Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Thursday, January 26, 2012

Cerpen 3: Menuju Kejayaan (Part 2)


Dengan semangat yang tiba-tiba datang meresap ke dalam diriku, aku nekad untuk bangkit. Bangkit mengutip kepingan maruahku yang telah dipijak-pijak lelaki bernama Muhaimi Mansor.
Aku tidak akan izinkan dia kembali melakukannya waima sekali. Tidak! Aku tidak akan izinkan! Malahan aku akan buktikan, aku bukan mudah lemah dengan tohmahannya. Sebaliknya aku ingin buktikan bahawa aku insan yang kuat.  Maruahku bukan untuk dipijak sebaliknya untuk dihormati.
Terima kasih Muhaimi Mansor kerana menghadiahkan aku sesuatu yang akan aku manfaatkan sepenuhnya!
Tanganku mencapai kalendar di atas meja.  Kalendar itu kuselak.  Mataku terpandang bulatan berwarna hitam. Nampaknya tinggal lagi sebulan lagi sebelum peperiksaan sebenar SPM akan berlangsung.  Masih ada lagikah masa untukku mengulangkaji pelajaran?
 Kerisauan menghantui aku. Aku bimbang memikirkan jika aku tidak cukup masa untuk mempersiapkan diriku dengan rapi sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.
“InsyaALLAH, kamu boleh. Kamu dah buktikan dalam percubaan kamu. Jangan terlalu memikirkannya sangat. Buat biasa sahaja. Isikan masa yang ada dengan belajar dalam keadaan tenang. Jangan lupa berdoa pada ALLAH.”
Aku menarik nafas, cuba meredakan diriku yang sedang diamuk tekanan. Teringat pertemuan aku dengan Cikgu Harun. Disebabkan terlalu tertekan, aku nekad bersemuka dengan guruku itu. Alhamdulliah, kata-kata positif Cikgu Harun itulah kubuat terapi pada diriku.
“Buat elok-elok, Zu. Doa banyak-banyak supaya tenang menjawab dan dipermudahkan,” pesan nenek ketika aku bersalam dengannya. Hari ini, hari pertama aku menduduki peperiksaan SPM.
“Nenek doakan untuk Zu, ya,” pinta aku seraya mencium tangan tua nenek.
Nenek tersenyum padaku. “Nenek sentiasa doakan yang terbaik untuk cucu nenek ni.”
Aku membalas senyuman nenek. “Terima kasih nenek.” Aku pantas memeluk tubuh tua itu dengan penuh kasih sayang.
Hiduplah dalam keberkatan. Orang yang berjaya, hidupnya selalu mendapat redha daripada penjaganya. Ingatlah ALLAH akan memberi keberkatan yang tidak terhitung pada mereka yang selalu diredhai hidupnya.
“Terima kasih Cikgu Harun atas nasihat cikgu yang tidak putus-putus pada saya.”
****
Aku tersenyum ketika terserempak dengan Cikgu Harun. Dia membalas senyumanku seraya berjalan menghampiriku.
“Dah bersedia nak berjuang?” tanya Cikgu Harun dalam jenaka.
Aku ketawa kecil. “InsyaALLAH cikgu. Doakan saya boleh buat yang terbaik.”
“InsyaALLAH, cikgu yakin kamu boleh buat.”
Aku tersenyum lebar sebelum meminta diri kerana sedar yang aku sudah lewat. Tergesa-gesa juga aku memijak anak tangga menuju ke dewan peperiksaan sehingga membuatkan aku hampir terlanggar seseorang.
Sorry,” ucap aku seraya mendongak. Mahu terputus jantungku saat bertembung dengan dia. Muhaimi!
          Kami berpandangan sebelum aku bergegas meninggalkannya. Semenjak kejadian itu, aku nekad untuk berubah. Dirinya tidak pernah aku pedulikan. Bukan berdendam tetapi aku tahu itu yang lelaki itu mahukan daripada aku. Siapalah aku padanya. Hanya seorang gadis yang gemuk dan pendek. Seorang gadis yang tidak layak untuk ditagih rasa cintanya.
Kemesraan antara Muhaimi dengan Linda yang terbentang di hadapanku, tidak sedikitpun mencuit hatiku. Aku sudah lali dengan semua itu. Memang mereka pasangan yang sepadan. Dua-dua pengawas. Dua-dua ada rupa. Semoga jodoh mereka panjang dan berkekelan
*****
Aku menyibukkan diriku dengan berbual tentang beberapa perkara dengan Rohayu.  Banyak cerita yang kami kongsi bersama. Sedikit sebanyak topik perbualan di luar bidang peperiksaan dapat mengusir rasa debar kami sementara menanti pengawas peperiksaan memanggil kami masuk ke dalam dewan peperiksaan.
Good luck Zu,” ucap Rohayu padaku ketika pengawas peperiksaan memanggil kami masuk ke dalam dewan peperiksaan.
Good luck untuk awak juga, Ayu,” balas aku sambil berbalas senyuman dengan temanku itu.
***
Alhamdulliah, syukur ke hadrat ALLAH atas rezekinya. Keputusan yang keluar membuatkan aku berasa bersyukur dan gembira. Orang pertama aku khabarkan, pastinya nenekku.
“Alhamdulliah. Nenek nak buat sujud syukur.”
Aku gembira mendengar suara nenek di hujung talian. Setitis air hangat mengalir. Syukur Ya ALLAH kerana izinkan aku mengembirakan insan yang kusayangi.
“Mantaplah kau beb!”
Aku tersenyum. “Kau pun apa kurangnya,” balas aku.
Best student tuh.”
Aku tersenyum lagi saat mendengar kata-kata Rohayu.
“Mungkin rezeki aku. Alhamdulliah.” Pesanan nenek aku jadikan panduan. Jangan ada riak dengan nikmat ALLAH. Bersyukurlah padanya kerana anugerah itu pemberianNYA.
“Kau memang deserve, Zu. Berbaloi mengadap buku sampai lewat pagi. Buat latihan sampai tercabut kulit buku.”
Aku tergelak mendengar bicara Rohayu. “Sempat kau perli aku ya!”
Rohayu ketawa.
“Zurina, Rohayu..”
Teguran itu mematikan tawa kami. Aku dan Rohayu menoleh ke belakang. Kelihatan Cikgu Harun sedang tersenyum pada kami. Kami berbalas senyuman. Namun sempat juga mataku terkesan kelibat Muhaimi yang sedang duduk di atas bangku.  Dia sedang memandang ke araku. Aku pantas melarikan pandangan mataku. Aku tidak betah beradu pandang dengannya. Namun sempat juga kuhadiahkan senyuman padanya.
“Tahniah buat kamu berdua.” Suara riang Cikgu Harun menarik perhatianku.
“Terima kasih cikgu,” jawab aku dan Rohayu serentak
            “Terima kasih cikgu atas nasihat dan tunjuk ajar cikgu,” sambung aku. Sesungguhnya aku amat terhutang budi dengan jasa guru di hadapanku ini. Memang dialah lilin sebenar. Membakar diri sendiri semata-matanya untuk anak muridnya.
            “Sama-sama,” balas Cikgu Harun bersama senyuman mesra. “Selepas ni ke mana?”
            “Tunggu tawaran.”
***

            Surat tawaran yang datang memberi seribu rahmat buat aku. Aku tersenyum riang sambil mengucap rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat ILLAHI atas limpahan kurniaNYA. Akhirnya impian aku untuk terbang ke negara orang, dimakbulkan. Alhamdulliah.
            “Nenek mesti ikut tau,” ucap aku mengingatkan nenek pada janjinya padaku satu ketika dahulu. Kami sama-sama sudah berjanji. Andai aku diterima meneruskan pengajian aku walaupun di mana pun, nenek perlu ada di sisi aku. Aku tidak betah meninggalkannya sendirian. Hatiku jadi tidak keruan membiarkan dia jauh dari aku dalam keuzurannya.
            “Jauh sangatlah Zu,” helah nenek.
            Namun aku tidak akan lekas putus asa. “Lima tahun sahaja. Lepas habis belajar, Zu janji kita balik semula ke sini.”
            Nenek yang sedang memerah santan untuk dibuat gulai ikan kelihatan mengeluh. “Betul?”
            Aku mengukir senyuman seraya mengangguk laju. “Betul nenek. Lima tahun sahaja!”
            “Yalah.”
            Aku tersenyum girang mendengar keputusan nenek.
            Berbekalkan wang peninggalan arwah kedua orang tuaku dan biasiswa yang kuterima, aku dan nenek terbang ke bumi Ireland. Sebelum pergi, kami sempat membuat kenduri doa selamat. Ramai tetamu hadir. Paling pasti tentulah Cikgu Harun dan Rohayu. Muhaimi juga aku turut jemput melalui Rohayu tetapi kelibatnya tiada. Aku pasrah dengan kehendaknya.
            “Lepas ni berjauhanlah kita ya,” luah Rohayu hiba.
            “Dunia dah semakin maju. Yang jauh boleh didekatkan,” pujuk aku cuba membuang rasa hiba temanku itu.
            “Janji tau!”
            Aku angguk.
***
            Lima tahun terlalu pantas berlalu. Pejam celik pejam celik, dunia bagaikan berputar terlalu pantas. Serasa baru semalam aku belajar memakai baju berlapis-lapis, meredah salji, menyalakan bara api di negara orang. Serasa bagaikan baru semalam juga aku menyelak nota kuliah yang penuh anatomi manusia, belajar mendalami ilmu psikiatri, mengenali dunia farmakologi dan pelbagai lagi. Hari ini, bagaikan bermimpi aku sudah berada dalam perut kapal terbang bersama nenek untuk pulang ke tanah air.
Setibanya di lapangan terbang, kepulanganku disambut teman baikku. Siapa lagi kalau bukan Rohayu. Bukan aku meminta berbuat begitu tetapi dia yang mendesak mahu menyambut kepulangan aku dan nenek di lapangan terbang lewat bicaranya ketika kami berbual di internet.
“Walamak. Kau ker ni?”
Aku termangu saat ditegur begitu. Dahiku berkerut. Keningku terangkat.
“Cantik beb. Kau banyak berubah. Makin slim,” ulas Rohayu merungkai pertanyaan di hatiku. “Kenapa tak perasan pun time kita online?” Aku tidak pasti soalan itu diajukan kepada aku atau tidak. Nenek di sisiku tersenyum tanpa bicara.
“Rindu kat aku ker sampai kurus macam ni sekali. Berapa kilo berat kau merundum neh? Jelous aku tengok.”
“Karutlah kau.” Aku berhujah dalam nada senda. “Mungkin faktor kepenatan, kurang tidur dan rehat. Sebab tu aku jadi macam ni.”
Rohayu memandang aku. Aku jadi segan dengan pandangan matanya. “Aku takut malam ni ada yang pengsan tengok kau kat rumah Cikgu Harun.”
Aku termangu.
“Boleh tak kalau aku tak pergi?” tanya aku pada Rohayu. Segan rasa mahu menghadiri majlis doa selamat yang diadakan di rumah guruku itu. Bermacam perasan menghantui diriku.
