Penulisan di sini hanyalah satu garapan imaginasi biasa sahaja, tiada kena-mengena dengan sesiapa..jika ada itu hanya satu kebetulan..Maaf andai ada yang terasa..Maaf juga untuk sebarang kekurangan..saya mengalu-alukan sebarang komen sahabat sekalian...

Saturday, December 24, 2011

Cerpen 2: Dendam Terlerai-Part 4


“Wan..” Kaget Pak Cik Jali saat menyambut kehadiran Syazwan di muka pintu rumahnya. Nurin juga begitu.
Mimpi apa lelaki ini? Tiba-tiba muncul.  Ingatkan dah mampus sejak dua minggu lalu.  Gumam Nurin dengan gigi berlaga. Hatinya sakit mengenangkan tindakan lelaki itu menghilangkan diri tanpa sebarang jejak.  Jenuh dia mengutus pesanan ringkas dan membuat panggilan bagi memaklumkan tentang Akif. Malangnya satupun tidak mendapat balasan.
“Kamu sihat?” soal Pak Cik Jali sambil matanya tidak lepas memandang wajah sugul di hadapannya. Belas hati tuanya.
            Terbit senyuman kecil di wajah Syazwan. “Alhamdulliah, pak cik. Pak cik sihat?” soal Syazwan penuh hormat.
            Pak Cik Jali tersenyum sambil mengangguk. “Alhamdulliah sihat, nak.”
Suasana bertukar hening ketika Nurin datang mendatang minuman. “Minumlah. Tak ada apa nak angkat. Sekadar ini aje yang ada,” pelawa Pak Cik Jali mesra.
            Syazwan mengangguk.  Namun tidak menurut pun. Wajah tua Pak Cik Jali ditatap penuh rasa bersalah. Dua minggu dia menyepi, mencari kesahihan pada apa yang terjadi.  Akhirnya, pencariaan berakhir.  Kini dia kembali demi maruah dan harga diri.
            “Maafkan saya, pak cik. Saya tak sangka yang selama ini hidup pak cik sekeluarga terseksa.  Selama ini saya terlalu percayakan kedua orang tua saya.  Saya percaya bahawa segala yang berlaku dalam kehidupan abang kembar saya berpunca daripada keluarga pak cik,” luah Syazwan dengan suara yang dalam dan serak. Perasaan bersalah mengasak nalurinya.  Kepalanya tertunduk lewat percakapannya.  Air matanya bergenang.  “Saya sangka keluarga pak cik yang menjadi angkara kematiaan abang saya. Saya juga sangka keluarga pak cik yang menjadi punca Akif terpisah daripada keluarga saya. Lantas saya nekad mahu membalas dendam,” luah Syazwan penuh kekesalan. Wajah Pak Cik Jali di hadapan dipandang penuh rasa bersalah.
Pak Cik Jali sebak melihat keadaan Syazwan.  Belas hatinya  melihat wajah mendung dan kesal yang tergarik di wajah pemuda itu. Pantas dia menepuk bahu pemuda itu. Syazwan tersenyum pilu.
Sementara Nurin yang duduk diam di sebelah kanan Pak Cik Jali hanya mampu mengeluh kecewa. Dia tidak sangka itu sebenarnya motif lelaki itu hadir dalam hidup keluarganya.  Demi dendam yang membusung di hati, lelaki itu sanggup memprolokkan maruah keluarganya, berlakon baik semata-mata mahu menutup motif sebenarnya.  Dia  benar-benar kecewa dengan berita ini.
“Maafkan saya, pak cik. Demi ALLAH, saya tidak tahu tentang hal sebenarnya sehinggalah ALLAH menemukan saya dengan kenyataan yang sebenarnya. Saya kecewa dengan kedua orang tua saya,” rintih Syazwan lagi dengan penuh rasa kekesalan. Dia malu dan kesal dengan sikapnya yang membuta tuli menyimpan dendam terhadap keluarga di hadapannya  tanpa menyelidiki terlebih dahulu kisah sebenar yang telah terjadi.  Kini dia tertunduk malu di hadapan keluarga yang satu ketika dahulu pernah dipandang jijiknya.
            “Mungkin sebab itulah ALLAH tidak memakbulkan doa saya sebelum ini. Tidak mahu saya bertemu dengan Akif dan keluarga pak cik.  Bila saya sudah putus asa, tidak mahu lagi mencari, DIA mengatur pertemuaan saya dengan Akif dan keluarga pak cik,” rintih Syazwan lagi.
            “Sudahlah, apa yang terjadi ada hikmahnya. Pak cik dah lama redha dengan apa yang berlaku.  Pak cik dah anggap semua ini sebagai takdir ALLAH untuk perjalanan hidup pak cik di muka bumi ini,” tutur Pak Cik Jali seraya menepuk bahu anak muda itu lagi.
            Syazwan menuntas pandangannya ke dalam anak mata Pak Cik Jali. Dia dapat merasakan keikhlasan di bening mata tua itu. “Terima kasih pak cik,” ucap Syazwan lantas memeluk kejap tubuh kurus Pak Cik Jali.  Air mata lelakinya mengalir di bahu tua itu. Dia tidak kisah andai maruahnya dipandang rendah hanya kerana air mata yang mengalir. Biarkan, asalkan dosanya terampun.
Nurin mengalih pandangan matanya. Dia cuba membendung perasaannya. Dia tidak mahu tewas dengan perasaan simpatinya.
            “Pak Su!!!!!”
 Jeritan itu pantas menyentak tumpuan mereka bertiga. Nurin pantas berlari ke arah suara itu.  
  “Pergilah. Akif terlalu rindukan Pak Sunya," ucap Pak Cik Jali kepada Syazwan sambil menepuk lembut bahu pemuda itu. Seulas senyuman sempat dihadiahkan buat pembakar semangat pada anak muda itu.
Syazwan memandang Pak Cik Jali dengan rasa terharu. Perlahan-lahan dia mengangguk. Tanpa membuang masa, dia terus mengorak langkah mendapatkan si kecil yang sangat dirinduinya.  Dua minggu terpisah bagaikan satu penyeksaan buatnya.  Dia terlalu rindu ingin bertemu dengan si kecil itu. Keadaan yang berlaku membuatkan dia dilema untuk bertemu Akif.  Dia tak punya kekuatan untuk berhadapan dengan keluarga ini setelah kebenaran terbentang di hadapannya.
              “Pak Su..Pak Su..” Rintihan itu menghantar rasa hiba di dada Syazwan yang kini sudah berdiri di hadapan pintu bilik. Hatinya pilu melihat keadaan Akif sedang meracau-racau di atas katil.
            “Ssh..Mak Su ada sayang.” Nurin berusaha memujuk anak kecil itu. Hatinya sebak melihat keadaan Akif.  Air matanya yang mengalir, disapu dengan tangan kiri sambil sebelah lagi tangannya cuba memujuk anak itu. Namun ternyata tidak berhasil. Akif terus menjerit, memanggil Pak Sunya.
           Makin hiba hati Syazwan melihat keadaan tersebut. Lantas dia mengatur langkah merapati katil. Dia melutut di sebelah kiri katil. Pandangannya menuntas pada Akif yang masih tidak henti-henti memanggil namanya. Hatinya makin disagat pilu. Perlahan-lahan tangan sasanya menyentuh kepala si kecil. “Akif, Pak Su datang..” seru Syazwan lantas menghadiahkan ciuman di dahi si kecil itu. Setitis air matanya menitis di situ.
             Serta-merta suara Akif mati. Dengan serta-merta juga, kedua-dua belah kelopak mata si kecil itu terbuka. “Pak Su...” Akif tenggelam dalam pelukan Syazwan.  “Pak Su jangan tinggal Akif lagi,” tangis Akif di dada Syazwan.
            Nurin pantas mengalih matanya ke arah lain. Dia tidak sanggup melihat keadaan Akif.
           “Pak Su tak pergi mana-mana Akif. Pak Su sayang Akif,” 
           “Pak Su janji tau?” pinta Akif  sambil mendongak ke arah Syazwan.  
            Syazwan mengangguk seraya menarik tubuh itu kembali ke dalam dakapannya.“Janji sayang,” janji Syazwan bersama tekad untuk tidak meninggalkan kanak-kanak itu lagi.
            Nurin yang sudah tewas melawan air matanya yang galak mengalir, segera meninggalkan tempat itu.  Dia tidak betah berada lama di situ. Dirinya semakin tidak kuat berhadapan dengan rintihan Akif yang terlalu meruntum hati wanitanya.
***
Semenjak kejadian itu, hubungan Syazwan dengan ahli keluarga Pak Cik Jali semakin rapat.  Dia sering menghabiskan masanya di rumah papan dua tingkat keluarga itu. Masanya banyak diperuntukkan bersama dengan Akif yang begitu manja dengannya.
Sudah menjadi rutin hariannya, dia akan menjadi rakan sepermainan Akif apabila berada rumah itu.  Meraka selalu menghabiskan masa bersama dengan bergusti, bermain bola, komputer, kereta mainan dan kejar-kejar.
Sesekali, Syazwan juga turut menghabiskan masanya bersama dengan Pak Cik Jali. Dia senang mengikut lelaki tua itu ke kebun untuk menebas lalang atau paling tidak pun  menyapu daun-daun kering yang berguguran di lantai tanah. Jika ada pokok yang mengeluarkan buah, dia tidak kekok untuk memegang galah mahupun memanjat dahan pokok. Suatu pengalaman yang cukup bermakna buatnya.
Manakala hubungannya dengan Nurin masih dingin. Nurin masih dengan wajahnya yang beku setiap kali bersua muka. Mulutnya persis berisi mutiara, payah untuk dibuka. Memang sukar untuk mendengar bicara gadis yang bertudung litup itu. Kalau berbicara pun sekadar perlu sahaja. Itupun banyak menggunakan Pak Cik Jali mahupun Akif sebagai perantaraan.
Masih berdendamkah wanita itu padanya? Itulah persoalan yang seringkali menghantuinya tatkala melihatkan layanan Nurin padanya.
Namun Syazwan tetap bersyukur. Walaupun wanita itu nampak dingin dengannya tetapi Nurin tetap boleh bertolenrasi dalam hal yang membabitkan Akif. Kalau dahulu agak sukar untuk wanita itu mengikut serta dalam aktiviti yang membabitkan dia dengan Akif walaupun dipaksa sekalipun. Namun kini, segala-galanya telah berubah. Nurin kini sudah boleh dibawa berbincang.  Cuma itulah, dinginnya sedingin puteri salju. Entah sampai bilalah kedinginan itu akan cair, dia sendiri tidak pasti.  Hati Nurin terlalu keras sekeras batu kelikir.  Barangkali ada dendam yang masih tersimpan di lubuk hati kecilnya.
***
“Jemput minum,” pelawa Nurin sebelum berlalu.
            Syazwan tersenyum. Walaupun Nurin agak diingin dengannya tapi wanita itu tetap menghormatinya sebagai tetamu. Malahan kekerapan bertemu tanpa sengaja membuatkan dia mula dapat melihat figura sebenar wanita itu.  Di situ dia dapat menilai watak sebenar gadis itu.  
Nurin sebenarnya seorang yang baik. Cuma wanita itu seorang yang agak tegas. Dia seorang yang berpendirian dan berani berdiri atas pendiriannya. Teringat saat pertemuan yang pertama satu ketika dahulu, dia harus akur pada sifat gadis yang satu ini. Memang jauh berbeza dengan sifat kembarnya yang mudah mengalah.
Namun ketegasan wanita itu mudah luntur apabila melibatkan hal keluarga. Dia dapat melihatnya sendiri walaupun gadis itu cuba menyembunyikannya. Air mata Nurin cepat mengalir walaupun cuba ditahan.  Jelas, jiwa yang seteguh Nurin akan rapuh saat melihat ahli keluarganya berada dalam keadaan sedih.  Padanya Nurin ialah seorang gadis yang nampak keras di luar tapi dalamnya sangat rapuh.
 “Pak Su! Pak Su!” Panggilan Akif menghentikan lamunan Syazwan. Syazwan tersentap.  Terus matanya memandang ke arah anak kecil yang sedang memuncung tajam ke arahnya.
 “Pak Su ni kenapa? Akif panggil tak dengar. Asyik pandang Mak Su je!” rungut Akif tidak puas hati sambil berpeluk tubuh.
 Syazwan termangu dengan teguran itu.  Matanya tidak berkelip memandang ke arah wajah Akif yang kelat merenungnya. Sesaat itu juga pandangan matanya bersatu dengan mata Nurin. Mereka bagaikan terpaku seketika. Namun Nurin pantas beralih tumpuan. Dia kalut mengemas buku-buku latihan pelajarnya sebelum bergegas meninggalkan tempat itu.
 “Kenapa ni?” tegur Pak Cik Jali pada cucunya ketika baru keluar dari bilik. Kopiah di atas kepala dibetulkan.
“Pak Su ni, asyik pandang Mak Su je! Akif panggil pun tak dengar,” adu Akif pada Pak Cik Jali.
