Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Wednesday, November 21, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 13)


Bab 13

               Sebaik dia muncul di khalayak ramai, lengannya pantas disambar.  Aniyah terkejut. Dia memandang wajah mummynya. “Tolong jaga air muka mummy, daddy dan Dani.” Keras amaran itu berbisik di telinga Aniyah. Datin Samsiah tersenyum, memaniskan mulut sebaik berkata begitu.
            Dengan berat hati dan rasa canggung, Aniyah merelakan dirinya dalam paksa berhadapan dengan tetamu yang kebanyakkannya tidak dikenali. Ah, macam mana dia mahu mengenali kalau dia selalu mengelak untuk turut serta dalam setiap majlis yang dianjurkan keluarganya. Buat apa dia menyibuk dalam majlis orang kalau kehadirannya tidak langsung diperlukan.
            “Datin, ini I nak kenalkan anak sulung I. Aniyah. Kakak Dani.” Datin Samsiah tersenyum ketika memperkenalkan anak sulungnya itu kepada sahabat-sahabatnya.
            “Oh inilah anak you yang kerja kat Neraca Holdings tu, ya?” Dahi Aniyah berkerut. Dia agak terkejut ditegur begitu. Wanita yang sebaya mummynya dipandang. Macam pernah dilihat wajah wanita ini. Dia cuba mencari di mana wajah ini pernah dilihatnya. Namun dia kabur.
            “Yalah. Yang kerja dengan syarikat husband you!”
            Aniyah menelan air liur. Kenyataan itu pantas menemukannya dengan gambar keluarga Dato Ahmad Said Sayyidi yang tersergam indah di bilik Dato Ahmad Said Sayyidi. Jadi inilah mama kepada ....... dan matanya bertemu pandangan dengan Saiful. Pantas dia melarikan pandangannya.
            “Wah akhirnya bertemu juga I dengan anak you ini. Husband  I selalu sahaja puji anak you ni sampai I naik jelous.” Datin Syarifah ketawa di hujung katanya. Aniyah malu ditegur begitu.  Manakala Datin Samsiah pula sudah panas telinga mendengar cerita sahabatnya itu.
            Husband  I cakap, rugi kalau anak you ni keluar syarikat. Cara kerja dia tip top!” Datin Syarifah mengangkat ibu jari tanda bagus. Wajahnya tersenyum manis memandang wajah Aniyah yang sudah berona merah.
            “Eh, you tak nak rasa ker Dani buat something. Bersusah payah dia buat petang tadi.” Datin Samsiah bersuara mengalih topik perbualan. Telinganya memang sudah terlampau terbakar dengan pujian yang melambung rakan sepersatuannya terhadap anak sulungnya. Lebih elok dia mengubah topik perbualan sebelum dirinya pula terbakar. Pantas tangan Datin Syarifah ditarik menuju ke meja buffer. Aniyah memandang sahaja kelibat dua orang wanita itu sebelum dia termangu sendirian di tengah-tengah khalayak yang tidak dikenalinya.
            Matanya memandang sekitar. Cuba mencari kalau-kalau ada yang dia kenal. Bolehlah dia menyapa dan dibuat teman bual. Tidaklah dia termangu seperti patung tak bernyawa di sini. Namun malangnya, hanya lelaki bernama Saiful yang dari tadi asyik merenung tajam ke arahya sahaja yang dia kenali!
            Akhirnya Aniyah mengambil keputusan mengemas apa yang patut di meja makan yang nampak terlalu tidak terurus. Beg plastik yang disediakan umpama perhiasan. Kulit-kulit kacang bersepah. Pinggan dan cawan polisterin yang sudah digunakan dibiarkan membukit di atas meja. Rasanya tidak sanggup dia mahu menceritakan lagi keadaan meja yang amat menyakitkan penglihatannya. Macam manalah tetamu yang duduk makan di situ ada selera menjamu selera. Dia benar-benar tidak percaya.
