BAB
6
“Baru
bangun tidur?” sapa Mak Cik Bibah sebaik terpandang susuk tubuh Aniyah di muka
pintu dapur.
Aniyah
yang masih ‘mamai’ mengangguk lemah. Walaupun tubuhnya sudah ‘disegarkan’
dengan jurusan air tetapi dia masih berasa penat. “Penatlah Mak Cik Bibah,” adu
Aniyah seraya mencapai gelas di rak. Dia melangkah lemah ke arah jug air di
atas meja.
Mak
Cik Bibah tersenyum. “Mula-mula masuk kerja memanglah begitu. Tambah pula bila Niya
tidur lepas Asar.”
Aniyah
tersengih lemah. Faham benar dia dengan kata-kata terakhir Mak Cik Bibah itu.
Wanita itu memang tidak gemar jika dia tidur selepas Asar. Selalu orang tua itu
menegurnya tetapi kerana kepenatan dia selalu terlupa.
“Jambu
air ada lagi dalam peti sejuk,” beritahu Mak Cik Bibah sambil mengelap
permukaan periuk nasi dengan kain yang berada di tangannya.
Aniyah
kembali bertenaga sebaik sahaja mendengar ayat itu. Hilang sudah penat di
tubuhnya sebaik nama buah kesukaannya disebut. Dia memang pantang kalau
mendengar buah itu. Rasa teruja membuak-buak dalam dirinya. Dia segera
mendapatkan peti sejuk tiga pintu di sebelah kabinet dapur. Pantas tangannya menarik
bahagian tengah peti sejuk yang berwarna kelabu itu kerana kebiasaannya
buah-buahan yang sudah dipotong akan diletakkan di situ.
Senyuman memekar di bibir Aniyah sebaik
terpandang buah jambu air yang sudah siap dipotong di dalam pinggan kaca. Segera dia menarik
pinggan yang berisi jambu air itu. Pintu
peti sejuk ditutup semula. Lantas dia segera berjalan menuju ke arah meja
makan.
“Buah
ni macam pernah makanlah Mak Cik Bibah. Rasa dia macam sama dengan....”Aniyah
terdiam seketika. Otaknya laju berfikir sambil sepotong lagi jambu air dimasukkan
ke dalam mulutnya. Perlahan-lahan dia menggigit jambu air yang dicecah sambal rojak
Mak Bee. Satu kesukaannya, mencecah buah jambu air dengan sambal rojak itu.
“Nama
pun jambu air. Datang dari manapun sama
sahaja,” komen Mak Cik Bibah sambil meletakkan periuk nasi ke tempat asalnya.
Suis periuk nasi kemudiaannya ditekan.
“Eh,
taklah Mak Cik Bibah. Walaupun nama sama tapi tak semestinya serupa. Dia ada keistimewaannya
yang tersendiri,” bangkang Aniyah, menidakkan komen Mak Cik Bibah.
“Alah
semua itu tak pentinglah. Janji masuk mulut, sedap.” Mak Cik Bibah tersenyum
lewat kata-katanya itu.
“Memanglah...
tapi Niya rasa macam pernah rasa buah ni sebelum ni. Tapi di mana ya??” Aniyah
pasti tidak berpuas hati dengan jawapan Mak Cik Bibah itu. Hatinya berat
mengatakan bahawa buah ini pernah dinikmatinya sebelum ini. Namun dia buntu di
mana dia pernah menikmati buah sesedap ini.
“Kat
R&R kot. Sejak Niya kerja, Niya kan banyak pergi outstation.”
Aniyah
terdiam seketika. Cuba untuk menerima telahan Mak Cik Bibah itu. “Ya kot,”
jawab Aniyah. Akhirnya dia mengiakan kata-kata Mak Cik Bibah. Namun kenapa hatinya berat mahu
mengakuinya? Dia dapat merasakan bahawa bukan di R&R dia menikmati buah
ini. Namun dia tiada alasan untuk membangkang. “Buah dia macam jambu madu. Sedap sangat.
Kalau ada dusun dia, Niya nak buat rumah kat situ!” Aniyah mula memasang
angan-angannya. Bibirnya merekah dengan senyuman manis.
Mak
Cik Bibah hanya mampu memandang Aniyah tanpa sebarang kata-kata. Tidak seperti
tadi, setiap kata Aniyah akan dibalasnya. Baginya, biarlah Aniyah dengan
kata-katanya yang berisi angan-angan itu. Dia tidak mahu mematahkan selera
gadis itu. Dia takut kata-katanya nanti
boleh menganggu selera Aniyah kalau dikhabarkan dari mana datangnya buah itu.
Selagi boleh berahsia, dia akan cuba untuk lakukannya.
“Mak
Bibah!!”
Kedengaran suara nyaring Datin Samsiah dari
arah ruang rehat. Bunyinya cukup kuat dan lantang sehingga mengejutkan
Mak Cik Bibah dan Aniyah yang sedang berada di dapur. Mak Cik Bibah mengurut dadanya sambil
memandang wajah Aniyah yang juga pucat tidak berdarah. Jelas kedua-dua terkejut
dengan suara itu.
“Mak Cik Bibah pergi ke dalam dulu,” pamit
Mak Cik Bibah sebelum segera bergerak meninggalkan Aniyah di dapur.
Aniyah hanya mampu menggeleng melihat aturan langkah
Mak Cik Bibah yang tergesa-gesa dan kelam-kabut. Faham benar dia mengapa orang tua itu jadi
begitu. Sudah tentu Mak Cik Bibah takut tiba lewat di ruang rehat. Aniyah sudah masak sangat dengan perangai
mummynya yang pantang orang lewat sedikit muncul di hadapannya. Pasti akan
kedengaran suara kerasnya. Sesungguhnya dia berasa simpati dia dengan nasib
yang menimpa Mak Cik Bibah. Namun apalah dayanya untuk bersuara membela andai
nasib dirinya sendiri pun tidak terbela.
Aniyah menghentikan suapannya. Perutnya sudah
penuh berisi buah jambu air. Memang banyak buah itu disumbat ke dalam perutnya.
Hanya tinggal beberapa potong sahaja yang masih berbaki di dalam pinggan.
Lantas pinggan itu diangkat lalu disimpan semula ke dalam peti sejuk. Dia mara mendapatkan sinki. Kepala pili air dipulas. Air pili menderu keluar. Pantas dibasuh tangannya itu sebelum menutup
kembali pili air.
“Benda
apa tu Mak Cik Bibah?” soal Aniyah sebaik terpandang kelibat Mak Cik Bibah
sewaktu dia berkalih ke belakang. Kertas putih di tangan Mak Cik Bibah
dipandang penuh tanda tanya. Dia dapat melihat ada perkataan yang tercoret di
atas kertas itu. Namun dia tidak pasti apa perkataannya kerana tulisnya
bersambung dan agak kecil saiznya. Tambah pula waktu ini dia tidak memakai
cermin mata separuh bingkainya. Memang kabur pandangan matanya.
“Mummy kamu suruh Mak Cik Bibah beli barang.
Lusakan hari jadi adik kamu!”
Oh itu sebenarnya. Nampaknya tradisi
menyambut hari jadi Dhaniyah akan diteruskan. Aniyah hanya mampu memendam sahaja perasaan hibanya.
Mummynya tidak pernah berbuat begitu padanya. Entah-entah tarikh lahirnya yang
jatuh pada bulan tujuh pun tidak ingat.
“Niya..” panggil Mak Cik Bibah lembut.
Aniyah mengangkat muka. Dia tersenyum. Cuba
menutup perasaannya.
Namun senyuman itu cukup hambar pada pandangan
Mak Cik Bibah. Lantas orang itu datang merapati tubuh Aniyah. Dipaut tubuh itu
ke dalam dakapannya. “Sabar ya,” pujuk Mak Cik Bibah lembut.
Aniyah sekadar mendiamkan diri dalam pelukan
Mak Cik Bibah.
“InsyaALLAH satu hari nanti ALLAH pasti akan
buka pintu hati mummy Niya,” pujuk Mak Cik Bibah sekali lagi. Bahu Aniyah
dirangkul erat.
