Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Sunday, December 30, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 30)


Bab 30

“Apahal pula ni?” tegur Datin Samsiah terperanjat. Wajahnya penuh rasa terkejut saat melihat anak bongsunya di papah Aniyah. “Mana dapat penyakit ni?” soal Datin Samsiah sambil memerhati kakinya Dhaniyah yang berbalut.
            “Mummy neh banyak tanyalah. Bukan nak tolong papah orang pun,” ngomel Dhaniyah sedikit keras. Hatinya yang masih belum reda kepanasan dek kejadian tadi makin bertambah panas dengan soalan bertalu-talu daripada mummynya.
            Datin Samsiah menjeling ke arah anak bongsunya itu. Panas hati tuanya mendengar ayat anaknya itu. Tambah panas bila nada yang diguna agak keras. Tiada adab langsung!
            Aniyah hanya diam membisu melihat bunga-bunga petengkaran antara mummy dan adiknya.  Dia terus memapah adiknya berjalan menuju ke arah sofa. Beg plastik yang berisi ubat adiknya dipegang di tangan kanan.  Dengan penuh berhati-hati dia meletakkan tubuh adiknya itu di atas sofa berangkai tiga.
            “Kenapa Dani?” tanya Datin Samsiah sambil menghempas punggungnya di atas sofa yang terletak di hadapan sofa yang diduduki anak.
            Accident tadi,” jawab Dhaniyah seraya mengangkat kakinya yang berbalut ke atas sofa. “Urat sekejap,” pinta Dhaniyah pada Aniyah yang duduk di hujung sofa.
            Aniyah mengerut dahi.  Mukanya nampak tidak puas hati. “Kan doktor kata tak boleh urut,” bangkang Aniyah pada permintaan adiknya itu. Dia masih ingat lagi pesanan doktor yang merawat adiknya itu. Doktor itu menasihati agar bengkak pada kaki adiknya itu tidak diurut kerana itu akan menambahkan lagi kesakitannya.
            “Alah doktor tu bukannya ada kat sini,” balas Dhaniyah persis tidak takut dengan arahan yang dikeluarkan doktor yang merawatnya. “Kaukan pandai urut. Apakata kau aplikasikan kepakaran kau tu pada kaki aku. Taklah sia-sia ilmu mengurut yang kau belajar dari Mak Cik Bibah. Kau kan anak angkat kesayangan dia.” Tanpa mengambil kira jasa Aniyah yang telah membantunya, mulut Dhaniyah lancang seperti kebiasaannya.
            Meskipun pedih mendengar kata-kata adiknya itu tetapi Aniyah tetap menurut kehendak adiknya itu. Perlahan-lahan dia membuka balutan pada kaki adiknya itu.
            “Ya ALLAH, kenapa ni Dani?” Terlopong Datin Samsiah saat melihat kakinya anak bongsunya yang bengkak.
            “Entah anak siapa yang tiba-tiba datang rempuh orang. Tau-tau dah terpelencok jatuh. Memang sial betul budak tu!” Lancang mulut Dhaniyah mengutuk si kecil yang melanggarnya tadi. Tanpa dia sendari bicaranya itu telah mengundang rasa tidak enak di hati kakaknya.
            “Nanti mummy pergi tanyakan Mak Cik Bibah pasal minyak gamat.” Segera Datin Samsiah beredar daripada situ. Hati tuanya walang melihat keadaan anak bongsunya itu.
            “Ha, kat situ sedap,” ulas Dhaniyah pada urutan yang sedang dilakukan Aniyah. Tangan menekan skrin telefon bimbitnya. Telefon touch skrin yang berada di tangan segera ditekap ke telinganya.  “Siapa pula minah Indo ni?” soal Dhaniyah menarik perhatian Aniyah.  Aniyah memagung kepalanya. Dhaniyah sedang merenung telefonnya.  Dapat  dilihat reaksi hairan di wajah Dhaniyah.
            “Saiful ada?” soal Dhaniyah kembali menekapkan telefon bimbit di telinga. “La orang gaji dia ker? Bila pula ambil orang Indo neh?” ngomel Dhaniyah sendirian. Aniyah sekadar memasang telinga mendengar kata-kata adiknya itu. Dia kembali menyambung urutannya.
Hello you...I ni..” Aniyah diam mendengar perbualan adiknya di talian. Dengan suara manja Dhaniyah mengadu pada pemanggil di hujung talian.  Aniyah tahu dengan siapa adiknya sedang bercakap. Gaya bahasa serta lenggok tubuhnya sudah cukup menyakinkan Aniyah bahawa yang berada di hujung talian sekarang ialah Saiful.
            You.. kaki I sakit,” ngadu Dhaniyah dengan suara manjanya.  Naik bulu roma Aniyah mendengar suara adiknya itu. Tiba-tiba dia teringat bacaannya pada satu artikel tentang bahaya suara wanita yang boleh menaikkan nafsu lelaki.  Astagfillahalhazim.
            “Entah budak mana yang langgar I tadi sampai I terpelecok jatuh. Memang tak guna betul budak kecil tu! Sakit tau.”
            Memang tak guna betul budak kecil tu!
            Aniyah yang dari tadi hanya menunduk, memejam seketika matanya. Dia tidak dapat bayangkan kalau status si kecil itu diketahui adiknya. Pasti adiknya menyesal tak terkata.
            “Ouch!!!” jerit Dhaniyah mengejutkan Aniyah. Terpinga-pinga Aniyah memandang adiknya.
            “Sakitlah bodoh!” tempik Dhaniyah dengan mata tajamnya. Suaranya kasar.  Namun seketika intonasinya berubah. “Eh bukan I cakap kat you lah. I cakap dengan kakak I ni. Dia tengah urut kaki I.”
            Aniyah kembali menjatuhkan wajahnya. Kaki adiknya dipandang lalu dia meneruskan semula urutan.
            “Eh dia memang pandai urut.  Diakan anak kesayangan Mak Cik Bibah.  Jadi bab-bab traditional neh memang serah pada dialah.” Ujuran berbentuk sindiran itu hanya ditelan sahaja Aniyah walaupun terasa sangat menyakitkan.
            Of course. Memang bertuah sangat husband dia nanti.” Dhaniyah ketawa sambil menjeling ke arah wajah kakaknya. “Memang best sangat dia urut.”  Dhaniyah ketawa lagi. Langsung tidak diendah perubahan wajah kakaknya yang sedang menunduk.
            “Kan I dah cakap dengan you. Dia kan anak kesayangan Mak Cik Bibah. Of course lah dia menuntut ilmu mengurut dengan orang tua tu.”
            Dhaniyah ketawa lagi.
            Aniyah makin tidak sedap hati mendengar perbualan antara adiknya dengan ‘teman bualannya’. Lagak mereka berdua persis sedang mengejeknya. 
            “Apa you kata,  I kena menuntut ilmu zaman tok kaduk tu? Oh please okey!” sela Dhaniyah jelak. Suara tawanya mati dengan tidak semena-mena. Memang tidak pernah terfikir dek akalnya untuk mendalami ilmu mengurut. Sungguh mengarut baginya cadangan yang dilontarkan teman bualannya itu.
            Ilmu zaman tok kaduk? Terkejut Aniyah mendengar ayat adiknya itu. Ilmu zaman tok kaduk konon. Sedarlah sikit bahawa ilmu zaman tok kaduk yang dihina inilah juga yang dia nak! Cakap entah apa-apa. Gerutu Aniyah.
 “Eh sekejap.” Dhaniyah membetulkan duduknya. Kakinya yang sebentar tadi melunjur di hadapan Aniyah, sudah berubah kedudukan. Kini jatuh di atas lantai. Aniyah memandang hairan ke arah adiknya itu. Tambah pula apabila renungan adiknya itu semacam sahaja padanya.
I peliklah dengan you, Encik Saiful. Sekarang ni, I telefon you sebab nak bagitahu you tentang diri I. Yang you sibuk bercakap pasal kakak I ni, kenapa????”

Saturday, December 29, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 29)


Bab 29

Sebaik habis waktu pejabat, Aniyah mengambil kesempatan singgah sebentar di pusat membeli-belah. Banyak barang keperluan peribadinya sudah habis.
“Cik...”
Aniyah tersenyum pada pemuda yang menegurnya sebaik dia tiba di hadapan pintu utama pusat membeli-belah Jusco.
“Syarikat kami sedang membuka kaunter jualan untuk pembelian lot kondominium di tingkat dua,” jelas pemuda itu tentang tujuannya.  Sekeping katalog diserahkan kepada Aniyah.
Aniyah menyambut katalog yang dihulur kepadanya “Terima kasih,” ucap Aniyah sambil melihat muka depan katalog yang tertera wajah kondominium mewah.
“Sama-sama,” balas pemuda itu sambil tersenyum manis. “Kalau cik berminat, cik boleh call saya. Di belakang katalog ada tertera nombor telefon bimbit saya. Saya Zakuan.”
Aniyah langsung membelek bahagian belakang katalog yang berada di tangannya. Memang ada tertera beberapa nombor telefon di situ dan salah satunya memang milik lelaki itu kerana ada tertulis nama Zakuan di hadapannya. “InsyaALLAH,” jawab Aniyah sambil tersenyum memandang pemuda itu. “Saya minta diri dulu,” pinta Aniyah. Pemuda itu membalas senyuman Aniyah sambil mengangguk.                                                                                                                                                                                            
Segera Aniyah menyambung langkahannya. Sambil berjalan, dia membelek katalog yang berada di tangannya. Dia memang ada memasang niat mahu membeli sebuah kondominium untuk dirinya. Itulah cita-citanya jika dia sudah mempunyai pekerjaan yang tetap. Baginya memiliki sebuah kediaman merupakan aset yang sangat berharga untuk masa depan. Cuma kesempatan itu masih belum ada. Dia tiada masa untuk membuat survey kerana terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidupnya semenjak kebelakangan ini. Lantas kehadiran katalog ini bagai seribu rahmat buatnya.
Aniyah melabuhkan punggungnya di atas kerusi kayu. Niatnya untuk membeli barang dilupakan seketika. Dia lebih tertarik dengan katalog yang berada di tangannya. Impian yang satu ketika dahulu hampir dilupakan, kini kembali tergambar di wajahnya.
Dia pernah membayangkan yang satu masa nanti dia akan punya sebuah kediaman. Kediaman itu adalah sebuah kondominium yang dibeli dengan duit gajinya. Dia berangan untuk menghiasnya dengan konsep ringkas tapi nampak ekslusif. Tone warna yang sering mengacah fikirannya adalah kombinasi putih dan ungu gelap. Ya dia sukakan kombinasi warna itu. Satu citarasa yang mungkin pada orang nampak pelik tetapi itulah yang diingininya.
“Ouch..apa neh!! Jalan tak tengok orang ker!!”
Tiba-tiba satu suara bergema. Herdikan itu mengejutkan Aniyah yang sedang khusyuk dengan katalog di tangan.  Pantas Aniyah mengangkat kepalanya
“Eeeee budak kecil ni kan!!!”
Terkejut bukan kepalang Aniyah saat melihat adiknya, Dhaniyah bersama dengan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dalam lingkungan dua tahun sedang duduk di atas lantai bangunan Jusco. Bagai tidak percaya Aniyah dengan apa yang dilihatnya sekarang.
“Mana mak bapak kau! Tahu beranak sahaja. Jaga anak tak tahu!” bentak Dhaniyah kasar.  Matanya  memandang geram ke arah budak kecil yang terduduk di atas lantai bersamanya. Pandangan orang sekeliling yang menjeling ke arahnya langsung tidak diendahkan. Hatinya betul-betul geram dengan budak lelaki di hadapannya. Di sebabkan budak lelaki itu, dia tepelecok jatuh. Habis patah tumit kasut sebelah kanannya. Lebih malang, kasut itu adalah hadiah hari jadi pemberian Saiful kepadanya baru-baru ini. Macam mana dia tidak geram dengan budak tersebut. “Eee....kau neh kan!!!”
“Dani!!” halang Aniyah apabila melihat adiknya itu cuba mahu melakukan sesuatu ke atas budak lelaki yang kini sudah bersembunyi di sebalik tubuhnya. “Dia budak kecil, Dani. Jangan nak buat malu kat sini!” Suara Aniyah perlahan tapi tegas pada adiknya itu.  Mata-mata sekeliling yang memandang ke arahnya membuatkan Aniyah jadi malu dengan kerenah adiknya itu. Namun dia terpaksa menahannya kerana perkara ini melibatkan darah dagingnya.
“Kau sibuk apahal. Ini masalah aku dengan budak tu!” balas Dhaniyah lantang. Langsung tidak ambil peduli reaksi sekeliling. Suara-suara bisikan sekeliling mula kedengaran. Rata-rata persis berbicara tentang kelakuan Dhaniyah.
“Dahla tu. Dia budak lagipun!” bentak Aniyah perlahan sambil matanya mengerling sekeliling. “Jom bangun!” Aniyah menarik lengan adiknya. Dia sudah tidak mampu lagi menanggung malu menjadi bahan tontonan dan bualan orang sekeliling.
“Bodoh, sakitlah!” jerit Dhaniyah sambil memegang tumit kakinya.
Aniyah mengeluh. Tidak tahu pula dia yang adiknya itu mengalami kesakitan pada bahagian itu. Jika tidak, pasti dia tidak melakukan perkara sebegitu. Dengan penuh berhati-hati dia membantu adiknya itu berdiri. Lengan adiknya itu diletakkan di bahunya.
“Mari adik..” Aniyah bersuara mengajak budak lelaki kecil yang berlanggar dengan Dhaniyah agar membuntutinya langkahnya. Dia perasan tiada sesiapa bersama budak kecil itu. Pasti budak tersebut sudah terpisah dengan orang tuanya. Tidak mahu menimbulkan masalah yang boleh membahayakan keselamatan budak itu, Aniyah mengajak si kecil itu mengikutnya.  Nasib baik budak itu akur walaupun dalam ketakutan. Hmm..memang sangat berbahaya budak ini jika dibiarkan sendirian.
“Kau duduk sini. Aku nak pergi hantar budak ni kat kaunter pertanyaan kat tingkat bawah.”
Dhaniyah diam membisu di atas kerusi kayu. Kata-kata Aniyah langsung tidak diambil peduli. Dia memegang bahagian tumit kakinya yang tercedera.
Tanpa mengendahkan reaksi adiknya itu, Aniyah segera memimpin anak kecil itu menuju ke arah kaunter pertanyaan. “Mama dan papa mana?” Sempat dia bertanya soalan itu pada budak kecil itu.
“Ngah...”
Aniyah agak tersentap mendengar jawapan budak kecil itu. Lantas dia memberhentikan langkahnya. Dia duduk mencangkung di hadapan kanak-kanak itu. “Mana mama dan papa?” soal Aniyah lagi. Dia agak kurang jelas dengan butir percakapan kanak-kanak itu yang kedengaran agak pelat.
 “Ngah..” balas si kecil itu dengan jawapan dan intonasi yang serupa.
Ngah??? Berkerut dahi Aniyah cuba memikirkan jawapan yang diberi si kecil itu.   
Aniyah mengusap rambut si kecil itu. Entah siapalah gerangan yang dimaksudkan budak di hadapannya ini, dia sendiri tidak pasti. Aniyah mengeluh. Langkahnya kembali di atur menuju ke kaunter pertanyaan yang terletak di tingkat bawah. Tangan si kecil itu dipimpin.
“Lon....lon....lon..” Suara Kanak-kanak itu penuh teruja sambil menunding jari ke arah belon yang dipegang seorang badut. Aniyah tersenyum melihat gelagat si kecil di sebelahnya. Dia pantas memimpin si kecil itu ke arah badut yang sudah dikerumuni ramai kanak-kanak dan ibubapa.
“Terima kasih,” ucap Aniyah sebaik badut itu menyua belon kepada si kecil yang berada di sampingnya.  Badut tersebut tersenyum sambil menunjukkan tanda bagus. Kemudian badut tersebut mengalih tumpuannya pada ‘peminatnya’ yang lain.
“Ya cik, boleh saya bantu?” tanya pekerja di kaunter pertanyaan sebaik Aniyah tiba di sana bersama dengan budak kecil itu.
Aniyah pantas memberitahu pekerja di kaunter tersebut tentang kehadirannya.
“Oh. Memang ada orang cari budak lelaki di sini. Saya mungkin orang itu penjaga kepada anak kecil ini. Tunggu sekejap, ya. Saya buat panggilan sebentar.”
Aniyah menarik nafas lega. Dia mengangguk. Pantas dia menarik kerusi di hadapan kaunter. Tubuh si kecil ditarik duduk di atas ribanya. Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Pantas Aniyah menarik zip beg tangannya. Tertera nama adiknya di skrin telefon.
“Oii cepat sikitlah.  Ko ingat aku ni patung ker kat sini. Ko nak tunggu kaki aku bengkak baru nak datang selamatkan aku ker??”
Aniyah mengetap bibirnya. Geram betul dia mendengar suara kasar adiknya itu. “Tunggulah sekejap!”
“Kau nak tunggu aku mampus baru nak datang ker?”
Ah budak ni kan!
“Yalah. Kau tunggu kat situ!” putus Aniyah. Talian dimatikan. Hai tak boleh bersabar sikit.
            “Lama lagi ker, cik?” soal Aniyah kepada pekerja di hadapannya sebaik pekerja itu meletakkan gagang telefon di tempat asalnya.
            Pekerja itu tersenyum. “Sekejap sahaja. Orang tu dah ada di aras ni.”
            Sekali lagi Aniyah menarik nafas lega. Kepala si kecil dibelai lembut. Satu ciuman dihadiahkan di sisi kiri kepala kanak-kanak itu. Tiba-tiba, matanya beradu pandang dengan sepasang mata yang seakan terpaku memandang ke arahnya.