Pak Cik Jali sudah tergelak kecil “Akif cakap apa?” soal Pak Cik Jali dengan senyuman  penuh makna.  Matanya sempat meleret ke arah Syazwan sebelum kembali semula ke arah Akif.
 “Pak Su asyik pandang Mak Su. Akif panggil pun tak dengar!” ngadu Akif lagi buat sekian kali. Ternyata aduan si kecil itu membuatkan Pak Cik Jali ketawa besar. Bibirnya tersungging senyuman penuh makna.
***
 “Boleh saya bercakap dengan Encik Syazwan?”
“Ya saya bercakap,” jawab Syazwan penuh perasaan hairan.  Suara di hujung talian tidak pernah didengari.
“Saya harap Encik Syazwan akan bersabar dengan berita yang akan saya sampaikan nanti,” seru suara garau itu membuat dada Syazwan berdetak tidak enak.
“Saya dari pejabat kedutaan Ireland ingin melaporkan bahawa Encik Ahmad dan Puan Suria terlibat dalam kemalangan jalan raya di sini. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.”
           “Ya ALLAH!” ucap Syazwan terkejut. Khabar berita yang baru diterima itu benar-benar mengejutkannya lantas membuatkan tubuhnya seperti tidak berpijak di bumi nyata. Kepalanya berpinar. Pandangannya bertukar kelam dan akhirnya dia rebah di atas lantai.
            “Wan!” pekik Pak Cik Jali membuatkan Nurin dan Akif yang berada di luar rumah berlari masuk. Serta-merta Nurin terkaku di depan pintu rumah saat terlihat susuk tubuh Syazwan yang terdampar di atas lantai.
***
“Sudahlah, Rin.  Benda yang lepas, jangan dikenang.  Sampai bila-bilapun dendam takkan terlerai kalau terus teringatkan kisah lama. Jadilah manusia yang lebih dewasa dan matang dalam bertindak.  Jangan terlalu ikutkan hati, kelak binasa jadinya,” nasihat Pak Cik Jali lembut. Matanya tunak memandang anak gadisnya yang sedang menidurkan si kecil Akif yang tadinya tidak henti-henti menangis sejak ketiadaan Syazwan. Kini Syazwan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama dengan rakannya.
            “Lagipun Wan tak bersalah dalam hal keluarganya.  Dia hanya tersasar sahaja. Kalau ayah di tempat dia pun ayah akan bertindak begitu. Pada siapa lagi kalau kita nak percaya kalau bukan pada orang tua kita. Tambahan pula dalam situasi Syazwan yang merantau ke negara, tentulah kekangan masa dan jarak membatasi dia untuk mendapat sumber lain selain daripada kedua-dua orang tuanya,” tokok Pak Cik Jali cuba menyedarkan Nurin. Dia mahu anak gadisnya ini lebih rasional dalam bertindak.
            “Ayah dah lupa ker apa yang orang tua dia dah buat pada kita?” soal Nurin tanpa mengangkat wajah.  Pandangan matanya masih tertumpu pada Akif yang lena di atas ribanya.
            Pak Cik Jali tersenyum. Masakan dia boleh lupa kisah yang pernah terjadi dalam keluarganya.  Kisah yang mana dia bukan sahaja kehilangan isteri tercinta, malahan anak dan menantunya juga.
Malahan kerana kisah itu, dia sekeluarga dicemuh masyarakat luar yang tidak mengetahui kisah sebenar.  Bukan dia prejudis tapi hakikatnya masyarakat luar lebih percaya pada khabar angin yang bertiup berbanding cerita sebenar. Masyarakat luar menganggap dia sekeluarga yang bersalah hal ini. Pelbagai caci maki diterimanya. Memang perit dan sakit apabila maruah diri dan keluarga diperlekeh tak ubah seperti sampah. Jijik lagi menghinakan. Namun dia tidak salahkan masyarakat luar kerana ketika itu dia sendiripun tiada bukti untuk membuktikan bahawa keluarganya tidak bersalah.
Lantas, dia bersetuju untuk berhijrah bersama satu-satunya harta yang ditinggalkan isterinya iaitu Nurin.  Kebetulan ketika itu Nurin mendapat tawaran berkhidmat di sekolah yang jauh dari masyarakat yang tidak lagi menghormati dirinya. Bukan dia mahu melarikan diri tetapi baginya biarlah masa sahaja menjadi penentu segalanya kerana dia tahu ALLAH sentiasa bersama orang yang benar.
Alhamdulliah ternyata ALLAH tidak pernah menghampakan hambaNYA. Segala-galanya terungkai sebaik mahkamah mengesahkan bahawa arwah isterinya tidak bersalah berdasarkan bukti-bukti yang dijumpai Nurin.  Waktu itu dia hanya mampu mengucap syukur pada ALLAH atas pengadilan yang diberi.
Walaupun sudah terbukti tidak bersalah, dia tetap mahu tinggal di sini. Bukan dia berdendam dengan masyarakat di tempat asalnya tapi dia sudah berasa selesa hidup di sini. Masyarakat di sini menerimanya dengan seadannya.
            “Berdendam akan membuatkan hidup kita akan terus dalam keadaan tidak tenang. Biarlah ALLAH sahaja yang membalasNYA.  Kalau kita terus menghukum, kita sendiri rasa terhukum. Kita akan sentiasa dalam kesakitan. Seronok ker?”
            Nurin tertunduk lewat percakapan ayahnya itu. Sememangnya itulah yang dia rasakan.  Dendam yang membalut hatinya sebenarnya sedikit sebanyak telah mencantas ketenangannya.
            Pak Cik Jali bangkit.  Kopiah yang terletak di atas meja, dicapai lalu dipakai. “Ayah nak solat. Lepas ni, ayah nak bertolak ke Kuala Lumpur.  Kalau kamu tak nak ikut, ayah pergi naik bas.” Segera Pak Cik Jali melangkah pergi meninggalkan  Nurin yang termangu di tempat duduknya.
****
Masuk hari ini, sudah hampir seminggu Nurin berada di rumah agam milik keluarga Syazwan.  Semalam, hari terakhir majlis tahlil dilakukan. Orang yang paling gembira berada di sini tentulah Akif kerana tidak perlu berjauhan dengan Pak Sunya.
 Nurin bersandar di belakang sofa yang sedang didudukinya sementara menunggu kepulangan  Syazwan, Akif, dan ayahnya dari kubur. Dia tidak dapat ikut serta disebabkan keterbatasannya sebagai seorang wanita.
