Bab 20
Masuk
hari ini sudah dua hari Aniyah berada di wad hospital. Walaupun badannya masih
belum sihat sepenuhnya tetapi tahap kesihatannya sudah tidak seteruk hari
sebelumnya. Jika hari sebelumnya,
masanya banyak dihabiskan dengan berbaring di katil. Namun kali ini dia sudah
mampu bergerak tanpa bantuan daripada sesiapa. Kepalanya yang berdenyut pun
kian kebah. Demamnya juga kain beransur baik. Cuma batuk dan selesemanya sahaja
yang masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu pulih.
Menurut doktor yang merawatnya, dia masih perlu
ditahan di wad walaupun perkembangan kesihatannya ada menunjukkan perubahan
positif. Alasannya kerana, batuk dan selesemanya belum ada tanda-tanda surut.
Malahan suhu badannya masih belum stabil walaupun bacaan pada thermometer sudah
menunjukkan tanda positif.
Aniyah
mengeluh. Harapannya untuk meninggalkan wad masih tidak kesampaian. Lebih rumit
apabila perkara itu turut sama didengari Saiful. Pantas amaran keras
dikeluarkan lelaki itu.
“Jangan
nak melawan arahan doktor!”
Cukup
dengan sebaris ayat itu, Aniyah sudah mati kata-kata. Dia hanya mampu mendongol
geram melihat memek serius Saiful yang tegas mengeluarkan arahan.
Nasib
baik, petang itu ramai rakan-rakan sekerjanya datang melawatnya. Dapatlah dia
membuang rasa bosan yang melanda dirinya yang terpaksa berkurung dalam wad. Suasana biliknya menjadi riuh-rendah dengan
suara-suara teman-temannya yang hadir secara berkumpulan.
“Nampaknya
ada orang tu kena berjaga malamlah lepas ni. Bos dia tak sihat lagi, dialah
kena bertungkus-lumus siapkan kerja.” Luqman bersuara sambil menjeling ke arah
Umairah yang sedang mengupas buah epal.
Rakan-rakan
sekerja yang lain tertawa mendengar kata-kata Luqman yang memang jelas sangat
ditujukan khas kepada Umairah. Siapa lagi pekerja bawahan Aniyah yang sering
bersama Aniyah kalau bukan Umairah. Satu bangunan Neraca holdings
mengetahuinya.
“Eh, jangan nak kacau pembantu saya, ya,”
sela Aniyah membalas usikan Luqman. Suaranya yang serak-serak basah itu sengaja
dikeraskan.
“Alah
Cik Niya ni. Betul apa yang saya cakap. Kalau tak siapa nak buat gaji kami
bulan ni!” Luqman membela diri. “Betul tak kawan-kawan?” Luqman cuba menagih
sokongan daripada teman-temannya yang ada di situ. Ternyata semuanya menyokong
dengan tepukan dan sorakan yang kuat.
“Amboi-amboi
kalau pasal gaji, cepat betul. Bila soal kerja, tahu nak mengelat je!”
Semua
yang ada di situ terkekeh suka mendengar ayat yang cukup spontan keluar dari
mulut Aniyah yang bersuara serak-serak basah. Luqman pula tersengih macam
kerang busuk. Nampak benar dia terasa disindir begitu. Manakala Umairah pula
tersenyum berterima kasih kepada ketuanya.
“Assalammualaikum..”
Tiba-tiba kedengaran suara garau dari muka pintu bilik yang sudah ternganga
luas. Suara itu mencelah antara keriuhan yang sedang mewarnai suasana bilik
itu. Pantas semua mata beralih pada muka pintu itu. Begitu juga dengan sepasang
mata milik Aniyah.
“Bos!”
Luqman pantas mempelawa Saiful masuk. Sebuah kerusi yang didudukinya sebentar
tadi dikosongkan untuk Saiful. Aniyah mula berasa tidak selesa dengan kehadiran
lelaki itu.
“Meriah
betul saya dengar. Apa benda yang seronok sangat tadi?” tanya Saiful sambil tersenyum. Beg plastik
yang berisi buah-buahan dihulurkan kepada Umairah. Umairah menyambutkannya
sebelum meletakkannya di atas almari di sisi katil.
“Tak
ada apalah bos. Bual-bual kosong aje,” jawab Luqman mewakili teman-teman
sekerjanya yang berada di situ. “Eh bos nak apa-apa ker?”
Saiful
menggeleng seraya menuntaskan pandangannya pada Aniyah. Pandangan mereka
bersatu. Namun sekejap sahaja kerana Aniyah pantas bertindak melarikan
pandangan matanya.
“So far macam mana? Ada rasa kebah
sikit?” soal Saiful berbau prihatin. Suasana hening saat pertanyaan itu
diajukan. Semua mata dan telinga tertumpu pada Aniyah dan Saiful.
Aniyah
yang tidak selesa dengan apa yang sedang berlaku sekadar mengangguk sahaja. Dia
berharap agar dengan jawapan yang kaku itu, lelaki yang bernama Saiful itu akan
lekas meninggalkan ruang bilik yang tiba-tiba bertukar menjadi hening. Dia
memang tidak enak berada dalam dunia yang seakan penuh misteri ini di mana penontonnya
adalah sahabat sekerjanya.
“Ubat
dah makan?”
Aduh,
makin banyak soal pula lelaki ini. Keluh Aniyah dalam hati. Dia mengangguk
lagi. Sibuk mengalah aku ni bini dia. Omelan demi omelan hanya terpendam dalam
hati.
Kring..kring..
Nasib baik sesi soal jawab berakhir di situ
apabila ada panggilan masuk. Segera lelaki itu meminta diri. Terasa lapang dada
Aniyah saat kelibat Saiful tenggelam di
balik pintu bilik. Doanya moga agar lelaki itu tidak akan muncul lagi.
“Eh
bukan bos kita pergi PD ker tadi?” Kedengaran suara salah seorang rakan sekerja
Aniyah.
“I
pun rasa dia pergi PD. Ada mesyuarat kat sana. Rasanya dua malam dia kena ada
kat sana,” sampuk satu suara lagi.
“Amboi-amboi
sibuk mengalahkan setiausaha bos. Biar pi kat dialah nak datang sini. Orang ada
kereta hebat. Sekali pecut, pejam mata dah sampai.” Luqman pantas bersuara.
Keadaan itu menimbulkan kelucuan mereka di situ dengan lograt utara Luqman.
Semua ketawa. Namun tidak Aniyah. Dia terdiam memikirkan perbualan sebentar
tadi.
best juga ya baca sinopsis2 novel ni..:)
ReplyDeletebalas kunjungan di sini:)
terima kasih..jemput singgah selalu :)
ReplyDelete