Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Thursday, November 22, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 14)


Bab 14

 “Mak Cik Bibah, Niya takut,” rintih Aniyah lemah ketika tubuhnya diselimutkan Mak Cik Bibah. Kejadian tadi sememangnya satu perkara pahit buatnya. Dia hampir diperkosa.
Belas Mak Cik Bibah mendengar rintihan Aniyah. Tangan tuanya membetulkan anak rambut yang jatuh di dahi Aniyah. Tiba-tiba dia merasakan sesuatu. Tangannya melengkap dahi Aniyah. Panas!!
“Niya demam ni. Panas badan ni.” Suara kerisauan kedengaran sebaik Mak Cik Bibah meletakkan tangannya di leher Aniyah. “Makan ubat tak lagi ni?” Kerisauan Mak Cik Bibah makin menjadi-jadi apabila menggenggam erat jari-jemari Aniyah yang sejuk membeku.
Kedengaran keluhan daripada Aniyah. Dia memang belum makan ubat. Sebaik mendapat arahan daripada mummynya, Aniyah segera turun ke bawah. Itupun sebaik menyalin pakaian. Lantas, niat untuk menelan ubat sebaik selesai menjamah makanan terpaksa dilupakan kerana makanan yang dijamahnya pun belum habis. Masih ada saki baki dalam pinggan.
Bagai dapat membaca ada yang tidak kena, Mak Cik Bibah segera melangkah ke meja kerja Aniyah. Hati tua itu mengeluh tanpa sedar sebaik melihat sepapan ubat yang langsung tidak berusik. Pinggan nasi yang tertutup diangkat. Dia mengeluh lagi. Perlahan-lahan dia mengangkat pinggan itu dan sepapan ubat berserta air menuju ke arah Aniyah.
“Habiskan nasi dahulu. Kemudian makan ubat. Selepas itu rehat.”
Kata-kata berbau nasihat itu disambut gelengan daripada Aniyah. “Niya dah tak ada selera makan Mak Cik Bibah. Tengkuk dah terasa perit,” luah Aniyah menahan keperitan anak tengkuknya.
“Kalau macam tu, makan ubat.”
Aniyah mengangguk lemah. Dua biji ubat penadol yang dikeluarkan Mak Cik Bibah diperhati sebelum disambut dan dimasukkan ke dalam mulut. Laju dia menolak ubat itu dengan air masak.
“Rehatlah. Baru boleh cepat kebah demam tu,” nasihat Mak Cik Bibah seraya membantu Aniyah membetulkan posisi baringannya.
“Terima kasih Mak Cik Bibah. Maaf,  Niya tak boleh nak tolong Mak Cik Bibah kemas malam ni,” tutur Aniyah kesal dan lemah. Dia kesian dengan wanita di hadapannya. Pasti banyak kerja perlu dilakukan sebaik majlis sambutan hari jadi adiknya berakhir. Namun dia sememangnya sudah tidak bertenaga. Kepalanya terasa berat.
“Itu dah memang jadi kerja Mak Cik Bibah. Niya tak perlulah risau. Sekarang apa yang penting, Niya kena rehat secukupnya.”
Perlahan-lahan Mak Cik Bibah bangun. Di tangan kirinya ada pinggan nasi manakala di kirinya ada cawan berserta ubat. “Rehatlah,” arah  Mak Cik Bibah sebelum menutup suis lampu bilik Aniyah.  Daun pintu ditarik.  Lalu tinggallah Aniyah sendirian.
***
Aniyah ingin melelapkan matanya. Dia berasa sangat penat. Kain selimut yang membungkus tubuhnya ditarik makin rapat ke tubuhnya. Dia benar-benar berasa kesejukkan walaupun pusingan kipas di syiling seakan tidak bergerak tika ini. Matanya dipejam rapat. Terasa kepanasan di kelopak matanya. Ah nikmatnya dapat lelap barang sesaat.
 Namun kelopak mata itu terbuka sepantasnya apabila Aniyah teringatkan sesuatu. Pantas dia menolak selimut di tubuhnya. Suis lampu meja tidur di sisi, ditekan.  Cahaya oren menyimbah ruang katilnya.
