Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Sunday, May 6, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi ( Bab 1)


BAB 1

Nurulain Fatinah Aniyah, seorang gadis yang membesar tidak seperti rakan-rakan seusianya. Walaupun dia masih memiliki ibubapa kandung tetapi haknya sebagai anak tidak pernah dirasainya.  Semenjak kecil lagi dirinya dilayan tak ubah seperti anak tiri. Hambar dan menyakitkan! Itulah yang dia rasai.
Kehadiran adiknya, Nurulain Fatin Dhaniyah bagai menambah lagi cerita deritanya.  Dia rasa tersisih dengan kehadiran adiknya itu. Malah tidak keterlaluan, dia rasa seperti anak terbuang. Lantas pelbagai persoalan mengasak deria rasa dan fikirannya.
Mengapa aku dilayan seperti ini? Apa dosa aku? Teruk sangatkah aku? Jahat sangatkah aku?
Bermacam-macam lagi persoalan mengantui dirinya. Dia cuba mencari jawapan pada soalan itu. Orang gaji keluarganya, Mak Cik Bibah seringkali menjadi sasarannya. Namun malangnya wanita itu hanya tersenyum apabila soalan itu diajukan. Keadaan itu menjadikannya semakin bingung dan buntu dalam mencari jawapan.
Sudahnya, dia membesar dengan penuh persoalan tentang siapa dirinya sebenar dalam keluarganya.  Lama dia mengambil masa untuk mencari jawapan. Perlbagai usaha dilakukannya sendiri dan akhirnya ALLAH membalas segala usaha dan doanya yang tidak putus-putus.  
Dia akhirnya sedar mengapa dirinya dilayan sebegitu. Mulanya dia agak kecewa dengan ‘jawapan’ yang ditemui. Namun lama-kelamaan dia akur pada suratan takdir.  Dia yakin ALLAH tidak pernah silap membuat percaturan hidup hambaNYA.
Maka bermula saat itu dia berjanji pada dirinya untuk menjadi kuat. Dia tidak mahu lagi mempersoalkan hal itu. Baginya adalah sia-sia jika dia terus menangisi sesuatu yang bukan berpunca daripada salahnya walaupun di pandangan mata mummynya itu adalah salahnya.
Biarlah apa jua prasangka yang datang. Dia sudah letih melayan semua itu. Lantas bermula detik itu, dia sudah tidak mengharapkan apa-apa lagi walaupun daripada keluarganya sendiri. Dia yakin, jika usaha dan percaya pada kekuasaan ALLAH, seseorang boleh berjaya walaupun banyak cemuhan dan kecaman diterima.
            Lantas dia mempersiapkan dirinya dengan tembok-tembok yang dibina dari pengalaman silam yang menyakitkan. Dia tidak mahu lemah lagi. Hidup perlu diteruskan.  Dia perlu bangkit untuk dirinya.  Dia perlu berusaha untuk dirinya. Kejayaan dan kegagalan dirinya sekarang bergantung pada dirinya sendiri.
            “Daddy sayang, Niya.” Kata-kata itu membuatkan dia hanya mampu tersenyum hambar. Dia tahu daddynya sayangkan dia. Dia sedar daddynya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadapnya. Segala keperluannya disediakan. Dia akui semua itu. Namun dia tidak mahu terbuai dengan kenikmatan itu. Baginya, mummynya lebih berkuasa daripada daddynya dalam soal rumah tangga. Dia tidak mahu kecewa dengan memperjudikan nasibnya pada ‘kasih sayang’ daddynya yang boleh diganggu gugat mummynya. Cukuplah dengan derita ada.
         Hari demi hari, dia belajar erti kedewasaan dan kematangan. Dia belajar erti kegigihan dan keyakinan. Dia juga belajar erti kesusahan menempa kejayaan. Semua itu sangat bermakna buatnya. Setiap masa diisi sebaik mungkin sehingga membuatkan perasaannya pada dunia luar beku terutamanya pada mereka yang cuba mengajaknya bermain cinta. Pengalaman pahit membuatkan dia takut untuk menyerahkan perasaannya. Dia takut disakiti lagi.
            Namun ternyata janji itu seakan memakan dirinya. Entah di mana silapnya, dia terkantoi pada cinta seorang lelaki bernama Ahmad Saifullah Sayyidi. Akibatnya hatinya sakit hingga ke saat ini.  Kesakitan itu ternyata lebih meracuni perasaannya. Hakikatnya hatinya lebih parah terluka berbanding luka yang ditinggalkan keluarganya. Sesungguhnya kesan calar yang ditinggalkan lelaki itu terlalu sukar untuk diubati. Hampir  seminggu dia merana, menanggung kepedihan yang menyaluti segenap ruang hatinya angkara ‘malapetaka’ cinta si dia.
            Tiba-tiba Aniyah ketawa sendirian memikirkan kebodohan dirinya yang lemah dek seorang lelaki yang baru muncul mewarnai perjalanan hidupnya. Kepalanya menggeleng seakan tidak percaya pada dirinya yang mudah tewas sedemikian rupa.
Dua puluh empat tahun, dia mampu untuk bertahan melawan dugaan tetapi kerana lelaki yang baru dikenalinya itu, tak sampai tiga bulan dia rebah menyembah bumi. Bodoh! Tempik hati Aniyah pada dirinya. Dia ketawa lagi. Nasib baik dia sendirian di kamarnya.  Jika tidak, pasti orang yang memerhati mengatakan dirinya sudah hilang kewarasan! Tadi menangis dan sekarang ketawa pula.
            Apalah kau, Niya. Kerana jantan tak guna tu, kau jadi tak siuman. Menangis tak henti-henti. Makan minum kau abaikan. Kerja, kau tak endahkan. Mana kerasionalan kau? Jangan jadi bodohlah, Niya. Entah-entah lelaki itu sedang enak ketawakan kau bersama adik kau sendiri!
            Argh.. aku bukan bodoh! Orang bodoh aje buat kerja bodoh macam tu! Aniyah cuba melawan perasaan dalamannya.
            Jadi sudahlah! Jangan diratapi lagi lelaki itu!
            Bila masa aku meratapi dia!
            Sudahlah. Kau jangan hipokrit!
            Aku tak hipokrit!
            Dah tu egois?
            Arg...
            Radang Aniyah kerana diperkotak katik perasaan sendiri. Monolog perasan itu seolah-olah memperlekehkan ketabahannya.
            Sudahlah Aniyah. Kau telah melalui perjalanan hidup yang lebih  panjang deritanya tetapi kau mampu bertahan. Masakan kerana lelaki yang baru kau kenali tak sampai tiga bulan, kau sudah hilang semangat kau yang kental itu. Bangkit semula Nurulain Fatinah Aniyah!
            Aniyah termangu seketika mendengar bisikan hatinya.
Jangan mudah mengalah Niya. Cerita semalam adalah rencah yang mencorak kehidupan kau untuk kau jadi lebih kuat.  Bukannya lemah! Mana semangat kental kau? Di mana keberanian dan ketabahan Nurulain Fatinah Aniyah? Mana???
Aniyah mengetap bibirnya.
Bangkit Aniyah! Bangkit! Hidup bukan untuk cinta semata-mata. Hidup perlukan lebih daripada itu! Jangan biarkan masalah kuasai kita tetapi sebaliknya kita yang sepatutnya menguasai masalah!
Aniyah menghela nafas yang panjang. Ya, sudah tiba saatnya aku menghentikan perbuatan sia-sia ini. Tak guna terus membiarkan diri seperti orang tidak siuman, meratapi sesuatu yang entah apa-apa itu.
Nurulain Fatinah Aniyah yang kental sudah kembali!
Pantas dia menepis kasar pipinya yang tadi bermandi air matanya. Dia nekad! Dia tidak akan tewas lagi! Semangatnya kembali bertiup di setiap inci tubuhnya untuk kembali menjadi dirinya yang sebenar.
Dia tidak mahu lagi menangisi kisah yang terjadi. Baginya cukuplah dia menangisi kejadian itu seminggu yang lalu. Dia harus bangkit, berdiri dan bersemangat seperti hari-hari sebelum. Jika tindakan mummynya yang berpuluh tahun mampu memberi kejayaan padanya, inikan pula lelaki yang baru seketika muncul dalam hidupnya.  Persetankan semua itu. Dia harus bangkit. Ya bangkit semula. Bangkit untuk kehidupannya.
            Nurulain Fatinah Aniyah yang kental sudah kembali! Tegas Aniyah pada dirinya  lalu menyumbat earphone MP4 ke telinganya. Lagu ‘semangatnya’ iaitu Lagu Jangan Bersedih Lagi, nyanyian Anuar Zain beralun di telinganya

1 comment: