BAB 3
Kini Aniyah sudah berdiri di hadapan Neraca Holdings, bangunan yang menjadi tempat
dia mencari rezeki. Dia memandang
bangunan yang tersergam indah di hadapannya. Sudah seminggu dia tidak menjejak
kaki ke tempat ini gara-gara melayan rasa duka di hatinya. Jika ikutkan hatinya, tidak mahu dia terus
menjejak kaki ke sini. Namun sekali lagi suratan takdir terus mengikatnya untuk
terus berkerja di sini.
Dia terikat atas kontrak biasiswa yang sudah termeterai
ketika dia berada di menara gading. Neraca Holdings telah mengikatnya atas
tiket biasiswa! Nampaknya dia perlu melupakan seketika niatnya untuk berhenti. Sekurang-kurangnya 9 tahun 7 bulan dia perlu
memberi fokus selaku pekerja Neraca Holdings. Kalau tidak, dia perlu membayar 5
kali ganda biasiswa yang diterima ketika di menara gading. Lima kali ganda
hampir bersamaan dengan angka sejuta!
Argh..mana dia mahu cekau duit sebanyak itu. Gajinya selama tiga bulan di sini
pun, tidak sampai 1/10.
Lantas digagah jua langkahnya menuju ke ruang
legar syarikat Neraca Holdings. Bersedia atau tidak, dia harus tempuhinya.
Senjatanya kini adalah profesionalisme. Dia akan pegang pada prinsip yang satu
itu. Biar apapun terjadi, soal peribadi tidak akan dicampur adukkan dengan
kerja. Dia mahu fokus pada kerjayanya
kerana dia tahu dia tidak mungkin dapat melarikan dirinya daripada berhadapan
dengan lelaki itu.
“Hai Cik Niya. Dah sihat?” tegur penyambut
tetamu bernama Melisa. Gadis berusia pertengahan dua puluhan itu tersenyum
mesra menyambut kedatangan Aniyah di ruang legar pejabat.
Aniyah menghadiahkan senyum seraya
mengangguk. “Alhamdulliah, sihat. Awak?”
“Alhamdulliah,” jawab penyambut tetamu yang
sememangnya peramah orangnya. Perwatakannya itu amat sesuai dengan
peranannya di Neraca Holdings. “Lama tak jumpa Niya, nampak sedikit kurus!”
Aniyah sekadar tersenyum tanpa mengulas
apa-apa.
Masakan fizikal aku tidak berubah kalau
terlalu melayan perasaan. Arh terasa bodohnya diri apabila mengenangkan
kejadian itu. Kutuk Aniyah pada dirinya sendiri.
“Saya minta diri dulu ya,” pinta Aniyah
lantas mengatur langkah ke arah lif.
“Cik Niya..” laung Melisa membuat langkah Aniyah terhenti. Aniyah
tidak jadi meneruskan langkahannya.
“Kenapa?” soal Aniyah pada gadis yang bersut
serba hitam itu.
“Seminggu Cik Niya tak ada, seminggu ada
orang tu tak tentu hala jadinya,” usik Melisa bersama tawa kecil.
Aniyah termangu. Dia tidak menduga menerima
usikan sebegitu daripada Melisa. Walaupun kata-kata Melisa itu masih kabur
tetapi dia dapat menangkap maksud bicaranya. Gosip yang tersebar membuatkan dia
pantas menangkap maksud yang tersembunyi di sebalik ayat Melisa. Dia sendiri hairan bagaimana pekerja-pekerja
Neraca Holdings boleh membuat gosip begitu walhal hubungan yang terjalin
antaranya dan Saiful tidak pernah dihebohkan. Malahan, di pejabat dia dan
Saiful sedaya boleh cuba untuk tidak mempamerkannya. Itu janji mereka berdua.
Perlu rahsia!
Ah lantaklah. Tak kuasa aku mahu melayan.
Lantas ditekan punat lif sebaik meminta diri.
Ting... Bunyi lif kedengaran bersama nyalaan lampu. Pintu lif
terbuka dan serta-merta susuk seorang lelaki terbias di mata Aniyah. Dia termangu saat terpandang susuk tubuh sasa
di hadapannya. Baru tadi hatinya berbisik tentang lelaki ini, kini lelaki itu
sudah berdiri di hadapanya. Macam tahu-tahu sahaja!
Aniyah teragak-agak mahu masuk ke dalam lif
itu kerana Saiful masih membeku di situ. Namun memikirkan kerja yang banyak
menanti di mejanya, pantas dia menekan
satu lagi punat lif yang terletak di sebelah kiri. Malangnya nyalaannya tidak
kelihatan.
“Masuklah, lift sebelah rosak.” Suara garau
itu kedengaran lembut.
Aniyah termangu seketika. Namun dia akur. Takkan mahu memanjat anak
tangga semata-mata mahu mengelak bersama dengan lelaki itu di dalam lif
sedangkan tempat kerjanya di tingkat tiga puluh. Boleh semput kalau naik anak
tangga. Lantas dengan lemah, dia mengatur langkah masuk ke dalam perut lif.