Mata Nurin mula menyoroti segenap ruang rumah agam ini.  Allahuakbar.  Semuanya cukup mewah.  Pasu bunga yang dijadikan perhiasan di atas meja pun sudah terasa mahal harganya. Belum lagi dihitung perhiasan lagi. Keadaan ini sungguh jauh berbeza dengan keadaan rumah keluarganya.
Harta adalah sebahagian daripada dugaan ALLAH pada hambaNYA. Semoga harta yang kita miliki bukan bersifat istiraj yang menjauhkan diri kita daripada ALLAH. Nauzubillah min zalik.  Maka pergunakan harga tersebut di jalan yang diredhai ALLAH. Ingatlah apabila seorang manusia meninggal dunia, maka putuslah amalannya, kecuali tiga perkara: Sedekah jariahnya, ilmu yang memberi manfaat dan juga doa daripada anak yang soleh.
Kata-kata daripada seorang ustaz yang berceramah di kaca televisyen kembali teringang-ingang di telinga Nurin.  Lantas dia beristighfar dan memohon perlindung daripada ALLAH agar melindungi dia dan keluarganya dari ditimpa musibah kemewahan dunia.
            Bunyi deruman enjin kereta di luar rumah, mematikan lamunan Nurin. Dia pantas bangkit  dan  bergerak  menuju ke arah pintu gelongsor. Di sebalik tirai, dia dapat melihat kereta milik Syazwan terletak elok di garaj.  Lantas, Nurin meneruskan langkah menuju ke arah pintu papan yang berukir cantik. Tombol pintu yang berkunci, dipulas.
            “Mak Su,” tegur Akif riang. “Akif pergi kubur tok dengan tok wan,” cerita Akif membuatkan Nurin tersenyum menyambut si kecil di hadapan pintu.
            “Kamu masak apa? Sedap bau,” sela Pak Cik Jali sambil menanggalkan selipar di kakinya.
 “Lauk kampung je,” balas Nurin sambil menyambut jug dari tangan ayahnya. “Nak makan sekarang ker?”
            “Ayah nak rehat dululah.  Kamu makanlah dengan Akif dan Wan.  Ayah penat,” jawab Pak Cik Jali melangkah masuk ke dalam rumah. Dia memang kepenatan. Sudah seminggu dia kurang rehat kerana sibuk membantu menguruskan jenazah dan majlis tahlil untuk kedua-dua arwah besannya. “Akif, mari mandi dengan atok,” ajak Pak Cik Jali yang sudah pun berada di ruang tamu.
            “Akif nak mandi dengan Pak Su,” balas Akif yang masih bersama dengan Nurin di depan pintu rumah. Pak Cik Jali tidak berkata apa. Dia terus menghayun langkahannya.
****
            “Akif, panggil Pak Su makan,” arah Nurin sambil mencedok nasi ke dalam pinggan. Dia kembali semula ke dapur dengan mangkuk kosong.
 “Pak Su, Mak Su panggil makan,” jerit Akif di meja makan lantas menganggu tumpuan Nurin di sinki dapur. Bertuah punya budak.
“Pak cik mana?” tanya Syazwan pada Nurin sebaik menarik kerusi di sebelah Akif.
“Ayah berehat.  Dia suruh makan dulu,” jawab Nurin sambil membantu Akif makan.
“Tak makan sekali ker?” tegur Syazwan apabila melihat tiada nasi di hadapan Nurin.
Nurin menggeleng sebagai menjawab pertanyaan Syazwan. Matanya masih tidak terkalih dari memberi tumpuan pada Akif yang sedang enak menikmati juadah tengah hari.
Suasana bertukar hening apabila masing-masing dengan hal sendiri. Syazwan dengan fokusnya pada hidangan tengah hari. Manakala Nurin masih setia melayan selera Akif.
“Makan elok-elok, Akif,” tegur Nurin apabila melihat Akif mula bermain dengan nasi di hadapannya.
Teguran itu ternyata menarik tumputan Syazwan.  Sorotan matanya menuntas pada Nurin dan Akif di hadapannya. Dia tersenyum melihat wajah sembap Akif.
“Mak Su bukan marah Akif. Mak Su tegur je. Cepat makan, sayang. Akif budak baikkan? Nak cepat besarkan?”
“Besar macam Ultraman!!” sambut Akif kembali ceria. Gaya Ultraman dipertontonkan di meja makan.
“Yalah, macam Ultraman. Cepat makan ya?” Akif mengangguk lantas meneruskan suapannya.
Saiful tersenyum melihat kejadian itu.  Hati lelakinya senang melihat kemesraan yang terjalin antara Nurin dan Akif.  Seronoknya jika dia dapat turut serta. Turut serta? Dadanya berkocak dengan tidak semena-mena. Jauh betul angannya.
“Pak su?”
Syazwan tersentak. Lantas dia memandang Akif di depannya.
“Kenapa Pak Su suka pandang Mak Su?” tegur Akif tanpa berselindung.“Pak Su suka Mak Su ya? Atok cakap kalau selalu pandang orang tu maknanya kita suka dia,” sela Akif berterus-terang.
“Er..” Tidak terdaya Syazwan untuk membalas kata-kata si kecil itu. Mati kutu jadinya.
“Akif nak makan lagi tak?” tanya Nurin cuba mengalih suasana perbualan.
Akif menggeleng. Nurin menarik nafas lega. Itulah yang dia harapan. Lantas dia bangun bersama pinggan di tangan. Akif ikut serta bangun. “Nanti Akif bagitahu kat atok, Pak Su suka kat Mak Su,” ucap Akif sebelum melangkah mengikut Nurin ke dapur.
 “Akif jangan cakap apa-apa kat atok, ya sayang,” pinta Nurin sambil membantu anak kecil itu membasuh tangan.
            “Cakap apa tu ya, Akif?” sela satu suara mengejutkan Nurin. Akif berlari mendapatkan Pak Cik Jali.
            “Ha..ayah dah bangun..nak makan ker?” Tergagap Nurin menegur Pak Cik Jali.
            “Tak lena pula,” jawab Pak Cik Jali seraya mendukung Akif.  Pada waktu yang sama, Syazwan datang sambil membawa pinggan di tangan. Dia agak tersentak dengan kehadiran Pak Cik Jali.
            “Makan pak cik?” pelawa Syazwan pada Pak Cik Jali.
            “Sekejap lagi lah.” Pak Cik Jali memandang cucunya. “Tadi Akif nak cakap apa dengan atok?” soal Pak Cik Jali pada anak kecil itu. Nurin dan Syazwan mula tidak senang.
            Akif memandang wajah Nurin. “Mak Su cakap jangan bagitahu atok.”
