini sebagai takdir ALLAH untuk perjalanan hidup pak cik di muka bumi ini,”
tutur Pak Cik Jali seraya menepuk bahu anak muda itu lagi.
Syazwan menuntas pandangannya ke dalam anak mata Pak Cik Jali. Dia dapat
merasakan keikhlasan di bening mata tua itu. “Terima kasih pak cik,” ucap
Syazwan lantas memeluk kejap tubuh kurus Pak Cik Jali. Air mata lelakinya mengalir di bahu tua itu.
Dia tidak kisah andai maruahnya dipandang rendah hanya kerana air mata yang
mengalir. Biarkan, asalkan dosanya terampun.
Nurin
mengalih pandangan matanya. Dia cuba membendung perasaannya. Dia tidak mahu
tewas dengan perasaan simpatinya.
“Pak Su!!!!!”
Jeritan itu pantas menyentak tumpuan mereka
bertiga. Nurin pantas berlari ke arah suara itu.
“Pergilah. Akif terlalu rindukan Pak Sunya," ucap Pak Cik Jali kepada
Syazwan sambil menepuk lembut bahu pemuda itu. Seulas senyuman sempat
dihadiahkan buat pembakar semangat pada anak muda itu.
Syazwan
memandang Pak Cik Jali dengan rasa terharu. Perlahan-lahan dia mengangguk.
Tanpa membuang masa, dia terus mengorak langkah mendapatkan si kecil yang
sangat dirinduinya. Dua minggu terpisah bagaikan satu penyeksaan buatnya.
Dia terlalu rindu ingin bertemu dengan
si kecil itu. Keadaan yang berlaku membuatkan dia dilema untuk bertemu Akif. Dia tak punya kekuatan untuk berhadapan dengan
keluarga ini setelah kebenaran terbentang di hadapannya.
“Pak Su..Pak Su..” Rintihan itu
menghantar rasa hiba di dada Syazwan yang kini sudah berdiri di hadapan pintu
bilik. Hatinya pilu melihat keadaan Akif sedang meracau-racau di atas katil.
“Ssh..Mak Su ada sayang.” Nurin berusaha memujuk anak kecil itu. Hatinya sebak
melihat keadaan Akif. Air matanya yang
mengalir, disapu dengan tangan kiri sambil sebelah lagi tangannya cuba memujuk
anak itu. Namun ternyata tidak berhasil. Akif terus menjerit, memanggil Pak
Sunya.
Makin hiba hati Syazwan melihat keadaan tersebut.
Lantas dia mengatur langkah merapati katil. Dia melutut di sebelah kiri katil.
Pandangannya menuntas pada Akif yang masih tidak henti-henti memanggil namanya.
Hatinya makin disagat pilu. Perlahan-lahan tangan sasanya menyentuh kepala si
kecil. “Akif, Pak Su datang..” seru Syazwan lantas menghadiahkan ciuman di dahi
si kecil itu. Setitis air matanya menitis di situ.
Serta-merta suara Akif mati. Dengan serta-merta juga, kedua-dua belah kelopak mata si kecil itu terbuka. “Pak Su...” Akif tenggelam dalam pelukan Syazwan. “Pak Su jangan tinggal Akif lagi,” tangis Akif di dada Syazwan.
Serta-merta suara Akif mati. Dengan serta-merta juga, kedua-dua belah kelopak mata si kecil itu terbuka. “Pak Su...” Akif tenggelam dalam pelukan Syazwan. “Pak Su jangan tinggal Akif lagi,” tangis Akif di dada Syazwan.
Nurin pantas mengalih matanya ke
arah lain. Dia tidak sanggup melihat keadaan Akif.
“Pak
Su tak pergi mana-mana Akif. Pak Su sayang Akif,”
“Pak Su janji tau?” pinta Akif sambil mendongak
ke arah Syazwan.
Syazwan mengangguk
seraya menarik tubuh itu kembali ke dalam dakapannya.“Janji sayang,” janji
Syazwan bersama tekad untuk tidak meninggalkan kanak-kanak itu lagi.
Nurin yang sudah tewas melawan air matanya yang galak mengalir, segera
meninggalkan tempat itu. Dia tidak betah
berada lama di situ. Dirinya semakin tidak kuat berhadapan dengan rintihan Akif
yang terlalu meruntum hati wanitanya.
