Bab 22
Umpama seorang pesalah, Aniyah menyembunyi
wajahnya di sebalik tubuh gempal Mak Cik
Bibah. Takut benar dia melihat wajah Saiful lagak harimau bintang yang sedang
mengawasi kawasannya daripada dicerobohi. Sepasang mata itu terlalu tajam
merenungnya.
“Mula nak buat perangailah tu.” Intonasi
Saiful tidak seinci berubah. Masih garang dan keras. “Suka sangat ikut kepala
sendiri!”
Aniyah mendengar dalam geram. Marah pun ada. Sakit hati usah dikata. Macam lelaki itu suami dia pula mahu mengokong
setiap tindakan yang dia ambil. Dia sudah dewasa. Daddynya sendiri pun tidak bising tetapi
lelaki yang tiada kaitan dalam hidupnya ini pula sibuk mengambil tempat dalam
setiap keputusan yang dibuat. Siapa tak
angin.
“Dah tahu sakit buatlah cara sakit!” Saiful
terus memarahi gadis yang bersembunyi di sebalik tubuh Mak Cik Bibah. Rasa
geramnya memang tidak dapat dikawal. Geram betul dia apabila diberitahu
jururawat yang terserempak dengannya di luar bilik tentang keinginan Aniyah.
Nasib baik dia tergerak hati mahu ke sini. Jika tidak, pasti Aniyah lebih
pantas bertindak.
“Sudahlah tu Epul. Salah Mak Cik Bibah juga.
Kalau Mak Cik Bibah tak cakap kat jururawat, tak jadi benda ni.” Mak Cik Bibah
bersuara meredakan ketegangan yang sedang berlaku. Simpati dia melihat Aniyah
yang menikus ketakutan.
“Agak-agaknya kena pasang pengawal
keselamatan kot kat sini. Biar bilik ni dikawal 24 jam.” Sinis! Pedas! Keras!
Itulah gambaran suara Saiful melantun ayat-ayatnya.
Aniyah menarik lengan Mak Cik Bibah, cuba
menarik perhatian orang tua itu. Wajahnya masam merenung sepasang mata Mak Cik
Bibah sebagai tanda tidak puas hati dengan apa yang didengari. Melampau sungguh
lelaki itu!
“Cukup-cukuplah kamu marah dia, Epul. Dia kan
belum sihat.” Sekali lagi Mak Cik Bibah bersuara meredakan ketegangan.
“Dah tahu tak sihat, buatlah cara tak sihat!”
Radang Saiful masih belum surut. Jelingan tajam masih melibas ke arah Aniyah.
Eee..lelaki ni kan. Aniyah memberontak dalam
hati. Rasa mahu dicili mulut yang lancang itu. Perit betul telinganya mendengar
setiap kata lelaki itu yang terlalu menyakitkan telinganya.
“Eh, bukan kamu ada kat PD ker?” Tiba-tiba
Mak Cik Bibah mengalih topik perbualan apabila dia teringat tentang
perbualannya dengan Aniyah sebentar tadi.
Saiful mengangguk. “Saya dari sanalah. Nasib
baik tergerak hati nak menyinggah ke sini. Kalau tak tadi, tengok katil
ajelah!” Sinis ayat Saiful di hujung kata. Matanya menjeling ke arah Aniyah
yang mencerut sahaja wajahnya.
Rapat Aniyah mengetap bibirnya. Sakit betul
hatinya hari ini. Tidak habis-habis lelaki itu mahu menyindir dirinya.
“Selagi doktor tak bagi balik, jangan nak
menggatal tinggalkan bilik ini. Kalau berani buat, memang kena berani tanggung
akibatnya!” tegas Saiful tanpa mengendahkan perasaan Aniyah. Manakala Aniyah sudah mendongol geram dengan
amaran diktator lelaki itu.
No comments:
Post a Comment