Ketika dia berdiri mengadap pintu lif yang
masih terbuka, pandangan matanya sempat menjamah senyuman Melisa yang penuh makna.
Nasib baik pintu lif yang tadinya ternganga, kembali tertutup. Kalau tidak,
tidak tahu mana mahu disorokkan wajahnya.
“Dah sihat?” Pertanyaan itu entah mengapa
memberi rasa pedih di hati Aniyah. Entah mengapa keprihatinan yang cuba
ditunjukkan lelaki di sebelahnya mendatang bara di hatinya. Lantas dia memilih
untuk tidak bersuara. Matanya terus melihat angka lif yang terus-menerus
meningkat dari satu angka ke satu angka. Nasib baik kelajuan lif di sini, boleh
tahan. Sekejap sahaja, bunyi ting kedengaran petanda pintu lif akan dibuka.
Aniyah segera memulakan langkah apabila daun
pintu lif terbuka.
“Niya!” Panggilan itu menghentikan langkah
Aniyah yang baru sedepa. Kalau ikutkan hati, dia malas mahu menghiraukan
panggilan itu. Namun kerana tidak mahu menimbulkan kepelikan pada Umairah yang
melintas di hadapanya, ditahan niatnya itu.
Aniyah memusing kepalanya “Kenapa?” soal Aniyah
cuba berlagak profesional. Wajah Saiful dipandang tanpa perasaan.
Saiful memandang sekilas wajah yang
dirinduinya. Pilu hatinya melihat wajah muram yang menyeliputi wajah sirih
bujur itu. Walaupun nampak tenang dan bersahaja tetapi mata lelakinya tetap
dapat mengesan riak sedih yang masih berbaki di alis mata Aniyah. “Saya..”
Bicara yang baru bermula bagaimanapun
terhenti apabila telefon bimbit Saiful di dalam poket seluarnya menjerit
meminta diangkat. Saiful tersentak tetapi pantas tangannya menyeluk poket
seluarnya. Dia mengeluh melihat nama
tertera di skrin telefon bimbitnya. Hendak tidak hendak, ditekan punat hijau.
Bunyi deringan mati dan serta-merta telefon bimbit itu didekap di telinganya.
“Sorry Dani,
I naik atas sekejap.”
Dengan kalimah itu, Aniyah terus mengatur
langkahnya tanda mengendahkan Saiful. Tindakan itu ternyata menghilangkan fokus
Saiful pada pemanggil yang sedang memekik di hujung talian. Sesaat itu, Saiful hanya
mampu menelan rasa pedih. Dia tahu Aniyah terluka buat sekian kalinya.
***
Cuti seminggu meninggalkan banyak kerja untuk
Aniyah selesaikannya. Walaupun tertekan melihat himpunan kertas kerja di atas
meja tetapi dia tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya dia dapat menyibukkan
dirinya dengan kerja tanpa perlu memikirkan ‘hal-hal lain’.
Lantas setiap kerja disemak satu-persatu
untuk tujuan pengasingan. Dia tidak suka melakukan kerja tanpa perancangan.
Lebih-lebih lagi jika melibatkan banyak kerja dalam satu masa. Otaknya boleh
serabut dan akhirnya dia akan jadi lebih tertekan jika kerja tidak dilakukan
tanpa sebarang perancangan.
Lantas Aniyah mengasingkan kertas-kertas di
atas mejanya mengikut tahap waktu duenya.
Mana yang segera, diletakkan di satu tempat. Begitu juga yang tidak perlu
disegerakan. Kemudian disusun pula mengikut tarikh untuk setiap bahagian.
Sebaik selesai, ditarik keluar buku nota dari laci mejanya. Sebatang pen hitam
di dalam mug, dicapai. Helaian buku nota diselak sehingga bertemu di ruangan
kosong. Lantas dia menyenaraikan kerja-kerja yang perlu dilakukannya mengikut
tarikh supaya memudahkan dia membuat senarai semak.
“Sibuk nampak.” Teguran lembut itu membuatkan
tumpuan Aniyah terganggu. Pantas dia mengangkat kepalanya. Tersergam susuk
tubuh Dato Ahmad Said Sayyidi yang mesra dengan panggilan Dato Said di kalangan
pekerja Neraca Holdings di muka pintu. Serta-merta Aniyah bangkit sebagai tanda
hormat pada bos besarnya. Dia tersenyum seraya mempelawa bosnya itu duduk. Rasa
terkejut dengan kehadiran Dato Said yang tiba-tiba menjengah cuba disembunyikan.
“Dato
nak minum apa-apa? Saya buatkan.”
Dato Said menggeleng. Matanya menyoroti meja
Aniyah. “Baru sihat dah kena kerja kuat,” usik Dato Said sambil tersenyum. “Pembantu
awak tak buat kerja ker?”