***
Semenjak
kejadian itu, hubungan Syazwan dengan ahli keluarga Pak Cik Jali semakin rapat.
Dia sering menghabiskan masanya di rumah
papan dua tingkat keluarga itu. Masanya banyak diperuntukkan bersama dengan
Akif yang begitu manja dengannya.
Sudah
menjadi rutin hariannya, dia akan menjadi rakan sepermainan Akif apabila berada
rumah itu. Meraka selalu menghabiskan
masa bersama dengan bergusti, bermain bola, komputer, kereta mainan dan
kejar-kejar.
Sesekali,
Syazwan juga turut menghabiskan masanya bersama dengan Pak Cik Jali. Dia senang
mengikut lelaki tua itu ke kebun untuk menebas lalang atau paling tidak pun menyapu daun-daun kering yang berguguran di
lantai tanah. Jika ada pokok yang mengeluarkan buah, dia tidak kekok untuk
memegang galah mahupun memanjat dahan pokok. Suatu pengalaman yang cukup
bermakna buatnya.
Manakala
hubungannya dengan Nurin masih dingin. Nurin masih dengan wajahnya yang beku
setiap kali bersua muka. Mulutnya persis berisi mutiara, payah untuk dibuka.
Memang sukar untuk mendengar bicara gadis yang bertudung litup itu. Kalau
berbicara pun sekadar perlu sahaja. Itupun banyak menggunakan Pak Cik Jali
mahupun Akif sebagai perantaraan.
Masih
berdendamkah wanita itu padanya? Itulah persoalan yang seringkali menghantuinya
tatkala melihatkan layanan Nurin padanya.
Namun
Syazwan tetap bersyukur. Walaupun wanita itu nampak dingin dengannya tetapi Nurin
tetap boleh bertolenrasi dalam hal yang membabitkan Akif. Kalau dahulu agak
sukar untuk wanita itu mengikut serta dalam aktiviti yang membabitkan dia dengan
Akif walaupun dipaksa sekalipun. Namun kini, segala-galanya telah berubah.
Nurin kini sudah boleh dibawa berbincang. Cuma itulah, dinginnya sedingin puteri salju.
Entah sampai bilalah kedinginan itu akan cair, dia sendiri tidak pasti. Hati Nurin terlalu keras sekeras batu kelikir.
Barangkali ada dendam yang masih
tersimpan di lubuk hati kecilnya.
***
“Jemput minum,”
pelawa Nurin sebelum berlalu.
Syazwan
tersenyum. Walaupun Nurin agak diingin dengannya tapi wanita itu tetap
menghormatinya sebagai tetamu. Malahan kekerapan bertemu tanpa sengaja
membuatkan dia mula dapat melihat figura sebenar wanita itu. Di situ dia dapat menilai watak sebenar gadis
itu.
Nurin
sebenarnya seorang yang baik. Cuma wanita itu seorang yang agak tegas. Dia
seorang yang berpendirian dan berani berdiri atas pendiriannya. Teringat saat
pertemuan yang pertama satu ketika dahulu, dia harus akur pada sifat gadis yang
satu ini. Memang jauh berbeza dengan sifat kembarnya yang mudah mengalah.
Namun
ketegasan wanita itu mudah luntur apabila melibatkan hal keluarga. Dia dapat
melihatnya sendiri walaupun gadis itu cuba menyembunyikannya. Air mata Nurin
cepat mengalir walaupun cuba ditahan.
Jelas, jiwa yang seteguh Nurin akan rapuh saat melihat ahli keluarganya
berada dalam keadaan sedih. Padanya
Nurin ialah seorang gadis yang nampak keras di luar tapi dalamnya sangat rapuh.
“Pak Su! Pak Su!” Panggilan Akif menghentikan
lamunan Syazwan. Syazwan tersentap. Terus
matanya memandang ke arah anak kecil yang sedang memuncung tajam ke arahnya.
“Pak Su ni kenapa? Akif panggil tak dengar.
Asyik pandang Mak Su je!” rungut Akif tidak puas hati sambil berpeluk tubuh.
