Hatiku berdebar-debar saat sepasang mataku terpaku memandang susuk tubuh sasa milik seorang lelaki menerusi ruang jendela kelas yang terbuka luas. Dialah lelaki yang telah berjaya mencuri sekeping hatiku. Seperti selalu, auranya membangkitkan rasa terpukauku padanya. Kali ini, rasa aura itu bercampur bau dengan rasa debar yang tidak terhingga.
Benarkah apa yang aku lakukan ini? Sampai saat ini aku masih lagi keliru dengan tindakan aku.
Ya ALLAH benarkah apa yang aku lakukan ini?
Sekali lagi aku bertanya pada diriku dalam keriuhan kelas yang semakin diwarnai suara-suara teman sekelasku yang lain.
Aku menundukkan wajahku sedikit, bukan mengadap hamparan buku Kimia di atas meja. Jauh sekali mengadap larutan akaues yang terlukis cantik di halaman buku teks Kimia. Sebaliknya, cuba kusembunyikan wajahku daripada melihat si dia yang duduknya berselang tiga baris di hadapan aku. Aku segan, takut, gusar, khuatir dan resah untuk melihat reaksinya.
Saat ini aku teringatkan Rohayu. Alangkah baiknya jika Rohayu ada bersamaku tika ini. Bolehlah kiranya aku meminjam kekuatan daripada sahabatku itu. Rohayu, teman yang sentiasa ada bersama aku. Teman yang ikhlas dalam bersahabat dengan aku. Dialah yang menyambut kehadiran aku ketika mula-mula mendaftar masuk ke sekolah. Dialah yang menemani aku di setiap lorong perjalanan di sini. Teman-teman yang lain? Entahlah sukar untuk kubicarakan. Aku sedar siapa aku. Insan punya kekurangan.
“Hei perempuan!”
Panggilan itu menyentap lamunan aku. Lantas aku mendongak. Muhaimi!
Wajahnya keruh dan merah padam! Aku menikus ketakutan. Suara-suara riuh teman-teman sekelasku sebentar tadi bagaikan ditelan bumi. Kelas jadi sunyi sepi. Yang berlari, terkaku berdiri. Yang duduk, terpaku menyaksi. Semua mata memerhati ke arah kami berdua.
“Sedarlah sikit yang kau tu gemuk! Pendek! Ada hati mahu bercinta dengan aku!! ” jerkah suara garau Muhaimi dengan anak matanya terjegil padaku. Saat itu juga kertas berwarna putih yang sudah digumpal bulat mendarat ke arah aku. Aku termangu diperlakukan begitu. Kelopak mataku mula terasa hangat. Mukaku terasa panas.
“Kau pergi cermin muka kau tu dulu, minah tak sedar diri,” tempelak lelaki itu. Tanpa rasa belas, maruahku terus dipijak bersaksikan teman sekelas. Tidak pernah aku terasa sehina ini. Tidak kuduga lelaki yang aku puja dalam diam telah memperlakukan aku umpama manusia yang tidak bermaruah.
Hatiku sebak. Kata-katanya itu cukup tajam sehingga merobek hati perempuanku. Air mata yang cuba kutahan dari tadi, akhirnya merembes jua. Aku tewas. Tewas pada kata-kata bisa lelaki itu.
Setitik demi setitik air mata aku mengalir, jatuh ke permukaan buku di hadapanku. Aku malu dengan hinaan yang dilemparkan lelaki itu. Bersaksikan rakan sekelasku seramai 30 orang, lelaki bernama Muhaimi telah meletakkan maruahku di tempat yang paling bawah sekali.
“Tak payahlah kau nak berlakon sedih kat depan aku. Aku takkan simpati dengan kau. Simpan sahaja air mata kau tu. Mulai hari ini, aku nak kau ingat bahawa aku, Muhaimi Mansor tidak akan sesama sekali jatuh cinta pada kau, Zurina Ali. Full stop!” bentak Muhaimi lagi. Angkuh sekali.
