Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Thursday, November 29, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 21)

Bab 21

“Eh bukan bos kita pergi PD ker tadi?”
            “I pun rasa dia pergi PD. Ada mesyuarat kat sana. Rasanya dua malam dia kena ada kat sana.”
            Perbualan semalam terus teringang-ingang di pendengaran telinga Aniyah sehingga ke hari ini. Tidak semena-mena, dia mula memikirkan sesuatu. Pantas dia memandang susuk tubuh Mak Cik Bibah yang sedang sibuk mengemas bilik yang sememangnya sudah kelihatan kemas.
            “Mak Cik Bibah...” panggil Aniyah lembut.
            Mak Cik Bibah yang sedang mengelap almari kecil segera menoleh ke arah Aniyah. “Ada apa?” tanya wanita itu.
            “Niya nak cakap sikit dengan Mak Cik Bibah.” Aniyah memulakan mukadimahnya.
            “Apa benda, Niya?” soal Mak Cik Bibah dengan dahi berkerut.
            Aniyah mengukir senyuman.  Lengan Mak Cik Bibah ditarik supaya orang tua itu duduk dekat dengannya.
Dengan rasa pelik, Mak Cik Bibah melabuhkan punggungnya di sisi Aniyah. “Kenapa ni Niya?”
Senyuman Aniyah makin lebar. “Mak Cik Bibah boleh tolong Niya tak?”
“Tolong apa?” Kerutan dahi di hati Mak Cik Bibah makin jelas kelihatan.
Aniyah menarik nafasnya terlebih dahulu. Dia perlukan kekuatan untuk meminta pertolongan wanita ini. Masanya makin suntuk. Dia harus mempergunakan ruang masa yang ada ini untuk bertindak. “Mak Cik Bibah boleh tak tolong cakap kat doktor yang Niya nak balik rumah!”
Terkejut Mak Cik Bibah mendengar permintaan gadis di sebelahnya. “Mana boleh Niya. Niya bukan sihat lagi. Doktor kan dah pesan suruh Niya berehat di hospital.”
Muncung Aniyah sudah mula terbit. Dia sedih mendengar kata-kata Mak Cik Bibah itu. “Alah Mak Cik Bibah, bolehlah pujuk doktor. Niya rimaslah duduk dalam bilik ini. Bosan,” rayu Aniyah sambil menggoncang lengan Mak Cik Bibah.
“Niya...” Suara Mak Cik Bibah lembut. Jari-jemari gadis itu diusap lembut. “Tak boleh macam tu. Badan Niya masih panas. Demam belum kebah. Batuk dan selesema pun masih teruk. Eloklah Niya duduk kat hospital. Nanti senang doktor nak rawat,” pujuk Mak Cik Bibah dalam intonasi lembut.
Keluhan terlontar di celah bibir Aniyah. “Tapi Niya bosan sangat duduk sini. Sehari macam setahun duduk dalam penjara. Seksa Niya rasa duduk kat sini,” rungut Aniyah melontarkan rasa hatinya. “Lagipun kalau Niya duduk berehat kat rumah, Mak Cik Bibah tak perlu lagi susah payah datang sini. Jimat masa, jimat tenaga.”
“Mak Cik Bibah tak kisahlah semua itu. Mak Cik Bibah tak rasa terbeban pun buat semua ini,” sela Mak Cik Bibah.
            Aniyah mengeluh. Nampaknya pujukannya tidak menjadi. Namun memikirkan ketidakselesaan dia berada di kamar serba putih ini, Aniyah pantas meneruskan niatnya.
            “Mak Cik Bibah, tolonglah Niya. Niya betul-betul tak tahan duduk sini. Bosan sangat-sangat. Biarlah Niya balik berehat kat rumah. Niya lebih selesa kat sana,” rayu Aniyah dengan muka simpati.
            Kali ini giiran Mak Cik Bibah pula mengeluh. “Susah Mak Cik Bibah nak buat keputusan. Lagipun Mak Cik Bibah dah janji dengan Epul nak jaga Niya kat sini.”
            “Alah Mak Cik Bibah. Dia bukan ada kat sini.” Pantas Aniyah membalas dengan wajah penuh pengharapan.
            “Niya tahu dia tak ada?” soal Mak Cik Bibah hairan.
            Aniyah mengangguk. “Bolehlah Mak Cik Bibah,” rayu Mak Aniyah separuh mendesak. “Niya tekan ya.” Tanpa menunggu jawapan daripada Mak Cik Bibah, loceng di dinding ditekan.
            Tidak perlu menunggu lama, akhirnya seorang jururawat masuk dengan wajah kerisauan. “Ada apa-apa?”
            Aniyah memandang wajah Mak Cik Bibah sehingga membuatkan Mak Cik Bibah jadi tidak sampai hati melihat memek muka penuh pengharapan yang terlukis di wajah Aniyah. “Doktor ada?” soal Mak Cik Bibah saat memandang wajah jururawat di hadapanya. Pertanyaan itu pantas menerbitkan senyuman di wajah Aniyah.
            “Doktor tengah rawat pesakit. Kalau ada masalah, saya boleh bantu.”
            Sekali lagi pandangan mata Mak Cik Bibah dan Aniyah berpaut. Rasa simpati makin erat bergayut di hati Mak Cik Bibah saat memandang sepasang mata Aniyah yang redup memandangnya. Perlahan-lahan Mak Cik Bibah kembali memandang jururawat yang berdiri di hadapan. “Mak cik ingat nak bawa baliklah anak majikan mak cik ini. Tak sedap hati biar dia duduk jauh dari mak cik.”
            “Tapi Cik Niya masih belum sihat lagi.”
            “Mak cik tahu tapi mak cik boleh jaga dia. Mak cik rayu sangat-sangat agar anak majikan mak cik boleh keluar segera.”
            Jururawat itu kelihatan serba-salah. “Nanti saya tanyakan pada doktor dulu.”
            Aniyah tersenyum lebar saat melihat jururawat itu beredar dari bilik yang didiaminya.
            “Sayang Mak Cik Bibah.” Tubuh gempal Mak Cik Bibah dipeluk. “Minta-minta doktor bagi balik. Niya memang dah tak tahan duduk sini,” tutur Aniyah gembira.
            “Kamu ni Niya, sakit-sakit pun nak degil. Tak mahu dengar arahan doktor,” omel Mak Cik Bibah tentang perangai anak majikannya yang seorang ini.
            Tersengih Aniyah mendengar omelan pembantu rumah keluarganya. “Alah Mak Cik Bibah, bukan Niya degil tapi Niya memang tak boleh tahan duduk lama-lama kat sini. Sehari Niya bermalam di sini, rasa macam terseksa.” Tubuh Mak Cik Bibah terus melekat di tubuhnya.
            “Kamu tu masih tak sihat. Badan kamu ni panas lagi.”
            “Kat rumah pun boleh berehat Mak Cik Bibah.”
            “Ya ker boleh berehat????” Suara keras itu menyentak perhatian Aniyah dan Mak Cik Bibah. Pantas kedua-duanya berpaling ke arah suara itu. Aniyah tercengang. Mak Cik Bibah termangu. Saiful! Aniyah menelan air liur.

2 comments:

  1. ditag : http://bielasesame-blogstreet97.blogspot.com/2012/11/2012-give-away-by-izzahlt-dan-ira-arina.html hehe.. salam perkenalan dari saya. :)

    ReplyDelete