Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Sunday, December 18, 2011

Cerpen 1: Janji Kita


Kami rapat! Kami akrab! Kami umpama isi dengan kuku. Persahabatan yang terjalin bagaikan terpahat dengan utuhnya. Ke mana pergi pasti bersama. Ke kebun? Ke kedai? Ke sekolah? Argh, semuanya pasti bersama.
Kami girang bermain kejar-kejar. Bila aku lelah berlari dan berhenti kepenatan, dia turut sama duduk bercangkung di sebelah aku. Kami sama-sama melepaskan kepenatan bersama. 
Apabila terasa mahu main masak-masak, dia dengan senang hati memegang watak sebagai ayah dan aku ibu. Anak kami? Pastinya anak  patung aku. Kalau dia mahu menyepak bola, aku akan jadi penjaga golnya. Kami girang menghabiskan masa bersama.
           Waktu belajar pun kami tetap bersama. Kami satu kelas. Maka kami selalu menyiapkan kerja sekolah yang cikgu kami beri bersama-sama. Kadang-kala di rumahnya, ada masa di rumah aku. Selalu dialah mentorku kerana dia sangat bijak walaupun dia seorang yang agak nakal, nakal budak lelaki yang masih di bangku sekolah rendah. Namun aku senang bertemankannya.
         “Mirah, sakit!” adunya sambil memegang kepalanya. Aku terlopong saat melihat darah di kepalanya. 
      “Nanti sekejap. Mirah ambil kain.” Aku cuba menenangkan sahabatku itu walaupun aku sendiri tidak tenteram. Namun nasib baik aku terfikir mahu bertindak walaupun tidak tahu betul atau tidak tindakan aku ini.
            Dengan berbekalkan kain dan secedok air, aku bergegas ke arah sahabatku. Kepala temanku aku pangku, meletakkannya di atas ribaku. Dengan perlahan-lahan aku membasahkan kain sebelum memerahkannya. Kain yang lembam, kupekuk di kepala temanku itu. Darah mula menyerapi permukaan kain putih itu. Berulang kali aku lakukan kerana itu sahaja yang aku boleh lakukan. Mahu meminta tolong, kami hanya berdua. Kedua-dua orang tua kami tiada di rumah kerana bekerja. Kakak sahabatku? Dia sedang tidur di bilik kerana kepenatan pulang dari sekolah.
          “Nanti awak dah jadi doktor, awak jangan lupa saya tau.” Pesanan temanku itu kusambut dengan senyuman.
        “Awakpun. Kalau dah jadi jurutera, jangan lupa saya,” balas aku sambil tersenyum. Buaianku bergerak lagi. Sahabatku itu terus membuaiku. Kami sama-sama menghirup udara bersih di petang yang tenang itu.
            “Awak dapat berapa A?”
            Begitulah kami. Apabila keputusan peperiksaan keluar, kami pasti akan berkongsi bersama.
        Aku menunduk di kala soalan itu diajukan. Awan mendung berladung dia wajahku. Di tanganku ada report card yang tercoret keputusan peperiksaanku. Baru sebentar tadi, abah datang ke sekolahku, mengambilnya.
           “Kenapa awak diam?” soal sahabatku itu lagi. Wajahnya menunduk bagai mahu melihat wajahku.
            “Saya dapat sikit aje. Saya dapat tiga,” balas aku sebak. Perasaan sedih tidak mampu kusimpan. Walaupun, abah tidak memarahiku tetapi aku tetap berasa sedih kerana keputusan tersebut tidak seperti yang aku harapkan. “Awak berapa? Mesti banyakkan?” Aku mengangkat wajahku, memandang temanku di sisi.
            Terukir senyuman. Nampak gembira. Pasti ada berita gembira. “Saya dapat lima,” jawab sahabatku membuatkan aku dimamah cemburu. Cemburu dengan kejayaan temanku itu.
            “Tahniah. Awak memang pandai,” ucap aku perlahan.
           “Awak pun sama. Awak janganlah sedih. Nanti kita cuba lagi. UPSR kan ada. Kitakan janji nak dapat lima A.”
            Hatiku terubat mendengar kata-kata temanku itu. Kala itu senyuman terukir di wajahku.