            Nurin sudah tidak senang duduk apabila namanya disebut.
            “Tak baik tau sembunyi daripada atok. Akif tak sayang atok,ya?”
            Kepala Akif menggeleng. “Sayang. Akif sayang atok macam Pak Su sayang Mak Su.”
            Pak Cik Jali termangu seketika sebelum dia ketawa. “Mana tahu?”
            “Pak Su suka pandang Mak Su. Tadipun.”
            Makin kuat ketawa Pak Cik Jali kedengaran. Dia mengerling ke arah Syazwan dan Nurin silih berganti.  Dapat dilihat ketidakselesaan kedua-duanya. Dia tersenyum. Doanya semoga ALLAH memberi yang terbaik untuk kedua-duanya. Andai sudah tertulis di Loh Mahruf, Syazwan adalah jodoh Nurin, dia terima. Baginya kisah yang pernah berlaku pada anak sulungnya bukanlah halangan untuk menyekat dirinya daripada menerima menantu dari keturunan yang sama. Padanya jodoh dan maut adalah milik ALLAH. Lagipun dia sudah lama jatuh cinta dengan keperibadian Syazwan.  
***
            “Saya minta maaf..”
            Nurin termangu.  Pantas dia menoleh ke belakang.
            “Saya minta maaf,” ucap Syazwan sekali lagi. Kali ini secara berhadapan dengan Nurin.
            “Untuk apa?” balas Nurin kembali tersedar.  Dia pantas menyambung semula kerja memotong ranting pokok bunga kertas di hadapannya.
            “Saya tahu saya bersalah pada awak. Saya tahu awak masih marah pada saya.”
Nurin diam membisu. Tangannya terus lincah mencantas ranting pokok bunga kertas di hadapannya.
Syazwan kecewa. Dia meraup wajahnya. Walaupun dia tahu dia akan berhadapan dengan situasi ini tetapi rasa kecewa masih jua mendatanginya. Namun dia tidak mahu berputus asa. Dia yakin Nurin boleh memaafkannya. “Maafkan saya,” rayu Syazwan.
“Buat apa awak minta maaf dengan saya, awak bukan buat salah dengan saya pun,” balas Nurin acuh tak acuh. Ranting kayu dikutip lalu dimasukkan ke dalam beg plastik hitam sebelum bergerak ke arah pokok bunga ros.
“Saya tahu awak masih marahkan saya. Masih berdendam dengan saya,” tutur Syazwan sambil memandang ke arah Nurin yang sedang membersihkan pasu bunga ros. “Saya betul-betul minta maaf atas apa yang sudah berlaku. Saya harap awak dapat maafkan saya.”
Tiada reaksi balas daripada Nurin. Gadis itu membeku persis tidak mendengar sebarang kata daripada Syazwan.
Sekali lagi Syazwan diburu kekecewaan. Dia menghela nafas yang sangat panjang. “Nurin..saya tahu kesilapan yang saya lakukan sangat besar. Tapi saya merayu pada awak. Maafkan saya,” pinta Syazwan tidak mengalah. “Cakaplah apa yang patut saya lakukan supaya awak boleh maafkan saya. Saya sanggup, Nurin,” rintih Saiful.
“Awak tak faham ker? Bukankah saya dah cakap yang awak tak ada buat salah apa pun dengan saya,” sela Nurin dengan tenungan tajam. “Antara kita, tak apa-apa yang perlu dipersoalkan!” tegas Nurin.
“Awak tipu Nurin.  Awak bohong.  Awak kata tak ada apa-apa tapi hakikatnya awak memusuhi saya dalam diam!”
Nurin mendengus. “Terpulanglah!” balas Nurin kembali memberi tumpuan pada pokok bunga di hadapanya.
“Sampai bila kita harus begini, Nurin?” keluh Syazwan masih mengharapkan simpati gadis di hadapannya. “Sampai bila kita harus berdendam dalam diam?”
Senyap.
Syazwan menghela berat.  “Baiklah kalau itu yang awak mahu, saya dah tak boleh nak kata apalagi. Cuma, saya nak awak tahu bahawa saya sangat mengharapkan kemaafan yang ikhlas daripada awak,” ucap Syazwan mengalah. Perlahan-lahan dia mengatur langkah meninggalkan Nurin dengan hati kecewa.
***
Saya sangat mengharapkan kemaafan yang ikhlas daripada awak.
Nurin meraup wajahnya.  Sebaris ayat itu terus menghantuinya. Ya ALLAH, bantulah aku.  Berikan jalan terbaik untuk aku. Aku buntu, Ya ALLAH. Rintih Nurin.  Kepalanya sakit memikirkan tentang hal tersebut.  Jenuh dia memikirkan jalan penyelesaian. Malangnya kesemuanya menemui jalan buntu.
Berdendam akan membuatkan hidup kita akan terus dalam keadaan tidak tenang.
Nurin pejam rapat kedua-dua belah kelopak matanya. Lahawlawala QuwwataillabillahilAliyilAzim. Zikir itu terpancul di bibirnya. Ya ALLAH, tiada daya dan kekuatanku melainkan dengan izinmu ALLAH. Bantulah aku. Pimpinlah aku, Ya ALLAH.
“Mak Su, Akif  balik,” jerit Akif riang. Serta-merta kelopak mata Nurin terbuka. Wajah girang Akif dipandang. Dia tersenyum melihat senyuman di wajah mulus itu.
“Pak Su mana?” tanya Nurin apabila tidak nampak kelibat Syazwan di hadapannya.
“Dah balik,” jawab Akif mencuka. “Pak Su cakap kena balik awal sebab banyak kerja. Pak Su kirim salam.”
Nurin menghela nafas berat sebaik mendengar cerita yang baru disampaikan Akif. “Akif pergi tukar pakaian dan kemudian masuk mandi, ya? Kejap lagi boleh makan. Mak Su masak ayam goreng untuk Akif.”
Akif tersenyum mengangguk seraya berlalu meminjak satu persatu anak tangga meninggalkan Nurin di ruang dapur.
***
-Salam awak. Saya dah fikir hal kita. Betul cakap awak, sampai bila kita nak berdendam. Saya dah maafkan awak dan saya pun minta maaf pada awak. Kalau awak maafkan saya, datanglah ke rumah. Saya ada masak gulai kari kesukaan awak. Ayah dan Akif tunggu awak.
***
-Terima kasih awak atas kemaafan awak. Sedap gulai kari awak.
***
Nurin tersenyum membaca pesanan ringkas yang baru diterimanya. Dia bersyukur kerana akhirnya dia dan Syazwan sudah tidak lagi berdendam. Dendam mereka kini kita sudah terlerai.