            Dengan batukan kecil serta diiringi selesema yang makin menjadi-jadi, Aniyah gagahkan dirinya membersihkan tempat yang sudah tidak berpenghuni itu. Rata-rata tetamu sudah tenggelam dalam irama lagu yang berkumandang. Masing-masing dengan pasangan masing-masing terkinjal-kinjal di lantai rumah banglo. Aniyah hanya mampu menggeleng kepala melihat maksiat yang terang-menerang berlaku di rumah keluarganya. Dia hanya mampu mencegahnya dengan hati walaupun dia tahu itulah yang selemah-lemah iman.
            “Hai..” Teguran itu mengganggu kerja-kerja Aniyah yang sibuk mengemas meja makan. Aniyah mengangkat kepala. Matanya memandang ke arah lelaki yang tersenyum di sisinya. Dia pandang kebingungan. Dia tidak kenal lelaki yang menegurnya ini. Adakah lelaki ini mengenalinya?
            “Sorang sahaja?” soal lelaki itu mula menimbulkan rasa tidak enak di hati Aniyah. Dia dapat membaca sesuatu niat tidak baik dalam nada suara lelaki itu. Pandangan lelaki itu juga kelihatan penuh curiga. Aniyah segera meneruskan kembali kerjanya. Dia tidak mahu melayan lelaki yang seakan ulat bulu naik daun.
            “Sombongnya dia,” sela lelaki itu cuba memprovok Aniyah. Namun Aniyah tidak mempedulikannya. Dia tetap meneruskan kerja-kerja membersihkan meja makan.
            “Apa ni,” tengking Aniyah apabila bahunya dipaut tangan sasa lelaki itu. Namun tengkingannya ditenggelamkan bunyi muzik yang kuat. Hanya dia dan lelaki itu sahaja yang mendengar.
            “Alah you tak payahlah nak berlagak baiklah dengan I. I dah faham benar dengan tektik orang perempuan. Malu tapi mahu.” Lelaki itu mengekeh suka. Dia tayang muka tidak bersalah.
            Berdesing telinga Aniyah mendengar kata-kata penuh provokasi lelaki itu. Apa lelaki itu ingat semua perampuan sama ker? Pandangannya mencerun tajam ke arah lelaki itu. Terasa ingin dilempang muka yang sedang gembira mentertawakannya. Namun dia tidak mahu membuat kecoh. Marah dan geram berserta benci dipendam dalam hati.
            “Alah you ni. Makin buat muka, makin cantiklah!”
            Aniyah menjeling lelaki yang tidak henti-henti mengganggu hidupnya itu. Dia harus berwaspada dengan lelaki ini. Tingkah laku lelaki ini sangat menakutkan.
 “Janganlah!” bentak Aniyah apabila lelaki itu menyentuh pula pipinya. Dia menepis kasar tangan lelaki itu. Dia tidak suka dengan perlakuan ‘sumbang’ lelaki itu. Langsung tiada adab dan rasa hormat.
            Lelaki miang itu ketawa suka. Tangannya diangkat lagi. Bentakan Aniyah nampaknya tidak berbekas di hati lelaki itu. Sebaliknya makin mencambah perasaan nakalnya. Dia tersenyum menghampiri Aniyah.
 Aniyah mengundur setapak ke belakang. Lelaki itu mara ke hadapan. Aniyah ketakutan. Bibirnya bergetar sambil matanya memerhati rentak lelaki itu. Kakinya terus mengundur ke belakang sehingga akhirnya terhenti dek halangan meja. Aniyah diselubungi ketakutan apabila melihat jarak antaranya dengan lelaki itu semakin rapat.