Syazwan termangu dengan teguran itu. Matanya tidak berkelip memandang ke arah wajah
Akif yang kelat merenungnya. Sesaat itu juga pandangan matanya bersatu dengan
mata Nurin. Mereka bagaikan terpaku seketika. Namun Nurin pantas beralih
tumpuan. Dia kalut mengemas buku-buku latihan pelajarnya sebelum bergegas
meninggalkan tempat itu.
“Kenapa ni?” tegur Pak Cik Jali pada cucunya
ketika baru keluar dari bilik. Kopiah di atas kepala dibetulkan.
“Pak
Su ni, asyik pandang Mak Su je! Akif panggil pun tak dengar,” adu Akif pada Pak
Cik Jali.
Pak
Cik Jali sudah tergelak kecil “Akif cakap apa?” soal Pak Cik Jali dengan
senyuman penuh makna. Matanya sempat meleret ke arah Syazwan sebelum
kembali semula ke arah Akif.
“Pak Su asyik pandang Mak Su. Akif panggil pun
tak dengar!” ngadu Akif lagi buat sekian kali. Ternyata aduan si kecil itu
membuatkan Pak Cik Jali ketawa besar. Bibirnya tersungging senyuman penuh makna.
***
“Boleh saya bercakap dengan Encik Syazwan?”
“Ya
saya bercakap,” jawab Syazwan penuh perasaan hairan. Suara di hujung
talian tidak pernah didengari.
“Saya
harap Encik Syazwan akan bersabar dengan berita yang akan saya sampaikan nanti,”
seru suara garau itu membuat dada Syazwan berdetak tidak enak.
“Saya
dari pejabat kedutaan Ireland ingin melaporkan bahawa Encik Ahmad dan Puan
Suria terlibat dalam kemalangan jalan raya di sini. Kedua-duanya disahkan
meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.”
“Ya
ALLAH!” ucap Syazwan terkejut. Khabar berita yang baru diterima itu benar-benar
mengejutkannya lantas membuatkan tubuhnya seperti tidak berpijak di bumi nyata.
Kepalanya berpinar. Pandangannya bertukar kelam dan akhirnya dia rebah di atas
lantai.
“Wan!”
pekik Pak Cik Jali membuatkan Nurin dan Akif yang berada di luar rumah berlari
masuk. Serta-merta Nurin terkaku di depan pintu rumah saat terlihat susuk tubuh
Syazwan yang terdampar di atas lantai.
***
“Sudahlah,
Rin. Benda yang lepas, jangan dikenang. Sampai bila-bilapun dendam takkan terlerai
kalau terus teringatkan kisah lama. Jadilah manusia yang lebih dewasa dan
matang dalam bertindak. Jangan terlalu
ikutkan hati, kelak binasa jadinya,” nasihat Pak Cik Jali lembut. Matanya tunak
memandang anak gadisnya yang sedang menidurkan si kecil Akif yang tadinya tidak
henti-henti menangis sejak ketiadaan Syazwan. Kini Syazwan dalam perjalanan ke
Kuala Lumpur bersama dengan rakannya.
“Lagipun
Wan tak bersalah dalam hal keluarganya. Dia
hanya tersasar sahaja. Kalau ayah di tempat dia pun ayah akan bertindak begitu.
Pada siapa lagi kalau kita nak percaya kalau bukan pada orang tua kita.
Tambahan pula dalam situasi Syazwan yang merantau ke negara, tentulah kekangan
masa dan jarak membatasi dia untuk mendapat sumber lain selain daripada
kedua-dua orang tuanya,” tokok Pak Cik Jali cuba menyedarkan Nurin. Dia mahu
anak gadisnya ini lebih rasional dalam bertindak.
“Ayah
dah lupa ker apa yang orang tua dia dah buat pada kita?” soal Nurin tanpa mengangkat
wajah. Pandangan matanya masih tertumpu
pada Akif yang lena di atas ribanya.
Pak
Cik Jali tersenyum. Masakan dia boleh lupa kisah yang pernah terjadi dalam
keluarganya. Kisah yang mana dia bukan
sahaja kehilangan isteri tercinta, malahan anak dan menantunya juga.
Malahan
kerana kisah itu, dia sekeluarga dicemuh masyarakat luar yang tidak mengetahui
kisah sebenar. Bukan dia prejudis tapi
hakikatnya masyarakat luar lebih percaya pada khabar angin yang bertiup
berbanding cerita sebenar. Masyarakat luar menganggap dia sekeluarga yang
bersalah hal ini. Pelbagai caci maki diterimanya. Memang perit dan sakit apabila
maruah diri dan keluarga diperlekeh tak ubah seperti sampah. Jijik lagi
menghinakan. Namun dia tidak salahkan masyarakat luar kerana ketika itu dia
sendiripun tiada bukti untuk membuktikan bahawa keluarganya tidak bersalah.
Lantas,
dia bersetuju untuk berhijrah bersama satu-satunya harta yang ditinggalkan
isterinya iaitu Nurin. Kebetulan ketika
itu Nurin mendapat tawaran berkhidmat di sekolah yang jauh dari masyarakat yang
tidak lagi menghormati dirinya. Bukan dia mahu melarikan diri tetapi
baginya biarlah masa sahaja menjadi penentu segalanya kerana dia tahu ALLAH
sentiasa bersama orang yang benar.
Alhamdulliah
ternyata ALLAH tidak pernah menghampakan hambaNYA. Segala-galanya terungkai
sebaik mahkamah mengesahkan bahawa arwah isterinya tidak bersalah berdasarkan
bukti-bukti yang dijumpai Nurin. Waktu
itu dia hanya mampu mengucap syukur pada ALLAH atas pengadilan yang diberi.
Walaupun
sudah terbukti tidak bersalah, dia tetap mahu tinggal di sini. Bukan dia
berdendam dengan masyarakat di tempat asalnya tapi dia sudah berasa selesa
hidup di sini. Masyarakat di sini menerimanya dengan seadannya.
“Berdendam
akan membuatkan hidup kita akan terus dalam keadaan tidak tenang. Biarlah ALLAH
sahaja yang membalasNYA. Kalau kita
terus menghukum, kita sendiri rasa terhukum. Kita akan sentiasa dalam
kesakitan. Seronok ker?”
Nurin
tertunduk lewat percakapan ayahnya itu. Sememangnya itulah yang dia
rasakan. Dendam yang membalut hatinya sebenarnya sedikit sebanyak
telah mencantas ketenangannya.
Pak
Cik Jali bangkit. Kopiah yang terletak di atas meja, dicapai lalu
dipakai. “Ayah nak solat. Lepas ni, ayah nak bertolak ke Kuala Lumpur. Kalau kamu tak nak ikut, ayah pergi naik bas.”
Segera Pak Cik Jali melangkah pergi meninggalkan Nurin yang termangu di tempat duduknya.
****
Masuk
hari ini, sudah hampir seminggu Nurin berada di rumah agam milik keluarga
Syazwan. Semalam, hari terakhir majlis
tahlil dilakukan. Orang yang paling gembira berada di sini tentulah Akif kerana
tidak perlu berjauhan dengan Pak Sunya.
Nurin
bersandar di belakang sofa yang sedang didudukinya sementara menunggu
kepulangan Syazwan, Akif, dan ayahnya
dari kubur. Dia tidak dapat ikut serta disebabkan keterbatasannya sebagai
seorang wanita.
Mata
Nurin mula menyoroti segenap ruang rumah agam ini. Allahuakbar.
Semuanya cukup mewah. Pasu bunga
yang dijadikan perhiasan di atas meja pun sudah terasa mahal harganya. Belum
lagi dihitung perhiasan lagi. Keadaan ini sungguh jauh berbeza dengan keadaan
rumah keluarganya.
Harta
adalah sebahagian daripada dugaan ALLAH pada hambaNYA. Semoga harta yang kita miliki
bukan bersifat istiraj yang menjauhkan diri kita daripada ALLAH. Nauzubillah
min zalik. Maka pergunakan harga
tersebut di jalan yang diredhai ALLAH. Ingatlah apabila seorang manusia
meninggal dunia, maka putuslah amalannya, kecuali tiga perkara: Sedekah
jariahnya, ilmu yang memberi manfaat dan juga doa daripada anak yang soleh.
