Bab 18
Kesihatan yang tidak menentu bertambah tidak
menentu jadinya sebaik Aniyah selesai mengadap segala persediaan untuk sesi
pembentangan. Kepalanya dipicit. Walapun hanya sejam mengadap skrin laptop, tetapi
sakitnya seperti sudah sepuluh jam mengadap laptop. Selesema dan batuknya juga
makin menjadi-jadi walaupun suis penghawa dingin sudah dimatikan. Dia cuba
untuk tidak mahu mengendahkan tahap kesihatannya itu. Namun serangan itu makin menjadi-jadi saat
jarum jam menghampiri ke angka sembilan.
Ah,
tadi okey aje! Keluh Aniyah sambil menghempas tubuhnya di belakang kerusi. Dia
ingin berehat seketika. Setengah jam lagi dia harus ke bilik mesyuarat, membuat
persiapan sebelum pembentangan dijalankan. Perutnya yang memulas tidak
diendahkan. Walaupun perutnya lapar tapi seleranya benar-benar tiada. Seleranya
memang sudah lama hilang gara-gara keperitan anak tekak yang dirasainya.
Nampaknya, tekadnya untuk mengambil cuti setengah hari, bakal dilakukan.
Sambil
memejam mata, telinganya dibuai dengan lagu-lagu melankolik dari laptopnya yang
dibiarkan terpasang. Dia senang begitu. Semua lagu yang dipasang adalah lagu
kesukaannya. Hampir mahu terlelap matanya tika itu. Namun nasib baik dia cepat
tersedar. Pantas dia memandang jam di dinding. Serta-merta dia lekas mengemas
mejanya. Kesakitan yang terasa menyengat di tubuhnya, tidak dipedulikan.
Beg
laptop yang terletak di bawah meja dicapai. Laptop yang sudah dimatikan,
dimasukkan ke dalam begnya. Dokumen-dokumen di atas meja dikemas. Segala
peralatan menulis dimasukkan semula ke dalam bekasnya. Mejanya kembali
tersusun.
Dia
menekan intercom. “Umai, saya perlukan bantuan awak!” Sebaik panggilan itu
dibuat, Aniyah lantas bangun berdiri. Tiba-tiba kepalanya berdenyut kuat. Dia
mengaduh sambil memegang kepalanya. Saat itu daun pintu biliknya diketuk dari
luar. Dengan bersusah payah, Aniyah berjalan sambil membibit beg laptopnya
berserta dokumen penting.
“Are you okey, Cik Niya?” tegur Umairah
sebaik daun pintu dibuka. Wajah keruh Aniyah dipandang kerisauan.
“Okey,”
jawab Aniyah pendek.
“Pucat
muka ni. Are sure?” soal Umairah
seakan kurang yakin dengan jawapan yang diberikan ketuanya.
“Jangan
risau. Apa yang penting, teman saya ke bilik mesyuarat.”
Umairah
mengangguk. “Mari saya bawakan barang-barang Cik Niya!” Tanpa berlengah, beg
laptop dan dokumen di tangan Aniyah dicapai.
“Terima
kasih. Jom, kita dah lewat,” ajak Aniyah. Umairah mengangguk sekali lagi.
Akhirnya
mereka berdua melangkah pergi meninggalkan pejabat.
***
“Assalammualaikum..”
Serentak dengan ucapan itu daun pintu terbuka dengan luas. Aniyah yang sedang
menyemak paparan pada skrin, terpaggung kepalanya dengan serta-merta. Begitu
juga dengan Umairah yang dari tadi menjadi ‘pengkritik’ kepada slide persembahan Aniyah.
Kedua-dua mereka pantas berdiri. Bagai
berjanji, kedua-duanya memberi tunduk hormat sambil menjawab salam yang
dihulurkan sebentar tadi. Di hadapan mereka kini sudah berdiri, Dato Said iaitu
penerju utama Neraca Holdings. Di sebelahnya pula adalah pewaris syarikat
Neraca Holdings. Siapa lagi kalau bukan Ahmad Saifullah Sayyidi.
“Lama
menunggu?” tanya Dato Said ramah. Matanya
menuntas pada kedua-dua gadis di hadapannya. Kerusi di hujung meja di tarik lalu dilabuhkan
punggungnya di situ.
“Tak
adalah Dato,” jawab Aniyah sambil menghadiahkan senyuman.
“Hmm..saya
minta diri dulu untuk sediakan minuman.” Umairah bersuara dalam kegugupannya.
Gugup juga dia apabila berhadapan dengan Dato Said. Maklum sahajalah, bukan
selalu dia bertentangan mata dengan peneraju syarikat ini. Boleh kira dengan
jari berapa kali setahun dia bersemuka dengan orang berpengaruh dalam syarikat
ini. Itupun dalam mesyuarat besar.
“Susah-susah
sahaja tapi boleh jugalah. Buatkan saya kopi panas. Kasi kaw-kaw ya!” Suara
Dato Said sambil ketawa.
“Papa..”
Saiful yang dari tadi diam membisu, bersuara buat pertama kalinya. “Not kopi! Umairah, buatkan susu suam
untuk ayah saya.”
Umairah
mengangguk sambil tersenyum. “Encik Saiful nak minum apa?”
“Saya
bagi air suam sahaja.” Saiful menjawab sambil menarik kerusi di sebelah kanan papanya.
“Baiklah,
saya minta diri dahulu,” pamit Umairah sebelum berlalu meninggalkan bilik
mesyuarat. Pada Aniyah, dia tidak perlu bertanya kerana memang tugasnya menyediakan
minuman ketuanya itu. Jadi dia sudah tahu kesukaan ketuanya itu.
Sementara
di dalam bilik mesyuarat, Aniyah menyerahkan segala dokumen yang telah
disediakan kepada Dato Said.
“Are you okey, Niya?” tanya Dato Said
prihatin. Wajah tidak bermaya Aniyah ditatap. Ada garis-garis kepenatan
berserta keletihan di wajah itu. “Adakah kerja yang saya bagi terlalu mendesak
awak?” Soalan itu terkandung rasa bersalah si pelantunnya.
Aniyah
tersenyum seraya menggeleng. “Tak adalah. Saya okey Dato.”
“Hmm..
Tone suara awak pun semacam ada yang tak kena.” Dato Said kelihatan ragu-ragu
dengan kata-kata Aniyah. “Kalau awak tak sihat, kita boleh tunda.”
Serta-merta
Aniyah diburu kekalutan. “Eh tak apa Dato. Saya okey. Boleh kita mulakan?”
Tidak mahu isu kesihatannya terus diperdebatkan, Aniyah meminta kebenaran untuk
memulakan sesi pembentangan. Memek muka Saiful yang seakan penuh maksud
tersirat dipandang sepintas lalu.
“Kalau
begitu kata awak, baiklah kita mula sekarang.”
Aniyah
menarik nafas lega sebaik mendengar arahan daripada Dato Said. Tanpa berlengah
dia terus kembali ke ruang pembentangan. Dengan lafas bismillah, dia memulakan
pembentangannya.
“Assalammualaikum
dan selamat pagi.” Mukadimah itu disampai dalam satu nafas. Kedengaran
ucapannya disambut. Dia ingin meneruskan pembentangannya. Namun ketukan bersama
kuakan pintu, menghentikan niatnya. Muncul susuk tubuh Umairah bersama dulang
berisi minuman.
“Maaf..”
ucap Umairah. Dia pantas melangkah.
Tidak mahu mencuri ruang masa yang ada. Minuman dalam dulang pantas diagih.
Kerjanya sungguh pantas dan cekap tanpa sebarang masalah.
Sebaik
Umairah mengambil tempat duduknya. Aniyah kembali pada mode pembentangannya.
“Seperti
yang kita tahu bahawa hari ini akan diadakan pembentangan tentang kes
pergaduhan yang berlaku di tapak pembinaan bangunan kedai. Untuk makluman, kes
ini membabitkan dua pekerja Indonesia. Mereka adalah...”
Tangan
Aniyah pantas menukar slide. Dua orang pekerja yang terbabit dalam pergaduhan
diperkenalkan. “Mengikut data yang ada...” Batukan Aniyah kedengaran lebih
pantas daripada ayatnya. Keadaan ini telah menyebabkan pembentangannya sedikit
terganggu. Umairah memandang simpati. Saiful pula sudah tidak sedap hati. Dato
Said, memandang empati. “Are you okey,
Aniyah?”
Aniyah
mengangguk menjawab pertanyaan Dato Said. “Maaf.. Saya sambung kembali..”
Aniyah membetulkan suaranya agar lebih jelas kedengaran. “Mengikut data yang
ada.. Pekerja pertama sudah bekerja hampir tiga tahun dengan syarikat kita
manakala pekerja kedua baru setahun.”
Suara
Aniyah terhenti seketika. Dia mula terasa sesuatu yang tidak enak ditenguknya. Dia
cuba bertahan dalam pusingan kepala yang tiba-tiba mula bergerak. Dia tidak
mahu mengendahkannya. Lantas tetikus laptopnya ditekan. Slide bertukar. Tersergam jelas carta aliran di paparan skrin yng
menunujukkan kronologi peristiwa yang berlaku di tapak pembinaan. “Seperti yang
dapat dilihat. Berikut ada kronologi peristiwa yang telah berlaku.”
“Kisahnya
bermula di sini.” Dengan menggunakan laser di tangan, Aniyah menunjukkan aliran
pertama kronologi peristiwa itu. “Pekerja pertama datang menyerang pekerja
kedua di tapak pembinaan pada jam..” Tiba-tiba suara Aniyah terhenti. Dia
kelihatan seperti tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya. Keadaan ini
menyebabkan tumpuan Dato Said, Saiful dan Umairah tidak lagi pada slide pembentangan Aniyah. Sebaliknya
pada susuk tubuh Aniyah. Aniyah kini sedang menekup mulut persis sedang menahan
sesuatu.
Aniyah
yang sudah tidak dapat menahan, pantas berlari keluar tanpa sempat mengeluarkan
sebarang kata. Keadaan ini menyebabkan semua yang berada di situ terkejut
dengan tindakan spontan Aniyah.
“Umai,
awak pergi tengok dia,” arah Dato Said. Umairah yang ketara cemas, kalut
bangkit lalu berlari meninggalkan bilik mesyuarat.
“Pa..
Epul pergi tengok dia sekejap. Macam tak sedap hatilah.”
Dato
Said memandang anak bujangnya yang nampak cemas. “Hmm pergilah.”
Kebenaran
itu segera membawa Saiful meninggalkan bilik mesyuarat. Dia berlari pantas
meninggalkan kamar mesyuarat.
“Tolong!!
Tolong!!” Pekikan kuat dari arah bilik air yang bersebelahan dengan bilik
mesyuarat membuatkan Saiful yang baru keluar dari bilik mesyuarat berlari laju
ke arah suara itu.
Saat
tiba di bilik air, Saiful terpaku memandang sekujur tubuh Aniyah di atas lantai
bilik air.