Bab 26
“Cik Niya????”
Aniyah termangu seketika sebaik melihat wajah terlopong pembantunya. Namun perlahan-lahan senyumannya terukir. “Awak ni tengok saya macam saya ni alien,” senda Aniyah pantas meneruskan langkahannya.
“Biar betul Cik Niya?” Umairah membuntuti langkah ketuanya. Jelas dia terkejut dengan penampilan ketuanya pada hari ini. Sungguh jauh berbeza.
“Apa yang peliknya?” soal Aniyah pantas menarik pintu masuk pejabat yang terletak di bahagian parkir kereta staf Neraca Holdings.
“Eh tak ada..” Umairah tayang sengihannya tapi pandangannya pada Aniyah masih tidak dilepaskan. Dia bagai terpegun dengan penampilan ketuanya. Jujur, ketuanya nampak ‘luar biasa’ dengan penampilan baru.
“Macam mana pejabat? Okey?” soal Aniyah sebaik menekan butang lif. Lif terus bergerak naik dari satu tingkat ke satu tingkat. Pergerakannya pantas seperti hari-hari sebelumnya. Cuma hari ini keadaan lif agak lengang. Di dalam lif sekarang pun hanya ada Aniyah dan Umairah sahaja. Mungkin faktor masa yang masih awal membuatkan kemunculan staf Neraca Holdings masih belum ketara.
“Semua ditanggung beres!” Umairah menangkat ibu jarinya. “Encik Saiful banyak tolong!” beritahu Umairah membuatkan Aniyah terpaku mendengarnya.
“Encik Saiful????”
Belum sempat Umairah mahu membuka mulut, lif berbunyi. Serta-merta pintu lif terbuka. Kini mereka sudah berada di tingkat 30, tempat mereka bekerja. Segera kedua-duanya melangkah keluar.
“Awak cakap Encik Saiful tolong?” soal Aniyah bagai tidak sabar mengetahui jawapan dari mulut Umairah. Dia memang sensitif dengan nama lelaki itu. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu sudah mula ‘menyibuk’ dalam hal kerjanya. Memang sangat melampau!
“Dialah yang banyak tolong saya, Cik Niya. Kalau tak, berkampung saya kat pejabat. Mana nak urus hal gaji pekerja. Urus dokumen pekerja baru yang masuk. Kemaskini butiran pekerja yang beralih tapak projek. Boleh pengsan saya.” Umairah ketawa kecil sebaik berkata demikian.
Aniyah mengeluh kecil. “Sorry sebab saya, awak kena buat semua kerja.”
“Eh bukan itu maksud saya.” Cepat Umairah membetulkan persepsi ketuanya itu. “Cuma saya nak bagitahu Cik Niya yang semua kerja ditanggung beres dan yang paling penting, bos kita turun padang tolong buat kerja. Cik Niya percaya tak?” soal Umairah di hujung katanya menimbulkan kepelikkan Aniyah.
“Awak main-mainkan saya, ya?”
Dahi Umairah berkerut. “Main-main apa pula. Memang betullah Encik Saiful tolong saya. Cuma saya tanya, Cik Niya percaya tak yang bos tolong saya? Sebabnya saya sendiri pun macam tak percaya.” Umairah ketawa sebaik menghabiskan ayat terakhirnya. Sememangnya dia masih tidak percaya yang anak pemilik syarikat tempatnya kerja akan membantunya membereskan kerja yang di bawah pengurusan ketuanya, Aniyah. Memang di luar jangkauannya.
Aniyah menjeling ke arah pembantunya. “Dah tak ada kerja lain. Menyibuklah kerja orang!” ulas Aniyah tentang tingkah Saiful yang baru diketahuinya. Dia kembali meneruskan langkahnya yang terhenti di hadapan lif.
Umairah ketawa menyambut kata-kata Aniyah itu. Dia kemudian berjalan laju mendapatkan Aniyah yang sudah beberapa langkah meninggalkannya.
“Selalu dia pesan pada saya yang kerja-kerja perlu diselesaikan sebelum Cik Niya masuk pejabat. Dia tak nak kerja-kerja itu terbeban di bahu Cik Niya. Sampai sanggup dia angkut dokumen-dokumen pekerja bawa balik ke rumah,” cerita Umairah sebaik menyaingi langkah ketuanya. “Baik kan dia, Cik Niya? Saya ingatkan dia tu jenis standard ketua-ketua yang ada kuasa. Tahu bagi kerja je! Nak tolong tak pun!”
Aniyah mencebik meluat mendengar pujian pembantunya itu pada Saiful. “Itulah saya cakap pada awak. Dia tu dah tak ada kerja dah. Itu yang menyibuk kerja orang lain.”
“Tapi setahu saya kerja dia pun berlambak. Masa Cik Niya tak ada. Selalu juga saya makan tengah hari dengan setiusaha dia. Setiausaha dia cakap, sejak balik dari PD kerja makin berlambak. Maklum sahajalah dapat tender baru kat sana.”
Hujah itu langsung membuat diri Aniyah mati kata-kata. Dia diam seribu bahasa.
****
Relax jap.... penat2 tgk baju, bestnya dpt baca novel di sini...
ReplyDeletethanks GAR :)
ReplyDelete