 “Eh tak baik tau kau. Sampainya hati kau buat dia macam tu. Berusaha dia call aku minta make sure kau datang majlis dia. Kau ni, sampai hati betul nak hampakan perasaan orang yang banyak berjasa pada kau.”
Mulalah Rohayu keluarkan ayat psikologi dia. Aku buntu.
Aku tarik nafas sedalamnya sebelum melepaskannya. “Serius segan.” Aku menghantar rasa yang terbuku di hatiku.
 Pasti ramai jemputan yang hadir adalah di kalangan mereka yang aku kenali.  Pasti ramai guru-guru sekolahku ada di sana. Waktu yang memisahkan membuatkan aku belum bersedia untuk berhadapan dengan mereka. Lebih daripada itu untuk bersemuka dengan teman-teman sekolahku yang pasti ramai akan hadir di majlis itu. Menurut Rohayu, Cikgu Harun mengadakan buffer untuk tetamu yang dianggar lebih daripada 100 orang.
“Alah kau ni. Buat relaks je. Lagipun masa nilah nak jumpa balik cikgu-cikgu kita.” Dengan selamba, Rohayu membalas kata-kataku. Aku mengeluh sendirian.
“Pergi ya..lepas ni bila dah kerja, makin susah kita nak jumpa.”
Nampaknya aku sudah tiada pilihan.
                                            ****
Seperti yang aku bayangkan, begitulah yang terjadi. Ramai tetamu yang hadir di majlis ini. Rata-ratanya, aku kenal. Maklumlah, sehingga saat ini Cikgu Harun masih berkhidmat di sekolah yang sama. Sekolah, tempat aku menggali ilmu selama lima tahun. Kehadiran kami disambut isteri Cikgu Harun kerana kebetulan sewaktu kami tiba, Cikgu Harun masih belum pulang dari masjid berdekatan.
“Zurina?” Puan Ainon menegur aku dengan riak penuh terkejut.  Aku termangu di sisi Rohayu yang sudah tergelak kecil.
“Kan aku dah cakap,” bisik Rohayu di sisiku. “Mesti cikgu tak percayakan?” Rohayu melantonkan soalan itu pada bekas guru kelas kami dengan senyuman.
Puan Ainon tergelak kecil. “Agaklah. Lain benar. Hampir tak kenal. Nasib baik ada kesan parut kat kening.”
Aku tergelak mendengar hujah Puan Ainon. Alhamdulliah, dengan takdir ALLAH, kesan luka kemalangan telah mendekatkan aku dengan guruku.
“Zurina?” Panggilan itu menarik perhatian kami bertiga. Lantas aku menoleh di sebelah kananku. Cikgu Ainon dan Rohayu juga begitu.
Benarkah apa yang saya lihat ni?” soal Cikgu Harun dalam nada terkejut bercampur usikkan.
Aku termangu buat sekalian kalinya. Berubah sangat ker penampilan aku?
“Saya pun hampir tak perasan, Cikgu Harun,” sampuk Cikgu Ainon tersenyum sambil menjeling padaku. Rohayu pula sudah tersengih semacam. Aku semakin tidak enak dengan situasi ini.
“Itulah. Lain benar,” sela Cikgu Harun seakan menyokong hujah Cikgu Ainon. “Lama kamu bercuti?”
Kali ini barulah aku berasa selesa dengan topik perbualan. “InsyaALLAH. Dalam tempoh sebulan akan dipanggil bekerja. Buat houseman.”
“Ouh, pilih mana?”
“Sini jelah cikgu,” jawab aku merujuk pada hospital di sini.
Perbualan kami tidak terhenti di situ sahaja. Kami terus berbual. Dari bertiga, bertambah empat dan seterusnya. Macam reunion pun ada.

***

“Zurina...”
Entah berapa kali namaku dilaung untuk hari ini, aku sendiri tidak pasti. Namun aku tetap tersenyum menyambut setiap sapaan yang datang. Namun kali ini senyuman itu bagaikan pudar dengan perlahan-lahan saat pandangan aku beradu dengan pemanggil di hadapanku.
Muhaimi! Bisik hatiku.
Aku yang ketika itu berniat mahu mengambil air untuk diriku dan Rohayu, terbantut seketika dengan sapaan sahabat lamaku itu.
“Masih kenal saya?”
Aku mengangguk tanpa memandangnya dek rasa segan mengepung diriku. Sekian lama terpisah dengan cerita derita, aku jadi segan untuk bertatapan dengannya. Namun untuk melupakan siapa identitinya, aku tidak pernah terdaya melakukannya.
“Sihat?”
Sekali lagi aku angguk pada soalannya. Terasa berat mulutku mahu menjawabnya. Perlahan-lahan tanganku mencapai cawan plastik. Dengan tangan yang sedikit menggeleter, aku tarik pili paip tong berisi air sirap ais. Air merah yang sejuk mengalir memenuhi cawan plastik di tanganku, lantas menghantar rasa sejuk di telapak tanganku. Cawan yang sudah penuh berisi air, kuletak di sisi. Satu lagi cawan plastik, kosong kucapai. Kuulang langkah serupa.
          “Minta diri dulu,” ucap aku sebelum berlalu. Wajahnya tidak terdaya kupandang. Maafkan Aku Muhaimi.

*****

Aku kira pertemuan secara tidak sengaja itu adalah pertemuan terakhir antara aku dan dia.  Maklumlah, menerusi perbualan bersama-sama teman-teman ketika di majlis Cikgu Harun, aku mendapat info bahawa lelaki bernama Muhaimi sudah berkelana jauh ke Sarawak, menjadi askar di sana. Keluarganya juga turut berpindah ke sana.
Kini takdir sekali lagi menemukan aku dan dia. Pertemuan berlaku tanpa dirancang. Aku sedang bertugas kerana on call dan dia ialah salah seorang daripada pesakit aku.  Dia dihantar majikannya ke sini kerana kakinya patah ketika menjalani latihan askar di kem di sini.  Sukar untuk aku mengambarkan perasaanku tika ini. Namun aku sedar, aku harus akur pada profesion aku. Aku harus patuh pada nilai profesional yang telah diterap dalam diriku.
“Terima kasih,  Zu.”
Aku tersenyum tawar. Tumpuanku kembali pada laporan di tanganku. Aku mencatatkan rekod pesakitku ini. “Petang nanti, buat lagi latihan, ya,” ucap aku tanpa mengalih pandanganku dari kertas di hadapanku.
“Zu teman saya?” soal lelaki itu.
             Aku memasukkan pen ke dalam baju kot putihku. “Macam biasa. Nanti Encik Kamal akan bantu awak. Saya akan pantau latihan awak dengan dia,” jawab aku sebelum meminta diri.
***
“Masih ada harapan ker nak sembuh, Zu?” soal Muhaimi pada aku sewaktu aku datang melawatnya di wad.
“InsyaALLAH, tiada apa-apa yang mustahil jika berusaha,” balas aku sambil mencatat tahap kesihatannya.
“Tapi dah hampir sebulan,” keluhnya.
Terhenti pergerakan tanganku. Kepalaku terangkat.  Mataku memandang wajah yang muram itu. “Di saat kita sedang kesakitanlah, banyak dugaan datang. Jangan berhenti berharap. Jangan lupa juga untuk terus berusaha serta berdoa. InsyaALLAH, ALLAH sentiasa bersama kita.”
 “Mungkin ini balasan untuk saya kerana pernah buat awak terluka.”
Aku kaget.  Tidak pernah aku terfikir dia akan berkata seperti itu. Aku menarik nafas lalu melepaskannya. “Allah jadikan sesuatu itu bersebab. Cuma manusia punya pemikiran yang terhad untuk memikirkannya. InsyaALLAH sampai satu saat, kita akan terasa hebatnya hikmah yang ALLAH jadikan melalui peristiwa itu pada kita,” tutur aku cuba memberikan semangat kepada pesakit aku bernama Muhaimi Mansor berdasarkan pengalaman yang pernah aku lalui. 
Dahulu, aku juga sepertinya.  Kadang-kala mempersoalkan nasib yang menimpa diriku sehingga sampai satu saat aku terasa rebah sendirian.  Namun alhamdulliah, aku masih ada insan-insan yang menyayangi aku. Tanpa mereka mungkin aku tidak seperti hari ini. Syukur Ya ALLAH atas takdir yang terlakar buat diriku. 
“Awak terlalu baik, Zu.”
“Jangan terlalu memuji saya kerana saya takut saya akan menjadi orang yang paling awak benci,” ucap aku sebelum meminta diri.
***
Petang ini, aku terpaksa memantau latihan pesakit aku bernama Muhaimi tanpa Encik Kamal yang tiba-tiba mengambil cuti kecemasan disebabkan hal keluarga. Hendak tak hendak, aku terpaksa menemani pesakitku ini. Nasib baik, kali ini Muhaimi sudah boleh melakukan latihan secara sendirian, tanpa bantuan. Jika tidak, pasti keadaan agak rumit bagiku.  Namun pemantauan masih perlu dilakukan supaya lelaki ini melakukan setiap latihan mengikut kaedah yang telah ditetapkan mengikut keupayaannya.
Aku duduk memerhati lelaki itu melakukan latihan berjalan dengan tangannya memegang kejap pada palang di kiri dan kanannya. Langkahnya masih lagi perlahan tetapi sudah ada sedikit kemajuan.  Aku terus memerhati setiap inci pergerakan lelaki itu.
“Awak boleh buat Muhaimi!” ucap aku kepada lelaki itu yang tiba-tiba terjatuh. Muhaimi memandang aku. Aku mengagguk menyakinkannya akan kata-kataku tadi. Lelaki itu tersenyum sebelum perlahan-lahan cuba bangkit kembali dengan berpaut pada palang di sisinya.
“Teruskan Muhaimi. Jangan berhenti berusaha.” Aku terus melontarkan kata-kata semangat buat pesakitku ini. Aku mahu dia terus bersemangat untuk melakukan aktiviti yang akhirnya dapat membantunya berjalan seperti sedia kala.
Dia memandang aku sehingga aku tidak selesa dengan pandangannya itu. Terlalu dalam pandangan yang diberikannya padaku. Salahkah kata-kataku sebentar tadi?
“Terima kasih, Zu.  Awak terlalu baik pada saya.  Saya sangat malu dengan awak.”
Aku termangu mendengar bicaranya yang sungguh meruntum jiwa wanitaku.
“Terima Kasih, Zu,” ucapnya buat sekian kalinya.
Entah mengapa, aku berasa sebak. Pantas kualihkan wajahku dari pandangan matanya. Tidak betah lagi untuk aku memandangnya di kala ada riak pilu berkocak di hatiku.
****
   “Jangan lupa makan ubat ikut waktu.  Jangan lupa juga buat latihan. Bukan bermakna awak dah boleh keluar, awak tak perlu lagi buat latihan. Perlu konsisten jika mahu pulih sepenuhnya. Lebih penting, jangan lupa berdoa kepada ALLAH kerana segala-galanya bergantung pada ketentuanNYA,” ucap aku untuk pertemuan terakhir dengan pesakitku yang bernama Muhaimi. Selepas ini, mungkin tiada lagi pertemuan antara kami. Dia mungkin akan kembali semula ke tempat asalnya dan aku masih di sini untuk meneruskan amanahku sebagai seorang doktor.
   Aku menulis sesuatu di atas kertas. Kertas itu akan aku serahkan kepada pesakit di hadapanku sebagai panduan kepadanya setelah keluar meninggalkan wad. Harapan aku agar dia akan terus konsisten menjaga kesihatannya.
       “Zu...” Panggilan itu mencantas tumpuan aku pada kertas di hadapanku. Kudongak kepalaku.
        “Terima kasih.”
   Senyuman merekah di bibirku. “Tak perlulah berterima kasih pada saya. Ini sudah tanggungjawab saya,” balas aku.
    “Awak terlalu baik, Zu. Beruntung sesiapa yang memiliki hati awak.”
  Kalimah itu sangat mengejutkan aku. Terpaku aku memandang seraut wajah di hadapanku.
    “Masihkah ada ruang untuk saya memilikinya?”
    Sekali lagi aku terkejut. Kali ini lebih hebat. Mataku terkaku memandangnya. Sepantas itu aku terasa dadaku bergetar hebat. Sesaat itu aku memejam rapat mataku. Kucuba cari ketenangan dalam kepayahan. Kehembus nafasku seiring bukaan mataku. Mata di hadapanku masih setia memandangku. Aku pandang sekuat yang kumampu.
    “Carilah keikhlasan terlebih dahulu. Baru mencari cinta,” ungkap aku perlahan sambil menyerahkan kertas di tanganku. Perlahan-lahan aku meninggalkan lelaki itu. Tiada istilah dendam di hatiku padanya tapi aku ingin dia tahu, diriku boleh berubah. Aku boleh kembali seperti diriku sebelum ini. Adakah ketika itu dia sudi untuk terus menerima aku atau mencela dan mencaci aku sepertimana yang pernah dia lakukan seperti dahulu? Aku tiada jawapan kerana jawapan itu ada padanya.
       Aku tidak mahu mengharap ihsan manusia pada aku. Hati manusia boleh berubah. Cukuplah ALLAH pada aku. Aku yakin jika cinta ALLAH kita raih, insyaALLAH cinta hambaNya juga kita akan peroleh. Cinta ALLAH tidak pernah mengecewakan dan cinta ALLAHlah yang menyatukan dua hati menuju kejayaan hakiki di dunia dan di akhirat, insyaALLAH.

~SEKIAN~

Monday, January 16, 2012

Cerpen 3: Menuju Kejayaan (Part 1)


Hatiku berdebar-debar saat sepasang mataku terpaku memandang susuk tubuh sasa milik seorang lelaki menerusi ruang jendela kelas yang terbuka luas. Dialah lelaki yang telah berjaya mencuri sekeping hatiku.  Seperti selalu, auranya membangkitkan rasa terpukauku padanya. Kali ini, rasa aura itu bercampur bau dengan rasa debar yang tidak terhingga.
Benarkah apa yang aku lakukan ini? Sampai saat ini aku masih lagi keliru dengan tindakan aku.
Dia terus mara melangkah, melangkah masuk ke dalam kelas menerusi pintu hadapan kelas.  Sepantas itu, degupan jantungku berlari kian laju saat membilang langkah temanku itu. Dia semakin hampir ke tempat duduknya di barisan hadapan. Sementara aku semakin tidak keruan di barisan belakang.
Ya ALLAH benarkah apa yang aku lakukan ini?
Sekali lagi aku bertanya pada diriku dalam keriuhan kelas yang semakin diwarnai suara-suara teman sekelasku yang lain.
Aku menundukkan wajahku sedikit, bukan mengadap hamparan buku Kimia di atas meja.  Jauh sekali mengadap larutan akaues yang terlukis cantik di halaman buku teks Kimia.  Sebaliknya, cuba kusembunyikan wajahku daripada melihat si dia yang duduknya berselang tiga baris di hadapan aku. Aku segan, takut, gusar, khuatir dan resah untuk melihat reaksinya.
Saat ini aku teringatkan Rohayu. Alangkah baiknya jika Rohayu ada bersamaku tika ini. Bolehlah kiranya aku meminjam kekuatan daripada sahabatku itu. Rohayu, teman yang sentiasa ada bersama aku. Teman yang ikhlas dalam bersahabat dengan aku. Dialah yang menyambut kehadiran aku ketika mula-mula mendaftar masuk ke sekolah. Dialah yang menemani aku di setiap lorong perjalanan di sini. Teman-teman yang lain? Entahlah sukar untuk kubicarakan. Aku sedar siapa aku. Insan punya kekurangan.
“Hei perempuan!”
Panggilan itu menyentap lamunan aku.  Lantas aku mendongak. Muhaimi! 
Wajahnya keruh dan merah padam! Aku menikus ketakutan. Suara-suara riuh teman-teman sekelasku sebentar tadi bagaikan ditelan bumi.  Kelas jadi sunyi sepi. Yang berlari, terkaku berdiri. Yang duduk, terpaku menyaksi. Semua mata memerhati ke arah kami berdua.
 “Sedarlah sikit yang kau tu gemuk! Pendek! Ada hati mahu bercinta dengan aku!! ” jerkah suara garau Muhaimi dengan anak matanya terjegil padaku. Saat itu juga kertas berwarna putih yang sudah digumpal bulat mendarat ke arah aku. Aku termangu diperlakukan begitu. Kelopak mataku mula terasa hangat. Mukaku terasa panas.
            “Kau pergi cermin muka kau tu dulu, minah tak sedar diri,” tempelak lelaki itu.  Tanpa rasa belas, maruahku terus dipijak bersaksikan teman sekelas. Tidak pernah aku terasa sehina ini. Tidak kuduga lelaki yang aku puja dalam diam telah memperlakukan aku umpama manusia yang tidak bermaruah.
Hatiku sebak.  Kata-katanya itu cukup tajam sehingga merobek hati perempuanku. Air mata yang cuba kutahan dari tadi, akhirnya merembes jua. Aku tewas. Tewas pada kata-kata bisa lelaki itu.
Setitik demi setitik air mata aku mengalir, jatuh ke permukaan buku di hadapanku. Aku malu dengan hinaan yang dilemparkan lelaki itu. Bersaksikan rakan sekelasku seramai 30 orang, lelaki bernama Muhaimi telah meletakkan maruahku di tempat yang paling bawah sekali.
 “Tak payahlah kau nak berlakon sedih kat depan aku. Aku takkan simpati dengan kau. Simpan sahaja air mata kau tu. Mulai hari ini, aku nak kau ingat bahawa aku, Muhaimi Mansor tidak akan sesama sekali jatuh cinta pada kau, Zurina Ali. Full stop!” bentak Muhaimi lagi. Angkuh sekali.
Kali ini bicaranya cukup berbisa sekali. Dengan nada yang angkuh bersaksikan rakan-rakan sekelas, kalimah itu dilafazkan tanpa mengambil peduli perasaan dan maruahku yang tercalar.
            Begitu sekali dia memandang diriku. Ya ALLAH, kenapa begitu sekali kejamnya lelaki ini terhadap aku? Tidak bolehkah dia menolak cintaku dengan baik? Mengapa harus di hadapan rakan-rakan sekelasku yang lain? Mengapa dengan kata-kata hinaan yang sangat melukakan? Aku juga manusia, punya hati dan perasaan. Tahu erti malu dan sedih. Aku merintih sedih pada diriku.
            Pantas aku mencapai beg di belakangku.  Sakitnya hinaan itu tidak mampu kebendung.  Malu di atas cercaan tidak mampu kusembunyikan. Pantas aku berlari meninggalkan kelas tambahan yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi.
            “Zu!” Jeritan temanku, Rohayu yang berselisih denganku di muka pintu masuk kelas tidak aku endahkan.  Larianku makin laju bersama lajunya air mataku mengalir. Ya ALLAH, sakitnya hati ini. Malunya diri ini. Hanya Kau sahaja yang tahu.
****
“Zu, awal balik? Kelas tambahan tak ada ker?” tegur nenek yang menyambut kepulanganku. Aku membalas teguran itu dengan anggukan sambil terus berjalan ke bilikku meninggalkan nenek yang sedang mengait di sofa buruk.
              Maaf nenek, Zu terpaksa menipu. Zu tak kuat nenek.
Aku menyembamkan mukaku di atas bantal. Tubuhku longlai di atas katil.  Air mataku terus lebat mengalir, menangisi rasa hati yang terlalu sakit. Kata-kata hinaan Muhaimi sangat menyagat hati wanitaku.
Hei perempuan! Sedarlah sikit yang kau tu gemuk. Pendek. Ada hati mahu bercinta dengan aku.
 Kau pergi cermin muka kau tu dulu, minah tak sedara diri
Tak payahlah kau nak berlakon sedih kat depan aku. Aku takkan simpati dengan kau. Simpan sahaja air mata kau tu. Mulai hari ini, aku nak kau ingat bahawa aku, Muhaimi Mansor tidak akan sesama sekali jatuh cinta dengan kau, Zurina Ali. Full stop!
Kata-kata Muhaimi teringang-ingang kembali di pendengaranku bagaikan melodi rosak yang menyakitkan. Ya ALLAH, sakitnya.
Aku terus menangis dan menangis sebelum lelah sendirian sehingga akhirnya aku terlelap bersama hati yang terluka. Sedar-sedar, nenek mengejutkan aku kerana kehadiran Rohayu.
Namun sempat orang tua itu menegur diriku. “Kenapa bengkak mata tu, Zu? Muka sembap.”
Aku menggeleng. “Penat nenek. Lagipun baru bangun tidur,” balas aku berbohong lagi. Aaa...banyak betul dosa yang aku kumpul hari ini.
“Belajar, belajar juga tapi kena jaga kesihatan. Nanti Zu sakit, lagi susah Zu nak belajar,” nasihat nenek lembut dan penuh kasih sayang.  Aku menggangguk sebelum meminta diri untuk mendapatkan temanku, Rohayu yang sedang menantiku.
“Jom sembang kat pangkin,” ajak Rohayu seraya menarik tanganku. Dia yang masih berpakaian lengkap baju sekolah memberi isyarat padaku yang dia baru pulang dari sekolah. Sementelah ada beg sekolah dalam raga basikalnya. Agak-agaknya nenek syak tak yang aku telah membohonginya?
“Zu...” Suara Rohayu menggamit aku memandang seraut wajahnya yang ditutupi tudung litup berwarna putih. Kami berpandangan. Riak wajah Rohayu mengambarkan bahawa dirinya bimbangkan aku.
“Tadi Cikgu Harun ada tanya tak pasal aku?” Aku pantas mengajukan soalan perihal kelas tambahan yang terpaksa aku ponteng gara-gara kejadian ‘pergaduhan’ antara aku dan Muhaimi.
            “Masakan dia tak tanya, kaukan best student dia.”
            Ayat yang dikeluarkan Rohayu itu membuatkan aku merenung jauh mengingatkan Cikgu Harun, guru Kimiaku. Gayanya yang santai mengajar subjek itu membuatkan aku suka pada kelasnya. Aku suka menjadi pelajarnya.
 Dia selalu memberikan kata-kata semangat kepada aku dan rakan sekelasku. Sebelum memulakan sesi pengajaran, ada sahaja motivasi yang diberinya sebagai mukadimah. Kadang-kadang dia selitkan pepatah Melayu dalam bicaranya. Ada masa dia menggunakan pendekatan bercerita. Niatnya hanya satu supaya kami bersemangat dan bermotivasi untuk berjaya.
 Walaupun dia seorang yang garang tetapi aku suka kerana dia seorang yang sangat komitmen dalam mendidik aku bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Malahan dia dengan senang hati mengadakan kelas tambahan tanpa sebarang bayaran. Baiknya dia. Alangkah beruntungnya anak-anak dia memiliki ayah sepertinya.
            Ayah. Aku jadi sebak dengan tidak semena-menanya. Rinduku pada ayah kembali mengusik hati kecilku. Saat ini juga bayangan ibu menyapa ingatanku. Sesungguhnya aku rindukan mereka.  Sudah lapan tahun, mereka pergi meninggalkan aku kerana terkorban dalam kemalangan jalan raya.
Ketika itu aku masih di bangku sekolah rendah. Masih mentah untuk menerima takdir perpisahan yang kekal, tidak berubah. Neneklah pembakar semangat aku di saat aku lemah menerima takdir pemergiaan kedua-dua orang tuaku. Dialah yang meminjamkan kekuatan untuk aku berdiri semula. Padanya, aku berpaut mengharungi dugaan hidup. Di sekolah, Cikgu Harun umpama pengganti nenekku. Alhamdulliah, dalam kebencian manusia di sekolah menerima kehadiran insan kerdil seperti aku, masih adalagi yang sudi menerima aku dengan tangan terbuka.
            “Kau menangis, Zu?” Teguran Rohayu pantas menyedarkan aku. Aku pantas menyapu air mata yang hangat mengalir di pipiku.
            “Hari ni Cikgu Harun bagi motivasi apa?” soal aku bertujuan mengalih tumpuan temanku itu.
            Rohayu memandang aku sebelum kembali menuntaskan padangannya ke hadapan. “Cikgu Harun cakap, kerjayaan atau kegagalan seseorang bergantung pada attitude dia.  Jika  attitude dia baik, insyaALLAH dia pasti berjaya dengan syarat dia berusaha.”
            “Maksudnya?” soal aku inginkan penjelasan yang lebih. Aku masih samar tentang maksud bicara temanku itu.
            “Contohnya kau nak target SPM untuk dapat 10A. Itu satu attitude yang baik kerana kau percaya dan yakin kau boleh. Apabila kita ada kepercayaan yang positif pada diri kita, apa sahaja halangan yang mendatang, kita boleh hadapinya. Apa yang orang kata pada kita pun, kita tidak ambil peduli.”
            Aku diam memikirkan kata-kata itu. Sedang aku berfikir, tiba-tiba aku terasa bahuku dipeluk. Aku toleh ke arah temanku di sebelah.
            “Maafkan aku, Zu. Kalau bukan sebab cadangan aku suruh kau tulis surat pada Mi, kau pasti takkan dihina seteruk itu.”
            Aku memandang temanku itu dengan dahi berkerut. “Mana kau tahu?” soal aku kerana ketika kejadian memalukan itu berlaku, Rohayu tiada di kelas. Hanya ketika aku meninggalkan kelas, barulah aku terserempak dengannya di muka pintu.
            Perlahan-lahan Rohayu mengeluarkan sesuatu dari poket baju kurungnya.  Aku terkejut. Kelihatan kertas yang dicampak Muhaimi ketika dalam kelas tadi. “Aku ternampak kertas ni bawah meja kau. Aida dah cerita semuanya pada aku,” jelas Rohayu membuatkan aku mengeluh penuh kekesalan kerana membiarkan surat itu tertinggal.
            “Maafkan aku, ya,” pinta Rohayu sambil memandang ke  arah aku.
            Aku menggeleng laju. “Kau tak salah, Ayu. Aku buat dengan keinginan aku sendiri.”
            “Tapi itukan cadangan aku,” balas Rohayu dengan riak bersalah.
            Aku tersenyum kecil. “Kau tak salah, Ayu. Aku yang nekad nak tulis surat tu pada dia. Kononnya nak luahkan perasaan. Tapi, rupanya cinta aku ditolak.” Aku ketawa kecil. Namun dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu perasaanku tika ini. Namun aku tidak mahu menunjuknya di hadapan Rohayu. T idak mahu temanku itu terus menyalahkan dirinya di atas peristiwa yang telah berlaku.
            “Mungkin bagus juga aku buat begitu.” Aku merenung jauh. “Sekurang-kurangnya aku sedar siapa diri dan di mana letaknya diriku.”
            “Kau jangan percaya cakap Muhaimi tu ya. Kau persetankan apa yang dia kata.”
            Aku tersenyum mendengar nasihat temanku itu. Aku mengangguk. Namun jauh di sudut hatiku, kata-kata Muhaimi yang penuh kehinaan itu terus terpahat di dasar hatiku, lantas menguasai fikiranku.
****
            Kejadian yang berlaku telah membuatkan aku malu untuk ke sekolah apatah lagi berada di dalam kelas.  Namun disebabkan tidak mahu nenek syak yang bukan-bukan, aku gagahkan jua diriku hadir ke sekolah.
 Ternyata, setiap langkahku menjadi perhatian pelajar-pelajar di sekolah. Pasti kejadian itu sudah tersebar luas di sekolah.  Maklum sahajalah, Muhaimi bukan calang-calang orang. Dia pengawas sekolah. Ketua pula tu. Maka tidak hairan, setiap kisahnya menjadi buah mulut pelajar sekolah. Itulah hakikat yang terpaksa aku telan.
            Akibatnya, aku cuba mengelak diri daripada bertembung dengan mereka. Gara-gara kejadian itu juga, tumpuan aku dalam kelas terganggu. Aku kerap termenung ketika dalam kelas. Berkhayal sehingga tidak tahu apa yang aku pelajari. Akhirnya aku pulang ke rumah dengan dada yang kosong. Walaupun tidak pernah ‘ditangkap’ oleh mana-mana cikgu tetapi aku tahu ada beberapa orang guruku perasan akan perubahanku.
            “Kenapa keputusan ujian pertengahan tahun awak untuk kertas Kimia, teruk. Semenjak saya mengajar awak, tak pernah saya tengok keputusan awak seteruk ini. Paling teruk pun awak dapat A-. Kenapa dengan awak ni, Zurina? Awak tahu tak, awak hampir gagal!”
            Kepalaku menunduk.   berani aku mahu memandang wajah Cikgu Harun di hadapanku. Semalam guru Matematik Tambahanku memanggil aku gara-gara markahku yang rendah. Kali ini giliran Cikgu Harun. Esok, entah siapa pula yang mahu menemuiku.
            “Awak ada masalah?” soal Cikgu Harun sedikit lembut dari tadi.
            Aku yang masih menunduk hanya menggeleng.
            “Saya selalu tengok awak termenung dalam kelas. Awak seperti bukan diri awak. Kenapa Zurina?” asak Cikgu Harun lagi. Namun masih dalam intonasi lembut.
            Aku mengetap bibirku. Tiba-tiba aku jadi sebak dengan keprihatinan yang ditunjukkan Cikgu Harun. 
            “Zurina, walaupun apapun dugaan yang datang, jangan mudah rebah. Jadikan hinaan itu pembakar semangat untuk awak buktikan bahawa awak bukan lemah dengannya. Sebaliknya awak boleh jadi lebih baik dari sebelumnya. Buktikan Zurina! Biar orang yang menghina awak itu sedar bahawa menilai orang bukan dari luaran sebaliknya dari dalaman.”
            Aku termangu. Terkejut. Cikgu Harun seakan tahu apa yang telah berlaku padaku. Perlahan-lahan aku mengangkat kepalaku. Pandangan mataku berlabuh pada sepasang mata Cikgu Harun. Rendup pandangan matanya. Manis senyuman yang terhias di bibirnya.
            “Ayuh Zurina. Buktikan kamu boleh berjaya,” sahut Cikgu Harun bersemangat. Pancaran matanya yang rendup menyalurkan semangat dalam diriku.
            Aku tersenyum sambil mengetap rapat bibirku, menahan sebak. Terima kasih cikgu. Bisikku dalam hati.
****
       
 Gara-gara keputusan setiap kertasku semuanya merosot. Maka keputusan keseluruhanku juga merosot.  Nenek yang datang mengambil report cardku, hanya tersenyum mendengar ulasan daripada guru kelasku, Puan Ainon tentang prestasiku yang padanya sangat teruk jika mahu dibandingkan dengan keputusan peperiksaanku semenjak di tingkatan satu.
          “Nenek tahu cucu nenek pandai. Mungkin bukan rezeki Zu. Lain kali boleh cuba lagi. InsyaALLAH, kalau kita berusaha pasti akan ada hasilnya.”
            Kata-kata nenek petang tadi membuatkan mataku tidak boleh tidur walaupun jarum jam sudah menginjak ke angka dua pagi. Nenek tidak marah padaku sebaliknya dia dengan tenang memberi nasihat yang berinti semangat buat aku, cucunya. Ya ALLAH berdosanya aku pada nenek. Pasti, nenek kecewa dengan aku. Walaupun nenek tidak menyatakannya tetapi aku dapat merasakannya.
Sedetik aku termangu sendirian di atas katil. Fikiranku memutarkan kembali satu persatu kejadian yang menimpaku. Bermula dengan herdikan daripada Muhaimi, berganti pula dengan wajah Rohayu yang datang menemuiku sebelum bayangan beberapa orang guruku yang tidak putus-putus menasihatiku. Lebih terkesan apabila teringatkan pertemuaanku dengan Cikgu Harun.
Zurina, walaupun apapun dugaan yang datang,  jangan mudah rebah. Jadikan hinaan itu pembakar semangat untuk awak buktikan bahawa awak bukan lemah dengannya. Sebaliknya awak boleh jadi lebih baik dari sebelumnya. Buktikan Zurina. Biar orang yang menghina awak itu sedar bahawa menilai orang bukan dari luaran sebaliknya dari dalaman.
Bicara Cikgu Harun bagai siraman air yang menyedarkan aku dari terus dibelenggu peristiwa yang pernah memalukan aku satu ketika dahulu. Peristiwa yang meletakkan aku tak ubah seperti seorang perempuan yang terlalu hina untuk cinta seorang lelaki bernama Muhaimi Mansor.
Mulai hari ini, aku nak kau ingat bahawa aku, Muhaimi Mansor tidak akan sama sekali jatuh cinta dengan kau, Zurina Ali. Full stop!
Ayuh Zurina. Buktikan kamu boleh berjaya.
Ya Zurina harus bangkit! Zurina harus buktikan yang dia boleh berjaya disebabkan hinaan daripada Muhaimi Mansor. Zurina tidak akan kalah apatah lagi mengalah. Ayuh Zurina, buktikan!

~Bersambung~