         “Nah, tak mahu sedih-sedih. Kita makan roti. Sekejap lagi kita kena bertugas jaga kelas.” Aku mengangguk seraya menyambut huluran roti daripada temanku. “Esok saya bawa roti, saya bagi kat awak pula, ya.” Temanku itu mengangguk sambil tersenyum. Kami makan bersama.
         “Nanti petang kita ikut atok pergi kebun ya. Lepas tu kita ajak atok pergi memancing.” Sambil menggigit roti, aku mengangguk menyambut cadangan temanku itu.
         Petang itu, seperti dijanjikan kami berdua pergi ke kebun bersama atok. Atokku bagaikan atoknya juga. Kami mesra bersama. Bila dahi atok bermandi peluh, kami sama-sama mengelapnya. Kemudian atok akan memeluk tubuh kami berdua, dan kami ketawa suka.
        Namun atok telah pergi.  Kenangan memungut rambutan, menjolok buah mempelam, mengait buah manggis dan menunggu buah durian gugur telah berlalu pergi seusai perginya atok. Tiada lagi riak tawa ketika menyusuri air sungai mencari ikan. Semua itu tiada lagi. Kami berdua sama-sama menangis kesedihan atas kehilangan atok yang selalu menjadi tempat kami berhibur bersama.
            “Kawan baik-baik tau. Tak mahu bergaduh. Mal kena jaga Mirah ya.”
            “Atok nak pergi mana?”
         Namun atok tersenyum sahaja mendengar soalanku sambil menghadiahkan kami ciuman di dahi kami berdua. Setelah atok pergi, barulah aku mengerti. Argh atok!
            “Awak jangan sedih tau. Saya akan jaga awak,” janji temanku itu. Mataku yang masih berair, aku lap seraya mengganguk kepala. “Janji tau?” Aku pandang matanya dengan mata yang masih berkaca. Dia mengangguk sambil tersenyum padaku.
            “Saya janji tak akan lupakan awak.”
     Aku tersenyum mendengar janji lelaki itu. Redup pandangannya memandang aku membuatkan aku berat hati mahu melepaskannya pergi. Namun apakan daya, sudah suratan takdir, aku terpaksa merelakannya dalam keterpaksaan.
         “Mal..” panggil ibu sahabatku itu, bagai memberi isyarat kepada lelaki itu supaya segera masuk ke dalam perut kereta.
          “Tahniah awak. Bila dah duduk kat asrama penuh nanti, jangan lupa saya di sini ya. Jangan lupa janji kita,” ucap aku bersama sebak di dada. Sebak dengan perpisahan yang bakal berlaku sekejap lagi. Walaupun sukar untuk menerimanya tetapi aku sedar bahawa aku bukan sesiapa untuk menghalang impian lelaki itu.
            Kini sudah sebulan temanku itu berpisah denganku. Dia nun jauh ke utara, sebagai pelajar Maktab Rendah Sains Mara(MRSM). Sedangkan aku, hanya pelajar biasa yang meneruskan pengajianku di sekolah biasa lantaran tidak menerima apa-apa tawaran dari mana-mana sekolah berasrama penuh. Mungkin bukan rezeki aku yang hanya kekurangan satu A berbanding temanku yang mendapat lima. Namun aku pasrah setelah dipujuk mak dan ayah.
           Perpisahan yang berkilometer jaraknya sedikitpun tidak melunturkan persahabatan kami. Kami tetap akrab, berkongsi cerita apabila lelaki itu pulang bercuti. Dia rajin datang ke rumahku. Namun kali ini kehadirannya, kusambut dengan rasa agak kekok. Barangkali jarak dan masa membuatkan aku menjadi sebegitu. Lelaki itu? Dia nampak biasa sahaja. Namun perwatakannya kian berubah. Dia nampak matang. Tambah pula suaranya kian berubah nada seusai usianya. Namun itu tidak mengubah persahabatan kami.
            Sepanjang dua tahun, kami akrab walaupun kadang-kala aku malu menyambut kedatangannya di rumah. Ke rumahnya pun aku kadang-kala segan untuk mengunjungi. Hanya apabila ada mak, barulah aku menyusuli rumah temanku itu. Namun persahabatan kami tetap terjalin. Cuma kali ini agak terbatas. Tiada lagi senda gurau seperti dahulu yang mana kami bebas berkawan. Bebas berbuat apa. Mungkin pemikiran dan usia membuatkan pergaulan kami mulai terkawal.
