Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Wednesday, May 9, 2012

Novel : Jangan Bersedih Lagi (Bab 4)


BAB 4

 “Niya, balik tak makan tengah hari?” soal Mak Cik Bibah di hujung talian telefon.
“Tak dapatlah Mak Cik Bibah.  Sibuk sangat. Banyak kerja perlu diselesaikan,” jawab Aniyah di hujung talian. Telefon bimbitnya dilekap di telinga kanannya. Bahu kanannya dijadikan alas, menahan telefon bimbit.  Sementara kedua-dua belah tangannya lincah menyelak kertas di hadapan. Matanya terus meneliti setiap helaian kertas yang diselak.
“Kalau macam tu, tak apalah. Nanti Mak Cik Bibah simpan sedikit lauk untuk Niya.”
Aniyah tersenyum. “Mak Cik Bibah masak apa?”
“Masak gulai tempoyak ikan patin. Udang masak sambal petai.”
            “Sedapnya..” Aniyah hanya mampu menelan air liur mendengar senarai menu yang diucapkan Mak Cik Bibah di hujung talian. Semua itu kegemarannya. “Ikan goreng ada tak?” Sempat lagi dia bertanyakan menu wajib itu.
            “Mestilah ada. Guna ikan sebelah.”
            “Simpan tau. Balik nanti, Niya nak makan!” seru Aniyah sambil membayang masakan Mak Cik Bibah. Hilang sudah tumpuannya pada kertas di hadapannya. Tumpuannya kini terarah pada masakan Mak Cik Bibah yang sememangnya sangat sedap dan menyelerakan. Tambah pula ada masakan kesukaan iaitu ikan patin masak tempoyak. Memang terangkat seleranya. Ditambah pula dengan kehadiran udang sambal petai dan ikan goreng belah belakang. Terasa macam mahu terbang pulang ke rumah.
            Kedengaran tawa Mak Cik Bibah di hujung talian. “Yalah. Jangan lewat balik. Kamu tu baru sihat je.”
            Hati Aniyah tersentuh dengan keprihatinan Mak Cik Bibah. Hilang sudah kesedapan masakan yang terbayang di matanya.
Kalaulah mummy seperti Mak Cik Bibah..arh, jangan nak beranganlah! Pintas Aniyah mematikan angannya.
            “Yalah! Yalah.”
            Janji itu mengakhiri perbualan mereka berdua sebelum mereka berbalas salam.
            Sebaik meletakkan telefon bimbitnya di atas meja, Aniyah kembali memberi tumpuan pada kerjanya.  Dia sempat menelek jam di dinding biliknya. Masih ada sejam lagi sebelum waktu makan tengah hari. Rasanya sempatlah untuk dia menyiapkan kerja yang bertarikh tiga belas haribulan di hadapannya.  Hanya beberapa peranggan sahaja lagi perlu disiapkan sebelum proses semakan semula dilakukan.
***
            Ketukan di muka pintu mengganggu konsentrasi Aniyah. Pantas dia memanggil masuk tetamu yang mengetuk permukaan pintu biliknya.
            “Cik Niya, lunch hour. Jom makan sama-sama.” Pelawaan itu membuatkan Aniyah memandang jam di dinding.
Cepat betul masa berlalu! Sejam umpama sesaat.
 Nampaknya kerja yang dijangka siap terpaksa ditangguhkan. Terdapat banyak kesalahan yang dikesan sewaktu semakan semula dilakukan.  Dia harus habiskan kerja ini terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan pada kerja lain. Prinsipnya,  kerja tidak boleh disiapkan sambil lewa tetapi perlu sehabis baik. Aspek kualiti menjadi keutamaannya. Maka dia rasakan kerja di hadapannya ini perlu ditangguhkan seketika. Perutnya sudah berkeroncang sebaik menerima ajakan pembantunya.
            “Kita nak ke mana?” soal Aniyah sambil memasukkan pen ke dalam mug di hadapannya.  Kertas-kertas kerja di atas meja disusun rapi semula dan  diletakkan di satu sudut mejanya. Kemudian dia mengeluarkan tas tangan dari laci mejanya. Semua tindakan itu dilakukan dengan pantas.
            Any idea?” tanya Umairah ketika Aniyah sudah berdiri di hadapannya.
            Aniyah diam berfikir seketika. “Kita ke kedai mamak ya. Teringin makan roti Bom.”
            “Amboi baru masuk kerja dah mengidam roti Bom mamak. Ada apa-apa ker?” usik Umairah yang sebenarnya agak pemalu dan pendiam orangnya. Namun kadang-kala gadis ini pandai juga ‘mengenakan’ orang.
            Aniyah ketawa menyambut usikkan rakan sekerjanya itu.  Memang dia mengidam roti Bom.  Sudah lama dia tidak menikmati roti yang dalamnya ada susu pekat. Memang sedap kalau dimakan bersama dengan gulai ikan. Namun lebih utama, dia mahu menyimpan perutnya untuk masakan Mak Cik Bibah.  
            “Jom,” ajak Aniyah. Umairah pantas mengangguk. Kedua-duanya mula menyusun langkah meninggalkan ruang pejabat. Mereka berjalan beriringan.
            “Jalan tak tengok orang pun!”
Teguran itu tidak semena-mena menyekat langkah Aniyah dan Umairah yang baru melepasi pintu pejabat.  Mereka berdua pantas menoleh ke belakang. Terbias susuk tubuh Luqman.
“Datang dah bapak segala penyibuk..” gerutu Umairah lemah.  Dia sememangnya tidak sebulu dengan Luqman dek selalu menjadi bahan usikan lelaki itu. Ada-ada sahaja usikan lelaki itu yang merimaskannya.
“Okeylah daripada mak segala muncung. Nak makan pun terus hilang selera!” Ternyata keluhan Umairah didengari Luqman. Umairah mencebir, tanda tidak berpuas hati. Luqman turut sama mencebir, tanda membalas protes Umairah.
Aniyah tidak dapat menahan tawanya. Dia ketawa kecil sambil kepalanya menggeleng melihat kerenah kedua-dua rakan sekerjanya.
“Kalau tak ada selera, jangan nak menyibuk ikut!” bentak Umairah.
“Biarlah. Dengan kau memang tak ada selera. Tapi dengan Cik Niya, selera aku jadi berganda.” Luqman menjeling ke arah Umairah.  Namun pada Aniyah, dia mengenyit mata. Dua ekspresi yang jauh berbeza terpamer di wajah Luqman.
“Ulat bulu naik daun, memang gatalnya mengalah buluh kat hutan!” tempik Umairah perlahan tapi nadanya masih boleh didengari Luqman dan Aniyah.
“Sudahlah tayang mucung itik kau tu.  Biarlah aku nak menggatal pun dengan Cik Niya. Dia bukan isteri orang!”
Aniyah terbeliak mendengar ayat lepas daripada Luqman.  Namun dia sedar itu sekadar mainan di bibir lelaki itu sahaja. Tambah pula apabila melihat kenyitan mata Luqman yang nampak ketara ketidakseriusan terhadap kata-kata yang diucapnya seketika tadi.
“Pergi cermin muka kau dululah. Seribu lebih baik Cik Niya boleh dapat daripada kau.”
“Yang kau sibuk kenapa. Yang bercinta aku dengan dia. Rupa paras bukan ukuran. Janji hati suka. Tak gitu, Cik Niya?”
Aniyah ketawa dengan persoalan yang dilemparkan Luqman. Luqman memang suka berjenaka. Ada sahaja kata-katanya yang mencuit hati orang yang mendengarnya.
“Luqman!!”
Tiba-tiba satu suara lantang kedengaran. Suara itu terus mematikan tawa Aniyah. Dadanya berdegup dengan tidak semena-menanya.  Dia kenal suara itu walaupun masih tidak memandang wajah empunya suara itu.
“Alamak bos panggil!” ngomel Luqman menggelabah. Dia segera meninggalkan Aniyah dan Umairah.  Pantas dia mendapat Saiful yang berdiri tidak jauh daripada kedudukan asalnya sebentar tadi.
“Kenapa bos?” soal Luqman takut-takut. Dia memang gusar kalau namanya dipanggil Saiful.  Dia bukan rapat sangat dengan bosnya ini. Jauh sekali bersenda gurau sepertimana dia dengan Aniyah.  Sebab itulah dia agak menggelabah apabila berhadapan dengan anak kepada pemilik syarikat tempatnya bekerja ini.
“Jom makan dengan saya!”
Luqman tersentak. Tidak berkelip dia memandang Saiful.
 Biar betul???
“Lekas. Lepas ni saya ada benda nak kena uruskan!” Pantas Saiful berlalu tanpa langsung mengendahkan kewujudan Aniyah dan Umairah yang sedari tadi terpacak memandang ke arahnya dan Luqman.
Luqman yang bagaikan lembu dicucuk hidung, segera mendapatkan Saiful. Berlari-lari anak dia mendapatkan Saiful yang sudah jauh meninggalkannya.
“Oh dengan Encik Saiful tahu pula menggelabah.  Dengan kita, suka sangat buat lawak tak menjadinya!” ngomel Umairah sebaik kelibat Luqman dan Saiful sudah menghilang dari pandangan mata.
Aniyah sekadar memasang telinga mendengar omelan Umairah. Dia tidak mahu mengulas apa-apa tentang isu itu.
“Jomlah makan. Karang ramai orang, susah pulak nak datang tempat duduk!”
Aniyah mengangguk seraya bersaing langkah dengan Umairah. Mereka sama-sama berjalan meninggalkan ruang legar pejabat.
****
Setelah selesai menjamu selera, Aniyah kembali ke pejabat. Namun kini dia sendirian. Umairah tidak ikut sekali kerana pembantunya itu singgah di surau kerana ingin menunaikan solat Zuhur.  Maka dia yang tidak boleh menunaikan solat, terus bergegas menuju ke pejabatnya. Perkara yang berlegar di fikirannya kini adalah mahu kembali mengadap kerja-kerjanya.
Suasana yang hening dan sunyi menyambut ketibaan Aniyah sebaik dia melangkah masuk ke ruang pejabatnya di tingkat 30. Nampaknya semua pekerja masih belum kembali ke pejabat. Aniyah terus menyusun langkahnya. Namun tiba-tiba langkahnya terhenti. Matanya tertancap pada satu susuk tubuh di tempat Luqman. Tubuh yang membelakanginya cuba diamati. Dia kenal susuk tubuh berbaju kemeja coklat lembut. Pantas dia mara mendapatkan lelaki itu.
“Hai, dengar tadi macam bos ajak makan,” tegur Aniyah ketika sudah berhadapan dengan Luqman. Nasi bungkus yang berlauk ayam rendang, ikan goreng, sayur campur dan sambal belancan dipandang sekilas.
Luqman tayang sengihan kecewanya. “Apa boleh buat.  Saya ni siapalah kalau nak dibandingkan dengan perempuan tu!”
Kening Aniyah terjongket. Dia pelik dengan kata-kata Luqman itu. “Maksud?”
Time dah nak sampai kat restoran, tiba-tiba bos dapat panggilan. Lepas berbual, terus dia kasi saya duit RM 50 dan suruh saya beli sendiri makanan sebelum dia blah tinggalkan saya!” Luqman bercerita dalam nada kecewanya. “Memang tak guna betullah orang yang buat call tu. Melepas saya nak makan kat restoran mahal tu. Belum pernah saya melangkah ke restoran VIP tu. Eee geram mak tau!”
Aniyah ketawa kecil. “Kira okeylah tu dia bagi RM50. Campur tolak nasi dengan air, baru RM 10. Jimat RM 40. Mana ada orang makan free pastu dapat duit lagi!”
Luqman mencebik. “Untunglah sangat!”
Aniyah ketawa lagi sebelum melangkah meninggalkan Luqman.
****
Jam menunjukkan angka lima. Aniyah bergegas mengemas mejanya. Dia mahu segera pulang. Dia tidak mahu kandas di jalan raya. Jalan sesak terbayang di wajahnya. Lantas dicapai beg tangannya dalam laci.  Langkahnya terus mara menuju ke arah pintu biliknya.  Lauk masakan Mak Cik Bibah bermain di fikirannya. Perutnya sudah rancak berdendang.
“Cepatnya Cik Niya!” tegur Umairah ketika susuk tubuh Aniyah terpacul di hadapan pintu bilik.
Aniyah tersenyum. “Dah habis waktu kerja, baliklah.” Aniyah pantas menarik daun pintu. Tombol pintu dikunci.
“Amboi tak sabarnya nak jumpa rumah!” Umairah terus mengusik ketuanya itu.
“Tahu tak pe.” Aniyah mengiakan sahaja telahan pembantunya itu. “Balik dulu.” Aniyah terus berpamitan.
Walaupun dia nampak seperti begitu cepat beredar meninggalkan pejabat tetapi rupanya lebih ramai lagi pekerja pejabat yang lebih pantas daripada dirinya. Ruang-ruang pejabat sudah banyak kosong. Tempat Luqman pun sudah kosong. Hanya beberapa orang sahaja termasuk Umairah yang masih mengadap kerja.
Kalau begini keadaannya, nampaknya dia sudah dapat membayangkan keadaan lalulintas di jalan raya.  Di bahagiannya sahaja sudah  hampir kosong ditinggalkan, apatah lagi satu bangunan.  Itu baru di Neraca Holdings. Belum ambil kira syarikat lain lagi.
