Dengan semangat yang tiba-tiba datang meresap ke dalam diriku, aku nekad untuk bangkit. Bangkit mengutip kepingan maruahku yang telah dipijak-pijak lelaki bernama Muhaimi Mansor.
Aku tidak akan izinkan dia kembali melakukannya waima sekali. Tidak! Aku tidak akan izinkan! Malahan aku akan buktikan, aku bukan mudah lemah dengan tohmahannya. Sebaliknya aku ingin buktikan bahawa aku insan yang kuat. Maruahku bukan untuk dipijak sebaliknya untuk dihormati.
Terima kasih Muhaimi Mansor kerana menghadiahkan aku sesuatu yang akan aku manfaatkan sepenuhnya!
Tanganku mencapai kalendar di atas meja. Kalendar itu kuselak. Mataku terpandang bulatan berwarna hitam. Nampaknya tinggal lagi sebulan lagi sebelum peperiksaan sebenar SPM akan berlangsung. Masih ada lagikah masa untukku mengulangkaji pelajaran?
Kerisauan menghantui aku. Aku bimbang memikirkan jika aku tidak cukup masa untuk mempersiapkan diriku dengan rapi sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.
“InsyaALLAH, kamu boleh. Kamu dah buktikan dalam percubaan kamu. Jangan terlalu memikirkannya sangat. Buat biasa sahaja. Isikan masa yang ada dengan belajar dalam keadaan tenang. Jangan lupa berdoa pada ALLAH.”
Aku menarik nafas, cuba meredakan diriku yang sedang diamuk tekanan. Teringat pertemuan aku dengan Cikgu Harun. Disebabkan terlalu tertekan, aku nekad bersemuka dengan guruku itu. Alhamdulliah, kata-kata positif Cikgu Harun itulah kubuat terapi pada diriku.
“Buat elok-elok, Zu. Doa banyak-banyak supaya tenang menjawab dan dipermudahkan,” pesan nenek ketika aku bersalam dengannya. Hari ini, hari pertama aku menduduki peperiksaan SPM.
“Nenek doakan untuk Zu, ya,” pinta aku seraya mencium tangan tua nenek.
Nenek tersenyum padaku. “Nenek sentiasa doakan yang terbaik untuk cucu nenek ni.”
Aku membalas senyuman nenek. “Terima kasih nenek.” Aku pantas memeluk tubuh tua itu dengan penuh kasih sayang.
Hiduplah dalam keberkatan. Orang yang berjaya, hidupnya selalu mendapat redha daripada penjaganya. Ingatlah ALLAH akan memberi keberkatan yang tidak terhitung pada mereka yang selalu diredhai hidupnya.
“Terima kasih Cikgu Harun atas nasihat cikgu yang tidak putus-putus pada saya.”
****
Aku tersenyum ketika terserempak dengan Cikgu Harun. Dia membalas senyumanku seraya berjalan menghampiriku.
“Dah bersedia nak berjuang?” tanya Cikgu Harun dalam jenaka.
Aku ketawa kecil. “InsyaALLAH cikgu. Doakan saya boleh buat yang terbaik.”
“InsyaALLAH, cikgu yakin kamu boleh buat.”
Aku tersenyum lebar sebelum meminta diri kerana sedar yang aku sudah lewat. Tergesa-gesa juga aku memijak anak tangga menuju ke dewan peperiksaan sehingga membuatkan aku hampir terlanggar seseorang.
“Sorry,” ucap aku seraya mendongak. Mahu terputus jantungku saat bertembung dengan dia. Muhaimi!
Kami berpandangan sebelum aku bergegas meninggalkannya. Semenjak kejadian itu, aku nekad untuk berubah. Dirinya tidak pernah aku pedulikan. Bukan berdendam tetapi aku tahu itu yang lelaki itu mahukan daripada aku. Siapalah aku padanya. Hanya seorang gadis yang gemuk dan pendek. Seorang gadis yang tidak layak untuk ditagih rasa cintanya.
Kemesraan antara Muhaimi dengan Linda yang terbentang di hadapanku, tidak sedikitpun mencuit hatiku. Aku sudah lali dengan semua itu. Memang mereka pasangan yang sepadan. Dua-dua pengawas. Dua-dua ada rupa. Semoga jodoh mereka panjang dan berkekelan
*****
Aku menyibukkan diriku dengan berbual tentang beberapa perkara dengan Rohayu. Banyak cerita yang kami kongsi bersama. Sedikit sebanyak topik perbualan di luar bidang peperiksaan dapat mengusir rasa debar kami sementara menanti pengawas peperiksaan memanggil kami masuk ke dalam dewan peperiksaan.
“Good luck Zu,” ucap Rohayu padaku ketika pengawas peperiksaan memanggil kami masuk ke dalam dewan peperiksaan.
“Good luck untuk awak juga, Ayu,” balas aku sambil berbalas senyuman dengan temanku itu.
***
Alhamdulliah, syukur ke hadrat ALLAH atas rezekinya. Keputusan yang keluar membuatkan aku berasa bersyukur dan gembira. Orang pertama aku khabarkan, pastinya nenekku.
“Alhamdulliah. Nenek nak buat sujud syukur.”
Aku gembira mendengar suara nenek di hujung talian. Setitis air hangat mengalir. Syukur Ya ALLAH kerana izinkan aku mengembirakan insan yang kusayangi.
“Mantaplah kau beb!”
Aku tersenyum. “Kau pun apa kurangnya,” balas aku.
“Best student tuh.”
Aku tersenyum lagi saat mendengar kata-kata Rohayu.
“Mungkin rezeki aku. Alhamdulliah.” Pesanan nenek aku jadikan panduan. Jangan ada riak dengan nikmat ALLAH. Bersyukurlah padanya kerana anugerah itu pemberianNYA.
“Kau memang deserve, Zu. Berbaloi mengadap buku sampai lewat pagi. Buat latihan sampai tercabut kulit buku.”
Aku tergelak mendengar bicara Rohayu. “Sempat kau perli aku ya!”
Rohayu ketawa.
“Zurina, Rohayu..”
Teguran itu mematikan tawa kami. Aku dan Rohayu menoleh ke belakang. Kelihatan Cikgu Harun sedang tersenyum pada kami. Kami berbalas senyuman. Namun sempat juga mataku terkesan kelibat Muhaimi yang sedang duduk di atas bangku. Dia sedang memandang ke araku. Aku pantas melarikan pandangan mataku. Aku tidak betah beradu pandang dengannya. Namun sempat juga kuhadiahkan senyuman padanya.
“Tahniah buat kamu berdua.” Suara riang Cikgu Harun menarik perhatianku.
“Terima kasih cikgu,” jawab aku dan Rohayu serentak
“Terima kasih cikgu atas nasihat dan tunjuk ajar cikgu,” sambung aku. Sesungguhnya aku amat terhutang budi dengan jasa guru di hadapanku ini. Memang dialah lilin sebenar. Membakar diri sendiri semata-matanya untuk anak muridnya.
“Sama-sama,” balas Cikgu Harun bersama senyuman mesra. “Selepas ni ke mana?”
“Tunggu tawaran.”
***
Surat tawaran yang datang memberi seribu rahmat buat aku. Aku tersenyum riang sambil mengucap rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat ILLAHI atas limpahan kurniaNYA. Akhirnya impian aku untuk terbang ke negara orang, dimakbulkan. Alhamdulliah.
“Nenek mesti ikut tau,” ucap aku mengingatkan nenek pada janjinya padaku satu ketika dahulu. Kami sama-sama sudah berjanji. Andai aku diterima meneruskan pengajian aku walaupun di mana pun, nenek perlu ada di sisi aku. Aku tidak betah meninggalkannya sendirian. Hatiku jadi tidak keruan membiarkan dia jauh dari aku dalam keuzurannya.
“Jauh sangatlah Zu,” helah nenek.
Namun aku tidak akan lekas putus asa. “Lima tahun sahaja. Lepas habis belajar, Zu janji kita balik semula ke sini.”
Nenek yang sedang memerah santan untuk dibuat gulai ikan kelihatan mengeluh. “Betul?”
Aku mengukir senyuman seraya mengangguk laju. “Betul nenek. Lima tahun sahaja!”
“Yalah.”
Aku tersenyum girang mendengar keputusan nenek.
Berbekalkan wang peninggalan arwah kedua orang tuaku dan biasiswa yang kuterima, aku dan nenek terbang ke bumi Ireland. Sebelum pergi, kami sempat membuat kenduri doa selamat. Ramai tetamu hadir. Paling pasti tentulah Cikgu Harun dan Rohayu. Muhaimi juga aku turut jemput melalui Rohayu tetapi kelibatnya tiada. Aku pasrah dengan kehendaknya.
“Lepas ni berjauhanlah kita ya,” luah Rohayu hiba.
“Dunia dah semakin maju. Yang jauh boleh didekatkan,” pujuk aku cuba membuang rasa hiba temanku itu.
“Janji tau!”
Aku angguk.
***
Lima tahun terlalu pantas berlalu. Pejam celik pejam celik, dunia bagaikan berputar terlalu pantas. Serasa baru semalam aku belajar memakai baju berlapis-lapis, meredah salji, menyalakan bara api di negara orang. Serasa bagaikan baru semalam juga aku menyelak nota kuliah yang penuh anatomi manusia, belajar mendalami ilmu psikiatri, mengenali dunia farmakologi dan pelbagai lagi. Hari ini, bagaikan bermimpi aku sudah berada dalam perut kapal terbang bersama nenek untuk pulang ke tanah air.
Setibanya di lapangan terbang, kepulanganku disambut teman baikku. Siapa lagi kalau bukan Rohayu. Bukan aku meminta berbuat begitu tetapi dia yang mendesak mahu menyambut kepulangan aku dan nenek di lapangan terbang lewat bicaranya ketika kami berbual di internet.
“Walamak. Kau ker ni?”
Aku termangu saat ditegur begitu. Dahiku berkerut. Keningku terangkat.
“Cantik beb. Kau banyak berubah. Makin slim,” ulas Rohayu merungkai pertanyaan di hatiku. “Kenapa tak perasan pun time kita online?” Aku tidak pasti soalan itu diajukan kepada aku atau tidak. Nenek di sisiku tersenyum tanpa bicara.
“Rindu kat aku ker sampai kurus macam ni sekali. Berapa kilo berat kau merundum neh? Jelous aku tengok.”
“Karutlah kau.” Aku berhujah dalam nada senda. “Mungkin faktor kepenatan, kurang tidur dan rehat. Sebab tu aku jadi macam ni.”
Rohayu memandang aku. Aku jadi segan dengan pandangan matanya. “Aku takut malam ni ada yang pengsan tengok kau kat rumah Cikgu Harun.”
Aku termangu.
“Boleh tak kalau aku tak pergi?” tanya aku pada Rohayu. Segan rasa mahu menghadiri majlis doa selamat yang diadakan di rumah guruku itu. Bermacam perasan menghantui diriku.
“Eh tak baik tau kau. Sampainya hati kau buat dia macam tu. Berusaha dia call aku minta make sure kau datang majlis dia. Kau ni, sampai hati betul nak hampakan perasaan orang yang banyak berjasa pada kau.”
Mulalah Rohayu keluarkan ayat psikologi dia. Aku buntu.
Aku tarik nafas sedalamnya sebelum melepaskannya. “Serius segan.” Aku menghantar rasa yang terbuku di hatiku.
Pasti ramai jemputan yang hadir adalah di kalangan mereka yang aku kenali. Pasti ramai guru-guru sekolahku ada di sana. Waktu yang memisahkan membuatkan aku belum bersedia untuk berhadapan dengan mereka. Lebih daripada itu untuk bersemuka dengan teman-teman sekolahku yang pasti ramai akan hadir di majlis itu. Menurut Rohayu, Cikgu Harun mengadakan buffer untuk tetamu yang dianggar lebih daripada 100 orang.
“Alah kau ni. Buat relaks je. Lagipun masa nilah nak jumpa balik cikgu-cikgu kita.” Dengan selamba, Rohayu membalas kata-kataku. Aku mengeluh sendirian.
“Pergi ya..lepas ni bila dah kerja, makin susah kita nak jumpa.”
Nampaknya aku sudah tiada pilihan.
