Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Monday, May 7, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 2)


BAB 2

            “Eh Niya... awal bangun?  Nak ke mana pagi-pagi ni? Dah sihat ker?” tegur Mak Cik Bibah terkejut saat terpandang susuk Aniyah di hadapannya. Mata tuanya tidak berkelip merenung ke arah anak sulung majikannya yang lengkap berpakaian sut kerja.
            Aniyah tersenyum seraya meratapi tubuh tua Mak Cik Bibah. “Mestilah kena bangun awal. Niya kan kerja dengan orang. Takkan nak tutup periuk nasi sendiri kot. Nanti nak makan apa?” balas Aniyah ceria.  Bahu Mak Cik Bibah diraih mesra. “Mak Cik Bibah masak apa hari ni? Niya laparlah,” adu Aniyah manja sambil mengusap perutnya yang sudah beberapa hari tidak berisi.
            Mak Cik Bibah yang sejak dari tadinya terkesima dengan kemunculan Aniyah, akhirnya tersenyum mendengar kata-kata anak majikannya itu. Dia mengucap syukur dalam hati. Akhirnya Aniyah sudah kembali berselera setelah hampir seminggu berkurung dalam bilik tanpa mahu mempedulikan soal makan minum  
“Hari ini Mak Cik Bibah masak nasi goreng kampung,” jawab Mak Cik Bibah sambil tersenyum mesra.
            “Wow tak sabarnya nak makan!” ujar Aniyah penuh perasaan teruja dan ceria.
            Senyuman di bibir Mak Cik Bibah makin lebar. Dia benar-benar lega dan bersyukur melihat perubahan pada Aniyah.  Aniyah sudah kembali menjadi Aniyah yang asal.  Penuh semangat!  Itulah doanya siang malam, mahu melihat kehidupan Aniyah kembali pulih dari kemurungan.  
Walaupun Mak Cik Bibah sedar bahawa hakikat kebahagian yang sebenar-benarnya masih belum dirasai gadis di hadapannya ini tapi Mak Cik Bibah tetap optimis bahawa satu hari nanti Aniyah akan menikmati kebahagian itu.
            “Kalau macam tu, sekejap Mak Cik Bibah hidangkan,” ucap Mak Cik Bibah sebelum menyusun langkah meninggalkan ruang meja.
            “Mak Cik Bibah, Teh O  panas satu,” laung Aniyah yang sudah menarik kerusi meja makan.
            “Mak Cik Bibah dah bancuh. Nanti Mak Cik Bibah bawa ke meja makan,” balas Mak Cik Bibah membuatkan senyuman Aniyah makin lebar.
            “Ni sayang Mak Cik Bibah lebih!” balas Aniyah sebagai tanda penghargaan terhadap keprihatinan orang gaji keluarganya itu.
            “Mak Cik Bibah tahu, Niya bukannya suka minum susu,” sela Mak Cik Bibah yang sudah berada di muka pintu dapur.
            Aniyah tersenyum sambil mengiakan kata-kata itu. Memang dia dengan susu tidak boleh bersahabat baik.  Tengkuknya cepat berasa loya walaupun hanya menghidu bau minuman tersebut. Itu belum lagi kalau disuruh minum. Boleh terkeluar segala isi perut  dibuatnya. Dia memang tidak boleh masuk dengan susu. Ironinya, susu adalah minuman wajib ahli keluarganya setiap kali sarapan pagi!
            “Mak Cik Bibah!!!!”
Tiba-tiba satu pekikan kuat kedengaran. Pekikan itu membuatkan Aniyah yang duduk di meja makan terkejut.  Kepalanya pantas mendongak ke atas.  Manakala Mak Cik Bibah yang tadinya berada di dapur, kini sudah muncul kembali di ruang meja.
            Terpacak susuk tubuh ramping Dhaniyah yang masih berpakaian baju tidur. Dhaniyah sedang bercekak pinggang! Ekspresi wajahnya menghantar makna yang mudah difahami. Pasti ada yang tidak kena!
            “Mana baju Dani yang warna biru laut hari tu?” soal Dhaniyah pada Mak Cik Bibah. Matanya garang mencerlung ke arah Mak Cik Bibah. Kewujudan Aniyah tidak diendahkan.
            “Yang mana satu?” Takut-takut Mak Cik Bibah ingin bertanya kerana dia sememangnya agak kekok jika berhadapan dengan anak bongsu majikannya ini. Berbeza dengan Aniyah, Dhaniyah seorang yang agak kasar tutur katanya.
            “Ee Mak Cik Bibah ni. Yang Dani pakai malam dua hari lepaslah!” gerutu Dhaniyah geram. Gigi di hadapan diketap rapat. Saling berlaga antara yang atas dan bawah.
            “Oh baju tu Mak Cik Bibah hantar ke dobi. Bukankah Dani suruh Mak Cik Bibah hantar ke sana?” tutur Mak Cik Bibah lembut dan terketar-ketar.  Rasa takut masih belum surut dalam dirinya.
            “La, takkan tak siap lagi!!!” Melenting suara Dhaniyah sebaik mendengar ujuran itu. Reaksinya membuatkan Mak Cik Bibah makin ketakutan.
            “Maaf..Maaf Dani... Mak Cik Bibah terlupa nak suruh Pak Cik Rahman ambilkan,” jawab Mak Cik Bibah tersangkut-sangkut. Kepalanya menunduk mengadap lantai. Dia takut menatap wajah Dhaniyah yang garang mengalahkan singa kelaparan. Tambah pula apabila dia memikirkan kesilapan itu datangnya daripada dirinya sendiri.
            What!!!!” jerit Dhaniyah lantang sehingga membuatkan bahu Mak Cik Bibah terangkat kedua-dua belahnya. Ternyata orang tua itu tersentak dengan suara lantang Dhaniyah.
Aniyah yang sejak daripada tadi menjadi pemerhati juga turut sama terkejut mendengar suara lantang Dhaniyah. Walaupun Dhaniyah selalu memekik jika berlaku benda yang tidak disukainya tetapi Aniyah tetap tidak dapat mengawal perasaan terkejutnya dengan tindakan adiknya itu.
            “Apa yang bising-bising ni?” sampuk satu suara secara tiba-tiba.
            Sudah! Mummy sudah datang. Gumam Aniyah saat terdengar suara itu.  Dia jadi belas mengenangkan nasib yang bakal menimpa Mak Cik Bibah nanti. Pasti Dhaniyah akan mengadu pada mummy!. Aniyah mengerling ke arah Mak Cik Bibah.  Belas hatinya melihat wajah pucat Mak Cik Bibah yang ketakutan.
            “Mak Cik Bibah ni mummy...Eee geram betul Dani... da ker patut dia lupa suruh Pak Cik Rahman ambil baju Dani kat kedai dobi! Dani dah janji dengan Eddy nak pakai baju tu! Baju kegemaran dia!” bentak Dhaniyah penuh rasa marah dan geram.
            Sepantas itu Aniyah tertunduk diam mengadap meja makan. Dia mengetap bibirnya tanpa sedar. Eddy nama panggilan adiknya pada lelaki yang telah merobek hatinya.
“Kenalkan, nama saya Ahmad Saifullah Sayyidi itu. Panggil sahaja Epul”
Ah lelaki itu memang tak guna. Dasar playboy memang macam tu. Nama pun boleh diubahsuai asalkan modus operandi berjalan dengan lancar! Gerutu Aniyah geram. 
“Mak Cik Bibah!! Apahal ni..” Datin Samsiah sudah mula menengking. Melolot matanya memandang wajah Mak Cik Bibah. Semacam watak yang ditunjukkan Dhaniyah seketika tadi, begitulah watak yang tergambar di wajah Datin Samsiah.
“Maaf  Datin..” Tergagap-gagap Mak Cik Bibah menuturkan pemohonan maaf. Dia tahu dia bersalah.  Dia tahu dia perlu menanggung kesilapan disebabkan kecuaiannya.
“Awak ni tak pernah nak belajar daripada kesilapan. Saya potong gaji awak!!”
Nah, hukuman sudah dijatuhkan.
Perasaan belas menghimpun di hati Aniyah saat melihat anggukan Mak Cik Bibah yang nampak redha dengan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
“Dah. Pergi suruh tauke dobi tu hantar ke sini, sekarang juga!!!” arah Datin Samsiah.
Mak Cik Bibah mengangguk berulang kali. Terkedek-kedek tubuh tua Mak Cik Bibah berlari mendapatkan gagang telefon. Aniyah hanya mampu memerhati belas kerana untuk bersuara, siapalah dia di mata mummynya.
Aniyah segera bangkit dari kerusinya. Dia ingin ke dapur, mendapatkan minuman dan makanan untuk dibuat lapik perutnya. Dia tahu, dia tidak boleh mengharapkan Mak Cik Bibah waktu ini. Lagipun, tidaklah sesusah manapun untuk melaksanakan kerja itu. Lantas dia mengatur langkahnya. Jelingan mummynya, tidak diendahkan. Begitu juga jelingan daripada adik bongsunya. Kakinya terus mara menuju ke dapur
“Eh tak hidang lagi sarapan!” Bunyi ngomelan tidak puas hati daripada Dhaniyah di meja makan singgah di cuping telinga Aniyah. Aniyah jadi geram mendengar omelan adiknya itu.
 Tahu nak mengarah sahaja. Tahulah Mak Cik Bibah tu orang gaji tapi agak-agaklah. Mak Cik Bibah pun manusia biasa juga. Semua anggota melekat pada badan. Mana terdaya buat semua kerja dalam satu masa.
Tanpa berlengah, dia mencapai mangkuk lalu dikauk nasi goreng kampung dalam mangkuk besar ke dalam mangkuk yang dicapainya dari rak pinggan mangkuk. Setelah penuh, diatur langkahnya menuju meja makan.
“Memang sesuai sangatlah jadi anak orang gaji!”
Aniyah diam mendengar ayat sindiran adiknya itu. Malas dia mahu melayan perangai adiknya yang tak sudah-sudah mencari masalah dengan orang. Pantas dia meletak mangkuk nasi di atas meja dan beredar semula ke dapur.  Dia perlu mendapatkan susu dalam peti sejuk sebelum bebelan mummynya pula kedengaran.
“Eh ambilkan aku sudu,” arah Dhaniyah kepada Aniyah yang ketika itu sedang meletakkan kotak susu di meja makan.
“Walaupun aku anak orang gaji tapi aku bukan kuli kau!” bentak Aniyah tegas. Segera dia berlalu semula ke dapur.
“Mummy!” Pekikan Dhaniyah  itu dipandang sepi Aniyah.  Lebih baik dia isi perutnya daripada melayan kerenah mengada-ngada adiknya itu.
Tahu nak sakit hati orang aje. Bila orang dah sakit hati dia, tahu pula rasa sakit hati! Omel Aniyah kerana meluat dengan perangai adiknya yang terlalu mementingkan diri sendiri.
“Minta maaf  Niya.  Mak Cik Bibah kena buat panggilan.” Kecoh suara Mak Cik Bibah kedengaran ketika Aniyah menuang air teh ke dalam mug.
“Eh tak apalah.  Bukan susah pun. Tengok dah siap pun,” balas Aniyah sambil mengangkat mugnya yang sudah berisi Teh O Panas yang panas.  Dia tersenyum pada wanita di hadapannya itu.
Mulanya, Mak Cik Bibah berasa bersalah tetapi akhirnya Mak Cik Bibah tersenyum melihat telatah Aniyah.  Namun begitu hati tuanya tetap simpati pada nasib yang menimpa Aniyah. Walaupun dia berhubung di talian telefon tetapi apa yang berlaku di meja makan, tidak sedikitpun terlepas daripada pemerhatiannya.
“Kenapa makan di sini Niya?” tanya Mak Cik Bibah lembut apabila melihat Aniyah sudah menarik kerusi meja makan di dapur. “Pergilah makan kat dalam.”
Aniyah menggeleng. “Sini pun selesa. Lebih nikmat!” Pantas Aniyah menyuap sesudu nasi ke dalam mulut sebaik mengamin doa makan. Saat itu, hati tua Mak Cik Bibah tersentuh lewat percakapan Aniyah yang penuh maksud tersirat itu.
Dia terlalu bersimpati dengan nasib yang menimpa anak sulung majikannya ini. Hidup berpuluh tahun di banglo ini sebagai pembantu rumah membuatkan setiap derita gadis ini turut dirasainya. Dia belas. Dia simpati. Dia berjanji pada dirinya bahawa dia akan tetap terus berdoa yang terbaik untuk gadis ini selagi dia mampu.

No comments:

Post a Comment