            “Good luck untuk PMR.” Pesanan yang sama aku balas buat temanku itu. Aku mahu kami sama-sama berjaya menggapai cita-cita kami.
            Alhamdulliah, kami sama-sama berjaya. Kami sama-sama memperoleh apa yang kami mahukan. Kami mendapat lapan A. Namun malangnya, impian aku untuk mengikut jejak langkah temanku untuk masuk ke sekolah berasrama penuh, ternyata punah lagi apabila aku tidak menerima apa-apa tawaran sementelah sudah hampir empat bulan aku mengharungi sesi perseolahan selaku pelajar aliran Sains di sekolah harian biasa. Sekali lagi aku pasrah.
            “Jangan sedih-sedih ya. Kita belajar rajin-rajin. Nanti boleh masuk matri sama-sama” Kata-kata semangat temanku itulah aku pinjam buat bekalan mengubat hatiku.
            Lantas kuteruskan jua langkahku, meneruskan episod sebagai seorang pelajar aliran Sains yang belajar subjek yang memeningkan kepala. Namun mengingatkan cita-citaku bersama temanku itu, aku gagahkan jua menghafal rumus Fizik, mengingat formula setiap unsur Kimia, mentajamkan ingatanku dengan nota-nota Biologi serta matapelajaran lain.
            Alhamdulliah, penat lelah aku berbaloi. Usaha tanpa mengalah membuahkan hasil. Sepuluh A aku berjaya gapai. Bergitu juga temanku. Kami sama-sama gembira dengan kejayaan kami itu. Bagi meraikan kejayaan kami, keluarga kami berpakat mahu mengadakan kenduri kesyukuran. Dengan kejayaan itu juga, kami berdua sama-sama berjaya melangkah ke matrikulasi.     
        “Kenapa tak terima tawaran buat persediaan ke oversea?” Pertanyaan yang dilontarkan oleh ibuku membuatkan pandangan kami beradu. Dia tersenyum. Sementara aku, pantas melarikan pandangan sambil sibuk menyusun agar-agar di dalam pinggan untuk dihidangkan kepada tetamuku itu.
            “Saja mak cik. Nanti pergi oversea, terpaksa berjauhan dengan orang tersayang.”
            Aku tersentap mendengar bicara lelaki itu yang seakan membuai perasaanku. Namun lekas kucantas perasaan itu pergi kerana tidak mahu dikatakan perasan sendiri. Barangkali lelaki itu maksudkan orang tersayang itu ialah keluarganya. Argh, usah perasan! Marah aku pada diriku sendiri.
            Kini setelah bercuti agak lama, akhirnya aku kembali semula menyarung jawatan selaku seorang pelajar. Cuma bezanya, kali ini statusku sudah berubah. Bukan lagi pelajar sekolah tetapi sebaliknya pelajar matrikulasi. Begitu jugalah temanku.
            “Kali ini four flat, ya?” Bagaikan mahu membuat satu perjanjian lagak temanku itu. Namun aku mengangguk sahaja kerana itulah niatku sebaik menerima khabar berita aku layak masuk ke matrikulasi.
            Bermula sebagai pelajar matrikulasi, bagaikan satu kejutan yang luar biasa padaku. Jadual yang padat dan ketat, membuatkan aku hampir berputus asa mengharunginya. Masakan tidak, bermula seawal jam lapan pagi dan berhenti sejam pada pukul satu sebelum menyambung hingga ke pukul empat, benar-benar memenatkan.
            “Awak baru lagi. Sabarlah. Nanti dah lama-lama, awak akan biasa. Saya pun dulu masa kat sekolah macam ni juga,” pujuk temanku itu buat sekian kalinya.
         Barangkali benar kata-kata lelaki itu. Pantas aku berubah menjadi lebih kental berdepan liku kehidupan selaku pelajar matrikulasi. Tidur dua tiga pagi, bukan perkara pelik lagi. Nescafelah tetap sejatiku. Lampu study, sahabat akrabku. Walaupun penat, kuredah jua.
           “Mamat tu, kawan kau ya?” Pertanyaan rakan sebilikku membuatkan aku yang sedang mengadap nasi di pinggan, terangkat mengarah pada jari telunjuk rakan sebilikku. Kelihatan temanku, Ikmal atau mesra dengan panggilan Mal sedang berjalan bersama-sama dengan beberapa orang pelajar lelaki ke arah kafe, tempat yang sedang kududuki. Mereka galak berborak sampaikan lelaki itu tidak perasan akan aku yang sedang memandangnya.