Aniyah termangu. Namun dia cepat tersedar.
Dia harus bersuara sebelum pembantunya, Umairah disalahkan. Sedangkan Umairah
merupakan seorang pembantu yang sangat dedikasi dan komited pada kerjanya. “Eh
taklah Dato. Saya yang minta dia tinggalkan kerja untuk saya. Selama seminggu
saya tak berkerja, saya tahu dia dah berkerja keras menyiapkan banyak kerja.
Apa yang tinggal hanya saki-baki sahaja.” Aniyah cuba membela pembantunya.
Namun pembelaannya itu bukan sekadar manis di mulut tetapi itulah hakikatnya. Aniyah
tahu, Umairah sudah banyak berkorban masa dan tenaga melakukan kerja-kerja urus
takbir bahagian sumber manusia di bawah pengurusannya sewaktu ketiadaannya.
Dato Said tersenyum sambil memerhati Aniyah
yang berada di hadapannya. Dia kagum dengan Aniyah. Aniyah tidak pernah
mengambil kesempatan. Gadis di hadapannya ini tidak pernah menjadikan status
anak sahabat sebagai sandaran mendapatkan kelebihan di sini. Sebaliknya gadis
ini berusaha sendiri membina keupayaan dirinya. Sungguh, dia sungguh kagum
dengan perwatakan gadis di hadapannya ini.
Satu ketika dahulu, dialah yang menjadi
penemuduga gadis di hadapannya ini. Masih tergambar di wajahnya saat pertama kali
gadis ini melangkah masuk ke dalam bilik temuduga, gadis ini penuh satun dan
lembut perlakuannya.
Walaupun dia agak tertarik dengan perwatakan Aniyah
tetapi dia agak sangsi dengan kreabiliti gadis ini kerana baginya untuk memberi
biasiswa kepada orang yang bakal bekerja di syarikatnya untuk satu jawatan
besar, salah satu syaratnya mestilah seorang yang lasak dan tegas kerana untuk
memimpin sesebuah organisasi, perkara itu sangat penting sebagai satu asas
utama memancu kejayaan sesebuah organisasi.
Namun sebaik gadis itu membuka mulut,
kesangsiannya terpadam dengan serta-merta. Lantunan suara gadis ini
menyakinkannya. Bicaranya penuh kematangan. Pengetahuannya cukup menganggumkan.
Dengan krebiliti yang ditunjukkan berserta kecemerlangan dalam peperiksaan,
Dato Said tidak teragak-agak untuk memberi biasiswa kepada gadis di hadapannya.
Gadis ini nampak lembut di luar tetapi di
dalamnya sangat keras! Tiga bulan gadis ini berkerja dengan syarikatnya, dia
sudah dapat membaca perwatakan gadis ini. Setakat ini dia sangat berpuas hati
dengan mutu kerja yang ditunjukkan pekerjanya yang seorang ini.
Pemerhatian Dato Said ke atas dirinya
membuatkan Aniyah berasa agak kurang selesa jadinya. Dia sebenarnya kabur
dengan bentuk pandangan yang dilemparkan Dato Said kepadanya.
Seakan mengerti gelojak hati gadis di
hadapannya, Dato Said segera membuka mulut. “Kalau awak rasa tidak mampu
siapkan kerja yang ‘bersisa ini’...” Dato Said menunding jari ke arah hamparan
kertas di meja pekerjanya. “Tell me.
Benda ini boleh dibawa berbincang. Syarikat Neraca Holdings tidaklah kejam.” Sebentar,
Dato Said ketawa. Mungkin berasa lucu dengan kata-katanya sendiri.
Aniyah
juga turut ketawa kecil. Boleh tahan lucu juga bos besarnya ini. Ingatkan
serius orangnya. Yalah, dua kali pertemuaan iaitu ketika sesi temuduga dan hari
pertama berkerja, wajah Dato Said serius mengalahkan harimau bintang yang
dilihatnya di zoo.
“InsyaALLAH, setakat ini masih mampu lagi,”
jawab Aniyah sopan.
Dato Said tersenyum seraya bangkit dari
kerusi. Aniyah juga turut bangkit sebagai tanda hormat pada bos besarnya.
“Nanti ada apa-apa jangan segan bagitahu. Walaupun dunia awak bergelumang
dengan masalah pekerja, tidak semestinya awak perlu jadi sempurna semata-mata
menggalas tanggungjawab itu. Pakar motivasi pun kadang-kala berdepan masalah
walaupun tugasnya menyelesaikan masalah. Kita manusia, semuanya serupa. Ada
kala kita didatangi masalah.”
Aniyah termangu seketika. Tidak berkelip dia
memandang bos besarnya.
Ya ALLAH hebatnya ilmu psikologinya sehingga
membuatkan aku tidak terkata.
Sudahnya Aniyah hanya mampu mengangguk sebelum
kelibat Dato Said menghilang di balik pintu biliknya.
No comments:
Post a Comment