BAB 8
Tepat jam sepuluh pagi, sesi kaunseling
dijalankan di sebuah bilik kecil. Kedua-dua pekerja dari Indonesia yang
terlibat dalam pergaduhan kini duduk mengadap sesama mereka. Seorang di penjuru
kanan meja dan seorang lagi di penjuru kiri meja. Manakala Aniyah berada di
antara mereka. Setentang Aniyah ialah Saiful. Manakala Luqman sudah kembali
semula ke pejabat.
Aniyah menarik nafasnya seketika. Sesak juga
dia mahu mengendalikan sesi ini. Kalau sesi ini dijalankan antara dia dan dua
orang pekerja Indonesia, tidaklah dia terasa tertekan sangat. Namun apalah
kuasanya mahu menghalang Saiful untuk turut serta. Lelaki itu bos dan dia hanya
pekerja sahaja.
“Assalammualaikum semua,” ucap Aniyah sebagai
pembuka sesi kaunseling. Butiran peribadi dua orang pekerja yang berada di
tangannya, menyakinkan dia bawa kedua-dua pekerja Indonesia itu beragama Islam.
Salamnya
disambut. Pandangan Aniyah kembali kepada kertas di hadapanya. Lantas kepalanya
didongak semula, memandang dua orang pekerja Indonesia di hadapannya. “Awak
Anang Kesumo?” soal Aniyah pada pekerja Indonesia berbaju T-shirt hitam. Pekerja itu mengangguk. Pandangan Aniyah menuntas pula pada seorang
lagi pekerja. “Awak Hasan Noah?” Kepala pemuda yang bertopi itu mengangguk mengiakan
kata-kata Aniyah.
Aniyah
menarik nafasnya seketika sebelum kembali memberi tumpuan pada sesi kaunseling
yang diselenggaranya. “Kamu berdua tahu kenapa kamu berada di sini?”
Dua
orang pekerja yang sedang menunduk itu, mengangguk serentak.
“Anang
Kesumo, apa hujah kamu untuk mempertahankan diri kamu?” soal Aniyah pada lelaki
Indonesia yang bernama Anang Kesumo.
Perlahan-lahan
pekerja itu mengangkat kepalanya. “Saya
enggak bersalah ibu,” tutur lelaki itu cuba membela dirinya dalam loghat
Indonesia.
“Alasan?”
soal Aniyah tegas.
“Dia
yang mula dulu ibu.” Anang Kesumo memuncung ke arah rakannya yang duduk di hadapannya.
“Saya
tidak ..”
“Kamu
diam dahulu, Hasan Noah!” pintas Aniyah membuatkan semua di situ terkejut
termasuklah Saiful yang sekadar memasang telinga sahaja dalam sesi ini.
“Apabila
belum tiba giliran kamu, jangan bercakap. Dengar dahulu apa orang lain nak
cakap. Cuba belajar menghormati hujah orang lain. Faham?” Mata Aniyah silih
berganti memandang kedua-dua orang pekerja Indonesia di sebelah kiri dan kanannya.
Kedua-dua pekerja Indonesia itu mengangguk kepala tanda akur pada arahan yang
dilontarkan secara tegas itu.
“Kenapa
kamu kata dia yang mulakan dahulu?” tanya Aniyah kepada Anang Kesumo. Dia
mahukan penjelasan.
“Dia
rampas teman wanita saya, ibu,” jawab Anang Kesumo.
“Itu
sahaja yang kamu ingin cakap?” soal Aniyah sambil merekod hujah pekerja itu.
Pekerja
bernama Anang Kesumo mengangguk.
Aniyah
kembali memandang seorang lagi pekerja Indonesia. “Betul kamu rampas teman
wanita dia?” soal Aniyah.
“Saya
enggak buat begitu, ibu!” bangkang pekerja yang bernama Hasan Noah.
“Habis
kenapa dia cakap begitu?”
“Ini
semua salah sangka, ibu,” jawab pekerja itu.
“Salah
sangka?” Dahi Aniyah berkerut.
“Ya
ibu. Sebetulnya itu bukan ceweknya tapi bekas cewek ibu.”
“Kamu
jangan bohong!” Tiba-tiba Anang Kesumo melenting.
Aniyah
berpaling ke arah Anang Kesumo. “Saya sudah katakan, jangan menyampuk apabila
kawan kamu sedang bercakap!” tegur Aniyah tegas membuatkan kepala pekerja
bernama Anang Kesumo tertunduk.
“Kamu
yakin ker itu bekas ceweknya?” provok Aniyah pada Hasan Noah.
“Yakin
ibu. Cewek saya sendiri bilang pada saya.”
“Entah-entah
dia tipu kamu ker?” provok Aniyah lagi.
“Enggak
ibu, dia jujur sama saya.”
Aniyah
tersenyum sumbing. “Manusia ini kadang-kala manisnya hanya di mulut tapi
intinya langsung tak ada.”
Kedua-duanya
pekerja di hadapan Aniyah tercengang. Mereka terpinga dengan ayat Aniyah itu.
Manakala Saiful pula terasa seperti disindir dengan kata-kata itu.
“Begini
sahajalah.” Aniyah memandang ke arah kedua-dua pekerja Indonesia. “Kamu berdua
tidak berasa bodoh ker bergaduh hanya kerana seorang gadis yang belum tentu
menjadi milik kalian berdua?”
“Maksud
ibu?” Serentak kedua-dua pekerja Indonesia itu bertanya.
Aniyah
memandang pekerja di sebelahnya silih berganti. “Perempuan yang kamu gaduhkan
itu, belum sah milik kamu berdua. Dalam erti kata mudah, belum menjadi isteri
kamu. Jadi mengapa kamu bersusah payah bertegang urat dan bercakaran sesama
kamu hanya kerana wanita itu. Kamu yakin ker dia akan menjadi milik kamu?”
Kedua-dua
pekerja Indonesia itu terdiam bagai mula mengerti maksud kata-kata Aniyah itu.
“Selagi
tidak ada ijab dan kabul, selagi itulah dia milik sepenuhnya keluarganya.
Lebih-lebih lagi ayahnya yang memegang status wali. Jadi jangan jadi dayus,
bergaduh untuk sesuatu yang belum pasti. Lagipun apa motis sebenar kamu ke
mari? Mahu bekerja atau mencari cewek?”
“Bekerja
ibu.” Perlahan-lahan kedua-duanya menjawab.
“Kalau
begitu, fokus pada bekerja. Jangan kerana seorang wanita, kamu mahu menutup
periuk nasi kamu sendiri. Kamu mahu dihantar kembali pulang ke negara kamu
sekarang?”
“Enggak
ibu.” Cepat-cepat kedua-dua pekerja itu menjawab. Jelas kelihatan mereka berdua
takut mendengar ‘ugutan’ Aniyah itu.
“Kalau
begitu, mulai hari ini tidak mahu lagi kamu berdua bergaduh tentang perkara
remeh ini. Janji untuk fokus kembali pada kerja kamu.”
“Janji
ibu.”
“Kalau
begitu saya mahu kamu berdua berdamai.”
Gesaan
itu membuatkan kedua-dua pekerja Indonesia saling memandang antara satu sama
lain. Lama mereka berpandangan sebelum mereka berdua bersalaman dan seterusnya
berpelukan. Terdengar rintihan kecil di saat pengucapan maaf dilafazkan antara
mereka. Perasaan Aniyah tersentuh. Saiful juga begitu.
“Terima
kasih, ibu.” Kedua-duanya bersuara pada Aniyah.
“Kamu
tak perlu berterima kasih pada saya tetapi berterima kasih pada bos kamu. Jika
bukan atas budi bicara dia, kamu langsung dibuang kerja.”
Dengan
kata-kata itu, kedua-dua pekerja itu lantas memeluk tubuh Saiful yang terkaku
di atas kerusi. Dia memang tersentak dengan apa yang sedang berlaku di
hadapannya.
****
“Manusia ini kadang-kala manisnya hanya di mulut tapi intinya langsung
tak ada.”
Saiful
mengeluh. Kata-kata yang diucapkan Aniyah ketika sesi kaunseling dijalankan
telah meragut ketenangannya.
“Begini sahajalah. Kamu berdua tidak berasa bodoh ker bergaduh hanya
kerana seorang gadis yang belum tentu menjadi milik kalian berdua?”
Saiful
menelan air liur. Kelat terasa. Intonasi tegas Aniyah yang ditinggalkan dalam persoalan terakhir itu membuat dirinya
benar-benar terpukul.
“Perempuan yang kamu gaduhkan itu, belum sah milik kamu berdua. Dalam
erti kata mudah, belum menjadi isteri kamu. Jadi mengapa kamu bersusah payah
bertegang urat dan bercakaran sesama kamu hanya kerana wanita itu. Kamu yakin
ker dia akan menjadi milik kamu?”
“Selagi tidak ada ijab dan kabul, selagi itulah dia milik sepenuhnya
keluarganya. Lebih-lebih lagi ayahnya yang memegang status wali. Jadi jangan
jadi dayus, bergaduh untuk sesuatu yang belum pasti. Lagipun apa motis sebenar
kamu ke mari? Mahu bekerja atau mencari cewek?”
Saiful
memejam rapat kelopak matanya. Dia bersandar lemah di belakang kerusi. Lengan
sasanya dijadikan alas kepalanya. Peristiwa pagi tadi benar-benar mengganggu
tumpuannya. Sejak pulang dari tapak pembinaan, jiwa dan fikirannya bukan lagi
pada kerja pejabat sebaliknya pada apa yang telah terjadi pagi tadi. Kata-kata
Aniyah benar-benar membuatkan dirinya jadi tidak tenang.
Dia
berteleku memikirkan bait-bait ayat itu yang seakan berpadu dengan rentetan
ceritanya dengan Aniyah. Dia mengeluh. Aniyah memang bijak menyusun kata. Dia
benar-benar terasa terpukul dengan kata-kata wanita itu.
Kring...Kring..
Lamunan
Saiful terganggu dengan bunyi deringan telefon di atas mejanya. Dia mengeluh
memandang telefon putih yang sedang berbunyi itu. Dengan malas, gagang telefon
di angkat. Kedengaran suara setiausahanya di hujung talian.
“Maaf
bos, ada panggilan daripada Cik Dhaniyah.”
Sekali
lagi Saiful mengeluh. “Okey, pass to me,”
balas Saiful lemah.
Seketika
talian senyap. Namun tidak berapa lama, terdengar suara di hujung talian. “Where are you? I call your handphone, kenapa tak angkat?” Dhaniyah sudah memekik di hujung talian.
Saiful yang tidak sangka menerima pekikan itu, segera menjauhkan gagang telefon
dari telinganya. Berdesing rasa telinganya mendengar suara nyaring Dhaniyah di
hujung talian. Saiful memejam mata. Dani...Dani.. keluhnya sebelum kembali
meletakkan gagang telefon di telinganya.
“Dengar
tak ni? Kenapa you senyap?” marah Dhaniyah masih dengan
intonasi kerasnya tetapi jeritannya sudah beransur hilang. Cuma nada geram
makin bertambah-tambah.
“I dengarlah. You asyik bercakap, I senyap ajelah,” balas Saiful bosan.
“Ha,
mana you menghilang. I call
handphone, You tak angkat-angkat. You pergi mana? You main
perempuan ker?”
“Apa
yang you merepek ni!” marah Saiful
lantang. Dia memang bengang dengan tuduhan melulu yang dilontarkan Dhaniyah
kepadanya.
“Siaplah
kalau I tahu you ada affair dengan perempuan lain. I cincang lumat perempuan tak malu tu!”
tegas Dhaniyah berbau ugutan. Kemarahan Saiful tidak diendahkan malahan dia
kelihatan semakin berani menentang.
“You jangan nak buat kerja tak
siumanlah.” Nada Saiful tidak berubah. Sama naik tegas dan garangnya. Marahnya
masih membara.
“Eh
yang you nak mengamuk ni kenapa???
Kalau you tak bersalah, kenapa nak
melenting!”
“I...” Tutt..tutt.. Talian terputus
dengan serta-merta sebelum sempat Saiful menghabiskan kata-katanya. Saiful
mengeluh sambil memandang gagang telefon di tangannya.
Dani ...Dani.. Saiful menggeleng kepalanya
mengenangkan perangai Dhaniyah. Dengan lemah, ganggang telefon diletakkan
semula ke tempat asalnya.
Perempuan memang macam nilah. Belum apa-apa
dah melenting. Tahu nak mengamuk sahaja! Bosan! Jelak hati lelaki Saiful
sebelum dia kembali bersandar di belakang kerusi yang didudukinya.
Siaplah kalau I tahu you ada affair
dengan perempuan lain. I cincang lumat perempuan tak malu tu!
Saiful
memejam matanya rapat. Dia ingin berehat sebentar. Fikirannya terlalu
berserabut tika ini