~SEKIAN~ 

Cerpen 2: Dendam Terlerai-Part 3


“Mama..mana papa ni?” rengek Akif manja di sisi Nurin yang sedang menyemak buku latihan pelajarnya.

            “Sekejap lagi papa sampailah,” jawab Nurin ringkas.
            Semenjak mendapat teguran daripada Pak Cik Jali, Nurin semakin boleh berkompromi dengan Syazwan dalam soal penjagaan Akif.
            “Akif tu darah daging keturunan dia. Jangan nafikan hak dia.”
            Kadang-kadang dia sendiri tidak faham dengan ayahnya ini. Tidak ada dendamkah orang tua ini pada keluarga lelaki itu setelah apa yang terjadi? Layanan yang diberikan ayahnya seolah-olah peristiwa pahit yang pernah berlaku lima tahun lalu tidak pernah terjadi.  Runsing Nurin dengan keadaan yang berlaku pada ayahnya. Ah ini semua kerja lelaki itu! Syazwan!
            “Mama, papa dah sampai!” Girang Akif sebaik melihat kelibat kereta Syazwan di hadapan rumah atoknya.
            “Ingat, sebelum pukul sepuluh malam. Jangan cuba-cuba nak culik budak ni! Saya tanam awak hidup-hidup!” Keras Nurin memberi amaran pada Syazwan ketika Akif berlari mencari atoknya di dapur.
            Syazwan tergelak.  Culik?
            “Mama betul tak nak ikut?” soal Akif buat sekian kalinya.  Mukanya persis merayu agar Nurin mengubah pendirian.
            Nurin tersenyum sambil menggeleng. “Mama banyak kerja. Akif jangan nakal-nakal tau, sayang.” Pipi si kecil itu diciumnya. Berat rasa hatinya mahu melepaskan si kecil itu pergi. Namun dia terpaksa mengalah untuk kali ini.
****
Hari ini, Akif mula buat perangai.  Dia mogok tidak mahu makan.  Diajak mandi, pun tidak diendahkan.  Disuruh menggaji, dia lekas melarikan diri.  Semuanya gara-gara permintaannya tidak dipenuhi. 
             Mahu papanya tinggal bersama! Mahu pitam Nurin mendengar permintaan si kecil itu.
            “Akif, papa ni.”
            Nurin memang tidak bersetuju dengan cadangan ayahnya yang memanggil lelaki itu datang ke rumah semata-mata mahu memujuk si kecil Akif.  Namun siapa dirinya mahu melawan kata-kata ayahnya itu.
            “Akif, keluarlah. Papa datang ni.” Sekali lagi Syazwan memujuk anak kecil yang sedang berkurung sendirian di dalam bilik.  Permukaan pintu bilik terus diketuk. Namun, anak kecil itu masih diam tidak beraksi.
            Nurin memerhati kehampaan di wajah Syazwan.
            “Tak ada kunci bilik ker?” soal Syazwan sambil melabuhkan punggungnya di atas sofa, berhadapan dengan Nurin.
            “Ayah tengah cari dalam bilik dia.”
            Syazwan melepaskan keluhan. Dia memusing kepalanya, memandang daun pintu yang masih terkatup rapat.  Dia kecewa lagi.  Ternyata Akif memang mewarisi sifat arwah abangnya yang cepat merajuk dan akan menjadi keras kepala jika keinginannya tidak dipenuhi.
            “Kita tak boleh biarkan perkara ini terus berlaku. Kita perlu berterus terang dengan dia,” luah Syazwan buat kali kedua.  Wajah Nurin yang berubah ditatapnya.  “Sampai bila nak tipu dia? Sampai bila?”
            Nurin mengetap bibirnya serapat-rapatnya. Amukan amarah mula menggelegak di pundaknya. Dendamnya kembali berkocak. “Untuk apa?” seru Nurin keras. Matanya tajam menikam pandangan mata Syazwan. Dia memang cepat panas kalau hal yang satu itu dibangkitkan.
            “Dia perlu tahu!” tegas Syazwan tetapi masih terkawal nadanya.
            Nurin memaling mukanya dari memandang lelaki itu. Dia benci! Pantas dia bangkit. Langkah diatur meratapi pintu rumah yang dibiar ternganga luas.
“Dia perlu tahu apa? Cerita apa yang dia perlu dengar?” soal Nurin keras. Dia menarik nafas sedalamnya, mencari kekuatan untuk berhadapan dengan Syazwan yang tidak habis-habis mahu membangkitkan kisah hidup si kecil Akif.  
           Syazwan diam membisu.  Nurin kalih memandang Syazwan di hadapannya.  Nafasnya turun naik dengan pantas.  Matanya mencerlung tajam ke arah Syazwan. Dendam yang tersimpan makin berapi.
“Dia perlu tahu apa? Cerita apa yang dia perlu dengar? Kisah cinta mama dengan papa dia yang terhalang dek jurang darjat ker? Atau  kisah mamanya yang dihina nenek dan atok papanya gara-gara dituduh cuba mengikis harta?  Mungkin kisah mamanya yang dilayan tak ubah seperti orang gaji? Atau kisah kematian mama dan papanya yang dirancang semata-mata mahu memisah cinta suci mereka berdua? Mana satu!” bentak Nurin nampak keras tapi sebenarnya jauh di sudut hatinya, dia merintih sedih.  Sedih mengingatkan penderitaan yang dilalui kakak kembarnya.
Sudah lama kisah itu dipendamkan, dibiar membeku sehingga menerbitkan dendam yang tiada surutnya.  Hari ini buat pertama kalinya dia memuntahkan apa yang terbuku di hatinya di hadapan lelaki yang pernah menjadi pengapit bersamanya di majlis perkahwinan kakaknya bersama dengan abang kembar lelaki itu.
Syazwan terlopong, terkejut. Benarkah apa yang dikatakan wanita ini? Kenapa berbeza benar dengan versi cerita yang disampaikan orang tuanya? Cerita orang tuanya seratus peratus bertentangan dengan apa yang baru didengarinya kini. Kesemua cerita orang tuanya menyalahkan isteri abangnya.  Malahan nama Nurin juga turut dipalit dengan cemuhan kerana telah menjadi punca Akif terlepas daripada jagaan mama dan papanya. Ya ALLAH mana satu yang betul ini? Dia keliru.
  Nurin menyapu kasar air matanya yang degil bermain di pipinya. Dia tidak mahu nampak lemah dengan air mata yang mengalir. “Sudahlah. Biarkan keadaan seperti biasa terus berjalan. Tolong jangan ubah apa-apa.”
            Syazwan memandang tubuh Nurin yang membelakanginya. “Bagaimana hak keluarga saya terhadap Akif? Dia anak abang saya. Keluarga saya punya hak.” Walaupun masih samar-sama dengan kisah sebenar yang berlaku tetapi Syazwan tetap mahukan hak keluarganya.
 Nurin diam.  Dia mengatur langkah ke arah laci yang terletak agak tersorok kedudukannya.  Sejambak kunci dicapai, lalu dipilih kunci yang sesuai.  Perlahan-lahan laci almari dibuka lalu ditarik. Satu fail diambil lalu berjalan semula menuju ke arah Syazwan.  Fail itu dicampak di hadapan pemuda itu. “Kalau ikutkan hati saya, sedepa pun saya takkan izinkan awak hampiri Akif.  Tapi awak bernasib baik sebab ada ayah saya yang tidak tahu apa itu erti dendam!”
 Syazwan terpingga. Wajah Nurin yang kelat dan fail kuning di hadapannya, dipandang silih berganti.
“Saya mendapat hak penjagaan mutlak ke atas Akif!” tekan Nurin sebaik memusing tubuhnya kembali membelakangi lelaki itu.  Syazwan terpana.  Matanya memandang ke arah Nurin dengan riak tidak percaya. Namun mulutnya kelu untuk berkata.
“Kembar aku yang baru habis pantang, cuba diracuni mama kau!” bentak Nurin lantang.
Intonasi Nurin berubah.  Dek marah dan dendam, bicaranya berubah kasar. Namun tidak sedikit pun tercuit rasa bersalah di hatinya.  Sebaliknya bicaranya terus menikam telinga Syazwan.
 “Waktu mama kau datang melawat kembar aku, dia bawa ubat nak kasi kembar aku mampus.  Masa tu, kakak aku dalam pantang di rumah keluarga aku. Mama kau taruk ubat yang dia bawa dalam minuman yang mak aku buat untuk kembar aku.” bentak Nurin seraya memandang tajam ke arah Syazwan.  Cahaya dendam terbias dari mata Nurin. “Mama kau  cuba nak bunuh kembar aku dan dalam masa yang sama cuba nak buat khianat kat mak!!!”
Syazwan termangu. Benarkah? Wajah Nurin dipandang tidak percaya.
Nurin kembali membelakangi Syazwan. Jauh pandangannya dilontarkan. “Akibatnya, mulut kakak aku berbuih.” Nurin menyapu air matanya. “Abang kembar kau cuba selamatkan kakak aku. Dia bawa kereta tanpa mengendahkan keselamatan. Akhirnya kedua-dua terkorban dalam nahas jalan raya.  Kereta abang kau terbabas sebelum terbakar.  Tuhan punya kuasa tak siapa dapat lawan, mama kau salah langkah.  Dia mahu bunuh kakak aku tapi secara tidak sengaja dia membunuh abang kau!” rintih Nurin saat terkenang kembali kisah yang pernah terjadi dalam keluarganya.
             “Sudahlah bunuh kakak aku, kemudian mahu salahkan mak aku atas apa yang terjadi. Mak aku mati kau tahu! Mak aku mati sebab angkara mama kau yang kejam lagi zalim tu!” Sekali lagi mata Nurin tajam mencerun ke dalam anak mata Syazwan yang terpaku memandang ke arahnya.  Dadanya ditepuk berulang kali menyatakan perasaan yang selama ini terpendam di lubuk hatinya. Air matanya terus deras mengalir.
“Mak aku mati sebab terkejut menerima berita kemalangan itu.  Waktu itu tangannya sedang digari masuk ke dalam kereta polis.  Kau tahu, bertapa sedihnya aku waktu itu. Hilang dua orang yang aku sayangi dalam waktu yang sama.  Umpat keji orang sekeliling lagi. Sakit kau tahu!” Air mata Nurin mengalir deras. Sesungguhnya dia tidak dapat lagi membendung perasaan sedihnya ini.  Kejadiaan lima tahun lalu, benar-benar membuatkan dia terduduk.
Nurin mengetap bibirnya cuba mengawal perasaan sedih. Dia harus meneruskan bicaranya. Dia mahu lelaki itu tahu kebenaran yang sebenarnya. 
“Lebih kejam, mama kau larikan Akif yang masih berusia seminggu.  Kononnya kami sekeluarga yang bersalah. Waktu itu, Tuhan sahaja tahu perasaan aku dan ayah aku. Kehilangan demi kehilangan sangat menyakitkan hati kami.  Sakit kau tahu!” Nurin menepuk dadanya sekali menyatakan rasa hatinya. Air matanya terus mengalir deras.
 “Namun siapa sangka, perancangan ALLAH.  Aku ke rumah kau sebab nak ambil barang peninggalan arwah kakak aku. Waktu tu aku terdengar perbualan mama kau dengan orang umpahan dia.  Aku rakam guna telefon bimbit aku. Masa tu, aku rasa nak sujud syukur pada ALLAH kerana memakbulkan doa aku. Lepas dapat tahu hal sebenar, aku cuba selongkar untuk buktikan mak aku tak salah.  Alhamdulliah, Tuhan bersama orang teraniaya. Doa orang teraniaya, ALLAH dengar.  Aku dan bekas bibik kau berjaya menjumpai sepeket ubat yang digunakan dalam minuman kembar aku.  Dengan bantuan rakan-rakan aku, orang umpahan mama kau berjaya kami heret ke mahkamah keadilan. Aku jadi saksi membela maruah keluarga aku yang tercalar.  Bebas bibik kau pun sama.  Begitu juga orang umpahan mama kau.  Mama kau yang tak sangka benda tu akan berlaku, tiba-tiba berubah perwatakan. Dia membentak, marah dan ketawa menggilai dalam mahkamah. Sudahnya, dia disahkan sakit mental. Sebab itu dia terlepas daripada hukuman gantung!”
            Hampir pitam Syazwan mendengarnya. Terbayang wajah mamanya yang nampak sihat dari segi luaran tapi rupanya...Syazwan seolah-olah tidak percaya. Memang mamanya kerap mengambil ubat sehingga ke hari ini. Fikirnya hanya ubat biasa-biasa sahaja tapi rupanya....
Perlahan-lahan dia membuka fail di hadapannya.  Mahu pitam dia melihat dokumen-dokumen dalam fail di hadapannya.  Saat ini dia terbayang wajah mama dan papanya. Matanya terpenjam rapat.  Lima tahun dia merantau di negara orang dan lima tahun itulah dirinya disogokkan dengan cerita buruk tentang keluarga perempuan di hadapannya sehingga membuatkan dia nekad mahu membalas dendam apabila tiba masanya. Namun kini, dia terasa mahu terkulai rebah dalam dendamnya.
            “Memang mama dan papa Akif dah mati! Tapi....
            Bum!! Bum!!
Hempasan pintu mematikan kata-kata Nurin.  Serta-merta Nurin memandang ke arah belakang.  Begitu juga dengan Syazwan.  Mereka sama-sama tergamam dengan bunyi hempasan pintu itu. Pak Cik Jali yang masih tercari-cari kunci dalam biliknya, juga turut sama terkejut. Pantas orang tua itu berlari keluar tanpa sempat menjumpai kunci yang sedang dicarinya.
 “Ya ALLAH, Akif!” Nurin menjerit kesal.  Dia berlari laju ke arah muka pintu bilik yang tertutup rapat.  Pantas tombol pintu dipulas.  Syukur, daun pintu tidak berkunci lagi. Perlahan-lahan dia menguak daun pintu tersebut.
            Air mata makin mengalir lebat di pipi Nurin saat matanya menjamah susuk tubuh kecil Akif yang sedang teresak menangis di atas katil.  Dengan lemah dia merapati anak kecil itu. “Akif tahukan, mama sayang Akif,” suara Nurin seraya mengusap kepala Akif yang tersembam di atas bantal. Tangisan anak kecil itu menambahkan lagi rasa hibanya.  .
            “Mama Akif dah mati. Papa pun!” bentak Akif mengejutkan Pak Cik Jali yang beridir di muka pintu.  Pantas pandangan Pak Cik Jali beralih ke arah Nurin dan Syazwan. Nurin mengetap rapat mulut. Syazwan meraup wajahnya. Dua ekspresi yang menimbulkan keresahan di hati Pak Cik Jali.
 “Akif,” panggil Syazwan merapati tubuh si kecil itu. Dia mahu memujuk anak kecil itu.
            “Pergi! Mama dengan papa Akif dah tak ada!” bentak Akif seraya menolak tangan Syazwan.
            Pak Cik Jali dirundum pilu.  Kini dia sudah dapat menerima apa yang telah berlaku. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah cucunya, satu-satunya harta yang ditinggalkan anak sulungnya. Sempat tangannya menepuk bahu Syazwan, memberi semangat kepada lelaki tersebut.  Syazwan tersenyum lemah.  Dia memberi ruang kepada Pak Cik Jali.
            “Akif tak sayang atok lagi ker? Tak mahu kawan dengan atok?”
            “Atok pun tipu Akif,” lirih suara kecil Akif kedengaran.
            Pak Cik Jali tenang mendengar luahan cucunya itu. “Bila masa atok tipu, Akif?”
Akif mengangkat mukanya perlahan-lahan. Wajahnya yang sembap meruntum hati Nurin. Terasa ingin dipeluk tubuh kecil itu tetapi dia takut menghadapi kebenciaan Akif.
  “Atok kata kena selalu doakan untuk papa supaya papa balik.”
 Pak Cik Jali tersenyum.  Perlahan-lahan tangan tua itu mendarat di kepala Akif.  Kali ini Akif tidak menolak. “Atok tak cakap pun macam tu.  Atok cakap, Akif kena selalu doakan untuk papa. Tak kata pun papa Akif akan balik kan?”
            Akif tertunduk. Perlahan-lahan dia mengangguk, mengakui kata-kata atoknya itu.
            “Okey, sekarang Akif tahukan yang mama dengan papa Akif dah tak ada?”
            Akif mengangguk lagi sebagai jawapan kepada soalan atoknya itu.
            “Apakata, kita ambil air sembahyang dan kemudian baca Yassin untuk mama dengan papa Akif. Bagi mama dengan papa bahagia kat dalam kubur.”
            “Betul ker atok. Nanti mama dengan papa gembira ya?”
            Pak Cik Jali mengangguk. “Tapi sebelum tu, Akif tak bolehlah marahkan Mak Su dengan Pak Su. Nanti Tuhan marah tau,” hujah Pak Cik Jali seraya memandang ke arah Nurin dan Syazwan.
            “Mak Su? Pak Su?” tanya Akif hairan. Matanya merenung anak mata atoknya.
            Pak Cik Jali tersenyum mengangguk.  Dia sedar, panggilan itulah yang sepatutnya dia ajar pada cucunya itu.
            Akif memandang wajah Nurin dan Syazwan silih berganti.
            “Nanti Mak Su dengan Pak Su lari pergi jauh-jauh, tinggal Akif, atok tak tahu,” usik Pak Cik Jali sambil mengerling ke arah Nurin dan Syazwan.
Seakan takut mendengar kata-kata atoknya itu, Akif pantas memeluk tubuh Nurin sambil memegang erat tangan sasa Syazwan. “Mak Su dengan Pak Su janganlah tinggal Akif. Akif sayang Mak Su dengan Pak Su,” rayu suara si kecil itu membuatkan tubuhnya di peluk erat.
“Mak Su sayang Akif,” ucap Nurin sambil memperkemaskan lagi pelukannya di tubuh si kecil itu.  Syazwan pula hanya mampu menahan perasan sedih saat mendengar ucapan si kecil itu.
****
 “Pak Su pergi mana? Dah lama Pak Su tak datang. Hari tu dah janji tak nak tinggalkan Akif,” rintih Akif di atas riba Pak Cik Jali. Nurin yang berasa sebak mendengar luahan si kecil itu, segera angkat kaki.
            “Pak Su sibuklah tu. Nanti Pak Su tak sibuk, Pak Su datanglah.” Pak Cik Jali menepuk-nepuk anak itu, mendodoi si kecil yang berada di atas ribanya.
            “Pak Su..Pak Su...” panggil Akif dengan kedua-dua belah kelopak matanya tertutup rapat. Nurin yang tidur di sebelah, terjaga.  Masuk hari ini, sudah tiga hari si kecil itu mengigau memanggil Syazwan.
            “Ssh..Mak Su ada sayang,” pujuk Nurin sambil menepuk-nepuk punggung anak itu. Akif lena semula. Nurin menarik nafas lega.
Telefon bimbit di sisi, dicapai lalu ditekan. Nyalaan biru kelihatan. Skrin menunjukkan jam empat pagi.  Nurin mengeluh.  Patutlah kepalanya terasa berat. Rupanya baru dua jam dia melelapkan mata. Malam semalam Akif meragam teruk sehingga memaksanya berjaga malam.

~BERSAMBUNG~