****
Seperti yang aku bayangkan, begitulah yang terjadi. Ramai tetamu yang hadir di majlis ini. Rata-ratanya, aku kenal. Maklumlah, sehingga saat ini Cikgu Harun masih berkhidmat di sekolah yang sama. Sekolah, tempat aku menggali ilmu selama lima tahun. Kehadiran kami disambut isteri Cikgu Harun kerana kebetulan sewaktu kami tiba, Cikgu Harun masih belum pulang dari masjid berdekatan.
“Zurina?” Puan Ainon menegur aku dengan riak penuh terkejut. Aku termangu di sisi Rohayu yang sudah tergelak kecil.
“Kan aku dah cakap,” bisik Rohayu di sisiku. “Mesti cikgu tak percayakan?” Rohayu melantonkan soalan itu pada bekas guru kelas kami dengan senyuman.
Puan Ainon tergelak kecil. “Agaklah. Lain benar. Hampir tak kenal. Nasib baik ada kesan parut kat kening.”
Aku tergelak mendengar hujah Puan Ainon. Alhamdulliah, dengan takdir ALLAH, kesan luka kemalangan telah mendekatkan aku dengan guruku.
“Zurina?” Panggilan itu menarik perhatian kami bertiga. Lantas aku menoleh di sebelah kananku. Cikgu Ainon dan Rohayu juga begitu.
“Benarkah apa yang saya lihat ni?” soal Cikgu Harun dalam nada terkejut bercampur usikkan.
Aku termangu buat sekalian kalinya. Berubah sangat ker penampilan aku?
“Saya pun hampir tak perasan, Cikgu Harun,” sampuk Cikgu Ainon tersenyum sambil menjeling padaku. Rohayu pula sudah tersengih semacam. Aku semakin tidak enak dengan situasi ini.
“Itulah. Lain benar,” sela Cikgu Harun seakan menyokong hujah Cikgu Ainon. “Lama kamu bercuti?”
Kali ini barulah aku berasa selesa dengan topik perbualan. “InsyaALLAH. Dalam tempoh sebulan akan dipanggil bekerja. Buat houseman.”
“Ouh, pilih mana?”
“Sini jelah cikgu,” jawab aku merujuk pada hospital di sini.
Perbualan kami tidak terhenti di situ sahaja. Kami terus berbual. Dari bertiga, bertambah empat dan seterusnya. Macam reunion pun ada.
***
“Zurina...”
Entah berapa kali namaku dilaung untuk hari ini, aku sendiri tidak pasti. Namun aku tetap tersenyum menyambut setiap sapaan yang datang. Namun kali ini senyuman itu bagaikan pudar dengan perlahan-lahan saat pandangan aku beradu dengan pemanggil di hadapanku.
Muhaimi! Bisik hatiku.
Aku yang ketika itu berniat mahu mengambil air untuk diriku dan Rohayu, terbantut seketika dengan sapaan sahabat lamaku itu.
“Masih kenal saya?”
Aku mengangguk tanpa memandangnya dek rasa segan mengepung diriku. Sekian lama terpisah dengan cerita derita, aku jadi segan untuk bertatapan dengannya. Namun untuk melupakan siapa identitinya, aku tidak pernah terdaya melakukannya.
“Sihat?”
Sekali lagi aku angguk pada soalannya. Terasa berat mulutku mahu menjawabnya. Perlahan-lahan tanganku mencapai cawan plastik. Dengan tangan yang sedikit menggeleter, aku tarik pili paip tong berisi air sirap ais. Air merah yang sejuk mengalir memenuhi cawan plastik di tanganku, lantas menghantar rasa sejuk di telapak tanganku. Cawan yang sudah penuh berisi air, kuletak di sisi. Satu lagi cawan plastik, kosong kucapai. Kuulang langkah serupa.
“Minta diri dulu,” ucap aku sebelum berlalu. Wajahnya tidak terdaya kupandang. Maafkan Aku Muhaimi.