Kali ini bicaranya cukup berbisa sekali. Dengan nada yang angkuh bersaksikan rakan-rakan sekelas, kalimah itu dilafazkan tanpa mengambil peduli perasaan dan maruahku yang tercalar.
Begitu sekali dia memandang diriku. Ya ALLAH, kenapa begitu sekali kejamnya lelaki ini terhadap aku? Tidak bolehkah dia menolak cintaku dengan baik? Mengapa harus di hadapan rakan-rakan sekelasku yang lain? Mengapa dengan kata-kata hinaan yang sangat melukakan? Aku juga manusia, punya hati dan perasaan. Tahu erti malu dan sedih. Aku merintih sedih pada diriku.
Pantas aku mencapai beg di belakangku. Sakitnya hinaan itu tidak mampu kebendung. Malu di atas cercaan tidak mampu kusembunyikan. Pantas aku berlari meninggalkan kelas tambahan yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi.
“Zu!” Jeritan temanku, Rohayu yang berselisih denganku di muka pintu masuk kelas tidak aku endahkan. Larianku makin laju bersama lajunya air mataku mengalir. Ya ALLAH, sakitnya hati ini. Malunya diri ini. Hanya Kau sahaja yang tahu.
****
“Zu, awal balik? Kelas tambahan tak ada ker?” tegur nenek yang menyambut kepulanganku. Aku membalas teguran itu dengan anggukan sambil terus berjalan ke bilikku meninggalkan nenek yang sedang mengait di sofa buruk.
Maaf nenek, Zu terpaksa menipu. Zu tak kuat nenek.
Aku menyembamkan mukaku di atas bantal. Tubuhku longlai di atas katil. Air mataku terus lebat mengalir, menangisi rasa hati yang terlalu sakit. Kata-kata hinaan Muhaimi sangat menyagat hati wanitaku.
Hei perempuan! Sedarlah sikit yang kau tu gemuk. Pendek. Ada hati mahu bercinta dengan aku.
Kau pergi cermin muka kau tu dulu, minah tak sedara diri
Tak payahlah kau nak berlakon sedih kat depan aku. Aku takkan simpati dengan kau. Simpan sahaja air mata kau tu. Mulai hari ini, aku nak kau ingat bahawa aku, Muhaimi Mansor tidak akan sesama sekali jatuh cinta dengan kau, Zurina Ali. Full stop!
Kata-kata Muhaimi teringang-ingang kembali di pendengaranku bagaikan melodi rosak yang menyakitkan. Ya ALLAH, sakitnya.
Aku terus menangis dan menangis sebelum lelah sendirian sehingga akhirnya aku terlelap bersama hati yang terluka. Sedar-sedar, nenek mengejutkan aku kerana kehadiran Rohayu.
Namun sempat orang tua itu menegur diriku. “Kenapa bengkak mata tu, Zu? Muka sembap.”
Aku menggeleng. “Penat nenek. Lagipun baru bangun tidur,” balas aku berbohong lagi. Aaa...banyak betul dosa yang aku kumpul hari ini.
“Belajar, belajar juga tapi kena jaga kesihatan. Nanti Zu sakit, lagi susah Zu nak belajar,” nasihat nenek lembut dan penuh kasih sayang. Aku menggangguk sebelum meminta diri untuk mendapatkan temanku, Rohayu yang sedang menantiku.
“Jom sembang kat pangkin,” ajak Rohayu seraya menarik tanganku. Dia yang masih berpakaian lengkap baju sekolah memberi isyarat padaku yang dia baru pulang dari sekolah. Sementelah ada beg sekolah dalam raga basikalnya. Agak-agaknya nenek syak tak yang aku telah membohonginya?
“Zu...” Suara Rohayu menggamit aku memandang seraut wajahnya yang ditutupi tudung litup berwarna putih. Kami berpandangan. Riak wajah Rohayu mengambarkan bahawa dirinya bimbangkan aku.
“Tadi Cikgu Harun ada tanya tak pasal aku?” Aku pantas mengajukan soalan perihal kelas tambahan yang terpaksa aku ponteng gara-gara kejadian ‘pergaduhan’ antara aku dan Muhaimi.
“Masakan dia tak tanya, kaukan best student dia.”
Ayat yang dikeluarkan Rohayu itu membuatkan aku merenung jauh mengingatkan Cikgu Harun, guru Kimiaku. Gayanya yang santai mengajar subjek itu membuatkan aku suka pada kelasnya. Aku suka menjadi pelajarnya.
Dia selalu memberikan kata-kata semangat kepada aku dan rakan sekelasku. Sebelum memulakan sesi pengajaran, ada sahaja motivasi yang diberinya sebagai mukadimah. Kadang-kadang dia selitkan pepatah Melayu dalam bicaranya. Ada masa dia menggunakan pendekatan bercerita. Niatnya hanya satu supaya kami bersemangat dan bermotivasi untuk berjaya.
Walaupun dia seorang yang garang tetapi aku suka kerana dia seorang yang sangat komitmen dalam mendidik aku bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Malahan dia dengan senang hati mengadakan kelas tambahan tanpa sebarang bayaran. Baiknya dia. Alangkah beruntungnya anak-anak dia memiliki ayah sepertinya.
Ayah. Aku jadi sebak dengan tidak semena-menanya. Rinduku pada ayah kembali mengusik hati kecilku. Saat ini juga bayangan ibu menyapa ingatanku. Sesungguhnya aku rindukan mereka. Sudah lapan tahun, mereka pergi meninggalkan aku kerana terkorban dalam kemalangan jalan raya.
Ketika itu aku masih di bangku sekolah rendah. Masih mentah untuk menerima takdir perpisahan yang kekal, tidak berubah. Neneklah pembakar semangat aku di saat aku lemah menerima takdir pemergiaan kedua-dua orang tuaku. Dialah yang meminjamkan kekuatan untuk aku berdiri semula. Padanya, aku berpaut mengharungi dugaan hidup. Di sekolah, Cikgu Harun umpama pengganti nenekku. Alhamdulliah, dalam kebencian manusia di sekolah menerima kehadiran insan kerdil seperti aku, masih adalagi yang sudi menerima aku dengan tangan terbuka.
“Kau menangis, Zu?” Teguran Rohayu pantas menyedarkan aku. Aku pantas menyapu air mata yang hangat mengalir di pipiku.
“Hari ni Cikgu Harun bagi motivasi apa?” soal aku bertujuan mengalih tumpuan temanku itu.
Rohayu memandang aku sebelum kembali menuntaskan padangannya ke hadapan. “Cikgu Harun cakap, kerjayaan atau kegagalan seseorang bergantung pada attitude dia. Jika attitude dia baik, insyaALLAH dia pasti berjaya dengan syarat dia berusaha.”
“Maksudnya?” soal aku inginkan penjelasan yang lebih. Aku masih samar tentang maksud bicara temanku itu.
“Contohnya kau nak target SPM untuk dapat 10A. Itu satu attitude yang baik kerana kau percaya dan yakin kau boleh. Apabila kita ada kepercayaan yang positif pada diri kita, apa sahaja halangan yang mendatang, kita boleh hadapinya. Apa yang orang kata pada kita pun, kita tidak ambil peduli.”
Aku diam memikirkan kata-kata itu. Sedang aku berfikir, tiba-tiba aku terasa bahuku dipeluk. Aku toleh ke arah temanku di sebelah.
“Maafkan aku, Zu. Kalau bukan sebab cadangan aku suruh kau tulis surat pada Mi, kau pasti takkan dihina seteruk itu.”
Aku memandang temanku itu dengan dahi berkerut. “Mana kau tahu?” soal aku kerana ketika kejadian memalukan itu berlaku, Rohayu tiada di kelas. Hanya ketika aku meninggalkan kelas, barulah aku terserempak dengannya di muka pintu.
