Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Saturday, December 24, 2011

Cerpen 2: Dendam Terlerai-Part 1


Dia duduk sendirian di atas bangku sambil matanya menuntas pada sekumpulan budak lelaki yang sedang bermain bola di tengah padang. Situasi ini merupakan satu kebiasaan yang tidak pernah dilakukannya semenjak berada di sini.  Namun disebabkan jemu dengan urusan kerja yang tak pernah habis, hari ini dia nekad untuk membebaskan dirinya dengan melakukan sesuatu yang lain daripada kebiasaannya.  Pantas langkah diatur sehingga akhirnya terhenti di sini.
Matanya terus menyoroti gelagat mereka yang sedang galak berebut sebiji bola di tengah padang hanya kerana mahu menyumbat ke dalam gawang gol yang terletak di hujung  padang.  Di celah-celah budak lelaki itu terselit beberapa orang anak kecil yang masih belum bersekolah. Walaupun masih kecil tetapi gelagat sekecil itu begitu lincah setanding dengan kehebatan rakan-rakan sepermainannya yang jauh lebih dewasa.
“Gol!” pekik suara di tengah padang apabila bola yang ditendang masuk ke dalam gawang gol. Kecoh suasana dengan sorakan pemain dan beberapa orang penonton yang berada di tepi padang. Syazwan tersenyum sendirian. Tumpang gembira melihat keseronokkan yang sedang berlaku.
Namun senyumannya kian pudar.  Entah mengapa, tiba-tiba dia teringat kembali detik ketika usianya seusia anak kecil di hadapannya ini. 
Hidupnya ternyata jauh berbeza jika mahu dibandingkan dengan anak-anak kecil di hadapannya ini.  Dia tidak pernah merasai nikmat kebebasan seperti mereka. Dirinya terkurung dalam rumah, tak ubah seperti seekor burung yang hidupnya di dalam sangkar emas.  Hidup penuh mewah tetapi terasa kosong. Itulah yang dirasainya.
 Kehidupannya hanyalah bertemankan ahli keluarga, orang gaji dan pemandu peribadi. Rakan sepermainannya tidak lain dan tidak bukan tentulah abangnya sahaja. Ternyata nikmat zaman kanak-kanak yang dilaluinya begitu terhad sehingga membataskan pergaulannya dengan dunia luar.
Cuma apabila sudah meningkat dewasa, barulah dia mengenal dunia luar.  Segala-galanya bermula apabila dia diterima melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang yang digemarinya iaitu arkitek.  Jika tidak, mungkin dia dewasa dalam dunianya sendiri yang mana temannya hanyalah abang kandungnya sahaja.  
Abang? Hatinya dirundum hiba apabila teringatkan lelaki itu. Abangnya telah pergi dijemput Illahi buat selama-lamanya.  Masih segar diingatannya, saat dia dikhabarkan berita sedih itu. Ketika itu, dirinya sedang bergelumang dengan nota-nota kuliah. Bertapa lemahnya dirinya kala itu apabila mendapat tahu satu-satunya saudara kandung yang dia ada, telah pergi buat selama-lamanya.
Abangnya terkorban dalam kemalangan jalan raya bersama-sama dengan kakak iparnya. Itulah yang dikhabarkan mamanya.  Saat itu dia seakan mahu terbang pulang tetapi dia terikat dengan peperiksaan akhir tahun untuk pengajian masternya.  Bertapa  hebatnya tekanan yang dia rasai ketika itu.  Sesunggunya hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaannya tika itu.  Sarat dengan perasaan kesal yang tidak bertepi kerana tidak dapat menatap wajah abangnya buat kali terakhir.  Kini hanya gambar kenangan bersama arwah menjadi pengubat rindu di hati.
Buk! Tiba-tiba sebiji bola melantun di depannya lantas mengusir pergi lamunannya.  Hilang sudah kenangan lalu.  Dia kembali semula ke dunia nyata.  Pandangannya terpaku pada sebiji bola di hadapannya.
 “Maaf uncle!” ucap suatu suara menyebabkan kepalanya terangkat. Pandangannya pantas bersatu dengan riak wajah si comel di hadapannya. 
Wajah polos si kecil yang tergarik riak bersalah dipandang tidak berkelip. Tidak semena-mena hatinya diselubungi satu perasaan halus yang dia sendiri tidak mengerti maksudnya.  Lama wajah itu ditenung tidak berganjak persis mencari sesuatu dalam wajah itu.  Tiba-tiba dadanya berdegup kencang! Wajah si kecil seakan biasan wajahnya!
            “Akif!” jerit beberapa orang anak kecil di tengah padang sambil melambai tangan.
            “Saya pergi dulu uncle.” Anak kecil bernama Akif itu segera mengambil bola di hadapannya sebelum terus berlari membawa bola tersebut mendapatkan temannya yang sedang menunggunya di tengah padang.
***
 “Kau nak apa datang sini?” jerkah suara di hadapannya dengan memek muka yang penuh rasa marah dan dendam.  Syazwan tersentak disergah begitu.  Adakah ini Nurin Najwa yang dia kenal?  Perempuan yang bertudung dan berbaju kurung di hadapannya dipandang penuh persoalan.  
            “Kau berambuslah.  Jangan nak buat onar dalam keluarga aku. Cukuplah apa yang sudah terjadi,” lantang  Nurin menghalau tetamu yang tidak diduga kehadirannya.  Dia benar-benar terkejut dengan kemunculan lelaki tersebut.
Sangkanya, kejadian yang sudah lima tahun berlalu sudah cukup untuk melenyapkan segala-galanya.  Namun ternyata hari ini dia tewas. Kenapa harus ada lagi pertemuan ini? Bentaknya bersama amarah dan dendam yang menerbit di pundak hatinya.
            “Saya nak jumpa Akif?” pinta Syazwan lembut tanpa mengendahkan herdikan perempuan di hadapannya. Semalam dia nekad, dia akan menggali sedalam-dalamnya salasilah si comel bernama Akif.  Dia dapat merasakan ada sesuatu dalam diri si kecil itu yang bersangkut-paut dengan keturunannya.
Ternyata telahan hatinya tepat apabila ketibaannya di rumah yang tidak pernah dikunjunginya selama ini disambut dingin seorang perempuan bernama Nurin Najwa iaitu wanita yang pernah bergandingan dengannya di majlis perkahwinan satu masa dahulu!
            Nurin tergamam mendengar permintaan lelaki di hadapannya ini. Hatinya tertanya-tanya bagaimana lelaki di hadapannya ini tahu tentang kewujudan si kecil itu. Hatinya mula berdetak tidak enak.  Kerisauan mula melanda. Namun Nurin cuba berlagak selamba. Dia tergelak persis baru mendengar kisah lucu daripada  Syazwan.  Namun tawanya penuh sinis. “Akif? Siapa Akif?” soal Nurin sambil berpeluk tubuh.
            “Awak jangan nak sembunyikan dia daripada saya!” Kali ini nada Syazwan sudah berubah rentak. Suaranya kedengaran keras dan tegas walaupun cuba dikawal nadanya.
 Nurin tersenyum  sinis.  Sedikitpun dia tidak takut mendengar suara amaran lelaki itu.  “Maaflah.  Saya rasa awak ni dah salah rumah! Eloklah awak berambus sebelum saya menghalau awak macam mana yang pernah orang tua awak buat dulu!” bentak Nurin memberi amaran.
Serta-merta wajah Syazwan berubah corak. “Jadi betullah Akif tu darah daging keluarga saya?” soal Syazwan dengan rentak dadanya yang turun naik tanpa henti. Pandangan mata lelakinya tepat memanah anak mata Nurin. Tajam lagi menikam.
         “Mana ada!” sanggah Nurin sedikit keras.  Namun perasaan cuak jelas menindas benaknya.
            “Cukup!” bentak Syazwan tanpa berganjak pandangan matanya daripada memandang  wajah gelisah wanita di hadapannya. “Kalau awak kata saya ni salah rumah, kenapa awak boleh sebut perihal orang tua saya? Itu sudah cukup memberi gambaran yang awak mengenali saya. Tak begitu, Cik Nurin Najwa?” soal Syazwan menyindir di hujung kata. Tergambar kepuasan di wajah lelaki itu sebaik habis memuntahkan kata-katanya.
“Berambuslah!!” jerit Nurin pantas berlari masuk ke dalam rumah seraya menghempas daun pintu sebelum menguncinya dari dalam.  Dia bersandar lemah di belakang pintu dengan hati kecewa.  Perlahan-lahan tubuhnya yang membelakangi daun pintu, jatuh longlai.  Tangisannya kedengaran seiring bunyi deruman kereta di luar rumah.
            “Mama.”  Panggilan itu membuatkan  Nurin yang tertunduk menangis, perlahan-lahan mengangkat wajahnya.  Matanya bertemu pandang dengan sepasang mata Akif yang masih bersisa mengantuk.
            “Mama nangis?” tegur si kecil itu membuatkan hati Nurin makin hiba. Ternyata hari ini dia gagal menyembunyikan air mata tangisannya dari pandang mata si kecil itu.  Pantas dia merangkul tubuh kecil itu ke dalam pelukannya.
“Mama sayang Akif. Mama sayang Akif,” ucap Nurin berkali-kali. Kehadiran Syazwan  benar-benar  membuatkan dia berasa  gusar memikirkan nasib Akif.  Dia takut lelaki itu akan melarikan anak kecil dalam dakapannya ini. Dia masih belum bersedia untuk berjauhan apatah lagi kehilangan Akif.  Dia terlalu sayang anak kecil ini.
            “Akif pun sayang mama. Mama janganlah menangis.”
Pilu hati Nurin mendengar pujukan  si kecil itu.  Makin kejab pelukannya pada tubuh Akif. “Mama pun sayang Akif. Akif jangan tinggalkan mama, ya sayang.”
            Akif mengangguk dalam pelukan Nurin. “Akif sayang mama.”
 Nurin terus memeluk erat tubuh sekecil itu. Sayangnya pada Akif melimpah ruah. Kasihnya tiada bertepi.  Dia tidak sanggup kehilangan Akif.
            “Mama rindukan  papa, ya?” soal Akif seraya mengangkat kepalanya. Mata bulatnya merenung wajah Nurin yang terpaku memandangnya.
Nurin  mengetap rapat bibirnya.  Sebak hatinya mendengar soalan itu. Dia seakan tidak percaya soalan itu melantun keluar dari mulut kecil Akif.  Tidak pernah soalan itu diajukan kepadanya selama lima tahun dia membesarkan anak kecil itu.
 “Mama janganlah sedih.  Nanti papa baliklah,” pujuk Akif buat sekian kalinya. Pujukan itu ternyata makin menambah rasa sebak di dada Nurin.  Nurin pantas memeluk tubuh si comel itu. Mulutnya sudah kelu untuk berkata.  Air hangat menitis buat sekian kalinya. Ya ALLAH, sampai bila penipuan ini harus diteruskan?
****
            “Mama...”
            Nurin mengangkat wajahnya apabila telinganya menangkap suara garau di hadapannya.  Serta-merta matanya bertemu dengan sepasang mata Syazwan. Nurin mengetap rapat bibirnya tanda tidak senang dengan kehadiran lelaki itu.
            “Cikgu, yang ni nak letak kat mana?” soal seorang pelajar bernama Hariz lantas mematikan pandangan Nurin pada Syazwan.           .
            “Kamu letak dekat tengah padang.  Nanti panggil beberapa rakan kamu angkat tilam dalam stor.  Sekejap lagi kita akan buat latihan lompat tinggi sebelum buat latihan lumba lari.” Nurin mengeluarkan arahan pada pelajarnya yang bernama Hariz. Pelajar itu mengangguk seraya berlalu meninggalkan Nurin dan Syazwan. 
Hari ini latihan rumah sukan diadakan untuk kali terakhir kerana petang esok akan diadakan raptai hari sukan sebelum tibanya hari sukan pada Hari Sabtu nanti.
            “Cikgu yang ni pula nak letak di mana?” soal Syazwan sambil mengangkat kon berwarna hijau. Niatnya sekadar ingin mengusik Nurin yang berada di hadapannya.
            Nurin menjeling tajam.  Langkahnya diatur meninggalkan Syazwan yang sedang galak ketawa sendirian. Memang sudah mereng!
            “Cikgu, siapa lelaki tu? Semalam ada. Hari ni pun ada. Pak we cikgu ya?” soal seorang pelajar perempuan sambil tersengih pada Nurin. Pelajar itu bernama Intan.
            “Kamu nampak tak kon kat hujung sana? Apa kata kamu pergi ambil sekarang,” arah Nurin pada pelajar perempuan terbabit. Arahan itu ternyata mengecewakan pelajar perempuan itu. Namun Intan tetap menurut arahan gurunya itu.

****

            “Cikgu, dia datanglah.” Nurin yang ketika itu sedang sibuk mengemaskini barisan kawad rumah sukannya, pantas menoleh ke belakang. Ya ALLAH dia nak apalagi, neh?? Nurin hanya mampu melepaskan keluhan saat terpandang susuk tubuh Syazwan yang sedang berjalan ke arah rumah sukannya.
            “Hai.” Ceria Syazwan menyapa anak-anak murid Nurin tanpa ada rasa malu dan segan.
“Hai abang..” sambut anak-anak murid Nurin ceria. Ternyata sapaan Syazwan mendapat reaksi positif daripada anak didik Nurin yang semakin mesra dengannya.  Kekerapan Syazwan datang ke sesi latihan rumah sukan membolehkan hubungan lelaki itu makin mesra dengan anak didik Nurin yang terkenal dengan perangai terlebih mesra.
            “Abang, takkan mai tangan kosong je,” seloroh Hariz sambil mengenyit sebelah mata.
Kata-kata itu pantas mendapat sorakan gemuruh daripada pelajar-pelajar di situ sehingga menarik perhatian pelajar-pelajar dari rumah sukan yang lain.  Semua mata tertumpu ke arah rumah sukan Hijau.  Terasa berbahang muka Nurin saat menyedari hal itu.  Dia malu apabila semua mata tertumpu pada rumah sukannya.  Namun dia cuba mengawal perasaannya.
Sementara Syazwan pula tersengih menyambut gurauan tersebut. “Okey, tak ada hal. Abang belanja air sirap!” suara Syazwan.
“Eleh setakat air sirap, mak saya pun boleh buat, abang.  Kasilah gempak sikit. Ayam goreng ker? KFC ker? Pizza ker? Mc...
“Hariz!” tegur Nurin langsung mematikan kata-kata Hariz yang belum habis terungkap sepenuhnya.  Matanya tajam menikam mata anak muridnya itu.
Syazwan tersenyum melihat telatah Hariz yang kehilangan punca akibat disergah Nurin.  Dia mula perasaan akan sesuatu. Anak murid Nurin akan takut apabila Nurin mula bersuara tegas. Hmm..garang juga perempuan ni! Berbeza dengan kembarnya.
“Okey macam ni.  Lepas habis sukan, abang belanja korang makan KFC!” sela Syazwan cuba menyuntik kembali semangat yang tiba-tiba lenyap ditelan suara keras Nurin.
Suasana yang bungkam kembali riuh dengan sorakan anak murid Nurin yang girang menyambut tawaran itu.
“Terbaiklah abang!” Hariz mengangkat ibu jarinya pada Syazwan.  “Cikgu, kami dah tak sabar nak kawad ni.” Berkobar-kobar Hariz menuturkan ayat itu. Penuh bersemangat! Ternyata semangat itu meresap hampir ke seluruh ahli pasukan rumah Hijau.
Aah..Syazwan memang sudah melampau! Pantang ada peluang di depan mata, cepat sahaja disambarnya.  Mentang-mentang anak murid aku, budak kampung. Jarang makan makanan itu, dia pantas menyogoknya.
****
“Abang memang bestlah!” Hariz berkata sambil mulutnya rakus meratah isi ayam goreng KFC di hadapannya. Sudah dua ketul daging ayam dibahamnya.  Syazwan tersenyum mendengar kata-kata pelajar lelaki itu. Timbul rasa insaf dalam dirinya saat melihat keterujaan anak-anak didik Nurin mengadap ayam goreng.  Kelihatan setiap pelajar begitu rakus memakan ayam goreng yang dibelinya.  Tidak sedikitpun isi ayam dibiarkan tertinggal. Lagak mereka seperti tidak pernah merasa makanan tersebut.
“Abang, kitorang anak kampung. Mak bapak kitorang kerja kampung je. Mana mampu nak beli.  Kalau teringin nak makan, ayah kitorang akan tangkap ayam pastu sembelih dan kasi mak kitorang goreng.” Hariz galak bercerita pada Syazwan walaupun mulutnya berisi daging ayam.
“Betul tu abang. Ni first time makan. Sedaplah hingga menjilat jari!” tokok seorang lagi pelajar lelaki yang bernama Fariz. Tulang ayam digigitnya.
Makin sebak hati lelaki Syazwan mendengar cerita anak murid Nurin. Terasa bertapa mewahnya hidupnya selama ini jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar di hadapannya.
“Kalau sedap, makanlah bagi habis. Abang beli banyak,” ucap Syazwan cuba menahan suaranya yang serak daripada kedengaran. Kotak-kotak yang belum disentuh, dibuka lalu diletak di hadapan pelajar. “Makanlah.”
Sebaik mendapat arahan itu, berlumba-lumba pelajar di situ menyambar ayam yang berada di dalam kotak yang baru dibuka. Sekejap sahaja, kotak yang penuh berisi ayam bertukar menjadi kosong.  Syazwan tersenyum penuh sebak.  Kalau dahulu, di usia ini dia sudah bosan menatap ayam goreng. Sejak kecil lagi makanan ini sudah menjadi makanan yang selalu dibeli orang tuanya untuknya.  
Ya ALLAH, mewahnya hidup aku selama ini.  Syukur ALLAH.
            “Jangan gelojoh. Makanlah elok-elok. Ayam banyak lagi,” tegur Syazwan sambil tersenyum pada pelajar-pelajar Nurin. Teguran itu disambut dengan sengihan malu daripada pelajar di situ.
            “Cikgu, tak nak makan ker? Sedap ooooo.”
            Nurin yang dari tadi diam tidak berkutik, hanya menggeleng kepala. Syazwan memandang sekilas ke arah wajah Nurin yang tidak jauh daripadanya. Wajah itu nampak tenang. Tidak pernah dia melihat riak sebegitu di wajah Nurin.

~BERSAMBUNG~

No comments:

Post a Comment