*****
Aku kira pertemuan secara tidak sengaja itu adalah pertemuan terakhir antara aku dan dia. Maklumlah, menerusi perbualan bersama-sama teman-teman ketika di majlis Cikgu Harun, aku mendapat info bahawa lelaki bernama Muhaimi sudah berkelana jauh ke Sarawak, menjadi askar di sana. Keluarganya juga turut berpindah ke sana.
Kini takdir sekali lagi menemukan aku dan dia. Pertemuan berlaku tanpa dirancang. Aku sedang bertugas kerana on call dan dia ialah salah seorang daripada pesakit aku. Dia dihantar majikannya ke sini kerana kakinya patah ketika menjalani latihan askar di kem di sini. Sukar untuk aku mengambarkan perasaanku tika ini. Namun aku sedar, aku harus akur pada profesion aku. Aku harus patuh pada nilai profesional yang telah diterap dalam diriku.
“Terima kasih, Zu.”
Aku tersenyum tawar. Tumpuanku kembali pada laporan di tanganku. Aku mencatatkan rekod pesakitku ini. “Petang nanti, buat lagi latihan, ya,” ucap aku tanpa mengalih pandanganku dari kertas di hadapanku.
“Zu teman saya?” soal lelaki itu.
Aku memasukkan pen ke dalam baju kot putihku. “Macam biasa. Nanti Encik Kamal akan bantu awak. Saya akan pantau latihan awak dengan dia,” jawab aku sebelum meminta diri.
***
“Masih ada harapan ker nak sembuh, Zu?” soal Muhaimi pada aku sewaktu aku datang melawatnya di wad.
“InsyaALLAH, tiada apa-apa yang mustahil jika berusaha,” balas aku sambil mencatat tahap kesihatannya.
“Tapi dah hampir sebulan,” keluhnya.
Terhenti pergerakan tanganku. Kepalaku terangkat. Mataku memandang wajah yang muram itu. “Di saat kita sedang kesakitanlah, banyak dugaan datang. Jangan berhenti berharap. Jangan lupa juga untuk terus berusaha serta berdoa. InsyaALLAH, ALLAH sentiasa bersama kita.”
“Mungkin ini balasan untuk saya kerana pernah buat awak terluka.”
Aku kaget. Tidak pernah aku terfikir dia akan berkata seperti itu. Aku menarik nafas lalu melepaskannya. “Allah jadikan sesuatu itu bersebab. Cuma manusia punya pemikiran yang terhad untuk memikirkannya. InsyaALLAH sampai satu saat, kita akan terasa hebatnya hikmah yang ALLAH jadikan melalui peristiwa itu pada kita,” tutur aku cuba memberikan semangat kepada pesakit aku bernama Muhaimi Mansor berdasarkan pengalaman yang pernah aku lalui.
Dahulu, aku juga sepertinya. Kadang-kala mempersoalkan nasib yang menimpa diriku sehingga sampai satu saat aku terasa rebah sendirian. Namun alhamdulliah, aku masih ada insan-insan yang menyayangi aku. Tanpa mereka mungkin aku tidak seperti hari ini. Syukur Ya ALLAH atas takdir yang terlakar buat diriku.
“Awak terlalu baik, Zu.”
“Jangan terlalu memuji saya kerana saya takut saya akan menjadi orang yang paling awak benci,” ucap aku sebelum meminta diri.
***
Petang ini, aku terpaksa memantau latihan pesakit aku bernama Muhaimi tanpa Encik Kamal yang tiba-tiba mengambil cuti kecemasan disebabkan hal keluarga. Hendak tak hendak, aku terpaksa menemani pesakitku ini. Nasib baik, kali ini Muhaimi sudah boleh melakukan latihan secara sendirian, tanpa bantuan. Jika tidak, pasti keadaan agak rumit bagiku. Namun pemantauan masih perlu dilakukan supaya lelaki ini melakukan setiap latihan mengikut kaedah yang telah ditetapkan mengikut keupayaannya.
Aku duduk memerhati lelaki itu melakukan latihan berjalan dengan tangannya memegang kejap pada palang di kiri dan kanannya. Langkahnya masih lagi perlahan tetapi sudah ada sedikit kemajuan. Aku terus memerhati setiap inci pergerakan lelaki itu.