Sunday, December 23, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 28)

          Bab 28
“Sekejap lagi pizza akan sampai ke bilik awak. Apa yang saya tahu, saya nak tengok kotak tu kosong sebelum waktu pejabat bermula. Jika tak, siap orang yang bernama Nurulain Fatinah Aniyah!”
Aniyah mencapai sepotong pizza yang berada dalam sebuah kotak di hadapannya. Dengan lafaz bismillah, perlahan-lahan hujung pizza itu digigit.
Dia tidak faham mengapa lelaki bernama Saiful terlalu suka memaksanya.  Pening betul dia dengan kerenah lelaki itu. Fikirnya, kejadian yang berlaku di hospital adalah yang terakhir dia terlepas daripada ‘kuasa diktaktor’ lelaki itu dalam urusan yang membabitkan keperluan peribadi. Namun rupanya dia silap. Hari pertama masuk kerja, lelaki itu sudah menunjukkan ‘kuasanya’
Sedap juga pizza ni!
Dalam pada tidak berpuas hati dengan lelaki bernama Saiful, sempat Aniyah memuji pizza pemberian lelaki itu. Habis satu potong, dicapai lagi sepotong. Serasanya inilah pertama kali dia merasa pizza tersebut. Jenama terbaru ker? Aniyah membelek pizza di tangannya sambil menggigit sedikit pada bahagian kanan pizza. Boleh tahan juga selera lelaki ini.
Tok!! Tok!!
Bunyi ketukan pada muka pintu mengentikan kunyahan Aniyah. Gadis itu segera memanggil tetamunya masuk. Serta-merta tersembur wajah Umairah di hadapannya.
For you, Cik Niya.” Umairah tersenyum seraya menunjukkan bungkusan di tangannya. Dia mara mendapatkan ketuanya yang persis terkejut dengan kehadirannya.
Aniyah kaget sebentar apabila melihat Umairah meletakkan bungkusan di atas. Dia ingin bertanya pada Umairah tetapi gadis itu memberi isyarat tangan agar dia bersabar seketika. Lantas Aniyah pendamkan sahaja kekeliruan yang menerbit di fikirannya. Matanya menuntas pada plastik di hadapannya ketika kelibat Umairah sudah hilang dari biliknya.
“Terlupa pula saya nak ambil bekas tadi,” tutur Umairah yang sudah kembali semula ke dalam bilik Aniyah. Kini dia hadir bersama mug yang biasa diguna pakai Aniyah. “Sorry terlewat.  Mesti Cik Niya dah hauskan. Jalan jem hari ini. Saya makan kat bandar.”
            Aniyah hanya mengangguk. “Berapa?” tanya Aniyah bertanyakan harga minuman yang sedang dituang pembantunya. Walaupun dia bingung dengan kehadiran minuman yang tidak dipesannya tetapi untuk menolak, dia tidak sampai hati. Dia perlu menghargai keprihatinan pembantunya itu yang seolah-olah mengetahui yang dia tiada minuman untuk dibuat penghilang dahaga. Set pizza yang sampai ke mejanya memang tidak disertakan dengan minuman. Cadangnya sebaik selesai menjamah, dia akan ke pantri mendapatkan minuman untuk dirinya. Alih-alih lain pula jadinya.
            “Tak perlulah Cik Niya, small matter je.” Umairah tersenyum sebaik sudah menuang air teh o panas yang dibelinya.
            “Eh apa pula. Tak bolehlah macam tu,” tutur Aniyah langsung mencapai beg tangannya dari laci. “Segan saya dengan awak,” tokok Aniyah sambil mengeluarkan dompetnya.
        “Janganlah macam tu Cik Niya,” halang Umairah sebaik not lima ringgit diletakkan Aniyah di hadapannya. “Saya tukang beli sahaja.  Bayarannya dah dijelaskan.”
            Seribu kerutan terukir di wajah Aniyah sebaik mendengar kata-kata Umairah. “Maksud?”
Senyuman di wajah Umairah makin lebar. “Sebenarnya, Encik Saiful yang suruh saya belikan Cik Niya air ni. Siap pesan jangan letak ais lagi.”
Aniyah terperanjat. Dia termangu mendengar ayat yang dilafazkan pembantunya itu. Dia pandang pembantunya dengan mata tidak berkelip.
“Saya minta diri dulu ya, Cik Niya. Banyak kerja perlu saya siapkan,” pinta Umairah kepada Aniyah yang masih terpaku di atas kerusi.
“Cik Niya....” Umairah memanggil ketuanya itu sambil melambai tangan di hadapan Aniyah apabila melihat keadaan Aniyah yang seakan terpaku memandangnya.
“Eh..ar..apa dia?” Kalut Aniyah bersuara sehingga menimbulkan tawa kecil dari mulut Umairah.
“Saya minta diri dulu. Saya ada kerja nak perlu siapkan,” ucap Umairah sambil tersenyum pada ketuanya.
Aniyah mengangguk.  Namun seketika dia bersuara semula menghalang langkah Umairah yang sudah di ambang pintu. “Awak nak pizza?”
“Tak apalah Cik Niya.  Saya dah kenyang. Terima kasih,” balas Umairah sebelum meninggalkan bilik Aniyah.
Aniyah duduk bersandar di kerusinya. Makanan dan minuman di hadapannya, dipandang silih berganti. Perlahan-lahan kelopak matanya tertutup rapat.
 Kenapa dia perlu buat semua ni?????

Saturday, December 22, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 27)


Bab 27

Perubahan penampilan Aniyah ternyata mendapat perhatian daripada staf-staf Neraca Holdings. Semua pekerja Neraca Holdings yang terserempak dengan Aniyah pasti terpaku melihat perubahan orang kuat dalam menguruskan hal kebajikan pekerja. Ada memuji dan tidak kurang juga yang mengata. Namun semua itu tidak diambil pusing Aniyah. Dia tetap berpegang pada niatnya. Penghijrahannya bukan tujuan untuk dipuji mahupun dikeji tetapi sebaliknya atas niat kembali pada fitrah seorang wanita yang diwajibkan menutup tubuhnya. Dia masih teringat kata-kata yang pernah dibacanya menerusi satu artikel dalam sebuah blog.
Wahai wanita, setiap ciptaan tuhan yang berharga di dunia ini akan terlindung dan amat sukar untuk diperolehi. Di mana kamu boleh dapatkan permata? Tertanam jauh di perut bumi, tertudung dan dilindungi. Dimana kamu jumpa Mutiara? Terbenam jauh di dalam lautan, tertudung dan dilindungi oleh kulit kerang yang cantik. Di mana kamu cari emas? Terperosok di lapisan bumi tertudung dengan lapisan demi lapisan tanah dan batu. Tubuh kamu adalah suci malah lebih berharga daripada emas,mutiara mahupun permata. Oleh itu kamu juga perlu bertudung dan melindungi diri kamu.”
Kata-kata itu cukup mendalam maknanya. Tersimpan maksud yang cukup tersirat. Bahawa barangan seumpama emas, pertama dan mutiara yang punya nilai yang tinggi di mata manusia terlindung sebegitu rapi. Cukup simbolik baginya ciptaan ALLAH itu. Dia dapat rasakan mesej tersirat di sebalik kejadian itu. Bertapa ALLAH ini menunjukkan sesuatu yang bernilai sangat dijaga dengan rapi.
Tubuh kamu adalah suci malah lebih berharga daripada emas,mutiara mahupun permata. Oleh itu kamu juga perlu bertudung dan melindungi diri kamu.”
Dua baris ayat terakhir itu bagai satu suntikan ke dalam rohani Aniyah untuk melakukan perubahan. Dia yakin sesuatu yang disuruh ALLAH adalah yang terbaik untuk hambaNYA.
Sepintas kenangan ketika majlis sambutan hari jadi adiknya kembali tergambar. Dia teringat episod dirinya yang hampir diperkosa.  Maruahnya hampir tercalar dek nafsu memuncak lelaki kenalan adiknya itu. Dia cuba merenung kisah itu semula walaupun terlalu pahit untuk dikenang.
Ya di situ ada hikmah yang tersembunyi.  Mungkin kalau dia berpakaian seperti sekarang, nafsu lelaki itu tidak seperti hari itu. Walaupun ketika itu pakaiannya tidak ‘sehebat’ adiknya mahupun tetamu yang hadir tetapi pakaiannya tetap dikategorikan sebagai melanggar syarak kerana menayang aset rambutnya yang mungkin menjadi ‘senjata’ dalam diam yang menggocak perasaan seseorang lelaki.
Astagfirullah. Ya ALLAH ampunilah aku.  Aniyah beristigfar berulang kali. Rasa sesalan menggunung di hatinya.  Bertapa dia alpa pada nilai maruahnya tika itu. Senang-senang sahaja dia ‘mengaut’ dosa. Bukan setakat hari itu sahaja. Malahan sepanjang hidupnya! Entah sudah berapa lelaki yang sudah dia ‘goda’ secara tidak sengaja. Nauzubillah min zalik.
Ya ALLAH ampuni dosa hambaMu yang terlalu kerdil ini.
Aniyah termenung melepasi jendela. Ruang rehat yang biasanya terisi dengan aktiviti mengisi perut dan menunaikan solat Zuhur dihabiskan sendirian di kamar pejabat. Dia tiada selera mahu makan. Nasib baik hari ini, dia cuti solat. Jadi kelapangan masa dihabiskan sendirian di pejabatnya. Pada Umairah, dia sudah maklumkan terlebih awal yang dia tidak dapat bersama dengan gadis itu seperti selalu. Nasib baik gadis itu memahaminya. Lantas tanpa banyak soal, gadis itu mengangguk sahaja.
Tok!! Tok!!
Bunyi ketukan kedengaran di muka pintu. Aniyah menoleh ke arah pintu biliknya yang tertutup rapat. “Masuk,” arah Aniyah. Serta-merta daun pintu dikuak. Tersembul satu wajah yang tidak diduga kehadirannya.
“Ya ada apa yang boleh saya bantu?” soal Aniyah berlagak formal. Dia kini sudah duduk mengadap Saiful di hadapannya.
Saiful tidak menjawab. Sebaliknya matanya menuntas ke arah figura bertudung litup di hadapannya. Satu panorama yang menyejukkan mata dan hatinya. Dia suka melihat perubahan yang berlaku di hadapannya. Satu anjakan membuatkan dia kagum dengan gadis di hadapannya.
Sebetulnya inilah pertama kali dia berhadapan dengan perubahan Aniyah. Walaupun berita ini sudah tersebar meluas di syarikat tetapi baru kini dia berkesempatan untuk melihatnya.
“Encik Saiful!!” panggil Aniyah geram. Dia tidak selesa dengan reaksi yang ditunjukkan lelaki di hadapannya.
Saiful sedikit tersentap dengan suara Aniyah itu. Reaksinya seolah-olah baru tersedar dari mimpi. Dia mengeluh menyembunyi kalut di dada.  Jauh betul lamunannya. Dia membetulkan posisi duduknya.
“Kenapa duduk kat pejabat?” tanya Saiful menimbulkan keanehan pada Aniyah.
“Perlu ker tahu?” balas Aniyah menunjukkan rasa tidak selesanya.
“Yalah, sekarang waktu rehat.”
“Waktu rehat bukannya bermakna semua pekerja wajib tinggalkan pejabat kan?”  Suara Aniyah bernada mengejek. Ingat ni zaman budak sekolah ker? Waktu rehat perlu tinggalkan kelas. Oh tolonglah!
Saiful merenung Aniyah tajam. “Sedarlah diri tu baru sihat. Takkan nak duduk dalam wad lagi kot!” sindir Saiful tajam, setajam renungan matanya.
“Suka hati oranglah nak rehat ker tak nak!” gerutu Aniyah memprotes bicara Saiful. Namun protes itu disuarakan dalam nada perlahan. Walaubagaimanapun masih jelas di pendengaran Saiful.
“Yalah suka hati!” ejek Saiful dengan suara kerasnya. “Nanti alih-alih satu pejabat dapat susah gara-gara dia!”
Wah macam mengungkit sahaja lelaki ini! Aniyah tajam merenung lelaki di hadapannya. “Lain kali kalau tak ikhlas jangan dibuat.”  Orang tak suruh pun dia buat! Ayat itu hanya terpendam sahaja di lubuk hati Aniyah. Dia faham sangat maksud ayat lelaki di hadapannya. Umairah sudah menceritakan kepadanya tentang ‘kebaikan’ lelaki.
“Apa yang merepek neh?” soal Saiful lantang, persis tidak mengerti maksud ayat Aniyah.
Persoalan yang dilontarkan Saiful telah membuahkan jelingan sinis di mata Aniyah. “Ya saya tahu yang Encik Saiful sudah ‘berbakti’ pada pengurusan saya. Tak payahlah nak mengungkit!” balas Aniyah. “By the way, terima kasih banyak-banyak!”
Saiful mendengus keras. “Kadangkala apa yang mulut orang cakap boleh disalah taksif oleh minda orang yang mendengar! Jadi berhati-hati.” Lantas Saiful bangkit dari kerusi yang didudukinya. “Sekejap lagi pizza akan sampai ke bilik awak. Apa yang saya tahu, saya nak tengok kotak tu kosong sebelum waktu pejabat bermula. Jika tak, siap orang yang bernama Nurulain Fatinah Aniyah!”
Dengan kata-kata itu, Saiful pantas beredar meninggalkan bilik Aniyah membuatkan Aniyah terpinga menghantar pemergian lelaki itu.

Friday, December 21, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 26)


Bab 26

“Cik Niya????”
Aniyah termangu seketika sebaik melihat wajah terlopong pembantunya. Namun perlahan-lahan senyumannya terukir. “Awak ni tengok saya macam saya ni  alien,” senda Aniyah pantas meneruskan langkahannya.
“Biar betul Cik Niya?” Umairah membuntuti langkah ketuanya. Jelas dia terkejut dengan penampilan ketuanya pada hari ini. Sungguh jauh berbeza.
“Apa yang peliknya?” soal Aniyah pantas menarik pintu masuk pejabat yang terletak di bahagian parkir kereta staf Neraca Holdings.
“Eh tak ada..” Umairah tayang sengihannya tapi pandangannya pada Aniyah masih tidak dilepaskan. Dia bagai terpegun dengan penampilan ketuanya. Jujur, ketuanya nampak ‘luar biasa’ dengan penampilan baru.
“Macam mana pejabat? Okey?” soal Aniyah sebaik menekan butang lif. Lif terus bergerak naik dari satu tingkat ke satu tingkat. Pergerakannya pantas seperti hari-hari sebelumnya. Cuma hari ini keadaan lif agak lengang. Di dalam lif sekarang pun hanya ada Aniyah dan Umairah sahaja. Mungkin faktor masa yang masih awal membuatkan kemunculan staf Neraca Holdings masih belum ketara.
“Semua ditanggung beres!” Umairah menangkat ibu jarinya. “Encik Saiful banyak tolong!” beritahu Umairah membuatkan Aniyah terpaku mendengarnya.
“Encik Saiful????”
Belum sempat Umairah mahu membuka mulut, lif  berbunyi. Serta-merta pintu lif terbuka. Kini mereka sudah berada di tingkat 30, tempat mereka bekerja. Segera kedua-duanya melangkah keluar.
“Awak cakap Encik Saiful tolong?” soal Aniyah bagai tidak sabar mengetahui jawapan dari mulut Umairah. Dia memang sensitif dengan nama lelaki itu. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu sudah mula ‘menyibuk’ dalam hal kerjanya. Memang sangat melampau!
“Dialah yang banyak tolong saya, Cik Niya. Kalau tak, berkampung saya kat pejabat. Mana nak urus hal gaji pekerja. Urus dokumen pekerja baru yang masuk. Kemaskini butiran pekerja yang beralih tapak projek. Boleh pengsan saya.” Umairah ketawa kecil sebaik berkata demikian.
Aniyah mengeluh kecil. “Sorry sebab saya, awak kena buat semua kerja.”
“Eh bukan itu maksud saya.” Cepat Umairah membetulkan persepsi ketuanya itu. “Cuma saya nak bagitahu Cik Niya yang semua kerja ditanggung beres dan yang paling penting, bos kita turun padang tolong buat kerja. Cik Niya percaya tak?” soal Umairah di hujung katanya menimbulkan kepelikkan Aniyah.
“Awak main-mainkan saya, ya?”
Dahi Umairah berkerut. “Main-main apa pula. Memang betullah Encik Saiful tolong saya. Cuma saya tanya, Cik Niya percaya tak yang bos tolong saya? Sebabnya saya sendiri pun macam tak percaya.” Umairah ketawa sebaik menghabiskan ayat terakhirnya. Sememangnya dia masih tidak percaya yang anak pemilik syarikat tempatnya kerja akan membantunya membereskan kerja yang di bawah pengurusan ketuanya, Aniyah. Memang di luar jangkauannya.
Aniyah menjeling ke arah pembantunya. “Dah tak ada kerja lain. Menyibuklah kerja orang!” ulas Aniyah tentang tingkah Saiful yang baru diketahuinya. Dia kembali meneruskan langkahnya yang terhenti di hadapan lif.
Umairah ketawa menyambut kata-kata Aniyah itu. Dia kemudian berjalan laju mendapatkan Aniyah yang sudah beberapa langkah meninggalkannya.
“Selalu dia pesan pada saya yang kerja-kerja perlu diselesaikan sebelum Cik Niya masuk pejabat. Dia tak nak kerja-kerja itu terbeban di bahu Cik Niya. Sampai sanggup dia angkut dokumen-dokumen pekerja bawa balik ke rumah,” cerita Umairah sebaik menyaingi langkah ketuanya. “Baik kan dia, Cik Niya? Saya ingatkan dia tu jenis standard ketua-ketua yang ada kuasa. Tahu bagi kerja je! Nak tolong tak pun!”
Aniyah mencebik meluat mendengar pujian pembantunya itu pada Saiful. “Itulah saya cakap pada awak. Dia tu dah tak ada kerja dah. Itu yang menyibuk kerja orang lain.”
“Tapi setahu saya kerja dia pun berlambak. Masa Cik Niya tak ada. Selalu juga saya makan tengah hari dengan setiusaha dia. Setiausaha dia cakap, sejak balik dari PD kerja makin berlambak. Maklum sahajalah dapat tender baru kat sana.”
Hujah itu langsung membuat diri Aniyah mati kata-kata.  Dia diam seribu bahasa.
****

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 25)


Bab 25

Begitu banyak nikmat yang ALLAH berikan kepada kita. Tetapi kadang sedikit sekali syukur kita.
-Bila ALLAH memberimu petunjuk, maka ketahuilah bahawa dia mencintaimu
-Bila ALLAH memberimu kesempitan, kesulitan dan musibah maka ketahuilah bahawa Dia mencintaimu dan ingin mendengar suara doa dari bibirmu.
-Bila ALLAH memberimu sedikit, maka ketahuilah bahawa Dia mencintaimu, Dia kan memberimu banyak lagi di akhirat.
-Bila ALLAH memberimu rasa redha, maka ketahuilah bahawa Dia mencintaimu , Dia telah memberimu nikmat terindah.
-Bila ALLAH memberimu kesabaran, maka ketahuilah bahawa Dia mencintaimu, dia memasukkanmu dalam golongan orang-orang yang beruntung.
-Bila ALLAH memberimu keikhlasan, maka ketahuilah bahawa Dia mencintaimu, maka ikhlaslah kepada-Nya
-Bila ALLAH memberimu cita-cita, maka ketahuilah bahawa Dia mencintaimu, Dia ingin kamu bersyukur.
-Bila ALLAH memberimu kesedihan, maka ketahuilah bahawa Dia mencintaimu, Dia sedang menguji keimanan kamu.
-Bila ALLAH memberimu harta, maka ketahuiah bahawa Dia mencintaimu, Maka jangan bakhil kepada fakir.
-Bila ALLAH memberimu kefakiran, maka ketahuilah bahawa Dia mencintaimu, Dia telah memberimu sesuatu yang lebih berharga dari harta.
-Bila ALLAH memberimu lisan dan hati, maka ketahuilah bahawa Dia mencintaimu. Pergunakanlah dalam kebaikan.
-Bila ALLAH memberi nikmat Islam, shalat, shiyam, qiyam, Al-Quran, tarbiyah, maka ketahuilah bahawa Dia mencintaimu, jangan kau abaikan dan kerjakanlah.
-Bila kau sudah tahu bahawa ALLAH mencintaimu, maka mengapa kau diam saja?
Berikan seluruh cintamu kepada-NYA
****
 “Niya...” Mak Cik Bibah memandang Aniyah tidak berkelip.  Mulut orang tua itu langsung terkunci sebaik menyebut nama anak majikannya itu.  Hati Mak Cik Bibah tiba-tiba dilanda sebak. Pantas dihampiri tubuh Aniyah yang tidak jauh darinya. Pantas dipeluk tubuh Aniyah yang sudah lengkap berpakaian kerja. “Alhamdulliah...” ucap Mak Cik Bibah seraya merenggangkan pelukan antara dia dan Aniyah. “Cantik ...” Pipi Aniyah diusap. Tersenyum penuh syahdu orang tua itu melihatkan perubahan anak majikannya.
Aniyah hanya mampu tersenyum. Tangannya menggengam tangan tua Mak Cik Bibah. “Doakan Niya terus istiqamah dengan perubahan ini, Mak Cik Bibah,” pinta Aniyah sambil menatap penuh pengharapan wajah Mak Cik Bibah.
Mak Cik Bibah makin sebak. Lekas sahaja kepalanya mengangguk laju.“InsyaALLAH..seronok Mak Cik Bibah tengok penampilan Niya.”
Hanya senyuman yang mengutum di bibir Aniyah. Dia menghargai pujian Mak Cik Bibah itu tetapi seperkara yang ditanam dalam nekad perubahan yang dilakukannya, dia memakai bukan untuk dipuji tetapi lebih kepada atas tuntutan agama. Dia percaya pada hikmah peraturan ALLAH.
Wahai wanita, setiap ciptaan tuhan yang berharga di dunia ini akan terlindung dan amat sukar untuk diperolehi. Di mana kamu boleh dapatkan permata? Tertanam jauh di perut bumi, tertudung dan dilindungi. Dimana kamu jumpa Mutiara? Terbenam jauh di dalam lautan, tertudung dan dilindungi oleh kulit kerang yang cantik. Di mana kamu cari emas? Terperosok di lapisan bumi tertudung dengan lapisan demi lapisan tanah dan batu. Tubuh kamu adalah suci malah lebih berharga daripada emas mahupun permata. Oleh itu kamu juga perlu bertudung dan melindungi diri kamu.”

Lebih daripada itu dia takut pada kisah-kisah yang dibacanya melalui artikel-artikel tentang balasan terhadap wanita yang tidak menutup aurat. Begitu juga artikel tentang peristiwa israj mikraj yang dibacanya. Peristiwa tersebut bagai satu amaran yang mengandungi keinsafan berganda pada dirinya.
“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya sekiranya mereka mengetahui. (Al-Ankabut: 64)”
“Siapa pula mari ni?” Suara Datin Syarifah yang baru menuruni anak tangga.
Aniyah pantas memusing tubuhnya. Terlopong sebentar Datin Syarifah dengan apa yang terpampang di hadapannya. Tidak diduga susuk tubuh yang berpakaian muslimah membelakangi dirinya sebentar tadi ialah anak sulungnya. Mati-mati dia ingat, rumahnya ada tetamu sebentar tadi. Namun wajahnya yang penuh terkejut segera berubah. Datin Syarifah berlagak seperti tidak ada apa-apa yang sedang berlaku. Wajahnya nampak tenang. Lenggok tubuhnya berayun semula.
“Dah buang tabiat agaknya.” Sinis kata-kata yang dimuntahkan Datin Syarifah sebaik melintasi Aniyah dan Mak Cik Bibah. “Baru baik dari sakit dah jadi macam ni. Ehm...” Sempat dijeling ke arah anak sulungnya. Jelingan itu sesinis kata-katanya.
Aniyah memandang langkahan mummynya. Walaupun sedikit terhiris perasaannya lewat sindiran mummynya itu tetapi itu tidak berbekas di hatinya. Dia tidak kisah apa pun pandangan mummynya terhadap penampilannya. Dia tidak perlukan kritikan, begitu pun pujian. Dia berubah bukan atas tiket untuk diminta pujian sebaliknya dia cuba mengikhlaskan dirinya kerana ALLAH.
Sesiapa yang tidak suka pujian, ia juga tidak takut kepada kecelakaan. Sesiapa yang bebas daripada perasaan riyak, ia akan terus istiqamah beramal walaupun semua makluk mencela dan memulaukannya. Celaan tidak menghentikan amalannya sebagaimana pujian tidak mengggerakkkannya untuk beramal.
“Niya..” Panggilan lembut itu mengalih pandangan Aniyah. Aniyah tersenyum memandang Mak Cik Bibah yang berwajah simpati.
“Niya dah lewat Mak Cik Bibah. Niya nak pergi dulu, ya,” pinta Aniyah lembut. Redup pandangannya membalas pandangan Mak Cik Bibah yang empati memandangnnya. Pantas Aniyah memegang erat tangan tua Mak Cik Bibah.
“Niya tak nak makan dulu?”
Aniyah menggeleng. Senyuman masih terukir di wajah itu. “Niya dah lewat. Nanti Niya makan kat pejabat.”
Dengan kalimah itu, Aniyah meleraikan genggaman tangannya

Thursday, December 20, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 24)


Bab 24

Tiada terma dan syarat dalam taubat.
 Tajuk artikel dari sebuah blog menarik tumpuan Aniyah. Matanya mula meneroka isi tajuk itu.
Dosa merupakan penghubung antara manusia dengan taubat. Setiap insan pasti akan terdetik di dalam sanubarinya, rasa ingin bertaubat dan ini merupakan langkah pertama dalam menuju hakikat hidup yang sebenar. Fitrah dunia ini diciptakan adalah menjadi pentas buat kita mengumpul sebanyak bekalan yang mampu dibawa ke dunia yang kekal abadi, dan beruntunglah mereka yang melalui jalan-jalan menuju taubat.
Adakah Masih Ada Peluang?
Ya masihkan ada peluang untukku bertaubat, Ya ALLAH? Benak Aniyah beralun dengan soalan itu.
Adakah menjadi suatu masalah bagi Allah untuk mengampunkan dosa hamba-Nya? Kadangkala kita terlalu berfikir tentang dosa dari taubat itu sendiri. Allah memasukkan seorang pelacur yang memberi anjing minum ke dalam syurga, dan adakah menjadi suatu yang sukar kepada Allah untuk memasukkan kita ke dalam syurga-Nya? Tiada yang mustahil buat Allah. Maka taubat adalah kunci penghapus segala dosa.
Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga  yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.  Surah At-Tahrim ( Ayat 8 )
Allah tidak pernah meletakkan “Terma dan Syarat” dalam menerima taubat hambaNya. Ketahuilah, Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Allah sangat menyukai apabila hambaNya merintih memohon taubat dariNya, dan ketahuilah kita sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk bertaubat meskipun sebesar mana dosa yang pernah kita lakukan. Maka manfaatkanlah ruang dan peluang taubat itu dengan sebaiknya sebelum kita dipanggil menuju ke destinasi sebenar.
            Pengakhiran ayat itu membuatkan Aniyah seakan mula tersedar. Ruang taubat masih terbuka selagi maut tidak datang menjemput. Aniyah pejam mata. Alhamdulliah. Segala puji bagiMu kerana masih membuka ruang taubat buat aku, insan yang hina ini. Saat itu air mata Aniyah menitis semahunya. Kesal pada dosa yang dilakukan telah menumpahkan air matanya. Bagitu juga dengan rasa syukur atas hidayah yang tersalur dalam dirinya. Bertapa dia berasa beruntung menjadi orang yang terpilih untuk mendapat hidayah tersebut.

Saturday, December 8, 2012

Novel: Jangan bersedih Lagi (Bab 23)



Bab 23
“Selagi doktor tak bagi balik, jangan nak menggatal tinggalkan bilik ini. Kalau berani buat, memang kena berani tanggung akibatnya!”
Arh.. Benci betul dengan lelaki itu!
Bentak Aniyah sendirian. Dia kini tinggal sendirian di bilik eksklusif hospital. Sudah masuk empat hari dia berada di wad yang tak ubah seperti penjara ini. Dia merasa dahi dan lehernya!
 Dah tak demam pun! Kenapa doktor tak bagi aku balik lagi ni! Keluh Aniyah.
Amaran daripada Saiful membuatkan Aniyah terpaksa bergantung harap pada belas ihsan daripada doktor. Bukan dia takut untuk melanggar arahan Saiful tetapi ..ah..dia pun tak tahu kenapa dia tak berani melawan arahan lelaki itu. Walhal lelaki itu bukan sesiapa pun! Benci betullah! Daddy pun tak bising!
Daddy? Hmm.. lelaki itu tidak datang pun melawatnya. Namun dia tidak berkecil hati kerana lelaki itu ada menelefonnya bertanyakan khabar. Daddynya sudah seminggu berada di New Zealand, menguruskan hal syarikat di sana. Mummy? Entahlah, dia pun tidak mengharapkan kehadiran wanita itu. Dia sedar siapa dirinya. Dani? Adiknya yang tidak sebulu dengannya itu tidak perlulah diharapkan kehadirannya kalau itu dapat memberi ketenangan buat mereka. Dia cukup bahagia dengan kehadiran insan-insan yang ikhlas melawatnya dan memberi kata-kata sokongan padanya.
Saiful? Ah lelaki itu tahu menyibuk dan mengerah dia dengan arahan diktator. Jelak dia dengan perangai kuasa autonomi yang dipamerkan lelaki itu.
Ingat ini syarikat bapak dia ker? Ini hospital!! Suka hati dialah nak buat apa pun! Ini tidak, segala-galanya tertakluk di bawah arahan lelaki itu. Kalah arahan doktor!
“Siapa suruh makan jambu air?”
Kisah semalam meragut seleranya. Dia yang enak menjamah jambu air yang dibawa Mak Cik Bibah, terhalang dengan kedatangan lelaki itu secara tiba-tiba. Bersusah-payah dia memujuk Mak Cik Bibah membawa jambu air, alih-alih lelaki itu menghalang. Kalau dia tahu lelaki itu mahu datang, dia pasti akan menyembunyikan buah itu ataupun mengunci terus pintu bilik. Biar lelaki itu tidak boleh masuk.
“Makan pun salah!”
“Macam mana nak sihat batuk tu!” Dengan kasar, jambu air di tangan Aniyah dirampas. Begitu juga jambu-jambu air dalam beg plastik. “Jangan mimpi nak makan jambu air selagi sakit tak kebah.”
Melolot mata Aniyah memandang Saiful.  Rasa macam mahu dibaham lelaki itu. Tak ada adab betul lelaki ini. Lagipun sejak bila pula makan buah ada kena-mengena dengan batuk? Selama ini dia belasah aje makan. Batuk ker tak batuk, dia peduli apa. Lagipun tak ada apa-apa yang berbahaya pun berlaku. Ee..kuno betul lelaki ini.
“Dengar tak?”
Sejak itu Aniyah terpaksa menahan keinginan untuk makan buah jambu air. Rayuannya pada Mak Cik Bibah tidak lagi membawa apa-apa makna. Mak Cik Bibah nampak sudah diikat daripada menurut kehendaknya. Ini semua kerja Saiful!
“Epul tak bagi Mak Cik Bibah bawa buah jambu air dah. Dia kata selagi Niya tak sembuh, selagi itu Niya kena ‘puasa’ daripada makan jambu air.”
Memang melampau betul lelaki itu. Nasib baik dia bukan tengah mengandung. Kalau tidak..ah sesak memikirkan kerenah lelaki itu yang terlampau mengongkong kehidupan peribadinya. Macam sudah tak ada kerja lain!
Inilah akibatnya jadi anak pemilik syarikat. Terlalu banyak masa sampai masa peribadi orang pun nak menyibuk!
Aniyah mengeluh. Penat betul dengan kehidupan yang dilaluinya. Alat kawalan televisyen ditekan. Malam yang sunyi cuba diisi dengan menonton rancangan televisyen. Sudah lama rasanya dia tidak mengadap rancangan televisyen.  Entah rancangan apa yang menarik waktu sebegini. Dari satu siaran ke satu siaran dia beralih. Hampir mahu meloncat keluar jantungnya apabila tiba-tiba skrin televisyen menayangkan hantu Pontianak. Nasib baik dia cepat menekan punat televisyen, menukar siaran. Dia memang lemah semangat kalau bab-bab hantu ni.
“Terima kasih kerana masih bersama kami, membicara soal syukur. Sudahkah anda memanjatkan rasa syukur pada ALLAH kerana masih diberi kesempatan bersama-sama di majlis ilmu ini?”
Pandangan mata Aniyah terpaku pada skrin televisyen.
***
“Banyak orang terlalu sombong dengan ALLAH. Mereka ini selalu menidakkan kehadiran ALLAH dalam setiap pekerjaan mereka. Contohnya, mereka kata saya berjaya kerana usaha saya bukan kerana ALLAH. Saya berjaga malam. Tidur tak tentu masa. Berkerah keringat tanpa kenal erti penat dan lelah. Maka kejayaan itu pada dasarnya kerana saya sendiri bukan anugerah ALLAH. Begitu sekali sombongnya golongan ini sehingga mereka terlupa pada nikmat kesihatan yang ALLAH anugerah.Tanpa nikmat itu, tak mungkin mereka mampu berusaha. Tanpa udara yang diberi percuma tanpa sebarang bayaran, mereka terlupa itu adalah anugerah ALLAH. Golongan-golongan inilah golongan yang kufur pada nikmat ALLAH. Tidak tahu erti syukur pada ALLAH.”
Lama Aniyah hanyut memikirkan kata-kata yang didengari di skrin televisyen tempoh hari yang lalu. Dia kini sudah berada di rumah. Namun ingatannya pada kisah dua hari lepas, tidak seinci pun hilang.
“Bersyukurlah pada ALLAH. Ucaplah alhamdulliah dalam setiap yang kita ada kerana tanpa izinNYA, tak mungkin rezeki itu datang pada kita. Bukan susah pun mahu melafazkan kalimah tersebut. Alhamdulliah. Segala puji hanya untuk ALLAH.”
Aniyah terus hanyut. Ceramah yang didengarinya tanpa sengaja itu terus ligat bermain di fikirannya.
“Susah sangatkah mahu mengikut segala suruhan ALLAH dan meninggalkan laranganNYA? Suruh bertudung pun tidak mahu. Kalau bertudung pun sekadar mengikut fesyen. Lilit sana, lilit sini sampai terlupa tujuan sebenar bertudung. Apa sebenarnya niat di sebalik nawaitu kita bertudung? Mengikut suruhan ALLAH atau sekadar berfesyen? Tanya diri sendiri? Kepada yang belum bertudung, mengapa sukar untuk memakainya walhal itu yang terbaik dalam melindungi diri anda sekalian.”
Aniyah memejam matanya. Kata-kata itu meresap jauh masuk ke dalam hatinya.
“Rambut itu mahkota wanita. Hadiah istimewa buat si suami yang sah dinikahi bukan untuk tontonan lelaki ajnabi lain. Hadiah apalagi yang ingin diberi kepada suami kalau benda itu sudah diberi pada yang lain. Seronok ker berkongsi hadiah? Ingatlah, setiap yang ALLAH jadikan perintah itu adalah untuk kebaikan kepada hambaNYA. Masih belum terlambat untuk muhasabah diri.”
Muhasabah diri?? Dua patah perkataan itu menyentak perasaan Aniyah. Entah mengapa kolam matanya berkocak bersama pilu di dada. Seumur hidupnya dia tidak pernah memakai tudung kecuali masa-masa tertentu sahaja. Itupun seakan terdesak sebagai tanda menghormati. Ya ALLAH, teruknya hambaMu ini.
Air hangat mula merembes saat rasa berdosa terus mencengkam perasaan Aniyah.
Masih belum terlambat untuk muhasabah diri.
Ya ALLAH, masih adakah ruang masa itu untuk aku berubah? Aniyah terus larut dalam emosinya.
“Beristighfar dan bertaubatlah. Semoga ALLAH masih membuka peluang taubat buat kita, hambaNYA yang kerdil. Marilah sama-sama kita berubah ke arah yang lebih baik kerana hidup kita bukanlah selama-lamanya di sini. Yang belum bertudung, bertudunglah mengikut landasan agama. Begitu yang bertudung mengikut fesyen. Muhasabah diri. Kepada yang belum solat, mulakan perubahan yang baru. Begitu juga yang solatnya on off on off . Ingatlah, di dunia sekadar ladang untuk kita bercucuk tanam sama ada pahala atau dosa.  Di akhir kelak, hasil tuaian itu akan menjadi saksi di mana kita. Sama ada di syurga atau neraka.”

Thursday, November 29, 2012

Novel: Jangan Bersedih Lagi (Bab 22)


Bab 22

Umpama seorang pesalah, Aniyah menyembunyi wajahnya di sebalik  tubuh gempal Mak Cik Bibah. Takut benar dia melihat wajah Saiful lagak harimau bintang yang sedang mengawasi kawasannya daripada dicerobohi. Sepasang mata itu terlalu tajam merenungnya.
“Mula nak buat perangailah tu.” Intonasi Saiful tidak seinci berubah. Masih garang dan keras. “Suka sangat ikut kepala sendiri!”
Aniyah mendengar dalam geram.  Marah pun ada.  Sakit hati usah dikata.  Macam lelaki itu suami dia pula mahu mengokong setiap tindakan yang dia ambil. Dia sudah dewasa.  Daddynya sendiri pun tidak bising tetapi lelaki yang tiada kaitan dalam hidupnya ini pula sibuk mengambil tempat dalam setiap keputusan yang dibuat.  Siapa tak angin.
“Dah tahu sakit buatlah cara sakit!” Saiful terus memarahi gadis yang bersembunyi di sebalik tubuh Mak Cik Bibah. Rasa geramnya memang tidak dapat dikawal. Geram betul dia apabila diberitahu jururawat yang terserempak dengannya di luar bilik tentang keinginan Aniyah. Nasib baik dia tergerak hati mahu ke sini. Jika tidak, pasti Aniyah lebih pantas bertindak.
“Sudahlah tu Epul. Salah Mak Cik Bibah juga. Kalau Mak Cik Bibah tak cakap kat jururawat, tak jadi benda ni.” Mak Cik Bibah bersuara meredakan ketegangan yang sedang berlaku. Simpati dia melihat Aniyah yang menikus ketakutan.
“Agak-agaknya kena pasang pengawal keselamatan kot kat sini. Biar bilik ni dikawal 24 jam.” Sinis! Pedas! Keras! Itulah gambaran suara Saiful melantun ayat-ayatnya.
Aniyah menarik lengan Mak Cik Bibah, cuba menarik perhatian orang tua itu. Wajahnya masam merenung sepasang mata Mak Cik Bibah sebagai tanda tidak puas hati dengan apa yang didengari. Melampau sungguh lelaki itu!
“Cukup-cukuplah kamu marah dia, Epul. Dia kan belum sihat.” Sekali lagi Mak Cik Bibah bersuara meredakan ketegangan.
“Dah tahu tak sihat, buatlah cara tak sihat!” Radang Saiful masih belum surut. Jelingan tajam masih melibas ke arah Aniyah.
Eee..lelaki ni kan. Aniyah memberontak dalam hati. Rasa mahu dicili mulut yang lancang itu. Perit betul telinganya mendengar setiap kata lelaki itu yang terlalu menyakitkan telinganya.
“Eh, bukan kamu ada kat PD ker?” Tiba-tiba Mak Cik Bibah mengalih topik perbualan apabila dia teringat tentang perbualannya dengan Aniyah sebentar tadi.
Saiful mengangguk. “Saya dari sanalah. Nasib baik tergerak hati nak menyinggah ke sini. Kalau tak tadi, tengok katil ajelah!” Sinis ayat Saiful di hujung kata. Matanya menjeling ke arah Aniyah yang mencerut sahaja wajahnya.
Rapat Aniyah mengetap bibirnya. Sakit betul hatinya hari ini. Tidak habis-habis lelaki itu mahu menyindir dirinya.
“Selagi doktor tak bagi balik, jangan nak menggatal tinggalkan bilik ini. Kalau berani buat, memang kena berani tanggung akibatnya!” tegas Saiful tanpa mengendahkan perasaan Aniyah.  Manakala Aniyah sudah mendongol geram dengan amaran diktator lelaki itu.