“Mama..mana
papa ni?” rengek Akif manja di sisi Nurin yang sedang menyemak buku latihan
pelajarnya.
“Sekejap lagi papa sampailah,” jawab Nurin ringkas.
Semenjak mendapat teguran daripada Pak Cik Jali, Nurin semakin boleh
berkompromi dengan Syazwan dalam soal penjagaan Akif.
Kadang-kadang dia sendiri tidak faham dengan ayahnya ini. Tidak ada dendamkah
orang tua ini pada keluarga lelaki itu setelah apa yang terjadi? Layanan yang
diberikan ayahnya seolah-olah peristiwa pahit yang pernah berlaku lima tahun
lalu tidak pernah terjadi. Runsing Nurin
dengan keadaan yang berlaku pada ayahnya. Ah ini semua kerja lelaki itu!
Syazwan!
“Mama, papa dah sampai!” Girang Akif sebaik melihat kelibat kereta Syazwan di
hadapan rumah atoknya.
“Ingat, sebelum pukul sepuluh malam. Jangan cuba-cuba nak culik budak ni! Saya
tanam awak hidup-hidup!” Keras Nurin memberi amaran pada Syazwan ketika Akif
berlari mencari atoknya di dapur.
Syazwan tergelak. Culik?
“Mama betul tak nak ikut?” soal Akif buat sekian kalinya. Mukanya persis
merayu agar Nurin mengubah pendirian.
Nurin tersenyum sambil menggeleng. “Mama banyak kerja. Akif jangan nakal-nakal
tau, sayang.” Pipi si kecil itu diciumnya. Berat rasa hatinya mahu melepaskan
si kecil itu pergi. Namun dia terpaksa mengalah untuk kali ini.
****
Hari
ini, Akif mula buat perangai. Dia mogok
tidak mahu makan. Diajak mandi, pun
tidak diendahkan. Disuruh menggaji, dia lekas melarikan diri.
Semuanya gara-gara permintaannya tidak dipenuhi.
Mahu papanya tinggal bersama! Mahu pitam
Nurin mendengar permintaan si kecil itu.
“Akif, papa ni.”
Nurin memang tidak bersetuju dengan cadangan ayahnya yang memanggil lelaki itu
datang ke rumah semata-mata mahu memujuk si kecil Akif. Namun siapa dirinya mahu melawan kata-kata
ayahnya itu.
“Akif, keluarlah. Papa datang ni.” Sekali lagi Syazwan memujuk anak kecil yang
sedang berkurung sendirian di dalam bilik. Permukaan pintu bilik terus diketuk. Namun,
anak kecil itu masih diam tidak beraksi.
Nurin memerhati kehampaan di wajah Syazwan.
“Tak ada kunci bilik ker?” soal Syazwan sambil melabuhkan punggungnya di atas
sofa, berhadapan dengan Nurin.
“Ayah tengah cari dalam bilik dia.”
Syazwan melepaskan keluhan. Dia memusing kepalanya, memandang daun pintu yang masih
terkatup rapat. Dia kecewa lagi. Ternyata Akif memang mewarisi
sifat arwah abangnya yang cepat merajuk dan akan menjadi keras kepala jika
keinginannya tidak dipenuhi.
“Kita tak boleh biarkan perkara ini terus berlaku. Kita perlu berterus terang
dengan dia,” luah Syazwan buat kali kedua. Wajah Nurin yang berubah ditatapnya.
“Sampai bila nak tipu dia? Sampai bila?”
Nurin mengetap bibirnya serapat-rapatnya. Amukan amarah mula menggelegak di
pundaknya. Dendamnya kembali berkocak. “Untuk apa?” seru Nurin keras. Matanya
tajam menikam pandangan mata Syazwan. Dia memang cepat panas kalau hal yang
satu itu dibangkitkan.
“Dia perlu tahu!” tegas Syazwan tetapi masih terkawal nadanya.