Kata-kata
daripada seorang ustaz yang berceramah di kaca televisyen kembali teringang-ingang
di telinga Nurin. Lantas dia beristighfar dan memohon perlindung daripada
ALLAH agar melindungi dia dan keluarganya dari ditimpa musibah kemewahan dunia.
Bunyi deruman enjin kereta di luar rumah, mematikan lamunan Nurin. Dia pantas
bangkit dan bergerak menuju ke arah pintu gelongsor. Di sebalik
tirai, dia dapat melihat kereta milik Syazwan terletak elok di garaj. Lantas, Nurin meneruskan langkah menuju ke arah
pintu papan yang berukir cantik. Tombol pintu yang berkunci, dipulas.
“Mak Su,” tegur Akif riang. “Akif pergi kubur tok dengan tok wan,” cerita Akif
membuatkan Nurin tersenyum menyambut si kecil di hadapan pintu.
“Kamu masak apa? Sedap bau,” sela
Pak Cik Jali sambil menanggalkan selipar di kakinya.
“Lauk kampung je,” balas Nurin sambil
menyambut jug dari tangan ayahnya. “Nak makan sekarang ker?”
“Ayah nak rehat dululah. Kamu makanlah
dengan Akif dan Wan. Ayah penat,” jawab
Pak Cik Jali melangkah masuk ke dalam rumah. Dia memang kepenatan. Sudah
seminggu dia kurang rehat kerana sibuk membantu menguruskan jenazah dan majlis
tahlil untuk kedua-dua arwah besannya. “Akif, mari mandi dengan atok,” ajak Pak
Cik Jali yang sudah pun berada di ruang tamu.
“Akif nak mandi dengan Pak Su,” balas Akif yang masih bersama dengan Nurin di
depan pintu rumah. Pak Cik Jali tidak berkata apa. Dia terus menghayun
langkahannya.
****
“Akif,
panggil Pak Su makan,” arah Nurin sambil mencedok nasi ke dalam pinggan. Dia
kembali semula ke dapur dengan mangkuk kosong.
“Pak
Su, Mak Su panggil makan,” jerit Akif di meja makan lantas menganggu tumpuan
Nurin di sinki dapur. Bertuah punya budak.
“Pak
cik mana?” tanya Syazwan pada Nurin sebaik menarik kerusi di sebelah Akif.
“Ayah
berehat. Dia suruh makan dulu,” jawab Nurin
sambil membantu Akif makan.
“Tak
makan sekali ker?” tegur Syazwan apabila melihat tiada nasi di hadapan Nurin.
Nurin
menggeleng sebagai menjawab pertanyaan Syazwan. Matanya masih tidak terkalih
dari memberi tumpuan pada Akif yang sedang enak menikmati juadah tengah hari.
Suasana
bertukar hening apabila masing-masing dengan hal sendiri. Syazwan dengan
fokusnya pada hidangan tengah hari. Manakala Nurin masih setia melayan selera
Akif.
“Makan
elok-elok, Akif,” tegur Nurin apabila melihat Akif mula bermain dengan nasi di
hadapannya.
Teguran
itu ternyata menarik tumputan Syazwan. Sorotan matanya menuntas pada Nurin dan Akif
di hadapannya. Dia tersenyum melihat wajah sembap Akif.
“Mak
Su bukan marah Akif. Mak Su tegur je. Cepat makan, sayang. Akif budak baikkan?
Nak cepat besarkan?”
“Besar
macam Ultraman!!” sambut Akif kembali ceria. Gaya Ultraman dipertontonkan di
meja makan.
“Yalah,
macam Ultraman. Cepat makan ya?” Akif mengangguk lantas meneruskan suapannya.
Saiful
tersenyum melihat kejadian itu. Hati
lelakinya senang melihat kemesraan yang terjalin antara Nurin dan Akif. Seronoknya jika dia dapat turut serta. Turut
serta? Dadanya berkocak dengan tidak semena-mena. Jauh betul angannya.
“Pak
su?”
Syazwan
tersentak. Lantas dia memandang Akif di depannya.
“Kenapa
Pak Su suka pandang Mak Su?” tegur Akif tanpa berselindung.“Pak Su suka Mak Su
ya? Atok cakap kalau selalu pandang orang tu maknanya kita suka dia,” sela Akif
berterus-terang.
“Er..”
Tidak terdaya Syazwan untuk membalas kata-kata si kecil itu. Mati kutu jadinya.
“Akif
nak makan lagi tak?” tanya Nurin cuba mengalih suasana perbualan.
Akif
menggeleng. Nurin menarik nafas lega. Itulah yang dia harapan. Lantas dia
bangun bersama pinggan di tangan. Akif ikut serta bangun. “Nanti Akif bagitahu
kat atok, Pak Su suka kat Mak Su,” ucap Akif sebelum melangkah mengikut Nurin
ke dapur.
“Akif jangan cakap apa-apa kat atok, ya
sayang,” pinta Nurin sambil membantu anak kecil itu membasuh tangan.
“Cakap apa tu ya, Akif?” sela satu suara mengejutkan Nurin. Akif berlari
mendapatkan Pak Cik Jali.
“Ha..ayah
dah bangun..nak makan ker?” Tergagap Nurin menegur Pak Cik Jali.
“Tak
lena pula,” jawab Pak Cik Jali seraya mendukung Akif. Pada waktu yang sama, Syazwan datang sambil
membawa pinggan di tangan. Dia agak tersentak dengan kehadiran Pak Cik Jali.
“Makan
pak cik?” pelawa Syazwan pada Pak Cik Jali.
“Sekejap
lagi lah.” Pak Cik Jali memandang cucunya. “Tadi Akif nak cakap apa dengan
atok?” soal Pak Cik Jali pada anak kecil itu. Nurin dan Syazwan mula tidak
senang.
Akif
memandang wajah Nurin. “Mak Su cakap jangan bagitahu atok.”
Nurin
sudah tidak senang duduk apabila namanya disebut.
“Tak
baik tau sembunyi daripada atok. Akif tak sayang atok,ya?”
Kepala
Akif menggeleng. “Sayang. Akif sayang atok macam Pak Su sayang Mak Su.”
Pak
Cik Jali termangu seketika sebelum dia ketawa. “Mana tahu?”
“Pak
Su suka pandang Mak Su. Tadipun.”
Makin
kuat ketawa Pak Cik Jali kedengaran. Dia mengerling ke arah Syazwan dan Nurin
silih berganti. Dapat dilihat
ketidakselesaan kedua-duanya. Dia tersenyum. Doanya semoga ALLAH memberi yang
terbaik untuk kedua-duanya. Andai sudah tertulis di Loh Mahruf, Syazwan adalah
jodoh Nurin, dia terima. Baginya kisah yang pernah berlaku pada anak sulungnya
bukanlah halangan untuk menyekat dirinya daripada menerima menantu dari
keturunan yang sama. Padanya jodoh dan maut adalah milik ALLAH. Lagipun dia
sudah lama jatuh cinta dengan keperibadian Syazwan.
***
“Saya
minta maaf..”
Nurin
termangu. Pantas dia menoleh ke
belakang.
“Saya
minta maaf,” ucap Syazwan sekali lagi. Kali ini secara berhadapan dengan Nurin.
“Untuk
apa?” balas Nurin kembali tersedar. Dia
pantas menyambung semula kerja memotong ranting pokok bunga kertas di
hadapannya.
“Saya
tahu saya bersalah pada awak. Saya tahu awak masih marah pada saya.”
Nurin diam membisu. Tangannya terus lincah
mencantas ranting pokok bunga kertas di hadapannya.
Syazwan kecewa. Dia meraup wajahnya. Walaupun
dia tahu dia akan berhadapan dengan situasi ini tetapi rasa kecewa masih jua
mendatanginya. Namun dia tidak mahu berputus asa. Dia yakin Nurin boleh
memaafkannya. “Maafkan saya,” rayu Syazwan.
“Buat apa awak minta maaf dengan saya, awak
bukan buat salah dengan saya pun,” balas Nurin acuh tak acuh. Ranting kayu
dikutip lalu dimasukkan ke dalam beg plastik hitam sebelum bergerak ke arah
pokok bunga ros.
“Saya tahu awak masih marahkan saya. Masih
berdendam dengan saya,” tutur Syazwan sambil memandang ke arah Nurin yang
sedang membersihkan pasu bunga ros. “Saya betul-betul minta maaf atas apa yang
sudah berlaku. Saya harap awak dapat maafkan saya.”
Tiada reaksi balas daripada Nurin. Gadis itu
membeku persis tidak mendengar sebarang kata daripada Syazwan.
Sekali lagi Syazwan diburu kekecewaan. Dia
menghela nafas yang sangat panjang. “Nurin..saya tahu kesilapan yang saya
lakukan sangat besar. Tapi saya merayu pada awak. Maafkan saya,” pinta Syazwan
tidak mengalah. “Cakaplah apa yang patut saya lakukan supaya awak boleh maafkan
saya. Saya sanggup, Nurin,” rintih Saiful.
“Awak tak faham ker? Bukankah saya dah cakap
yang awak tak ada buat salah apa pun dengan saya,” sela Nurin dengan tenungan
tajam. “Antara kita, tak apa-apa yang perlu dipersoalkan!” tegas Nurin.
“Awak tipu Nurin. Awak bohong. Awak kata tak ada apa-apa tapi hakikatnya awak
memusuhi saya dalam diam!”
Nurin mendengus. “Terpulanglah!” balas Nurin
kembali memberi tumpuan pada pokok bunga di hadapanya.
“Sampai bila kita harus begini, Nurin?” keluh
Syazwan masih mengharapkan simpati gadis di hadapannya. “Sampai bila kita harus
berdendam dalam diam?”
Senyap.
Syazwan menghela berat. “Baiklah kalau itu yang awak mahu, saya dah
tak boleh nak kata apalagi. Cuma, saya nak awak tahu bahawa saya sangat mengharapkan
kemaafan yang ikhlas daripada awak,” ucap Syazwan mengalah. Perlahan-lahan dia
mengatur langkah meninggalkan Nurin dengan hati kecewa.
***
Saya sangat mengharapkan kemaafan yang ikhlas
daripada awak.
Nurin meraup wajahnya. Sebaris ayat itu terus menghantuinya. Ya
ALLAH, bantulah aku. Berikan jalan
terbaik untuk aku. Aku buntu, Ya ALLAH. Rintih Nurin. Kepalanya sakit memikirkan tentang hal
tersebut. Jenuh dia memikirkan jalan
penyelesaian. Malangnya kesemuanya menemui jalan buntu.
Berdendam akan membuatkan hidup kita akan terus
dalam keadaan tidak tenang.
Nurin pejam rapat kedua-dua belah kelopak matanya. Lahawlawala
QuwwataillabillahilAliyilAzim. Zikir itu terpancul di bibirnya. Ya ALLAH, tiada
daya dan kekuatanku melainkan dengan izinmu ALLAH. Bantulah aku. Pimpinlah aku,
Ya ALLAH.
“Mak Su, Akif balik,” jerit Akif riang. Serta-merta kelopak
mata Nurin terbuka. Wajah girang Akif dipandang. Dia tersenyum melihat senyuman
di wajah mulus itu.
“Pak Su mana?” tanya Nurin apabila
tidak nampak kelibat Syazwan di hadapannya.
“Dah balik,” jawab Akif mencuka.
“Pak Su cakap kena balik awal sebab banyak kerja. Pak Su kirim salam.”
Nurin menghela nafas berat sebaik
mendengar cerita yang baru disampaikan Akif. “Akif pergi tukar pakaian dan
kemudian masuk mandi, ya? Kejap lagi boleh makan. Mak Su masak ayam goreng
untuk Akif.”
Akif tersenyum mengangguk seraya
berlalu meminjak satu persatu anak tangga meninggalkan Nurin di ruang dapur.
***
-Salam
awak. Saya dah fikir hal kita. Betul cakap awak, sampai bila kita nak berdendam.
Saya dah maafkan awak dan saya pun minta maaf pada awak. Kalau awak maafkan
saya, datanglah ke rumah. Saya ada masak gulai kari kesukaan awak. Ayah dan
Akif tunggu awak.
***
-Terima
kasih awak atas kemaafan awak. Sedap gulai kari awak.
***
Nurin tersenyum membaca pesanan
ringkas yang baru diterimanya. Dia bersyukur kerana akhirnya dia dan Syazwan
sudah tidak lagi berdendam. Dendam mereka kini kita sudah terlerai.
No comments:
Post a Comment