Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Monday, May 21, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 8)


BAB 8

Tepat jam sepuluh pagi, sesi kaunseling dijalankan di sebuah bilik kecil. Kedua-dua pekerja dari Indonesia yang terlibat dalam pergaduhan kini duduk mengadap sesama mereka. Seorang di penjuru kanan meja dan seorang lagi di penjuru kiri meja. Manakala Aniyah berada di antara mereka. Setentang Aniyah ialah Saiful. Manakala Luqman sudah kembali semula ke pejabat.
Aniyah menarik nafasnya seketika. Sesak juga dia mahu mengendalikan sesi ini. Kalau sesi ini dijalankan antara dia dan dua orang pekerja Indonesia, tidaklah dia terasa tertekan sangat. Namun apalah kuasanya mahu menghalang Saiful untuk turut serta. Lelaki itu bos dan dia hanya pekerja sahaja.
“Assalammualaikum semua,” ucap Aniyah sebagai pembuka sesi kaunseling. Butiran peribadi dua orang pekerja yang berada di tangannya, menyakinkan dia bawa kedua-dua pekerja Indonesia itu beragama Islam.
            Salamnya disambut. Pandangan Aniyah kembali kepada kertas di hadapanya. Lantas kepalanya didongak semula, memandang dua orang pekerja Indonesia di hadapannya. “Awak Anang Kesumo?” soal Aniyah pada pekerja Indonesia berbaju T-shirt hitam.  Pekerja itu mengangguk.  Pandangan Aniyah menuntas pula pada seorang lagi pekerja. “Awak Hasan Noah?” Kepala pemuda yang bertopi itu mengangguk mengiakan kata-kata Aniyah.
            Aniyah menarik nafasnya seketika sebelum kembali memberi tumpuan pada sesi kaunseling yang diselenggaranya. “Kamu berdua tahu kenapa kamu berada di sini?”
            Dua orang pekerja yang sedang menunduk itu, mengangguk serentak.
            “Anang Kesumo, apa hujah kamu untuk mempertahankan diri kamu?” soal Aniyah pada lelaki Indonesia yang bernama Anang Kesumo.
            Perlahan-lahan pekerja itu mengangkat kepalanya.  “Saya enggak bersalah ibu,” tutur lelaki itu cuba membela dirinya dalam loghat Indonesia.
            “Alasan?” soal Aniyah tegas.
            “Dia yang mula dulu ibu.” Anang Kesumo memuncung ke arah rakannya yang duduk  di hadapannya.
            “Saya tidak ..”
            “Kamu diam dahulu, Hasan Noah!” pintas Aniyah membuatkan semua di situ terkejut termasuklah Saiful yang sekadar memasang telinga sahaja dalam sesi ini.
            “Apabila belum tiba giliran kamu, jangan bercakap. Dengar dahulu apa orang lain nak cakap. Cuba belajar menghormati hujah orang lain. Faham?” Mata Aniyah silih berganti memandang kedua-dua orang pekerja Indonesia di sebelah kiri dan kanannya. Kedua-dua pekerja Indonesia itu mengangguk kepala tanda akur pada arahan yang dilontarkan secara tegas itu.
            “Kenapa kamu kata dia yang mulakan dahulu?” tanya Aniyah kepada Anang Kesumo. Dia mahukan  penjelasan.
            “Dia rampas teman wanita saya, ibu,” jawab Anang Kesumo.
            “Itu sahaja yang kamu ingin cakap?” soal Aniyah sambil merekod hujah pekerja itu.
            Pekerja bernama Anang Kesumo mengangguk.
            Aniyah kembali memandang seorang lagi pekerja Indonesia. “Betul kamu rampas teman wanita dia?” soal Aniyah.
            “Saya enggak buat begitu, ibu!” bangkang pekerja yang bernama Hasan Noah.
            “Habis kenapa dia cakap begitu?”
            “Ini semua salah sangka, ibu,” jawab pekerja itu.
            “Salah sangka?” Dahi Aniyah berkerut.
            “Ya ibu. Sebetulnya itu bukan ceweknya tapi bekas cewek ibu.”
            “Kamu jangan bohong!” Tiba-tiba Anang Kesumo melenting.
            Aniyah berpaling ke arah Anang Kesumo. “Saya sudah katakan, jangan menyampuk apabila kawan kamu sedang bercakap!” tegur Aniyah tegas membuatkan kepala pekerja bernama Anang Kesumo tertunduk.
            “Kamu yakin ker itu bekas ceweknya?” provok Aniyah pada Hasan Noah.
            “Yakin ibu. Cewek saya sendiri bilang pada saya.”
            “Entah-entah dia tipu kamu ker?” provok Aniyah lagi.
            “Enggak ibu, dia jujur sama saya.”
            Aniyah tersenyum sumbing. “Manusia ini kadang-kala manisnya hanya di mulut tapi intinya langsung tak ada.”
            Kedua-duanya pekerja di hadapan Aniyah tercengang. Mereka terpinga dengan ayat Aniyah itu. Manakala Saiful pula terasa seperti disindir dengan kata-kata itu.
            “Begini sahajalah.” Aniyah memandang ke arah kedua-dua pekerja Indonesia. “Kamu berdua tidak berasa bodoh ker bergaduh hanya kerana seorang gadis yang belum tentu menjadi milik kalian berdua?”
            “Maksud ibu?” Serentak kedua-dua pekerja Indonesia itu bertanya.
            Aniyah memandang pekerja di sebelahnya silih berganti. “Perempuan yang kamu gaduhkan itu, belum sah milik kamu berdua. Dalam erti kata mudah, belum menjadi isteri kamu. Jadi mengapa kamu bersusah payah bertegang urat dan bercakaran sesama kamu hanya kerana wanita itu. Kamu yakin ker dia akan menjadi milik kamu?”
            Kedua-dua pekerja Indonesia itu terdiam bagai mula mengerti maksud kata-kata Aniyah itu.
            “Selagi tidak ada ijab dan kabul, selagi itulah dia milik sepenuhnya keluarganya. Lebih-lebih lagi ayahnya yang memegang status wali. Jadi jangan jadi dayus, bergaduh untuk sesuatu yang belum pasti. Lagipun apa motis sebenar kamu ke mari? Mahu bekerja atau mencari cewek?”
            “Bekerja ibu.” Perlahan-lahan kedua-duanya menjawab.
            “Kalau begitu, fokus pada bekerja. Jangan kerana seorang wanita, kamu mahu menutup periuk nasi kamu sendiri. Kamu mahu dihantar kembali pulang ke negara kamu sekarang?”
            “Enggak ibu.” Cepat-cepat kedua-dua pekerja itu menjawab. Jelas kelihatan mereka berdua takut mendengar ‘ugutan’ Aniyah itu.
            “Kalau begitu, mulai hari ini tidak mahu lagi kamu berdua bergaduh tentang perkara remeh ini. Janji untuk fokus kembali pada kerja kamu.”
            “Janji ibu.”
            “Kalau begitu saya mahu kamu berdua berdamai.”
            Gesaan itu membuatkan kedua-dua pekerja Indonesia saling memandang antara satu sama lain. Lama mereka berpandangan sebelum mereka berdua bersalaman dan seterusnya berpelukan. Terdengar rintihan kecil di saat pengucapan maaf dilafazkan antara mereka. Perasaan Aniyah tersentuh. Saiful juga begitu.
            “Terima kasih, ibu.” Kedua-duanya bersuara pada Aniyah.
            “Kamu tak perlu berterima kasih pada saya tetapi berterima kasih pada bos kamu. Jika bukan atas budi bicara dia, kamu langsung dibuang kerja.”
            Dengan kata-kata itu, kedua-dua pekerja itu lantas memeluk tubuh Saiful yang terkaku di atas kerusi. Dia memang tersentak dengan apa yang sedang berlaku di hadapannya.
****
“Manusia ini kadang-kala manisnya hanya di mulut tapi intinya langsung tak ada.”
            Saiful mengeluh. Kata-kata yang diucapkan Aniyah ketika sesi kaunseling dijalankan telah meragut ketenangannya.
“Begini sahajalah. Kamu berdua tidak berasa bodoh ker bergaduh hanya kerana seorang gadis yang belum tentu menjadi milik kalian berdua?”
            Saiful menelan air liur. Kelat terasa. Intonasi tegas Aniyah yang ditinggalkan  dalam persoalan terakhir itu membuat dirinya benar-benar terpukul.
“Perempuan yang kamu gaduhkan itu, belum sah milik kamu berdua. Dalam erti kata mudah, belum menjadi isteri kamu. Jadi mengapa kamu bersusah payah bertegang urat dan bercakaran sesama kamu hanya kerana wanita itu. Kamu yakin ker dia akan menjadi milik kamu?”
“Selagi tidak ada ijab dan kabul, selagi itulah dia milik sepenuhnya keluarganya. Lebih-lebih lagi ayahnya yang memegang status wali. Jadi jangan jadi dayus, bergaduh untuk sesuatu yang belum pasti. Lagipun apa motis sebenar kamu ke mari? Mahu bekerja atau mencari cewek?”
            Saiful memejam rapat kelopak matanya. Dia bersandar lemah di belakang kerusi. Lengan sasanya dijadikan alas kepalanya. Peristiwa pagi tadi benar-benar mengganggu tumpuannya. Sejak pulang dari tapak pembinaan, jiwa dan fikirannya bukan lagi pada kerja pejabat sebaliknya pada apa yang telah terjadi pagi tadi. Kata-kata Aniyah benar-benar membuatkan dirinya jadi tidak tenang.
            Dia berteleku memikirkan bait-bait ayat itu yang seakan berpadu dengan rentetan ceritanya dengan Aniyah. Dia mengeluh. Aniyah memang bijak menyusun kata. Dia benar-benar terasa terpukul dengan kata-kata wanita itu.
            Kring...Kring..
            Lamunan Saiful terganggu dengan bunyi deringan telefon di atas mejanya. Dia mengeluh memandang telefon putih yang sedang berbunyi itu. Dengan malas, gagang telefon di angkat. Kedengaran suara setiausahanya di hujung talian.
            “Maaf bos, ada panggilan daripada Cik Dhaniyah.”
            Sekali lagi Saiful mengeluh. “Okey, pass to me,” balas Saiful lemah.
              Seketika talian senyap. Namun tidak berapa lama, terdengar suara di hujung talian. “Where are you? I call your handphone, kenapa tak angkat?”  Dhaniyah sudah memekik di hujung talian. Saiful yang tidak sangka menerima pekikan itu, segera menjauhkan gagang telefon dari telinganya. Berdesing rasa telinganya mendengar suara nyaring Dhaniyah di hujung talian. Saiful memejam mata. Dani...Dani.. keluhnya sebelum kembali meletakkan gagang telefon di telinganya.
            “Dengar tak ni? Kenapa  you senyap?” marah Dhaniyah masih dengan intonasi kerasnya tetapi jeritannya sudah beransur hilang. Cuma nada geram makin bertambah-tambah.
            I dengarlah. You asyik bercakap, I senyap ajelah,” balas Saiful bosan.
            “Ha, mana you menghilang. I call handphone, You  tak angkat-angkat. You pergi mana? You main perempuan ker?”
            “Apa yang you merepek ni!” marah Saiful lantang. Dia memang bengang dengan tuduhan melulu yang dilontarkan Dhaniyah kepadanya.
            “Siaplah kalau I tahu you ada affair dengan perempuan lain. I cincang lumat perempuan tak malu tu!” tegas Dhaniyah berbau ugutan. Kemarahan Saiful tidak diendahkan malahan dia kelihatan semakin berani menentang.
            You jangan nak buat kerja tak siumanlah.” Nada Saiful tidak berubah. Sama naik tegas dan garangnya. Marahnya masih membara.
            “Eh yang you nak mengamuk ni kenapa??? Kalau you tak bersalah, kenapa nak melenting!”
            I...” Tutt..tutt.. Talian terputus dengan serta-merta sebelum sempat Saiful menghabiskan kata-katanya. Saiful mengeluh sambil memandang gagang telefon di tangannya.
Dani ...Dani.. Saiful menggeleng kepalanya mengenangkan perangai Dhaniyah. Dengan lemah, ganggang telefon diletakkan semula ke tempat asalnya.
 Perempuan memang macam nilah. Belum apa-apa dah melenting. Tahu nak mengamuk sahaja! Bosan! Jelak hati lelaki Saiful sebelum dia kembali bersandar di belakang kerusi yang didudukinya.
            Siaplah kalau I tahu you ada affair dengan perempuan lain. I cincang lumat perempuan tak malu tu!
            Saiful memejam matanya rapat. Dia ingin berehat sebentar. Fikirannya terlalu berserabut tika ini

No comments:

Post a Comment