Nurin memaling mukanya dari memandang lelaki itu. Dia benci! Pantas dia
bangkit. Langkah diatur meratapi pintu rumah yang dibiar ternganga luas.
“Dia
perlu tahu apa? Cerita apa yang dia perlu dengar?” soal Nurin keras. Dia
menarik nafas sedalamnya, mencari kekuatan untuk berhadapan dengan Syazwan yang
tidak habis-habis mahu membangkitkan kisah hidup si kecil Akif.
Syazwan
diam membisu. Nurin kalih memandang
Syazwan di hadapannya. Nafasnya turun naik dengan pantas. Matanya
mencerlung tajam ke arah Syazwan. Dendam yang tersimpan makin berapi.
“Dia perlu tahu apa? Cerita apa yang dia perlu
dengar? Kisah cinta mama dengan papa dia yang terhalang dek jurang darjat ker? Atau
kisah mamanya yang dihina nenek dan atok
papanya gara-gara dituduh cuba mengikis harta? Mungkin kisah mamanya yang dilayan tak ubah seperti
orang gaji? Atau kisah kematian mama dan papanya yang dirancang semata-mata
mahu memisah cinta suci mereka berdua? Mana satu!” bentak Nurin nampak keras
tapi sebenarnya jauh di sudut hatinya, dia merintih sedih. Sedih
mengingatkan penderitaan yang dilalui kakak kembarnya.
Sudah lama kisah itu dipendamkan, dibiar membeku
sehingga menerbitkan dendam yang tiada surutnya. Hari ini buat pertama kalinya dia memuntahkan
apa yang terbuku di hatinya di hadapan lelaki yang pernah menjadi pengapit
bersamanya di majlis perkahwinan kakaknya bersama dengan abang kembar lelaki
itu.
Syazwan terlopong, terkejut. Benarkah apa yang
dikatakan wanita ini? Kenapa berbeza benar dengan versi cerita yang disampaikan
orang tuanya? Cerita orang tuanya seratus peratus bertentangan dengan apa yang
baru didengarinya kini. Kesemua cerita orang tuanya menyalahkan isteri
abangnya. Malahan nama Nurin juga turut dipalit dengan cemuhan kerana
telah menjadi punca Akif terlepas daripada jagaan mama dan papanya. Ya ALLAH
mana satu yang betul ini? Dia keliru.
Nurin menyapu kasar air matanya yang degil
bermain di pipinya. Dia tidak mahu nampak lemah dengan air mata yang mengalir.
“Sudahlah. Biarkan keadaan seperti biasa terus berjalan. Tolong jangan ubah
apa-apa.”
Syazwan memandang tubuh Nurin yang membelakanginya. “Bagaimana hak keluarga
saya terhadap Akif? Dia anak abang saya. Keluarga saya punya hak.” Walaupun
masih samar-sama dengan kisah sebenar yang berlaku tetapi Syazwan tetap mahukan
hak keluarganya.
Nurin diam. Dia mengatur langkah ke arah
laci yang terletak agak tersorok kedudukannya. Sejambak kunci dicapai, lalu dipilih kunci
yang sesuai. Perlahan-lahan laci almari dibuka lalu ditarik. Satu fail
diambil lalu berjalan semula menuju ke arah Syazwan. Fail itu dicampak di
hadapan pemuda itu. “Kalau ikutkan hati saya, sedepa pun saya takkan izinkan
awak hampiri Akif. Tapi awak bernasib
baik sebab ada ayah saya yang tidak tahu apa itu erti dendam!”
Syazwan
terpingga. Wajah Nurin yang kelat dan fail kuning di hadapannya, dipandang
silih berganti.
“Saya
mendapat hak penjagaan mutlak ke atas Akif!” tekan Nurin sebaik memusing
tubuhnya kembali membelakangi lelaki itu. Syazwan terpana. Matanya memandang ke arah Nurin dengan riak
tidak percaya. Namun mulutnya kelu untuk berkata.
“Kembar
aku yang baru habis pantang, cuba diracuni mama kau!” bentak Nurin lantang.