Perlahan-lahan Rohayu mengeluarkan sesuatu dari poket baju kurungnya. Aku terkejut. Kelihatan kertas yang dicampak Muhaimi ketika dalam kelas tadi. “Aku ternampak kertas ni bawah meja kau. Aida dah cerita semuanya pada aku,” jelas Rohayu membuatkan aku mengeluh penuh kekesalan kerana membiarkan surat itu tertinggal.
“Maafkan aku, ya,” pinta Rohayu sambil memandang ke arah aku.
Aku menggeleng laju. “Kau tak salah, Ayu. Aku buat dengan keinginan aku sendiri.”
“Tapi itukan cadangan aku,” balas Rohayu dengan riak bersalah.
Aku tersenyum kecil. “Kau tak salah, Ayu. Aku yang nekad nak tulis surat tu pada dia. Kononnya nak luahkan perasaan. Tapi, rupanya cinta aku ditolak.” Aku ketawa kecil. Namun dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu perasaanku tika ini. Namun aku tidak mahu menunjuknya di hadapan Rohayu. T idak mahu temanku itu terus menyalahkan dirinya di atas peristiwa yang telah berlaku.
“Mungkin bagus juga aku buat begitu.” Aku merenung jauh. “Sekurang-kurangnya aku sedar siapa diri dan di mana letaknya diriku.”
“Kau jangan percaya cakap Muhaimi tu ya. Kau persetankan apa yang dia kata.”
Aku tersenyum mendengar nasihat temanku itu. Aku mengangguk. Namun jauh di sudut hatiku, kata-kata Muhaimi yang penuh kehinaan itu terus terpahat di dasar hatiku, lantas menguasai fikiranku.
****
Kejadian yang berlaku telah membuatkan aku malu untuk ke sekolah apatah lagi berada di dalam kelas. Namun disebabkan tidak mahu nenek syak yang bukan-bukan, aku gagahkan jua diriku hadir ke sekolah.
Ternyata, setiap langkahku menjadi perhatian pelajar-pelajar di sekolah. Pasti kejadian itu sudah tersebar luas di sekolah. Maklum sahajalah, Muhaimi bukan calang-calang orang. Dia pengawas sekolah. Ketua pula tu. Maka tidak hairan, setiap kisahnya menjadi buah mulut pelajar sekolah. Itulah hakikat yang terpaksa aku telan.
Akibatnya, aku cuba mengelak diri daripada bertembung dengan mereka. Gara-gara kejadian itu juga, tumpuan aku dalam kelas terganggu. Aku kerap termenung ketika dalam kelas. Berkhayal sehingga tidak tahu apa yang aku pelajari. Akhirnya aku pulang ke rumah dengan dada yang kosong. Walaupun tidak pernah ‘ditangkap’ oleh mana-mana cikgu tetapi aku tahu ada beberapa orang guruku perasan akan perubahanku.
“Kenapa keputusan ujian pertengahan tahun awak untuk kertas Kimia, teruk. Semenjak saya mengajar awak, tak pernah saya tengok keputusan awak seteruk ini. Paling teruk pun awak dapat A-. Kenapa dengan awak ni, Zurina? Awak tahu tak, awak hampir gagal!”
Kepalaku menunduk. berani aku mahu memandang wajah Cikgu Harun di hadapanku. Semalam guru Matematik Tambahanku memanggil aku gara-gara markahku yang rendah. Kali ini giliran Cikgu Harun. Esok, entah siapa pula yang mahu menemuiku.
“Awak ada masalah?” soal Cikgu Harun sedikit lembut dari tadi.
Aku yang masih menunduk hanya menggeleng.
“Saya selalu tengok awak termenung dalam kelas. Awak seperti bukan diri awak. Kenapa Zurina?” asak Cikgu Harun lagi. Namun masih dalam intonasi lembut.
Aku mengetap bibirku. Tiba-tiba aku jadi sebak dengan keprihatinan yang ditunjukkan Cikgu Harun.
“Zurina, walaupun apapun dugaan yang datang, jangan mudah rebah. Jadikan hinaan itu pembakar semangat untuk awak buktikan bahawa awak bukan lemah dengannya. Sebaliknya awak boleh jadi lebih baik dari sebelumnya. Buktikan Zurina! Biar orang yang menghina awak itu sedar bahawa menilai orang bukan dari luaran sebaliknya dari dalaman.”
Aku termangu. Terkejut. Cikgu Harun seakan tahu apa yang telah berlaku padaku. Perlahan-lahan aku mengangkat kepalaku. Pandangan mataku berlabuh pada sepasang mata Cikgu Harun. Rendup pandangan matanya. Manis senyuman yang terhias di bibirnya.
“Ayuh Zurina. Buktikan kamu boleh berjaya,” sahut Cikgu Harun bersemangat. Pancaran matanya yang rendup menyalurkan semangat dalam diriku.
Aku tersenyum sambil mengetap rapat bibirku, menahan sebak. Terima kasih cikgu. Bisikku dalam hati.
****
Gara-gara keputusan setiap kertasku semuanya merosot. Maka keputusan keseluruhanku juga merosot. Nenek yang datang mengambil report cardku, hanya tersenyum mendengar ulasan daripada guru kelasku, Puan Ainon tentang prestasiku yang padanya sangat teruk jika mahu dibandingkan dengan keputusan peperiksaanku semenjak di tingkatan satu.
“Nenek tahu cucu nenek pandai. Mungkin bukan rezeki Zu. Lain kali boleh cuba lagi. InsyaALLAH, kalau kita berusaha pasti akan ada hasilnya.”
Kata-kata nenek petang tadi membuatkan mataku tidak boleh tidur walaupun jarum jam sudah menginjak ke angka dua pagi. Nenek tidak marah padaku sebaliknya dia dengan tenang memberi nasihat yang berinti semangat buat aku, cucunya. Ya ALLAH berdosanya aku pada nenek. Pasti, nenek kecewa dengan aku. Walaupun nenek tidak menyatakannya tetapi aku dapat merasakannya.
Sedetik aku termangu sendirian di atas katil. Fikiranku memutarkan kembali satu persatu kejadian yang menimpaku. Bermula dengan herdikan daripada Muhaimi, berganti pula dengan wajah Rohayu yang datang menemuiku sebelum bayangan beberapa orang guruku yang tidak putus-putus menasihatiku. Lebih terkesan apabila teringatkan pertemuaanku dengan Cikgu Harun.
Zurina, walaupun apapun dugaan yang datang, jangan mudah rebah. Jadikan hinaan itu pembakar semangat untuk awak buktikan bahawa awak bukan lemah dengannya. Sebaliknya awak boleh jadi lebih baik dari sebelumnya. Buktikan Zurina. Biar orang yang menghina awak itu sedar bahawa menilai orang bukan dari luaran sebaliknya dari dalaman.
Bicara Cikgu Harun bagai siraman air yang menyedarkan aku dari terus dibelenggu peristiwa yang pernah memalukan aku satu ketika dahulu. Peristiwa yang meletakkan aku tak ubah seperti seorang perempuan yang terlalu hina untuk cinta seorang lelaki bernama Muhaimi Mansor.
Mulai hari ini, aku nak kau ingat bahawa aku, Muhaimi Mansor tidak akan sama sekali jatuh cinta dengan kau, Zurina Ali. Full stop!
Ayuh Zurina. Buktikan kamu boleh berjaya.
Ya Zurina harus bangkit! Zurina harus buktikan yang dia boleh berjaya disebabkan hinaan daripada Muhaimi Mansor. Zurina tidak akan kalah apatah lagi mengalah. Ayuh Zurina, buktikan!
~Bersambung~
No comments:
Post a Comment