Dadanya bergetar hebat saat lelaki itu cuba merapatkan muka ke mukanya. Aniyah ingin menjerit meminta tolong tetapi suaranya seakan tidak terkeluar dari peti suaranya. Di saat itu dia hanya mampu memejam mata dan berdoa dalam hati agar ada keajaiban menanti. Dia tidak rela diperlakukan tak ubah seperti wanita murahan. Seiring itu, air hangat bertakung di kelopak matanya.
“Zarul!!!”
Buk!! Buk!! Tumbukan berserta nyaringan suara menahan kesakitan membuatkan anak mata Aniyah terbuka. Saat itu dia melihat tubuh lelaki yang mengganggunya seketika tadi sudah terpelosok jatuh di atas lantai. Dia kaget melihat ada cecair pekat berwarna merah di bibir lelaki itu. Pandangannya lantas dikalih mengikut ekor mata lelaki yang cedera itu.
Saiful! Aniyah terpana saat pandangannya menuntas pada mata Saiful yang tajam bak harimau jadian. Lelaki itu sedang memusat pandangannya pada lelaki yang sedang menahan sakit di atas lantai.
What happend?” Dhaniyah datang dengan serta-merta apabila melihat ramai tetamu mula menggerumi tempat berlakunya kejadian. Rata-rata mereka ialah teman sebayanya. Nasib baik Datin Samsiah dan rakan-rakannya tiada ketika itu kerana sudah menghilang ke bilik koleksi Datin Samsiah yang menempatkan barangan mewahnya. Kalau tidak pasti akan lebih kecoh jadinya.
“Relakslah bro. Macam tak biasa pula!” Lelaki yang baru menjadi mangsa tumbukan Saiful bersuara dalam kesakitannya. “Kata otai bab-bab neh!” tokok lelaki itu seakan menyindir Saiful. Tumbukan yang dirasainya sebentar tadi seakan tidak menakutkannya.
Saiful yang geram dengan bahasa lelaki itu pantas mara ke hadapan. Leher baju lelaki itu dipegang kuat. Matanya tajam menikam renungan lelaki itu. “Kau jangan nak samakan semua wanita yang kau kenal dengan dia. Ini amaran aku yang terakhir. Jangan sesekali kau bagi aku nampak kau dengan dia. Kalau tak, memang nahas aku kerjakan!” bentak Saiful bersama ungutan. Dia tidak main-main. Dia benar-benar maksudkan apa yang dia katakan. “Faham???”
            “Ouh ok bro. Aku minta maaf,” ucap lelaki itu sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda menyerah kalah. Dia tahu bukan masanya mahu bergurau senda dengan Saiful. Saiful yang berada di hadapannya bukan Saiful yang dikenali dahulu. Saiful dahalu menganggap wanita barang mainan tetapi Saiful sekarang tak ubah seperti perlindung kepada seorang wanita.
Dengan serta-merta Saiful melepaskan pegangannya pada leher baju lelaki itu. Dia mengundur ke belakang. Matanya tidak lepas memandang lelaki yang baru sebentar tadi menjadi mangsa tumbukannya. “Mak Cik Bibah, bawa Niya naik ke atas.”
Mak Cik Bibah yang terpaku memerhati dari jauh, segera menghampiri Aniyah. Tubuh gadis itu dipeluk simpati. Air hangatnya menitis. Belas dia menyaksikan apa yang terjadi. Dia benar-benar berterima kasih kepada Saiful kerana pantas menyelamatkan maruah Aniyah yang hampir diperkotak katikkan. Sudah lama dia memerhati gerak-geri lelaki miang itu tetapi dia tidak terdaya untuk berbuat apa-apa kerana perasaan takut yang bersarang. Hanya titipan doa mampu dilakukan dan alhamdulliah, doanya dimakbulkan dan ALLAH mengutuskan Saiful sebagai penyelamat.
“Mari Niya, kita naik ke atas,” ajak Mak Cik Bibah lembut. Aniyah tidak membantah. Dengan berpaut pada tubuh Mak Cik Bibah, dia berjalan meninggalkan ruang tersebut.

3 comments: