“Nurin...” tegur
Pak Cik Jali memecah lamunan Nurin yang sedang termenung sendirian di atas
sofa.
Nurin
menoleh ke arah Pak Cik Jali. “Kenapa ayah?”
Pak
Cik Jali melangkah menghampiri anak gadisnya itu. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi yang
terletak berhadapan dengan anaknya. Wajah
Nurin dipandang. “Kamu ada masalah ker?” tanya Pak Cik Jali yang kemas berkain pelikat
corak petak ungu dan berbaju Melayu ungu lembut.
“Tak
adalah ayah,” jawab Nurin sambil menggeleng.
Pak
Cik Jali terus menatap wajah anaknya itu. “Sejak ayah pulang dari umrah, ayah
tengok kamu selalu termenung. Kamu ada
masalah ker?” soal Pak Cik Jali prihatin. Sejak pulang dari mengerjakan umrah, memang
dia perasan perubahan anaknya itu. Cuma malam ini sahaja dia ada keberanian
untuk menegur tingkah anaknya itu. “Kamu ada masalah dengan pelajar kamu
ker?” telah Pak Cik Jali lagi, cuba mencungkil masalah
anaknya itu. Sebagai seorang bekas guru, dia tahu liku-liku kehidupan bergelar
seorang pendidik.
Bukan
mudah bergelar seorang guru. Tambah pula di zaman yang serba moden. Guru bukan
sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu tetapi juga sebagai pembentuk sahsiah
dan akhlak pelajar yang semakin dilanda krisis kemunduran.
Masyarakat
sering meletakkan persepsi bahawa kerja paling mudah adalah bergelar seorang
guru. Datang pukul tujuh, pulang pukul satu lebih. Walhal sorotan kehidupan
seorang guru jauh lebih daripada itu. Masyarakat tidak tahu, walaupun masa
berkerja seorang guru sampai ke angka satu lebih tetapi hakikatnya seseorang
guru terpaksa berkorban masa waktu lapangnya
untuk menyemak buku pelajar dan membuat kelas tambahan. Malahan waktu
cuti pun terpaksa berhempas pulas mengerah keringat dengan aktiviti tambahan di
sekolah. Itu baru tuntutan kerja sebagai penyampai ilmu, belum lagi diambil
kira tugas sebagai pembentuk sahsiah pelajar.
Namun
dia amat kecewa apabila masyarakat terus menyalahkan guru dalam soal
pembentukan minda dan akhlak pelajar.
Seharusnya masyarakat sedar, pembinaan minda dan akhlak pelajar perlukan momentum yang berterusan. Masyarakat terutamanya ibubapa perlu cakna
bahawa apabila tamat waktu sekolah, mereka punya peranan untuk meneruskan
momentum tersebut dan bukannya membiarkan pelajar begitu sahaja.
Persekitaran
yang kurang konduksi yang sering dipandang remeh masyarakat sebenarnya telah
membuatkan niai istiqamah pelajar dalam menjaga minda dan akhlak yang terbentuk
di sekolah tidak dapat direalisasikan. Lantas mereka akan kembali ke sekolah dengan
perangai yang serupa. Maka guru terpaksa
membentulkannya kembali. Perkara ini berulang dan berterusan. Maka di mana titik pengakhirannya? Dia bukan
mahu menyalahkan masyarakat tapi pengetahuan sebegini seharusnya dimiliki dalam
diri setiap masyarakat.
“Kamu
ada masalah dengan pelajar kamu ker?” soal Pak Cik Jali sekali lagi apabila
melihat tiada sebarang gerak balas daripada anaknya itu.
Nurin
menggeleng. Dia tiada masalah dengan
pelajar-pelajarya. Walaupun pelajar-pelajarnya sering mencipta masalah
dengannya sehingga kadang-kala mencabar tahap kesabaran dan keimanannya tetapi
bukan itu yang mengasak ketenangannya ini.
Ada perkara yang lebih berat daripada itu dan perkara itu membabitkan
Syazwan. Namun dia tidak sanggup berkongsi masalah itu dengan ayahnya. Dia
tidak mahu hati ayahnya terluka jika dikhabarkan cerita pertemuannya dengan
Syazwan.
“Atok...”
Manja Akif melabuhkan punggungnya di atas riba Pak Cik Jali. Kehadiran si kecil
itu mematikan hajat Pak Cik Jali untuk terus menggorek isi hati anak perempuan
di hadapannya.
“Malam
ni, Akif nak tidur dengan atok ya,” pinta Akif sambil memandang wajah tua Pak
Cik Jali.
Tersenyum
Pak Cik Jali mendengar permintaan cucu tunggalnya itu. “Boleh tapi kena sayang
pipi atok dulu.”
Akif
tersenyum riang mendengar permintaan atoknya itu. Pantas Akif mencium kedua-dua
belah pipi Pak Cik Jali yang sudah dimamah usia. Tersenyum lebar Pak Cik Jali menerima
ciuman daripada cucunya.
Nurin
gembira memerhati kemesraan yang terjalin antara ayahnya dan Akif. Ya ALLAH,
aku tak sanggup memisahkan mereka berdua. Tolong aku, Ya ALLAH. Doa Nurin dalam
hati. Semenjak kehadiran lelaki bernama Syazwan, perasaan takut akan kehilangan
anak kecil ini selalu menghantuinya.
“Atok
doa tak kat sana supaya papa Akif balik?” soal Akif menuntut janji daripada Pak
Cik Jali. Serta-merta pandangan Nurin bersambung dengan anak mata Pak Cik Jali.
Pantas Nurin mematikan pandangannya. Tidak sanggup dia melihat perubahan wajah
ayahnya itu.
“Atok
doa tak?” Akif cuba mendapatkan semula perhatian Pak Cik Jali. Tangan atoknya
digoncang.
Pak
Cik Jali tersenyum sambil membelai rambut Akif. “Akif selalu doa tak untuk
papa?” Pak Cik Jali cuba mengalih tumpuan si kecil itu.
Segera
kepala Akif mengangguk. “Hari-hari lepas solat dengan mama, Akif doa supaya
papa balik. Betulkan mama?” Mata Akif mengarah pada Nurin.
Wajah
Nurin kembali diselubungi perasaan bersalah. Matanya memandang sayu ke arah wajah
anak kecil itu. Perlahan-lahan kepalanya mengangguk. Maafkan mama, Akif.
Bisik hati Nurin penuh kekesalan di atas pembohongannya. Dia pantas bangkit
meminta diri dengan alasan sudah mengantuk.
Namun hakikatnya, Nurin sudah tidak sanggup melihat senyuman girang yang
tersungging di wajah anak kecil itu.
****
“Nak
pergi mana tu?” Pertanyaan daripada Syazwan tidak diendahkan Nurin. Langkahnya terus
diatur menuju ke arah keretanya.
Kenapalah
asyik muka dia sahaja yang harus kujumpa? Tak ada muka lain ker? ngomel Nurin
lantas mencampakkan beg plastik yang berisi kertas di tempat duduk belakang.
“Saya
nak jumpa Akif!” tegas Syazwan pantas menghalang pintu kereta di bahagian
pemandu daripada ditutup.
Nurin
cuba menarik pintu itu tetapi tenaganya ternyata gagal mengalahkan tenaga
lelaki bernama Syazwan. “Awak boleh tak jangan ganggu hidup keluarga
saya. Kami sudah cukup terseksa selama ini. Tolonglah
bagi ruang untuk kami hidup dengan nikmat kebahagian yang baru kami peroleh ini,”
luah Nurin lirih. Permintaannya itu bukan satu bentuk rayuan tetapi lebih
kepada arahan.
Syazwan
di sisi terpaku mendengarnya. Terlalu menderitakah keluarga gadis ini?
“Anggaplah
Akif sudah mati dalam salasilah keluarga awak! Dia sudah cukup bahagia dengan
kehidupan yang dia ada sekarang.” Sekali lagi Syazwan terpukul dengan kata-kata
Nurin. Pegangannya pada muka pintu kereta terlerai
dengan tidak semena-mena.
Nurin
menggunakan peluang ini sepenuhnya. Pantas dia menarik pintu kereta, menutup
lalu menguncinya dari dalam. Enjin kereta dihidup lalu terus dipecut
keretanya meninggalkan Syazwan . Air
matanya lebat mengalir dek terlalu tertekan dengan apa yang sedang menimpa
dirinya.
****
Nurin
menyeka air matanya. Langkah kakinya kian laju sambil matanya meliar mencari
kelibat si kecil bernama Akif. Sebentar
tadi kepulangannya disambut dengan satu berita yang mengemparkan. Akif telah
menjumpai sekeping gambar perkahwinan yang selama ini dia cuba sembunyikan
daripada pengetahuan si kecil itu!
“Ayah
tak sempat nak buat apa-apa, Rin. Budak tu terus berlari keluar bila dia cakap
dia nak cari papa dia. Dia kata dia pernah jumpa papa dia tu.”
Kata-kata
itu begitu mencengkam perasaan Nurin. Adakah selama ini sudah ada pertemuan
yang berlangsung antara Akif dan Syazwan? Tiba-tiba dia berasa mahu menjerit dan
marah pada Syazwan!
“Akif,
mana Akif? Jangan buat mama takut sayang. Mama tak sanggup kehilangan Akif!”
Air mata Nurin makin lebat mengalir sambil langkahnya terus diatur tanpa arah.
Matanya terus meliar mencari kelibat si kecil itu. Telefon bimbit di tangannya
digenggam erat. Rusuh hatinya
mengenangkan Akif yang tiba-tiba meninggalkan rumah dengan niat yang sangat
mencemaskan hatinya. Mahu ketemu papa!
Tiba-tiba
telefon bimbit Nurin berbunyi. Mati langkah Nurin. Skrin
telefon dipandang. Nombor ayahnya tertera di dada skrin telefon
bimbitnya. Pantas Nurin menekan
butang hijau.
“Kenapa
ayah?” Tanpa sempat memberi salam, Nurin terus bertanyakan tujuan ayahnya
menelefonnya.
“Balik nak. Akif dah ada kat rumah.
Dia dah balik.”
Ya ALLAH, Aku bersyukur. Nurin
menghembus nafas lega. Dia gembira mendengar khabar berita itu. Bingkas dia mengatur
langkah menuju ke arah keretanya. Dia mahu segera pulang bertemu anak kecil itu.
Dia sudah tidak sabar lagi mahu menatap si kecil itu. Mahu memeluk tubuh
kecil itu. Mahu dicium wajah polos itu.
****
“Mama.” Akif berlari ke arah Nurin
yang terkaku di depan muka pintu masuk rumah. Sesuatu yang Nurin tidak mahu
berlaku, kini berlaku jua. Di atas sofa bersebelahan ayahnya, dilihat
susuk tubuh Syazwan.
“Mama,” panggil Akif meminta didukung. Nurin memandang anak kecil yang merengek
manja padanya, segera didukung lalu dipeluk dan dikucup penuh kasih.
“Anak mama pergi mana? Kenapa buat mama macam ni?” Kedua-dua belah pipi Akif
dikucup lagi. Kelopak matanya bergenang air mata.
“Akif cari papa. Akif dah jumpa. Tu papa kan mama. Macam dalam gambar ni.”
Nurin memandang gambar di tangan anak kecil itu. Ya ALLAH, dugaan apakah ini?
“Rin, Wan yang jumpa Akif. Dia nampak Akif di tepi jalan besar,” cerita Pak Cik
Jali.
Nurin memandang ke arah
wajah ayahnya sebelum pandangannya beralih ke arah Syazwan. Dilihat lelaki itu
tenang memandangnya.
Aah...sukalah dia! Inikan yang dia mahukan selama ini! Benci Nurin dengan
keadaan yang telah menemukan apa yang tidak dia ingini selama ini.
****
“Sukalah
awak ya. Dah dapat apa yang awak nak,” herdik Nurin sambil berpeluk tubuh
membelakangi Syazwan. Perasaan marah masih membuak di dadanya semenjak kejadian
tadi.
