Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Thursday, November 22, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 16)


Bab 16

Pengalaman pertama menunggu pengangkutan awan di waktu pagi benar-benar mengajar Aniyah erti bersyukur pada kesenangan yang dia ada selama ini. Walaupun tidaklah sejauh mana perjalanannya dari rumah banglo keluarganya menuju ke perhantian bas tetapi setiap langkah itu sangat bermakna buatnya. Lebih daripada itu, dia kini dapat merasai bagaimana perasaan mereka-mereka yang hari-hari dilihatnya setia menunggu pengangkutan awam. Bukan mudah rupanya terutamanya bagi dirinya yang langsung tidak ada pengalaman. Waktu bila ada bas lalu, waktu bila teksi ada. Semua itu ilmu baru baginya.
            Sudah beberapa teksi yang dia terlepas. Semuanya kerana penuh dengan penumpang. Kelibat bas pula hanya beberapa buah yang melintas tetapi semua itu tidak menghala ke destinasinya. Lantas disabarkan dirinya untuk terus menunggu dalam keresahan. Masakan tidak dia bimbang. Waktu pejabat makin dekat! Ini bermakna waktu pembentangan makin hampir. Dia gundah sendirian. Makin sakit kepalanya menanggung tekanan masa yang dihadapinya.
             Nampaknya dia tidak ada pilihan melainkan menghubungi pembantunya. Dia perlu memaklumkan kepada pembantunya tentang apa yang sedang dialaminya agar tidak kecoh nanti. Pantas dia meletakkan beg laptop yang dipegangnya di sisi kanannya. Beg tangan yang diribanya, dia selongkar.
            Pin!! Pin!!!
            Aniyah terkejut di saat bunyi hon kedengaran kuat berhampiran dengannya. Dia yang menunduk, pantas mengangkat kepala.
            “Masuklah!” jerit suara dari dalam kereta. Cermin kereta di sebelah pemandu yang diturunkan membolehkan suara lauangan itu kedengaran.
            Aniyah yang terkejut dengan kehadiran kerata BMW memandang tidak berkelip ke arah pemandunya.
            “Apalagi yang tercegat tu!” Ketegasan lantunan suara itu bagai mengembalikan perhatian Aniyah yang tadinya agak terpinga dengan kehadiran hamba ALLAH itu. Dia mengeluh keras. Matanya terus dilarikan semula pada beg tangannya. Dia pura-pura tidak mengenali hamba ALLAH itu. Dia kembali menyelongkar beg tangannya.
            “Agak-agak ada yang nak kena angkat masuk kot!” Sindiran pedas itu membingit telinga Aniyah.
            Sibuk aje. Dah tahu orang tak nak, berambus ajelah! Tak suruh pun datang. Gerutu Aniyah geram dan marah.
            “Nurulain Fatinah Aniyah, awak tahu tak yang waktu pejabat semakin dekat. Jangan nak buat drama kat sini pula!”
            Eh mamat ni!
Itu yang terbeku di hati Aniyah di kala ini. Dia memang tidak berpuas hati dengan bicara hamba ALLAH itu. Namun nasib baik pada waktu itu ada teksi berhenti perlahan-lahan di belakang kereta BMW itu. Kalau tidak, memang dah kena sedas lelaki itu dengannya. Aniyah pantas bangun apabila melihat seorang penumpang keluar dari teksi itu.
            “Nak pergi mana, ha?”
            Eh mamat ni. Suka hati dia aje nak tempik aku dan halang langkah aku!
Bentak Aniyah apabila langkahnya dihalang tubuh sasa lelaki itu yang tiba-tiba menerpa ke arahnya. Gila!
            “Waktu pejabat semakin dekat. Jangan nak buat drama kat sini pula!” Gerutu Aniyah membalas balik kata-kata lelaki itu. Dia ingin melangkah pergi tetapi dia kandas lagi. Tubuh sasa itu menjadi penghalangnya.
            Don’t play with me!” tegas suara jantan itu bersama jegilan biji matanya yang hampir mahu terkeluar. Dengan serta-merta tubuh Aniyah yang berlapik sut kerja diseret ke keretanya. Daun pintu di bahagian penumpang hadapan ditarik sebelum ditolak tubuh Aniyah masuk ke dalam. “Jangan berani nak keluar. Kalau tak, memang siap kena!” Amaran itu keras kedengaran. Tidak langsung diendahkan perasaan Aniyah.  Serta-merta pintu di tempat Aniyah duduk dihempas kuat membuatkan bahu Aniyah terangkat dek terkejut dengan tindakan itu. Hampir mahu terputus tangkai jantungnya.
            Sudahnya Aniyah tersandar lemah. Matanya hanya mampu menyoroti langkah lelaki itu yang berjalan menuju ke teksi. Melalui cermin pandang belakang juga, Aniyah dapat melihat lelaki itu tersenyum sambil berjabat tangan dengan pemandu teksi melalui cermin tingkap di bahagian pemandu teksi. Aniyah mengeluh di luar sedar.
***
            Sorry untuk tadi.” Setelah setengah jam perjalanan terbiar beku tanpa bicara, akhirnya Saiful membuka mulut mengalah. “I tahu you tak suka dengan tindakan I tadi. I tahu tindakan  I tu agak keterlaluan.” Suara bersalah terus beralun di setiap patah kata yang disampaikan lelaki itu. Nampak jelas dia kesal dengan apa yang sudah dia lakukan. “Tapi entahlah, I..” Kali ini bicaranya tersekat. Terlalu sukar baginya untuk mengungkapkan ayat itu sepenuhnya. Aniyah di sisi dikerling. Gadis itu diam tidak bereksi. Pandangan di cermin langsung tidak dikalih waima seinci. Makin menggunung rasa bersalahnya pada gadis itu.
            “Aniyah...” panggil Saiful lembut. Dia cuba menarik perhatian gadis itu. Matanya yang tadinya sudah kembali mengadap jalan, kini kembali semula menjeling ke arah gadis di sebelahnya.  Namun Aniyah masih lagi dilihat seperti tadi. Gadis itu langsung tidak mahu memandang ke arahnya. Jelas kemarahan dan kebencian gadis itu padanya masih menggunung.
            I tahu..”
            “Boleh cepat sikit tak.  I dah lambat ni. Waktu pejabat semakin dekat!” potong Aniyah membuatkan Saiful terpaku mendengar. Hilang seketika ayatnya. Dia terasa tersindir dengan ayat terakhir daripada gadis itu.
            Perlahan-lahan Saiful menghela nafasnya. “Kita pergi makan, ya. I tahu you belum makan lagi. Tadi I ada call rumah family you. Mak Cik Bibah ada cakap yang you belum makan,” pujuk Saiful.
            Aniyah mengetap rapat bibirnya. Kini barulah dia tahu bagaimana lelaki ini tahu kedudukannya. Rupa-rupanya...Ah, suka sangat menyibuk hal orang!
            I tak mahu makan!”
            You mesti makan. You dahlah sakit. Nanti bertambah-tambah sakit you kalau tak makan,” tutur Saiful masih lagi berlembut walaupun hatinya mula kembali terasa panas dengan tingkah yang ditunjukkan Aniyah.
            I dah lambat! I  tak nak dicop makan gaji buta. Tak beretika dalam berkerja. I bukan anak pemilik syarikat yang suka-suka hati boleh masuk syarikat. I hanya perkerja yang tertakluk pada undang-undang syarikat!” Suara tegas Aniyah terus melantun. Dengan Saiful, dia tidak peduli siapa lelaki itu. Tambah pula kedudukan mereka masih belum lagi di pejabat. Jadi kelebihan ini dipergunakan sepenuhnya.
            Walaupun kata-kata Aniyah itu makin membakar hati Saiful tetapi lelaki itu sedaya upaya cuba berlagak tenang di sisi Aniyah. “Tak apa. You dengan I. Jadi jangan terlalu memikirkannya. Anggap aje kita keluar makan.”
            Sepantas itu Aniyah menjeling ke arah Saiful.
Senang betul lelaki ini berkata-kata. Dia tidak tahu ker yang mulut di pejabat itu bukan seorang dua yang kuat bergosip. Alih-alih nanti, dirinya juga yang dicop dengan pelbagai gelaran. Perempuan tak sedar diri.  Kaki Glamour.  Kaki bodek.  Kaki Ampu dan segala-galanya lagi!
            “Kita pergi makan,ya?” Saiful tersenyum sambil memandang sekilas pada Aniyah yang masam mengalahkan mempelam muda.
            “Kalau awak nak pergi makan, awak pergi sorang-sorang. Saya boleh ambil teksi!” Tegas Aniyah tidak mahu bertoleransi dalam hal ini.
            Sudahnya Saiful tidak jadi mahu berhenti di mana-mana kedai makan. Dia amat kenal dengan sikap keras kepala Aniyah. Kalau itu katanya, itulah tindakannya. Tiga bulan mengenali gadis ini, dia sudah cukup masak perangai Aniyah. Namun dia tidak pasti, adakah kisah silam yang menjadikan gadis itu seperti ini atau memang begini dirinya. Ah, timbul pula kekeliruan di fikiran Saiful tentang perangai gadis di sebelahnya.
            Make sure you ambil sarapan. Kalau tak, siap! I heret you pergi makan.” Kali ini intonasi Saiful sedikit tegas. Namun nadanya masih lembut.
            Sibuk! Sibuk! Sibuk!
Aniyah menyumpah Saiful dalam hatinya. Geram betul dia mendengar arahan diktator daripada Saiful itu.
            “Dengar tak?” soal Saiful masih tegas.
            “Boleh tak jangan nak menyibuk. Mulut I, suka hati I lah nak makan ker tak. Kalau sakit, badan I. Bukan you!” Lantang Aniyah membalas.
            “Suka hati I lah nak heret you. Company tu milik bapak I. I boleh buat apa yang I suka!” balas Saiful selamba.
            Aniyah mendengus. Benci betul dia mendengar.
Sombong bukan main. Mentang-mentang aku kuli, dia boleh sesuka hati mahu berbuat apa-apa. Ingat aku ni buta hak pekerja ker!
Namun kebencian itu hanya dimamah dalam hati. Malas Aniyah mahu membalas. Lebih-lebih apabila kereta yang dipandu Saiful sudah sampai di pondok pengawal.
            “Terima kasih,” ucap Aniyah perlahan sebelum membuka pintu kereta. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi takkan buat tak tahu sahaja. Lantas dia bergerak keluar. Pintu kereta ditutup. Dia harus segera masuk ke pejabat. Dia sudah kesuntukan masa.
            “Niya....” Panggilan itu mematikan langkah Aniyah. Dia memusing kepalanya ke arah Saiful. Susuk tubuh Saiful yang berdiri di sisi kereta diperhati dengan pandangan penuh tanda tanya.
            “Kasih diterima,” ucap Saiful lembut dan telus. Pandangannya redup pada Aniyah yang terkesima memandangnya.
            Aniyah yang pada mulanya terkaku, segera tersedar. Lantas dia terus menyambung langkahnya yang terbantut gara-gara ditegur lelaki itu. Nafasnya ditarik berulang kali. Cuba direda perasaan aneh yang terlalu pantas menyapa hatinya.
***

No comments:

Post a Comment