Begitulah cara yang selalu Mak Cik Bibah lakukan setiap kali
memujuk Aniyah. Dia akan memeluk tubuh itu sambil memberi kata-kata semangat
kepada Aniyah. Itu sahaja yang dia mampu lakukan selain menyalurkan rasa kasih sayangnya pada
gadis itu.
***
“Mummy..mummy
tengok ni..”
Tumpuan Aniyah pada surat khabar di
tangannnya terganggu. Kemunculan adiknya di ruang rehat menarik perhatiannya.
Dia mengekori gerak lenggok adiknya dengan ekor anak mata.
Dhaniyah melabuhkan punggung di atas sofa. Dia
duduk bersebelahan dengan Datin Samsiah. Pants Dhaniyah menyuakan katalog
kepada Datin Samsiah. Terangkat kening orang tua itu saat menyambut katalog
yang dihulurkan anak bongsunya.
“Cantik tak handbag ni?” soal Dhaniyah pada
Datin Samsiah sambil jari runcingnya menunding ke arah satu gambar.
“Cantik. Edisi terbaru ker?” suara Datin
Samsiah nampak teruja.
“Mestilah mummy. Katalog ni baru sampai kat
rumah tadi,” balas Dhaniyah tersenyum lebar. Barisan giginya yang tersusun kemas terpamer
sebaik segaris senyuman mengutum di rekahan bibirnya.
“Cantiklah Dani!” puji Datin Samsiah. Gambar
beg yang terpamer di katalog ditatap penuh minat.
“Mestilah mummy. Tengoklah taste siapa,” puji Dhaniyah pada dirinya
sendiri.
Datin Samsiah tersenyum lebar. “Memang
cantik. Tapi mummy suka warna hitam lagi daripada warna pink.”
“Alah mummy ni. Hitam mana sesuai untuk Dani.
Itu taste orang tua macam mummy
bolehlah!” bentak Dhaniyah. Panjang
muncungnya terbit gara-gara tidak bersetuju dengan pilihan mummynya.
Aniyah terpaku mendengar ayat adiknya itu. Baginya
ayat itu kedengaran agak kasar dan keterlaluan. Namun anehnya tiada rasa
bersalah di wajah adiknya itu. Sebaliknya terlukis riak kecewa dek kehendaknya
cuba disanggah.
“Amboi anak mummy. Ingat mummy ni dah tua sangat
ker?” marah Datin Samsiah manja.
Dhaniyah ketawa kecil. Hilang sudah wajah
tidak puas hatinya. Lengan Datin Samsiah diraih. “Eh mummy tak tualah. Datin
Noha lagi tua.”
Aniyah ketawa jelak dalam hati. Meluat dia
dengan ayat manis adiknya itu. Senyuman mummynya dipandang dengan ekor mata.
Terbayang wajah Datin Noha yang selalu dimomokkan dengan perkara tidak elok.
Namun anehnya apabila bersemuka, boleh pula mummynya berlaga pipi dengan wanita
yang dikutuknya habis-habisan. Berpelukan mesra lagi. Dunia oh dunia. Semuanya
penuh hipokrit semata-mata. Moga ada belas ihsan ALLAH untuk membuka pintu hati
hamba-hambaNya.
“Mummy okeykan kalau Dani minta Eddy belikan
handbag ini untuk birthday present
Dani?”
Serta-merta dada Aniyah dipalu hebat. Ya
ALLAH dugaan datang lagi. Namun tiba-tiba dia teringat sesuatu.
Ah, aku bukan ada kena-mengena pun antara
mereka. Peduli apa aku dengan semua ini. Lekas Niya menyambung semula pembacaannya
pada keratan akhbar di tangan.
“Not
bad. Hmm.. RM 5000, mummy rasa Eddy tak ada masalah. Anak boslah katakan.”
Serta-merta tawa Dhaniyah dan Datin Samsiah
berpadu memenuhi ruang rehat sehingga mengganggu tumpuan Aniyah yang
sememangnya sudah lama terganggu.
No comments:
Post a Comment