Intonasi
Nurin berubah. Dek marah dan dendam, bicaranya berubah kasar. Namun tidak
sedikit pun tercuit rasa bersalah di hatinya. Sebaliknya bicaranya terus
menikam telinga Syazwan.
“Waktu
mama kau datang melawat kembar aku, dia bawa ubat nak kasi kembar aku mampus. Masa tu, kakak aku dalam pantang di rumah
keluarga aku. Mama kau taruk ubat yang dia bawa dalam minuman yang mak aku buat
untuk kembar aku.” bentak Nurin seraya memandang tajam ke arah Syazwan. Cahaya dendam terbias dari mata Nurin. “Mama
kau cuba nak bunuh kembar aku dan dalam masa yang sama cuba nak buat
khianat kat mak!!!”
Syazwan
termangu. Benarkah? Wajah Nurin dipandang tidak percaya.
Nurin
kembali membelakangi Syazwan. Jauh pandangannya dilontarkan. “Akibatnya, mulut
kakak aku berbuih.” Nurin menyapu air matanya. “Abang kembar kau cuba
selamatkan kakak aku. Dia bawa kereta tanpa mengendahkan keselamatan. Akhirnya
kedua-dua terkorban dalam nahas jalan raya. Kereta abang kau terbabas
sebelum terbakar. Tuhan punya kuasa
tak siapa dapat lawan, mama kau salah langkah. Dia mahu bunuh kakak aku tapi secara tidak
sengaja dia membunuh abang kau!” rintih Nurin saat terkenang kembali kisah yang
pernah terjadi dalam keluarganya.
“Sudahlah bunuh kakak aku, kemudian mahu
salahkan mak aku atas apa yang terjadi. Mak aku mati kau tahu! Mak aku mati
sebab angkara mama kau yang kejam lagi zalim tu!” Sekali lagi mata Nurin tajam
mencerun ke dalam anak mata Syazwan yang terpaku memandang ke arahnya. Dadanya ditepuk berulang kali menyatakan
perasaan yang selama ini terpendam di lubuk hatinya. Air matanya terus deras
mengalir.
“Mak
aku mati sebab terkejut menerima berita kemalangan itu. Waktu itu tangannya sedang digari masuk ke
dalam kereta polis. Kau tahu, bertapa sedihnya
aku waktu itu. Hilang dua orang yang aku sayangi dalam waktu yang sama.
Umpat keji orang sekeliling lagi. Sakit kau tahu!” Air mata Nurin
mengalir deras. Sesungguhnya dia tidak dapat lagi membendung perasaan sedihnya
ini. Kejadiaan lima tahun lalu, benar-benar membuatkan dia terduduk.
Nurin
mengetap bibirnya cuba mengawal perasaan sedih. Dia harus meneruskan bicaranya.
Dia mahu lelaki itu tahu kebenaran yang sebenarnya.
“Lebih
kejam, mama kau larikan Akif yang masih berusia seminggu. Kononnya kami
sekeluarga yang bersalah. Waktu itu, Tuhan sahaja tahu perasaan aku dan ayah
aku. Kehilangan demi kehilangan sangat menyakitkan hati kami. Sakit kau tahu!” Nurin menepuk dadanya sekali menyatakan
rasa hatinya. Air matanya terus mengalir deras.
“Namun
siapa sangka, perancangan ALLAH. Aku ke rumah kau sebab nak ambil barang
peninggalan arwah kakak aku. Waktu tu aku terdengar perbualan mama kau dengan
orang umpahan dia. Aku rakam guna
telefon bimbit aku. Masa tu, aku rasa nak sujud syukur pada ALLAH kerana
memakbulkan doa aku. Lepas dapat tahu hal sebenar, aku cuba selongkar untuk
buktikan mak aku tak salah. Alhamdulliah, Tuhan bersama orang teraniaya.