            “Kenapa kau tanya macam tu?” soal aku pada teman sebilikku, Aida. Kepalaku kembali menunduk mengadap nasi. Harapanku, lelaki itu tidak perasan akan kehadiran aku yang sedikit tersembunyi.
            “Bukan apa, dia tu satu sekolah dengan aku dulu. Itupun sebelum aku keluar dari sekolah asrama penuh. Dia tu ramai peminat tau.” Entah mengapa, kunyahanku terhenti. Kepalaku langsung terangkat memandang Aida. Bicaranya menarik perhatianku.
            “Ramai budak perempuan duk syokkan dia. Gilakan dia. Maklumlah budak top kat sekolah. Dah la pandai, aktif bola pula. Cikgu-cikgu pun suka kat dia. Tapi kan...
            “Tapi apa?” pintas aku tidak sabar mendengar bicara temanku yang seterusnya.
            “Seorang budak perempuan pun tak dilayan. Pelik juga, semua yang nak kat dia bukan calang-calang orang. Cakap saja siapa. Anak dato’, menteri, perniagaan dan seangkatan dengannya, semua tak layan. Best student perempuan kat sekolah aku pun, dia tak pandang. Pelikkan?”
            Aku yang sudah lama menunduk, mengadap semula pingganku hanya mampu berdiam tanpa berkata. Suapan kuteruskan. Namun fikirkan berputar memikirkan kata-kata temanku itu.
            “Aku agaklah, mesti ada seseorang dah rantai hati dia. Gaya dia macam dah terikat dengan seseorang.” Aida terus berbicara dan aku terus terdiam tanpa kata.
            Sejak kisah yang dilaporkan Aida padaku itu, hatiku terasa sedikit terganggu. Benarkah apa yang dikatanya tentang temanku itu? Runsing! Bercelaru! Tutorial Kimia, kucampak ke tepi sebelum merebahkan kepalaku di atas meja.
            Sedar-sedar aku dikejutkan dengan pesanan ringkas yang masuk ke dalam telefon bimbit. Sambil menggosok mata, mataku terpandang jam di dinding, pukul 11 malam! Suasana bilikku sunyi. Melihat katil teman-temanku, aku tahu mereka masih belum pulang daripada aktiviti masing-masing.
            Aku kalih pada pesanan ringkas di telefon bimbitku. Dengan mata yang masih bersisa mengatuk, aku membaca pesanan yang baru kuterima itu.
            Doakan saya dapat buat yang terbaik untuk kuiz Fizik esok ya-Mal
            Aku terkaku sejenak sebelum mengeluh. Sememangnya fikiranku masih terganggu dek cerita Aida. Namun pesanan temanku itu kubalas jua.
            InsyaALLAH. Buat yang terbaik. Good luck.
            Sesaat kemudian, telefon bimbitku berbunyi tanda ada pesanan masuk. Pasti lelaki itu. Ya tepat seperti kujangka. Memang dia.
            Thanks. Sangat stress dengan formula ni. Terasa macam nak baling kat dinding. Rasa macam nak tukar course je. Nak ambil biologi macam awak.
           Aku tersenyum  saat membaca luahan daripada temanku yang berbau rasa putus asa. Pasti dia mahukan kekuataan pada saat ini. Lantas, jari-jemariku menekan keypad telefon bimbitku.
            ALLAH tidak akan membebankan hambaNYA dengan sesuatu yang dia tidak mampu. Anggap sahaja ini sebagai dugaan. Hadapinya dengan tenang dan sabar. InsyaALLAH, semuanya akan dipermudahkan. Ingat pada tekad awak untuk menjadi jurutera. Saya yakin awak mampu J
            Sekali lagi telefon bimbitku berbunyi selang beberapa saat pesananku.
            Tq. InsyaALLAH saya akan cuba buat yang terbaik. Awak pun berusaha juga untuk jadi  seorang doktor J.
            Kali ini pesanan daripada lelaki itu tidak kubalas. Sebaliknya aku kembali semula mengadap tutorial yang kutinggalkan tadi.
            Ya, saya sedang berusaha awak. Bisik hatiku seraya menumpukan perhatianku pada soalan di hadapanku.
            ***
            “Mirah, tolong aku boleh?”
            Aku yang ketika itu sedang leka mengadap nota Biologi, langsung hilang tumpuan. Aku pandang ke arah Rohayu, sahabat sekuliahku. “Tolong apa?” soal aku seraya menarik baju sejuk rapat menutupi tubuhku yang kesejukan dek penghawa dingin yang melatari ruang perpustakaan.
            Perlahan-lahan aku melihat Rohayu menarik keluar sesuatu dari begnya. Kelihatan sampul berwarna putih. Dia memandang aku seraya menghulurkan sampul itu kepadaku. Aku memadang pelik tetapi tetap jua menyambut sampul itu.
            “Kasi pada kawan kau, Mal.”
            Aku termangu seketika. Entah mengapa perasaanku diserbu satu perasaan yang kurang enak. “Siapa bagi?” soal aku dengan perasaan yang sedikit tercalar. Sampul ditanganku, kupandang.
         “Sepupu aku. Matrik sini. Dia minat sangat dengan kawan kau tu. Jadi dia minta tolong aku, suruh kau berikan pada kawan kau tu.”
            “Macam mana dia tahu aku kawan dengan Mal?” soal aku dengan nada terkejut.
            Rohayu tergelak. Aku memandang pelik. Kelakarkah soalan aku itu?
            “Siapa pun dapat agak hubungan kau dengan Mal itu. Walaupun korang jarang bertemu tetapi satu matrik ni tahu yang kau teman rapat dia. Nak-nak pula Mal tu memang terkenal. Lagilah orang ambil tahu siapa kenalannya.”
            Aku mengeluh. Jujur. Aku tidak selesa dengan situasi ini.
            “Tolong, ya.”
            Aku pandang sampul itu dan mengangguk perlahan. "Aku cuba."
            Saat aku menyuakan sampul itu kepada Mal, riaknya berubah. Aku pandang tanpa perasaan.
            “Nak jumpa sebab nak bagi benda ni?”
       Angguk aku masih dengan riak tadi. Tiada perasaan. Sampul masih ditanganku.
            “Siapa bagi?” Dia terus menyoal aku tanpa berminat mahu mengambil sampul di tanganku.
            Aku mengangkat bahu tanda tidak tahu.
            “Kalau macam tu, awak ajelah yang simpan.”
            Aku memandang wajah lelaki itu, tidak percaya. Gila agaknya! Surat dia, aku pula yang perlu simpan. Dibuat Rohayu tahu aku menyimpannya pasti timbul pula fitnah yang bukan-bukan. “Saya tak ada kena-mengena dengan hal ni.” Aku sedikit marah dengan cadangan lelaki itu.
            “Kenapa pula?” soal lelaki itu yang kedengaran agak pelik di pendengaran telingaku.
           Dahiku berkerut. “Kenapa apa?” balas aku tidak mengerti maksudnya.
            Dia tertawa. “Awak kirim salam ajelah pada pengirim surat ni. Cakap kat dia, hati saya ni dah kena rantai. Kuncinya ada pada seorang bakal doktor,” ucap lelaki itu seraya meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga bersama sampul surat di tangan.        
           Aku mengambil wuduk. Aku mahu menenangkan hatiku. Jiwaku sememangnya tidak tenteram kala ini. Memang lelaki itu sudah memporakperandakan perasaan aku dengan kata-katanya.
     Sejak kejadian itu, aku cuba mengelak daripada bertembung dengan lelaki itu. Massagenya juga jarang kubalas. Namun aku tetap membaca setiap kata pesanan yang dikirimkannya padaku.
            Saya nak pergi temuduga Petronas. Doakan saya ya
            Kali ini aku tidak dapat lagi mengelak. Tidak sampai hati pula mahu menghampakan temanku itu. Lantas kuhantarkan kata semangat buatnya berserta doa yang kutitipkan agar dia berjaya dalam temuduganya itu. Ternyata dia gembira dengan balasanku itu.
            Saya tahu awak pasti mendoakan yang terbaik untuk saya J
             Aku tersenyum. Namun senyumanku mati kala daun pintu bilikku diketuk.
            “Masuklah,” pelawa aku kerana ketika itu hanya aku sahaja ada di bilik.
            Daun pintu dikuak. Muncul susuk tubuh Rohayu. Aku mula merasa tidak enak sementelah melihat raut wajah temanku itu yang sedikit mendung. Pasti kehadirannya mahu bertanyakan pasal surat itu.
            “Kau dah serahkan surat tu?”
           Ya tepat jangkaanku. Surat itu yang menjadi tujuan kedatangan sahabatku itu. Aku terdiam seketika. Mahu bercakap benar atau berbohong? Aku berkira sendiri.
          Tidak mahu mengusutkan kepala, aku pantas menarik laci mejaku. Sampul yang kuambil, kuhulurkan pada sahabatku. “Maaf, Ayu. Dia tak nak terima.”
            “Aku dah agak dah. Memang betullah cakap budak-budak sini, lelaki tu memang tak pandang perempuan.”
          Aku diam tidak mengulas. Namun dalam hati, aku tersenget perasaan cemburu. Ya aku cemburu kerana kata-kata temanku itu seakan mengukuhkan lagi bukti bahawa lelaki itu memang menjadi perhatian ramai perempuan. Kenapa perlu cemburu? Entahlah, aku sendiri tidak faham!
            “Awak cemburu ya?”
           “Ha, mana ada! Perasaan!” cantas aku menidakkan kata-kata lelaki itu.
      Dia tersenyum lebar sambil memandang hadiah di tangannya yang baru diterima. Dahulu kisah dia menerima surat di matrikulasi, kini hadiah pula di universiti. Memang saham lelaki ini, tinggi! Mana sahaja pergi, pasti menjadi tumpuan. Menyesal aku mengikut cadangan temanku, Khalida yang mahu aku menemaninya ke Universiti Petronas dek mahu bertemu dengan abangnya. Kalau aku tahu aku bakal dihidangkan dengan panorama ini, memang awal-awal lagi aku menolak!
            “Hadiah hari jadi saya tak ada ker?” soalnya sambil memandang aku.
            Aku menjuihkan bibirku. “Awakkan dah dapat banyak hadiah, buat apa saya bagi lagi. Buat semak bilik je.”
            Bukan aku tidak tahu yang lelaki ini banyak menerima hadiah, malahan lebih daripada itu. Siapa pengirimnya pun aku tahu. Mana aku tahu? Mana lagi kalau bukan lelaki itu sendiri yang sibuk menceritakannya. Argh tension aku!
            “Mana boleh macam tu. Hadiah daripada awaklah yang saya tunggu-tunggu tau!” Aku menjeling lelaki yang tersenyum manis padaku. Aahh...pandai betul lelaki yang mengambil jurusan electrical engineering ini membeli hatiku.
           “Tak da. Tak da. Duit saya dah kering,” ucap aku pantas berlalu meninggalkan lelaki itu. Panggilannya tidak aku endahkan.
            Ketika aku sibuk mentelaah buku, telefonku berbunyi tanda ada pesanan masuk. Aku pantas membaca.
            Thanks awak. Saya tahu awak takkan pernah lupa untuk hadiahkan saya sesuatu. Cantik jam yang awak hadiahkan. Pandai ya berkomplot dengan Halim. Apa-apapun, saya nak bagitahu awak, setiap detik dan saat, awak sentiasa ada di hati saya walaupun beribu gadis datang dan pergi dalam hidup saya. Belajar rajin-rajin. Harap-harap impian kita akan tercapai kelak J
            Aku tersenyum membaca pesanannya. Nyata rahsia aku dan Halim terbongkar juga.
           “Nanti konvo awak, saya nak datang!” Tanpa malu lelaki itu menyuarakan hajatnya.
         “Eee..tak malu. Orang tak ajak pun dia,” balas aku ketika itu aku datang ke rumahnya menghantar kuih yang mak buat. Suzana, kakak kepada lelaki itu ketawa mendengar perbualan kami.
           “Suka hatilah. Saya tetap pergi walaupun awak tak ajak. USM tu bukan awak yang punya.” Amboi bukan main dia membalas kata-kata aku.
            “Datanglah kalau berani,” cabar aku.
            “Tengoklah nanti. Jangan awak pengsan sudah!” balas lelaki itu menyahut cabaran aku.
          Ternyata lelaki itu tidak bercakap kosong. Dia tersenyum sebaik menyambut aku yang baru keluar dari dewan selepas menerima segulung ijazah tanda aku sudah tamat belajar ijazah sarjana muda kedoktoran. 