“Awak boleh buat Muhaimi!” ucap aku kepada lelaki itu yang tiba-tiba terjatuh. Muhaimi memandang aku. Aku mengagguk menyakinkannya akan kata-kataku tadi. Lelaki itu tersenyum sebelum perlahan-lahan cuba bangkit kembali dengan berpaut pada palang di sisinya.
“Teruskan Muhaimi. Jangan berhenti berusaha.” Aku terus melontarkan kata-kata semangat buat pesakitku ini. Aku mahu dia terus bersemangat untuk melakukan aktiviti yang akhirnya dapat membantunya berjalan seperti sedia kala.
Dia memandang aku sehingga aku tidak selesa dengan pandangannya itu. Terlalu dalam pandangan yang diberikannya padaku. Salahkah kata-kataku sebentar tadi?
“Terima kasih, Zu. Awak terlalu baik pada saya. Saya sangat malu dengan awak.”
Aku termangu mendengar bicaranya yang sungguh meruntum jiwa wanitaku.
“Terima Kasih, Zu,” ucapnya buat sekian kalinya.
Entah mengapa, aku berasa sebak. Pantas kualihkan wajahku dari pandangan matanya. Tidak betah lagi untuk aku memandangnya di kala ada riak pilu berkocak di hatiku.
****
“Jangan lupa makan ubat ikut waktu. Jangan lupa juga buat latihan. Bukan bermakna awak dah boleh keluar, awak tak perlu lagi buat latihan. Perlu konsisten jika mahu pulih sepenuhnya. Lebih penting, jangan lupa berdoa kepada ALLAH kerana segala-galanya bergantung pada ketentuanNYA,” ucap aku untuk pertemuan terakhir dengan pesakitku yang bernama Muhaimi. Selepas ini, mungkin tiada lagi pertemuan antara kami. Dia mungkin akan kembali semula ke tempat asalnya dan aku masih di sini untuk meneruskan amanahku sebagai seorang doktor.
Aku menulis sesuatu di atas kertas. Kertas itu akan aku serahkan kepada pesakit di hadapanku sebagai panduan kepadanya setelah keluar meninggalkan wad. Harapan aku agar dia akan terus konsisten menjaga kesihatannya.
“Zu...” Panggilan itu mencantas tumpuan aku pada kertas di hadapanku. Kudongak kepalaku.
“Terima kasih.”
Senyuman merekah di bibirku. “Tak perlulah berterima kasih pada saya. Ini sudah tanggungjawab saya,” balas aku.
“Awak terlalu baik, Zu. Beruntung sesiapa yang memiliki hati awak.”
Kalimah itu sangat mengejutkan aku. Terpaku aku memandang seraut wajah di hadapanku.
“Masihkah ada ruang untuk saya memilikinya?”
Sekali lagi aku terkejut. Kali ini lebih hebat. Mataku terkaku memandangnya. Sepantas itu aku terasa dadaku bergetar hebat. Sesaat itu aku memejam rapat mataku. Kucuba cari ketenangan dalam kepayahan. Kehembus nafasku seiring bukaan mataku. Mata di hadapanku masih setia memandangku. Aku pandang sekuat yang kumampu.
“Carilah keikhlasan terlebih dahulu. Baru mencari cinta,” ungkap aku perlahan sambil menyerahkan kertas di tanganku. Perlahan-lahan aku meninggalkan lelaki itu. Tiada istilah dendam di hatiku padanya tapi aku ingin dia tahu, diriku boleh berubah. Aku boleh kembali seperti diriku sebelum ini. Adakah ketika itu dia sudi untuk terus menerima aku atau mencela dan mencaci aku sepertimana yang pernah dia lakukan seperti dahulu? Aku tiada jawapan kerana jawapan itu ada padanya.
Aku tidak mahu mengharap ihsan manusia pada aku. Hati manusia boleh berubah. Cukuplah ALLAH pada aku. Aku yakin jika cinta ALLAH kita raih, insyaALLAH cinta hambaNya juga kita akan peroleh. Cinta ALLAH tidak pernah mengecewakan dan cinta ALLAHlah yang menyatukan dua hati menuju kejayaan hakiki di dunia dan di akhirat, insyaALLAH.
~SEKIAN~
No comments:
Post a Comment