Doa orang teraniaya, ALLAH dengar. Aku
dan bekas bibik kau berjaya menjumpai sepeket ubat yang digunakan dalam minuman
kembar aku. Dengan bantuan rakan-rakan
aku, orang umpahan mama kau berjaya kami heret ke mahkamah keadilan. Aku jadi
saksi membela maruah keluarga aku yang tercalar. Bebas bibik kau pun sama.
Begitu juga orang umpahan mama kau. Mama kau yang tak sangka benda tu akan
berlaku, tiba-tiba berubah perwatakan. Dia membentak, marah dan ketawa
menggilai dalam mahkamah. Sudahnya, dia disahkan sakit mental. Sebab itu dia
terlepas daripada hukuman gantung!”
Hampir pitam Syazwan mendengarnya. Terbayang wajah mamanya yang nampak sihat
dari segi luaran tapi rupanya...Syazwan seolah-olah tidak percaya. Memang
mamanya kerap mengambil ubat sehingga ke hari ini. Fikirnya hanya ubat
biasa-biasa sahaja tapi rupanya....
Perlahan-lahan
dia membuka fail di hadapannya. Mahu
pitam dia melihat dokumen-dokumen dalam fail di hadapannya. Saat ini dia terbayang wajah mama dan papanya.
Matanya terpenjam rapat. Lima tahun dia merantau
di negara orang dan lima tahun itulah dirinya disogokkan dengan cerita buruk
tentang keluarga perempuan di hadapannya sehingga membuatkan dia nekad mahu
membalas dendam apabila tiba masanya. Namun kini, dia terasa mahu terkulai
rebah dalam dendamnya.
“Memang mama dan papa Akif dah mati! Tapi....
Bum!! Bum!!
Hempasan
pintu mematikan kata-kata Nurin. Serta-merta
Nurin memandang ke arah belakang. Begitu
juga dengan Syazwan. Mereka sama-sama
tergamam dengan bunyi hempasan pintu itu. Pak Cik Jali yang masih tercari-cari kunci
dalam biliknya, juga turut sama terkejut. Pantas orang tua itu berlari keluar
tanpa sempat menjumpai kunci yang sedang dicarinya.
“Ya ALLAH, Akif!” Nurin menjerit kesal. Dia berlari laju ke arah muka pintu bilik yang
tertutup rapat. Pantas tombol pintu dipulas. Syukur, daun pintu tidak berkunci lagi.
Perlahan-lahan dia menguak daun pintu tersebut.
Air mata makin mengalir lebat di pipi Nurin saat matanya menjamah susuk tubuh
kecil Akif yang sedang teresak menangis di atas katil. Dengan lemah dia merapati anak kecil itu.
“Akif tahukan, mama sayang Akif,” suara Nurin seraya mengusap kepala Akif yang
tersembam di atas bantal. Tangisan anak kecil itu menambahkan lagi rasa
hibanya. .
“Mama Akif dah mati. Papa pun!” bentak Akif mengejutkan Pak Cik Jali yang
beridir di muka pintu. Pantas pandangan
Pak Cik Jali beralih ke arah Nurin dan Syazwan. Nurin mengetap rapat mulut.
Syazwan meraup wajahnya. Dua ekspresi yang menimbulkan keresahan di hati Pak
Cik Jali.
“Akif,” panggil Syazwan merapati tubuh si
kecil itu. Dia mahu memujuk anak kecil itu.
“Pergi! Mama dengan papa Akif dah tak ada!” bentak Akif seraya menolak tangan
Syazwan.
Pak Cik Jali dirundum pilu. Kini dia sudah
dapat menerima apa yang telah berlaku. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah
cucunya, satu-satunya harta yang ditinggalkan anak sulungnya. Sempat tangannya
menepuk bahu Syazwan, memberi semangat kepada lelaki tersebut. Syazwan tersenyum lemah. Dia memberi ruang kepada Pak Cik Jali.
“Akif tak sayang atok lagi ker? Tak mahu kawan dengan atok?”
“Atok pun tipu Akif,” lirih suara kecil Akif kedengaran.
Pak Cik Jali tenang mendengar luahan cucunya itu. “Bila masa atok tipu, Akif?”
Akif
mengangkat mukanya perlahan-lahan. Wajahnya yang sembap meruntum hati Nurin.
Terasa ingin dipeluk tubuh kecil itu tetapi dia takut menghadapi kebenciaan
Akif.
“Atok
kata kena selalu doakan untuk papa supaya papa balik.”
Pak
Cik Jali tersenyum. Perlahan-lahan
tangan tua itu mendarat di kepala Akif. Kali ini Akif tidak menolak. “Atok tak cakap
pun macam tu. Atok cakap, Akif kena selalu doakan untuk papa. Tak kata
pun papa Akif akan balik kan?”
Akif
tertunduk. Perlahan-lahan dia mengangguk, mengakui kata-kata atoknya itu.
“Okey,
sekarang Akif tahukan yang mama dengan papa Akif dah tak ada?”
Akif
mengangguk lagi sebagai jawapan kepada soalan atoknya itu.
“Apakata,
kita ambil air sembahyang dan kemudian baca Yassin untuk mama dengan papa Akif.
Bagi mama dengan papa bahagia kat dalam kubur.”
“Betul
ker atok. Nanti mama dengan papa gembira ya?”
Pak
Cik Jali mengangguk. “Tapi sebelum tu, Akif tak bolehlah marahkan Mak Su dengan
Pak Su. Nanti Tuhan marah tau,” hujah Pak Cik Jali seraya memandang ke arah
Nurin dan Syazwan.
“Mak
Su? Pak Su?” tanya Akif hairan. Matanya merenung anak mata atoknya.
Pak
Cik Jali tersenyum mengangguk. Dia
sedar, panggilan itulah yang sepatutnya dia ajar pada cucunya itu.
Akif
memandang wajah Nurin dan Syazwan silih berganti.
“Nanti
Mak Su dengan Pak Su lari pergi jauh-jauh, tinggal Akif, atok tak tahu,” usik
Pak Cik Jali sambil mengerling ke arah Nurin dan Syazwan.
Seakan
takut mendengar kata-kata atoknya itu, Akif pantas memeluk tubuh Nurin sambil
memegang erat tangan sasa Syazwan. “Mak Su dengan Pak Su janganlah tinggal
Akif. Akif sayang Mak Su dengan Pak Su,” rayu suara si kecil itu membuatkan tubuhnya
di peluk erat.
“Mak
Su sayang Akif,” ucap Nurin sambil memperkemaskan lagi pelukannya di tubuh si
kecil itu. Syazwan pula hanya mampu
menahan perasan sedih saat mendengar ucapan si kecil itu.
****
“Pak
Su pergi mana? Dah lama Pak Su tak datang. Hari tu dah janji tak nak tinggalkan
Akif,” rintih Akif di atas riba Pak Cik Jali. Nurin yang berasa sebak mendengar
luahan si kecil itu, segera angkat kaki.
“Pak Su sibuklah tu. Nanti Pak Su tak sibuk, Pak Su datanglah.” Pak Cik Jali
menepuk-nepuk anak itu, mendodoi si kecil yang berada di atas ribanya.
“Pak Su..Pak Su...” panggil Akif dengan kedua-dua belah kelopak matanya
tertutup rapat. Nurin yang tidur di sebelah, terjaga. Masuk hari ini,
sudah tiga hari si kecil itu mengigau memanggil Syazwan.
“Ssh..Mak Su ada sayang,” pujuk Nurin sambil menepuk-nepuk punggung anak
itu. Akif lena semula. Nurin menarik nafas lega.
Telefon
bimbit di sisi, dicapai lalu ditekan. Nyalaan biru kelihatan. Skrin menunjukkan
jam empat pagi. Nurin mengeluh. Patutlah kepalanya terasa berat.
Rupanya baru dua jam dia melelapkan mata. Malam semalam Akif meragam teruk
sehingga memaksanya berjaga malam.
~BERSAMBUNG~
No comments:
Post a Comment