Redha sahajalah dengan apa terjadi!
Sambil membibit beg tangan, Niya segera mengatur langkah kakinya. Dia kini sudah berdiri di hadapan pintu lif. Punat lif ditekan. Tidak perlu menunggu lama, akhirnya pintu lif terbuka. Namun malangnya, ruang lif sudah sarat dengan kakitangan syarikat yang bekerja di bahagian tingkat atas.
“Masuklah. Muat lagi ni,” pelawa satu suara. Dengan senyuman, Aniyah melangkah masuk apabila sedikit ruang di bahagian tengah diberikan untuknya dalam lif.
Nasib baik lif tidak berbunyi. Kalau tidak, terpaksalah dia melangkah keluar semula dari perut lif yang padat seperti tin sardin.  Jika ikutkan boleh berbunyi lif dengan muatan sebegini. Memang ruang lif sudah terlampau padat. Serasa mahu bernafas pun agak sukar.  Suasana yang berhimpit dan sedikit panas memang tidak selesa untuk sesiapa sahaja. Namun mahu tidak mahu, mereka terpaksa akur.
Pintu lif  kembali tertutup dan lif mula bergerak semula. Seketika pergerakan lif terhenti lagi. Kali ini di tingkat 20. Pintu lif terbuka. Serta-merta, tubuh sasa Saiful terbias di mata semua pekerja dalam lif.
“Eh bos,” seru satu suara. Aniyah jadi tidak enak.
“Boleh muat lagi ker ni?” soal Saiful pada penghuni dalam lif.
“Muat lagi neh!”
Aniyah kurang bersetuju dengan jawapan daripada salah seorang penghuni dalam lif. Muat lagi?? Dia memang tidak setuju sama sekali. Baginya lif ini sudah terlampau padat sehingga mahu meletakkan tangan di sisi pun, tidak cukup apatah lagi mahu menampung satu muatan manusia lagi.
Namun untuk bersuara, dia tidak ada keberanian.  Nanti apa pula kata pekerja lain. Dia sendiri pun tadi turut menyibuk, kini mahu menghalang pula orang yang  mempunyai pengaruh besar dalam syarikat untuk masuk.  Memang tempah malu sahaja. Lantas dipendam sahaja perasaannya itu.
Percaya dengan kata-kata pekerja tadi, Saiful bergerak masuk ke dalam lif. Terpaksalah Aniyah yang berada di bahagian tengah hadapan lif, berganjak sedikit ke sebelah kirinya.
Dan tiba-tiba...
Lif berbunyi. Aniyah menarik nafas lega.
Saiful tersengih. “Tak apalah, kamu semua turun dahulu.” Saiful mengalah sambil mengundur ke belakang, keluar dari lif.
“Tak pe.. bos masuklah.” Serta-merta seorang pekerja yang tadinya berdiri di kanan Aniyah keluar dari perut lif. Aniyah tercengang memandang reaksi spontan pekerja itu. Baru tadi dia menarik nafas lega, kini dia sesak kembali dengan tindakan seorang pekerja lelaki itu.
Mahu atau tidak.  Rela atau tidak.  Dia kini sudah berdiri di sisi Saiful. Nasib baik di kirinya ialah pekerja wanita.  Dapatlah dia berhimpit sedikit ke kiri. Walaupun begitu, rasa tidak selesa tetap terasa. Tambah pula apabila menghidu aroma minyak wangi yang dipakai lelaki di sebelah kanannya. Dia hanya mampu menahan perasaannya.
 “Niya...”
Aniyah yang baru ingin membuka pintu keretanya, terhenti seketika perbuatannya itu.  Dia mengangkat mukanya.
“Boleh kita cakap sekejap?”
Aniyah memandang sekilas ke arah Saiful.  Sempat pandangan matanya mengesan mata-mata sekeliling yang memandang ke arahnya. Semuanya tentulah staf-staf syarikat Neraca Holdings kerana tempat ini hanya dikhaskan untuk pekerja Neraca Holdings. “Waktu pejabat dah habis. Tunggu esok sahajalah!” ucap Aniyah lantas menarik daun pintu sebelum meloloskan dirinya ke dalam keretanya. Enjin kereta dihidupkan. Kereta digerakkan meninggalkan kawasan tempat letak kereta.
Reaksi Aniyah itu membuatkan Saiful tidak terkata. Dia hilang kata-kata. Dia hanya mampu melihat kepulan asap kereta Aniyah dengan perasaan kecewa.
****

No comments:

Post a Comment