Aniyah cuba bangkit tetapi dia terasa kepalanya berat. Hujung matanya terasa pedih di kedua-dua belah.
Tak boleh ni. Aku mesti kuat. Kerja belum siap. Esok ada pembentangan.
Aniyah berkeras pada dirinya. Dia tidak mahu tanggungjawabnya sebagai seorang pekerja Neraca Holdings terganggu gara-gara kesihatannya. Lantas digagahkan jua dirinya bangkit.
 Memang terlalu sukar untuknya menampung dirinya ketika berdiri apatah lagi berjalan. Namun dia sedaya upaya berusaha melakukannya. Digagahkan dirinya berjalan menuju ke arah pintu bilik air. Suis bilik air ditekan sebelum daun pintu ditolak.
Dengan berhati-hati, Aniyah melangkah masuk ke dalam bilik air. Pili air di sinki dipulas, lalu keluarlah air sejuk mengalir. Menggigil jari-jemari Aniyah menyentuhnya tetapi dia terpaksa demi menyegarkan wajahnya. Air yang sejuk ditakung menggunakan kedua-dua belah tangannya. Air itu kemudiannya disapu ke mukanya yang hangat. Berulang kali diulang sehingga dia berasa sedikit segar.
Akhirnya dia kembali semula melangkah ke arah kamarnya. Sebelum menuju ke meja kerjanya, Aniyah sempat mengunci terlebih dahulu pintu biliknya. Dia tidak mahu ada orang mengganggu ketika dia sedang melakukan kerja. Lebih daripada itu dia tidak mahu ada orang tahu dia sedang melakukan kerja terutamanya Mak Cik Bibah. Lantas, lampu bilik dibiarkan tidak bernyala. Hanya bertemankan lampu meja dan tidur, dia mengadap kerjanya
Jarum jam sempat ditelek. Dia mengeluh. Sudah hampir ke angka dua belas. Namun satu kerja belum dimulakan. Nampaknya dia terpaksa berjaga malam. Bimbing memikirkan kemungkinan dia tidak akan sedar pada keesokkan paginya, lantas dia mengutuskan pesanan ringkas kepada pembantunya, Umairah supaya menelefonnya pada keesokkan paginya. Malahan, dia sudah bersedia dengan dua alarm di sisinya. Satu alarm telefon bimbitnya dan satu lagi jam locengnya. Dia khuatir kalau-kalau dia tertidur ketika sedang menyiapkan kerja. Kepenatan dan masalah kesihatan yang dihadapi boleh membuatkan kemungkinan itu akan terjadi.
Membuat kerja dalam keadaan diri yang tidak berapa sihat, benar-benar mencabar keupayaan Aniyah. Batuk dan selesema yang silih berganti memaksanya mengeluarkan sekotak tisu baru setelah sekotak tisu habis digunapakai. Memang menyesakkan. Dia insaf dan mula terfikir bertapa nikmatnya ada kesihatan yang baik.
Mungkin inilah hikmah di sebalik kesakitan yang dirasainya. Jika tidak, pasti dia tidak langsung mempedulikan nikmat kesihatan yang ALLAH berikan. Sudah agak lama, kesihatannya tidak terganggu. Barangkali keselesaan yang dinikmati menjadinya dia lupa untuk mensyukuri nikmat ALLAH yang satu itu.
Ya, ALLAH tidak pernah sia-sia dalam mentakdirkan sesuatu ke atas setiap kejadiaanNYA kerana DIA Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana. Lantas Aniyah bangkit dari duduknya dan menuju ke bilik air. Dia ingin bermunajat pada PenciptaNya. Lantas dibasahi tubuhnya dengan wudhuk. Sebaik selesai, telekung di ampaian dicapai lalu disaruk ke tubuhnya. Sudah lama dia tidak bermunajat di tengah malam kepada penciptaNYA. SeingatNYA, zaman bergelar pelajar adalah tempoh terakhir dia melakukannya. Ya ALLAH jauhnya aku terpesong daripadaMU.

No comments:

Post a Comment