Atas
permintaan ayahnya, dia terpaksa memaksa dirinya berhadapan dengan lelaki
bernama Syazwan. Kalau ikutkan hati perempuannya yang berselirat dendam, tak
ingin waima seinci pun berbincang dengan lelaki ini. Dia benci! Benci!
Syazwan
mengeluh lemah mendengar herdikan Nurin itu. Tangan kanannya memegang dahinya
sementara sebelah lagi di pinggang kirinya. Jauh di sudut hatinya,
hatinya terguris. Namun dia sedar, bukan
salah Nurin. Nurin cuba untuk
mempertahankan haknya.
“Kita
perlu berterus terang dengan Akif. Dia perlu tahu perkara sebenarnya,” tutur
Syazwan lembut, cuba memujuk Nurin agar berkompromi dengannya.
Serta-merta
tubuh Nurin berpusing mengadap Syazwan. Tasik yang tenang di hadapannya tadi,
tidak mampu menyejukkan hatinya yang terbakar sebaik mendengar cadangan
daripada Syazwan. Matanya mengecil, mencerum tajam ke dalam anak mata Syazwan.
“Dia tak perlu tahu apa-apa!” bentak Nurin keras.
“Tapi
sampai bila?” keluh Syazwan. Dia kecewa dengan kata-kata Nurin itu.
Padanya, sudah tiba masanya kebenaran dibongkar.
“Sampai
bila-bila!” tegas Nurin langsung melangkah meninggalkan Syazwan yang jelas kecewa
dengan reaksi itu.
****
“Wan..” Kedengaran suara Datin Suria
di hujung talian.
“Erm..mama
apa khabar? Papa sihat?”
“Semuanya
okey. Kamu?”
“Alhamdulliah,”
ucap Syazwan seraya merebahkan tubuhnya di atas tilam.
“Betul
ker okey ni? Dengar suara macam lemah je.” Kedangaran nada sangsi di hujang
talian.
Ah,
naluri seorang ibu. Pantas sahaja membaca keadaan anaknya walaupun terpisah
beribu batu. Gumam Syazwan. Sememangnya dirinya bukan dalam keadaan baik.
Sebaik pertemuan empat mata dengan Nurin di tasik, dirinya makin dilanda resah.
Otaknya berserabut. Fikirannya runsing.
“Mama
jangan risaulah. Wan okey. Mama kat mana ni? Macam bising je,” tanya Syazwan
cuba mengubah topik perbualan.
“Mama
dengan papa kat airport sekarang.
Nak fly ke UK. Papa
kamu ada urusan kat sana. Kami pergi
dalam dua minggu. Kemudian mama ingat
nak ajak papa pergi melancong ke beberapa buah negara Eropah. Maybe sebulan
kami tak ada kat Malaysia,” cerita Datin Suria panjang lebar.
Syazwan
tidak terkejut mendengar cerita mamanya itu. Dia sudah lali dengan keadaan
itu. Kedua-dua orang tuanya itu memang gemar ke luar negara.
“Jaga
diri elok-elok mama. Jangan lupa makan
ubat. Kirim salam kat papa,” pesan Syazwan.
“Yalah,
kamu pun jaga diri juga. Kerja, kerja juga. Kesihatan kena jaga.” Seperti
biasa, itulah nasihat Datin Suria pada anak terunanya itu. Masak sangat dengan
perangai anaknya yang terlampau obses dengan dunia kerjaya sehingga
kadang-kadang terabai soal penjagaan kesihatan.
Mama..dah
lama Wan tak hiraukan kerja. Wan dah jumpa Akif, mama! Sekarang dunia Wan hanya
tertumpa pada cucu mama yang seorang itu. Desis hati kecil Syazwan sebaik
talian telefon diputuskan mamanya. Sesungguhnya,
dia masih belum bersedia untuk menceritakan hal itu kepada mamanya. Dia takut
pada penerimaan mamanya. Kisah yang pernah terakam satu ketika dahulu,
membuatkan jiwa lelakinya jadi pengecut untuk berterus terang. Maafkan Wan,
mama.
***
~Bersambung~
No comments:
Post a Comment