         Gayanya yang santai dengan baju T-shirt dan seluar slack, bukan sahaja membuatkan aku teruja melihatnya tetapi juga mata-mata sekeliling. Aah..ini yang aku tidak berkenan! Tension! Kenapalah aura lelaki ini terlampau hebat!
     “Tahniah, Dr. Amirah,” ucap lelaki itu langsung menyerahkan jambangan bunga kepadaku.
          Malu-malu aku menyambut huluran lelaki itu di hadapan keluarga dan sanak-saudara yang datang memeriahkan majlis konvoku. “Terima kasih,” balas aku tidak memandang lelaki itu sebaliknya pada kuntuman bunga di tanganku.
            Klik! Klik! Gambar kami dirakamkan. Watak utama yang menjadi jurukamera pastilah Khalida.
            “Boleh saya penuhi janji saya?” Soalan itu menerbitkan kepelikkan di dadaku. Namun senyuman tetap kuukir kerana kami masih masih dalam sesi bergambar.
            “Janji apa?” soal aku tidak mengerti.
            “Janji untuk menjaga awak!”
           Aku termangu memandang lelaki di sebelah aku. Hilang sudah senyumanku. Wajahnya kutatap penuh kekeliruan. Namun pandangannya yang redup menggetarkan sukmaku.
         “Izinkan saya menyunting awak menjadi isteri saya supaya saya lebih senang menjaga awak,” pinta lelaki itu lembut. “Walau beribu gadis datang dan pergi, awak tetap di hati kerana awak telah merantainya, Dr Amirah.”
     Ya ALLAH, aku benar-benar mahu pitam tika ini. Benarkah apa yang aku dengar ini?
           “Oi, korang sembang apa tuh. Romantik nampak!” tegur Khalida mematikan pandangan kami berdua, lantas membawa aku terhumban dalam rasa malu yang bukan kepalang.
          “Setuju ya? Nanti saya minta mak ayah saya pergi pinang awak hujung minggu ni!”
           Aku pandang lelaki itu tidak percaya. Lelaki itu selamba menghadiahkan senyuman padaku. Namun ada riak ketegasan pada wajahnya. “Sudah tiba masanya saya buktikan cinta saya pada awak dengan mengangkat darjat awak sebagai isteri saya. Cukuplah saya membiarkan perasaan cinta ini terdera sekian lama di dada ini kerana mahu kita sama-sama mencapai cita-cita kita dahulu,” luah lelaki itu sambil memegang dadanya.
        Aku tertunduk. Mata kupejam serapat mungkin. Benarkah Ya ALLAH bahawasana lelaki ini mencintaiku selama ini?
            “Setuju ya, Mirah?”
           Aku mengetap rapat bibirku. Perlahan-lahan aku angkat wajahku lantas kupandang wajah itu. Terpancar sinar cinta yang penuh keikhlasan dan pengharapan. Dengan rasa getar yang sarat di dada, aku mengangguk lalu menunduk tetapi senyuman gembira lelaki itu masih pantas menyapa anak mataku.
            “Terima kasih, Mirah,” bisik lelaki itu penuh gembira.
            “Korang ni buat drama apa ni?” ngomel Khalida pantas membuatkan aku mengangkat wajah memandang wajah tidak puas hati temanku itu.
            “Tak ada apa,” jawab lelaki di sebelah aku.
            “Tak ada apa? Aku ada bukti tau. Nak aku tunjuk kat orang di sana?” ugut Khalida seraya menunding jari ke arah ahli keluargaku yang sedang berbual mesra. Kedengaran tawa kecil daripada lelaki di sebelah aku.
            “Pi la tunjuk. Pastu hang pi habaq kat diorang, aku nak pinang anak dara diorang,” kata lelaki itu dalam loghat utara, mengusik Khalida yang memang anak jati Kedah.
            Sesungguhnya aku malu dengan kenyataan selamba lelaki itu. Khalida pula terlopong, terkejut.
            “Biar betul?”
          “InsyaALLAH, nanti hang jadi jurukameranya ya,” balas lelaki itu seraya mengeyit mata ke arah aku.
            Aku malu. Namun jauh di sudut hati, aku gembira tidak terkata. Ternyata cinta yang bersulam di dadaku sejak sekian lama rupanya tidak bertepuk sebelah tangan. Syukur ya ALLAH atas anugerah cinta terindah ini.       
            
~SEKIAN~

2 comments: